FIQH HARTA: SATU PENGENALAN

 

Bahagian A:

Fiqh Mencari Harta

 

Islam menganjurkan umatnya mencari harta sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

 

Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat,

maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat)

dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu,

jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).

 

Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi

dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah,

serta ingatlah akan Allah banyak-banyak supaya kamu berjaya.

[al-Jumu’ah 62:9-10]

 

Dalam ayat di atas, Allah Subhanahu wa Ta'ala memerintah umat Islam meninggalkan urusniaga jual-beli apabila azan Jumaat dilaungkan. Ini menunjukkan bahawa sebelum azan, urusan mencari harta melalui jual-beli dibolehkan. Seandainya ia haram, sudah tentu Allah akan melarangnya secara keseluruhan dan bukan sekadar menyuruh berhenti ketika azan.

 

Kemudian setelah selesai solat Jumaat, Allah Subhanahu wa Ta'ala memerintahkan umat Islam untuk meneruskan urusan mencari harta. Sekali lagi, seandainya usaha mencari harta adalah tercela, nescaya Allah tidak akan memerintahkan sedemikian.

 

Seperkara lain yang perlu diperhatikan ialah dua ayat di atas berbicara berkenaan hari Jumaat. Hari Jumaat tidak dianggap sebagai hari cuti tetapi tetap merupakan hari kerja mencari harta. Ringkasnya, dalam Islam tidak ada cuti hujung minggu, cuti sekolah, cuti semester dan cuti bersara. Ia hanyalah budaya masyarakat bukan Islam yang telah diislamkan. Islam menuntut umatnya sentiasa berusaha demi agama dan masyarakat sepanjang masa tanpa mengenal cuti sekian-sekian. Percutian bagi umat Islam ialah di Hari Akhirat kelak, di dalam syurga Allah Subhanahu wa Ta'ala.

 

Dua ayat suci di atas adalah di antara sekian banyak dalil daripada al-Qur’an dan hadis yang menyuruh umat Islam mencari harta. Mencari harta dengan titik peluh sendiri adalah jauh lebih baik dari meminta-minta dan mengharapkan belas kasihan orang lain, sebagaimana yang ditegaskan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

 

وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ

 

لأَنْ يَأْخُذَ أَحَدُكُمْ حَبْلَهُ فَيَحْتَطِبَ عَلَى ظَهْرِهِ خَيْرٌ

 

لَهُ مِنْ أَنْ يَأْتِيَ رَجُلاً فَيَسْأَلَهُ أَعْطَاهُ أَوْ مَنَعَهُ.

 

Demi Allah yang diriku berada di tangan-Nya,

seseorang di antara kalian yang mengambil talinya lalu mengikat kayu api

dan membawa di atas bahunya adalah lebih baik

daripada dia mendatangi seseorang dan meminta-minta kepadanya,

sama ada orang itu memberi atau menolaknya.[1]

 

 

Oleh itu mencari harta merupakan sesuatu yang dianjurkan oleh Islam. Walaubagaimanapun terdapat beberapa perkara berkenaan harta yang perlu diketahui sebelum kita berusaha untuk mencari harta: