FIQH HARTA: SATU PENGENALAN

 

Bahagian A:

Fiqh Mencari Harta

 

Kesepuluh: Tidak Mencari Harta Dengan Cara Yang Batil dan Zalim.

 

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

 

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan)

harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang batil.

[al-Nisa’ 4:29]

 

Kamu tidak menzalimi dan tidak dizalimi.

[al-Baqarah 2:279]

 

Mencari harta secara zalim dan batil banyak berlaku tanpa kita sedari, sama ada bagi seseorang yang melakukan urusniaga jual-beli atau pekerjaan yang mendapat gaji pada hujung bulan. Berikut sebahagian daripadanya:

 

  1. Riba.

Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala mengenai orang yang mencari harta melalui interaksi dengan riba:

 

Dan (ketahuilah bahawa) sesuatu riba yang kamu berikan supaya bertambah kembangnya

dalam pusingan harta manusia, maka ia tidak sekali-kali akan berkembang di sisi Allah

(tidak mendatangkan kebaikan).

[al-Rum 30:39]

 

 

Jika seseorang itu tetap berinteraksi dengan riba, maka:

 

Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul

melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (syaitan) itu.

Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan:

“Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba.”

Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.

 

Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya

lalu dia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu

(sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah.

Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka itulah ahli neraka,

mereka kekal di dalamnya.

[al-Baqarah 2:275]

 

 

Allah Subhanahu wa Ta'ala juga menegaskan:

 

Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah meninggalkan riba),

maka ketahuilah kamu akan adanya peperangan daripada Allah dan Rasul-Nya.

Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu.

(Dengan yang demikian) kamu tidak menzalimi dan tidak dizalimi.

[al-Baqarah 2:279]

 

 

Betapa besarnya kesalahan riba dapat diketahui melalui dua ayat di atas:

 

  • Orang yang berinteraksi dengan riba, dia berdiri …seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan dengan terhuyung-hayang.

  • Orang yang berinteraksi dengan riba, maka …akan adanya peperangan daripada Allah dan Rasul-Nya.

  • Orang yang berinteraksi dengan riba, maka …itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.

Para ilmuan Islam pernah menegaskan, tidak ada satu kesalahan di dalam Islam yang diancam dan dihukum sebegitu berat melainkan kesalahan riba. Terdapat dua jenis riba, kedua-duanya adalah haram dan merupakan kesalahan yang amat besar di sisi Islam:

 

a)     Riba jual-beli. Ia akan saya kupas dalam bab Fiqh Jual-Beli Harta.

b)     Riba pinjaman. Ia akan saya kupas dalam bab Fiqh Hutang-Piutang Harta.

 

 

  1. Menipu.

Sebelum ini di bahagian Kata Pembuka telah dikemukakan hadis bagaimana Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menemui seorang peniaga yang melakukan penipuan. Di dalam rangka mencari harta, kita tidak boleh melakukan penipuan, sekecil mana sekalipun. Penipuan juga tidak boleh dilakukan sama ada terhadap sesama umat Islam atau terhadap orang bukan Islam.

 

Sebaliknya hendaklah kita bersikap jujur. Merujuk kembali kepada seorang peniaga, maka sikap yang benar ialah:

 

 

الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ

 

لاَ يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ بَاعَ مِنْ أَخِيهِ بَيْعًا فِيهِ

 

عَيْبٌ إِلاَّ بَيَّنَهُ لَهُ.

 

Seorang muslim bersaudara dengan muslim yang lain,

(justeru) tidak dihalalkan bagi seorang muslim menjual kepada saudaranya

sesuatu yang dalamnya memiliki kecacatan kecuali dia menjelaskan kecacatan itu kepadanya.[1]

 

 

  1. Perjudian.

Iaitu mencari harta melalui cara yang tidak dapat dijangka langsung kadar keuntungan atau kerugiannya. Ia hanya secara kebetulan semata-mata. Perjudian juga disebut sebagai pertaruhan. Allah Subhanahu wa Ta'ala melarang perjudian melalui firman-Nya:

 

Wahai orang-orang yang beriman!

Bahawa sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib

dengan batang-batang anak panah adalah kotor dari perbuatan Syaitan.

Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.

[al-Maidah 5:90]

 

 

Perjudian yang dimaksudkan bukan sekadar pergi ke kasino atau bertaruh dalam permainan sukan, tetapi meliputi pelbagai urusan harta yang lain. Antara yang lazim berlaku pada masa kini ialah dalam pengambilan insuran konvesional. Apabila Nurul mengambil insuran peribadi dengan membayar premium RM1000.00 setiap tahun, dia sebenarnya menceburi satu urusan perjudian. Ini kerana musibah seperti kemalangan, penyakit atau kematian bukanlah sesuatu yang dapat dijangkakan. Jika Nurul menghadapi sesuatu musibah, dia akan mendapat bayaran yang besar daripada pihak insuran. Jika Nurul tidak menghadapi apa-apa musibah, bayaran premiumnya diambil dan menjadi hak milik syarikat insuran.

 

Terdapat juga produk insuran konvesional yang menjanjikan bayaran balik premium yang telah dibayar jika tiada apa-apa musibah berlaku selama tempoh perlindungan. Produk seperti ini tetap dilarang kerana perjanjian tersebut memiliki unsur gharar yang dilarang oleh Islam. Kita akan mengupas lebih lanjut tentang gharar dalam bab seterusnya insya-Allah.

 

Pilihan yang ada untuk kita umat Islam ialah mengambil insuran ta’awun yang bermaksud saling tolong menolong. Ia dikenali sebagai takaful. Melalui insuran ini, sejumlah orang bersetuju untuk saling membantu antara satu sama lain dengan cara meletakkan sejumlah wang dalam satu tabung. Apabila salah seorang daripada penabung menghadapi musibah, wang dari tabung akan diambil untuk membantunya. Lebihan wang, jika ada, akan dikembalikan kepada orang-orang yang menabung pada awalnya. Tidak berlaku perjudian kerana tujuan asal meletakkan wang dalam tabung ialah membantu sesiapa jua yang menghadapi musibah.

 

 

  1. Rasuah.

Ia adalah haram berdasarkan keterangan ‘Abd Allah bin ‘Amr radhiallahu 'anh:

 

 

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

 

الرَّاشِيَ وَالْمُرْتَشِيَ.

 

Rasulullah (shallallahu 'alaihi wasallam) melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah.[2]

 

 

Di sini perlu dibezakan tiga perkara:

 

a) Hadiah ialah harta yang diberi tanpa disebabkan oleh apa-apa kedudukan atau pekerjaan, sama ada sebelum, semasa atau sesudah ia diberikan. Saling memberi hadiah amat dianjurkan oleh Islam sebagaimana sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

 

تَهَادَوْا تَحَابُّوْا.

 

Salinglah memberi hadiah, nescaya kalian saling mencintai (sesama umat Islam).[3]

 

 

b) Upah ialah harta yang diberi untuk satu kerja yang dilakukan. Ia juga disebut sebagai gaji, bayaran, ganjaran, elaun dan sebagainya. Memberi upah sebagaimana yang dipersetujui sebelum sesuatu kerja dilakukan adalah wajib. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda, bahawa Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman (Hadis Qudsi):

 

ثَلاَثَةٌ أَنَا خَصْمُهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

 

رَجُلٌ أَعْطَى بِي ثُمَّ غَدَرَ

 

وَرَجُلٌ بَاعَ حُرًّا فَأَكَلَ ثَمَنَهُ

 

وَرَجُلٌ اسْتَأْجَرَ أَجِيرًا فَاسْتَوْفَى مِنْهُ

 

وَلَمْ يُعْطِ أَجْرَهُ.

 

Tiga golongan yang Aku menjadi musuh mereka pada Hari Kiamat kelak:

(1) orang yang berjanji di atas nama-Ku kemudian mengkhianatinya,

(2) orang yang menjual orang lain yang merdeka (bukan hamba) dan memakan hasilnya dan

(3) orang yang mengupah pekerja lalu menyuruh dia menyiapkan kerja tetapi tidak membayar upahnya.[4]

 

 

c) Rasuah ialah harta yang diberikan sebagai hadiah kepada seseorang yang memiliki kedudukan atau pekerjaan yang melibatkan kepentingan orang ramai. Kepentingan orang ramai di sini boleh merujuk kepada kampung, bandar, komuniti, pejabat, syarikat, sekolah, kolej, persatuan atau negara. Kedudukan atau pekerjaan yang dimaksudkan ialah seumpama ketua kampung, imam surau, bilal masjid, penyelia jabatan, guru, pensyarah, pengerusi pertubuhan, bendahari persatuan, menteri, hakim dan sebagainya.

 

Dilarang memberikan apa-apa harta atau hadiah kepada orang-orang sedemikian berdasarkan sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

 

هَدَايَا الْعَمَّالُ غُلُول.

 

Hadiah kepada para pekerja adalah pengkhianatan.[5]

 

 

Abi Humaid al-Sa’idi radhiallahu 'anh menerangkan:

 

اسْتَعْمَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

 

رَجُلاً عَلَى صَدَقَاتِ بَنِي سُلَيْمٍ يُدْعَى ابْنَ الْلَتَبِيَّةِ.

 

 فَلَمَّا جَاءَ حَاسَبَهُ قَالَ:

 

هَذَا مَالُكُمْ وَهَذَا هَدِيَّةٌ.

 

فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:

 

فَهَلاَّ جَلَسْتَ فِي بَيْتِ أَبِيكَ وَأُمِّكَ

 

حَتَّى تَأْتِيَكَ هَدِيَّتُكَ إِنْ كُنْتَ صَادِقًا؟

 

ثُمَّ خَطَبَنَا فَحَمِدَ اللَّهَ وَأَثْنَى عَلَيْهِ ثُمَّ قَالَ:

 

أَمَّا بَعْدُ فَإِنِّي أَسْتَعْمِلُ الرَّجُلَ مِنْكُمْ

 

عَلَى الْعَمَلِ مِمَّا وَلاَّنِي اللَّهُ

 

فَيَأْتِي فَيَقُولُ هَذَا مَالُكُمْ وَهَذَا هَدِيَّةٌ أُهْدِيَتْ لِي!

 

أَفَلاَ جَلَسَ فِي بَيْتِ أَبِيهِ وَأُمِّهِ حَتَّى تَأْتِيَهُ هَدِيَّتُهُ؟

 

وَاللَّهِ! لاَ يَأْخُذُ أَحَدٌ مِنْكُمْ شَيْئًا بِغَيْرِ حَقِّهِ

 

إِلاَّ لَقِيَ اللَّهَ يَحْمِلُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ.

 

 

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menghantar seorang yang bergelar Ibn al-Latabiyyah[6]

untuk memungut zakat di perkampungan Bani Sulaim. Tatkala datang orang untuk mengaudit (pungutan zakatnya), dia berkata, “Ini harta kamu (untuk Baitul Maal) dan ini hadiah (milik aku).”

 

(Mendengar sedemikian) Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

“Kenapa kamu tidak duduk saja di rumah ayah dan ibu kamu sehingga datang kepada kamu hadiah kamu,

jika kamu seorang yang jujur?”

 

(Abi Humaid al-Sa’idi melanjutkan) kemudian (Rasulullah) berkhutbah kepada kami. Setelah memuji dan mengagungkan Allah, baginda bersabda:

 

“Seterusnya, sesungguhnya aku mempekerjakan seseorang dari kalian

dengan satu pekerjaan yang Allah pertanggungjawabkan kepadaku,

lalu orang itu datang kepadaku dan berkata:

‘Ini harta kamu (untuk Baitul Maal) dan ini hadiah yang telah dihadiahkan kepadaku’.

Kenapa tidak dia duduk saja di rumah ayah dan ibunya sehingga datang kepadanya hadiah itu?

 

Demi Allah! Tidaklah seseorang dari kalian mengambil sesuatu yang bukan haknya

kecuali dia akan bertemu Allah pada Hari Kiamat dengan membawa apa yang diambilnya itu.”[7]

 

 

Islam melarang pemberian hadiah kepada orang yang memiliki kedudukan atau pekerjaan yang melibatkan kepentingan orang ramai kerana secara halus hadiah tersebut akan memberi kesan yang mempengaruhi sikap antara pemberi dan penerima. Sekalipun pemberi mungkin memiliki tujuan berterima kasih atau demi menjalin silaturahim, tanpa disedari dalam masa terdekat atau jauh, ia tetap akan memberi kesan yang bakal mempengaruhi sikap antara pemberi dan penerima. Pemberi pada satu hari nanti mungkin mengharapkan daripada penerima sesuatu yang bukan haknya atau penerima pada satu hari nanti mungkin menyerahkan sesuatu yang bukan haknya kepada pemberi.

 

Inilah yang dimaksudkan sebagai rasuah. Oleh itu jangan memberi apa-apa hadiah kepada orang yang memiliki kedudukan atau pekerjaan yang melibatkan kepentingan anda. Sebaliknya ucapkanlah terima kasih atas usahanya yang baik dan berdoalah agar Allah Subhanahu wa Ta'ala menghadiahkannya ganjaran yang baik di dunia dan akhirat.

 

Jika anda adalah orang yang memiliki kedudukan atau pekerjaan yang melibatkan kepentingan orang ramai, jangan menerima apa-apa hadiah yang diberikan oleh orang yang berada di bawah urusan anda. Jika anda diberi hadiah, tolaklah ia dengan penjelasan yang hikmah. Seandainya anda tidak memiliki ruang untuk menolak, maka ambillah hadiah itu tetapi dengan segera hendaklah menyerahkannya kepada Baitul Maal atau mana-mana badan kebajikan bagi kegunaan orang awam.

 

Sebagai contoh, Fazlina tidak boleh memberi hadiah kepada Prof. Dr. Norma yang merupakan pensyarahnya selagi mana Fazlina masih belajar di universiti yang Prof. Dr. Norma bertugas sebagai pensyarah. Akan tetapi apabila Fazlina telah tamat pengajian, dia boleh memberi hadiah kepada Prof. Dr. Norma kerana pada saat itu Prof. Dr. Norma tidak lagi memiliki apa-apa kepentingan kepada Fazlina.

 

 

  1. Hasil daripada perkara yang haram hukumnya.

Seperti arak, bangkai, khinzir, patung berhala, anjing, pelacuran, bomoh dan sebagainya. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

 

إِنَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ حَرَّمَ بَيْعَ الْخَمْرِ وَالْمَيْتَةِ وَالْخِنْزِيرِ وَالأَصْنَامِ.

 

Sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya mengharamkan penjualan arak, bangkai, khinzir dan patung.[8]

 

 

Abi Mas‘ud al-Anshari radhiallahu 'anh menerangkan:

 

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

 

نَهَى عَنْ ثَمَنِ الْكَلْبِ وَمَهْرِ الْبَغِيِّ وَحُلْوَانِ الْكَاهِنِ.

 

Bahawasanya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam

melarang hasil penjualan anjing, hasil zina dan upah bomoh.[9]

 

 

 

  1. Harta anak yatim.

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

 

Dan janganlah kamu hampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik

(untuk mengawal dan mengembangkannya),

sehingga ia baligh (dewasa, serta layak mengurus hartanya dengan sendiri).

[al-An‘aam 6:152]

 

 

Demikian enam cara pencarian harta yang diharamkan oleh Islam. Perhatikan bahawa dalam pengharaman tersebut, al-Qur’an dan al-Sunnah hanya menyebut cara dan bukan bentuk. Ini kerana bentuk boleh berubah-ubah mengikut zaman dan peradaban manakala cara di sebaliknya tetap sama.


 

[1] Sahih: Dikeluarkan oleh Ibn Majah dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Ibn Majah, hadis no: 1873 (Kitab al-Tijarat, Bab orang yang menjual barang yang cacat hendaklah menjelaskan kecacatannya).

[2] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no: 1337 (Kitab al-Ahkam, Bab orang yang merasuah …).

[3] Hasan: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dan dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih al-Adab al-Mufrad, hadis no: 593 (Bab menerima hadiah).

[4] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 2227 (Kitab al-Buyu’, Bab dosa menjual orang merdeka).

[5] Sahih: Dikeluarkan oleh Ahmad dan al-Baihaqi dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih al-Jami’ al-Shagheir, hadis no: 7021.

[6] Ada juga yang menyebut namanya sebagai Ibn Lutbiyyah.

[7] Sahih: Sebahagian dari hadis yang dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 6979 (Kitab al-Hiyal, Bab helah seorang pekerja untuk mendapatkan hadiah bagi dirinya).

[8] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 2236 (Kitab al-Buyu’, Bab menjual bangkai dan patung).

[9] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 2237 (Kitab al-Buyu’, Bab hasil penjualan anjing).