|
FIQH HARTA: SATU PENGENALAN
Bahagian A: Fiqh Mencari Harta
|
|
Kelima: Antara Harta dan Ketaqwaan.
Terdapat hubung kait yang amat rapat antara harta dan ketaqwaan. Harta akan bertambah bagi orang yang bertaqwa, iaitu orang yang kerana sikap takutnya terhadap Allah, sentiasa memerhatikan perintah larangan-Nya dalam setiap urusan hariannya, sama ada dalam bab harta mahupun selain harta. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman mengenai orang yang bertaqwa:
Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. [al-Talaq 65:2-3]
Sebelum melanjutkan ke poin seterusnya, ingin saya minta para pembaca yang budiman sekalian untuk benar-benar memerhatikan hubung kait antara harta dengan keberkatan dan ketaqwaan. Ini kerana dalam subjek fiqh harta ini, akan ditemui perintah larangan Islam yang jika dikira dengan kalkulator manusia, ia memang tidak menguntungkan. Bahkan ada sebahagian yang kelihatan seolah-olah merugikan. Akan tetapi jika dikira dengan kalkulator Allah, ia pasti menguntungkan dengan kadar yang … tidak terlintas di hatinya.
|