FIQH HARTA: SATU PENGENALAN

 

Bahagian A:

Fiqh Mencari Harta

 

Kedua: Antara Mencari Harta Dan Bertawakkal.

 

Kadangkala wujud salah faham bahawa seorang muslim tidak perlu berusaha keras untuk mencari harta. Memadai dia duduk dan bertawakkal, Allah akan mengurniakan harta kepadanya. Salah faham ini perlu diluruskan. Dalam Islam, usaha terdiri daripada lima langkah:

  1. Merancang.

  2. Berdoa, khasnya melalui solat Istikharah agar apa yang dirancangnya adalah baik untuk dirinya dan agama. Menyentuh tentang solat Istikharah, terdapat banyak bid‘ah yang telah menyelinap masuk sehingga mencemari ketulenannya. Justeru saya sarankan para pembaca sekalian mengkaji tatacara solat Istikharah yang menepati sunnah. Antara rujukan yang baik lagi sahih ialah Shalat Istikharah: Membuka Kesuksesan Hidup oleh Syaikh Abdullah bin Muhammad al-Hamadi. Ia telah diterjemahkan ke bahasa Indonesia oleh Fathurrahman Hamid dan diterbitkan oleh Pustaka Azzam, Jakarta, 2005.

  3. Berusaha mendapatkan apa yang dirancang. Sambil itu doa tetap diteruskan.

  4. Bertawakkal, iaitu berserah kepada Allah dengan keyakinan Allah akan memberikan yang terbaik untuknya. Secara mendalam tawakkal bererti:

     

    Suatu prilaku di dalam hati yang bersumber dari pengenalan seseorang kepada Allah serta adanya keyakinan bahawa Allah satu-satunya yang melakukan penciptaan, pengaturan, bahaya, manfaat, pemberian dan penolakan. Dan bahawa apa yang Allah kehendaki pasti terlaksana dan apa yang Allah tidak kehendaki pasti tidak akan terlaksana. Maka wajib bagi seseorang untuk menyandarkan perkaranya kepada Allah, menyerahkan kepada-Nya, percaya kepada-Nya serta yakin dengan suatu keyakinan bahawa yang disandarkan itu (Allah) akan mengurus (urusan)nya dengan cara yang terbaik untuk dirinya.[1]

     

     

  5. Redha. Jika berjaya dia bersyukur dan memperbaikinya, jika gagal dia sabar dan memperbetulkannya. Dia tidak putus asa kerana yakin ada hikmah Allah di sebalik kegagalannya itu.

 

Justeru tidak boleh terus melompat ke langkah keempat (tawakkal) dengan meninggalkan langkah pertama, kedua, ketiga dan kelima. Hadis berikut memberi gambaran yang tepat tentang tawakkal:

 

لَوْ أَنَّكُمْ كُنْتُمْ تَوَكَّلُونَ عَلَى اللَّهِ حَقَّ تَوَكُّلِهِ

 

لَرُزِقْتُمْ كَمَا يُرْزَقُ الطَّيْرُ تَغْدُو خِمَاصًا وَتَرُوحُ بِطَانًا.

 

Seandainya kalian bertawakkal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakkal,

nescaya kalian diberi rezeki sebagaimana burung yang diberi rezeki.

Ia pergi (terbang) pada waktu pagi dalam keadaan perut kosong

dan kembali pada waktu petang dengan perut kenyang.[2]

 

 

Perhatikan bahawa burung itu tidak sekadar bertenggek di dahan menunggu makanan, tetapi ia keluar berusaha, yakni dengan terbang mencarinya. Justeru duduk berdiam diri menunggu harta bukanlah sikap tawakkal tetapi sikap orang yang kurang akal. Tawakkal ialah berserah kepada Allah setelah berusaha mencari harta dengan keyakinan Allah akan memberikan yang terbaik kepadanya.


 

[1] Demikian penjelasan al-Imam Ibn al-Qayyim sebagaimana yang dinukil oleh Dr. ‘Abd Allah bin ‘Umar al-Dumaiji dalam bukunya al-Tawakkul ‘ala Allah wa ‘Alaqatuhu bi al-Asbab (edisi terjemahan oleh Kamaluddin Sa’diatulharamaini & Farizal Tarmizi atas judul Rahasia Tawakal & Sebab Akibat; Pustaka Azzam, Jakarta, 2000), ms. 5 dengan beberapa suntingan bahasa.

 

[2] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no: 2344 (Kitab al-Zuhud, Bab berkenaan tawakkal kepada Allah).