FIQH HARTA: SATU PENGENALAN

 

Bahagian A:

Fiqh Mencari Harta

 

Ketiga: Antara Miskin dan Kaya.

 

Apabila disebut mencari harta, ramai yang berminat kerana ia dapat mengubah seseorang daripada miskin menjadi kaya. Takrif miskin ialah orang yang sedikit harta manakala takrif kaya ialah orang yang banyak harta.

 

Sebenarnya Islam memiliki takrif tersendiri tentang miskin dan kaya. Miskin ialah orang yang memiliki harta tetapi merasakan ia masih tidak cukup, enggan mensedekahkannya dan enggan berusaha mencarinya. Kaya ialah orang yang kaya jiwanya sehingga sentiasa merasa lapang dan cukup sekalipun dia memiliki harta yang sedikit. Perhatikan dua hadis berikut yang menjelaskan takrifan miskin dan kaya di dalam Islam:

 

 

لَيْسَ الْمِسْكِينُ الَّذِي يَطُوفُ عَلَى النَّاسِ

 

تَرُدُّهُ اللُّقْمَةُ وَاللُّقْمَتَانِ وَالتَّمْرَةُ وَالتَّمْرَتَانِ

 

وَلَكِنْ الْمِسْكِينُ الَّذِي لاَ يَجِدُ غِنًى يُغْنِيهِ

 

وَلاَ يُفْطَنُ بِهِ فَيُتَصَدَّقُ عَلَيْهِ

 

وَلاَ يَقُومُ فَيَسْأَلُ النَّاسَ.

 

Bukanlah digelar miskin orang yang berkeliling di kalangan manusia

lalu diberi satu atau dua suap (makanan) dan satu atau dua biji kurma.

Akan tetapi yang digelar miskin ialah orang yang tidak menemui kekayaan yang mencukupi keperluannya

(yakni kaya tetapi masih merasakan tidak cukup),

tidak mengerti ke manakah hartanya patut disedekahkan

dan tidak mahu berusaha sebaliknya hanya meminta-minta kepada manusia.[1]

 

 

لَيْسَ الْغِنَى عَنْ كَثْرَةِ الْعَرَضِ وَلَكِنَّ الْغِنَى غِنَى النَّفْسِ.

 

Bukanlah digelar kaya orang yang banyak pembekalannya akan tetapi

yang digelar kaya ialah yang kaya jiwanya.[2]

 

 

Orang yang kaya jiwanya ialah orang yang sentiasa bersikap lapang terhadap harta. Hatinya tidak rakus mengejar harta, tidak sombong apabila mendapat harta dan tidak hancur apabila kehilangan harta. Orang bersikap lapang seperti ini, hartanya diberkati oleh Allah sehingga sekalipun sedikit pada pandangan mata zahir, ia tetap banyak pada pandangan mata hati. Penjelasan seterusnya memperincikan lagi hakikat ini.


 

[1] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 1479 (Kitab al-Zakat, Bab firman Allah…surah al-Baqarah, ayat 273).

[2] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 6446 (Kitab al-Riqaq, Bab orang yang kaya ialah orang yang kaya jiwanya).