FIQH HARTA: SATU PENGENALAN

 

Bahagian A:

Fiqh Mencari Harta

 

Ketujuh: Jangan Menjadikan Harta Sebagai Tuan.

 

Jangan menyembah harta, iaitu menjadikannya sebagai tuan sehingga kita melakukan apa sahaja demi harta. Kita tidak lebih seumpama seorang hamba yang bertuankan harta sehingga apa sahaja yang dituntut oleh harta, kita mentaatinya. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah menerangkan sikap manusia yang menjadikan harta sebagai tuan dan dirinya sebagai hamba:

 

تَعِسَ عَبْدُ الدِّينَارِ وَالدِّرْهَمِ.

 

Celakalah hamba dinar dan dirham.[1]

 

 

Hamba dinar dan dirham dapat dikenali melalui beberapa sikapnya seperti:

  1. Dia menjadi amat gembira apabila menerima harta, amat sedih apabila kehilangan harta.

  2. Dia riang dan ceria sepanjang hari jika harga saham-saham miliknya naik, menjadi muram dan sugul jika sebaliknya.

  3. Jika sesuatu kerja menjanjikan ganjaran harta di sebaliknya, dia akan melakukannya. Jika tidak ada ganjaran, dia tidak akan melakukannya.

Sebenarnya manusia melalui empat tahap sebelum mencapai kematangan dalam berinteraksi dengan harta. Ia seperti berikut:

 

Tahap Pertama: Kehidupan = Harta.

Objektif kehidupan ialah mencari harta semata-mata. Hampir semua aktiviti harian dilakukan demi mencari harta. Ini memang sifat lazim kebanyakan manusia sebagaimana dijelaskan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala:

 

Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia:

kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu,

iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak;

harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak;

kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih;

dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman.

Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia.

Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).

[Ali Imran 3:14]

 

 

Tahap Kedua: Kehidupan = Lebih Banyak Harta.

Apabila sudah dapat memegang harta, manusia ingin memperbanyakkannya. Pada tahap ini seseorang itu akan melakukan apa sahaja untuk mengurangkan kos kehidupan demi memperbanyakkan hartanya. Dia sanggup tinggal di pondok buruk demi menyewakan rumah yang dimilikinya. Dia sanggup menaiki kereta kecil demi menjimatkan kos petrol. Dia sanggup tidur malam tanpa memasang kipas demi mengurangkan bil elektriknya.

 

Tahap kedua merupakan lanjutan dari tahap pertama. Ini kerana kebanyakan manusia apabila sudah memegang harta, timbul keinginan untuk memegang lebih banyak harta. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menerangkan hakikat ini:

 

لَوْ كَانَ لإِبْنِ آدَمَ وَادِيَانِ مِنْ مَالٍ

 

لاَبْتَغَى ثَالِثًا

 

وَلاَ يَمْلأُ جَوْفَ ابْنِ آدَمَ إِلاَّ التُّرَابُ.

 

Seandainya anak Adam (manusia) dihadapkan kepada dua lembah yang dipenuhi harta,

nescaya dia ingin mendapatkan lembah ketiga.

Tidaklah setiap rongga pada tubuh anak Adam melainkan diselaputi tanah

(apabila dia mati kelak. Dia tidak akan dapat membawa harta itu).[2]

 

 

Tahap Ketiga: Harta = Kehidupan.

Tahap ketiga ialah tahap akil baligh. Seseorang itu mula sedar bahawa peranan harta ialah memudahkan kehidupan dan bukan menyusahkan. Maka dia mula mengubah cara hidupnya. Dia berpindah ke rumah yang selesa, membeli kereta saiz biasa demi keselamatan dan menggunakan penghawa dingin ketika tidur. Pada waktu yang sama dia mula membayar zakat harta dan bersedekah.

 

Allah Subhanahu wa Ta'ala menerangkan tentang manusia yang berada pada tahap ini:

 

Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu

akan pahala dan kebahagiaan Hari Akhirat

dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia.

[al-Qasas 28:77]

 

 

Brian Sher menerangkan orang yang berada pada tahap ini dan ketidak-matangan mereka yang berada di tahap pertama dan kedua:

 

Virtually anyone you meet wants to be rich in the monetary sense. Nearly everyone in life wants to make more money. The truth, however, is that being rich in life isn’t just about having more money. Many people have made the mistake of believing this.

 

Money should be seen as it is – just a tool for getting things done. The more money you have the more things you can get done. At this early stage you must realise money is merely a means to an end, not an end itself.

Being truly rich in life means having many, many other things more important than money, such as more fulfilling and rewarding relationships, good friends, a satisfying career, a happy life and enjoyment to the fullest. It’s about living a long and healthy life – both physically and spiritually – being honest with yourself and others, and having strong values and beliefs.

 

…the pursuit of money without regard to its consequences can be a very disappointing and unrewarding experience. Anyone who is rich financially but poor emotionally and spiritually is simply a bankrupt soul.[3]

 

 

Tahap Keempat: Harta = Kehidupan Untuk Semua Orang.

Seseorang akan mencapai tahap kematangan apabila dia menyedari bahawa harta bukanlah untuk memudahkan kehidupan dirinya sahaja tetapi turut merangkumi kehidupan orang ramai. Maka pada tahap ini dia mula menyedekahkan sebahagian besar hartanya demi memudahkan kehidupan masyarakat. Bahkan dia berusaha lebih keras untuk memperbanyakkan harta agar dia dapat memudahkan kehidupan orang lain yang lebih ramai jumlahnya. Dia juga amat berhati-hati ke mana hartanya dibelanjakan agar tidak menjadi sumber kerosakan bagi manusia dan alam.

 

Allah Subhanahu wa Ta'ala menerangkan ciri-ciri orang yang berada di tahap ini:

 

Dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu

(dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah)

dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi,

sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.

[al-Qasas 28:77]


 

[1] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 6435 (Kitab al-Riqaq, Bab berhati-hati daripada fitnah harta).

[2] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 6436 (Kitab al-Riqaq, Bab berhati-hati daripada fitnah harta).

[3] What Rich People Know & Desperately Want To Keep a Secret (Truewealth, Kuala Lumpur, 1999), ms. 3-4.