FIQH HARTA: SATU PENGENALAN

 

Bahagian A:

Fiqh Mencari Harta

 

Keempat: Antara Harta dan Keberkatan.

 

Pernahkah anda makan banyak tetapi tetap tidak kenyang? Pernahkah anda makan sedikit tetapi berat badan tetap naik? Pernahkan anda mengambil makanan yang baik tetapi tetap mendapat penyakit? Persoalan di atas lazim timbul dan tidak sedikit yang gagal menemui jawapannya. Ini kerana mereka lupa atau mengabaikan satu faktor yang lebih penting di sebalik makanan yang dimasukkan ke dalam perut, iaitu faktor keberkatan.

 

Faktor keberkatan tidak sahaja penting dalam persoalan makanan, ia juga penting dalam persoalan harta. “Keberkatan” berasal daripada perkataan arab “al-Barakah” yang bererti kebaikan, keutamaan dan nikmat yang berkekalan lagi bertambah, melimpah-ruah. Keberkatan adalah milik Allah Subhanahu wa Ta'ala dan Allah mengurniakannya kepada para hamba-Nya yang mencari harta melalui cara yang diredhai-Nya. Cara tersebut pernah diterangkan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam kepada seorang sahabat yang bernama Hakim bin Hizam radhiallahu 'anh:

 

 

يَا حَكِيمُ! إِنَّ هَذَا الْمَالَ خَضِرَةٌ حُلْوَةٌ

 

فَمَنْ أَخَذَهُ بِسَخَاوَةِ نَفْسٍ بُورِكَ لَهُ فِيهِ

 

وَمَنْ أَخَذَهُ بِإِشْرَافِ نَفْسٍ

 

لَمْ يُبَارَكْ لَهُ فِيهِ كَالَّذِي يَأْكُلُ وَلاَ يَشْبَعُ.

 

الْيَدُ الْعُلْيَا خَيْرٌ مِنْ الْيَدِ السُّفْلَى.

 

Wahai Hakim! Sesungguhnya harta ini hijau dan manis (amat indah dan menarik perhatian manusia).

Maka sesiapa yang mengambilnya dengan jiwa yang lapang, diberkati baginya harta itu.

Sesiapa yang mengambilnya dengan jiwa yang sesak,

tidak diberkati baginya harta itu sebagaimana orang yang makan namun tidak kenyang.

(Ketahuilah) tangan di atas (yang memberi) adalah lebih baik daripada tangan di bawah (yang meminta-minta).[1]

 

 

Orang yang lapang jiwanya akan berinteraksi dengan harta menurut tunjuk ajar Islam. Dengan itu hartanya sentiasa diiringi dengan kebaikan, keutamaan dan nikmat yang berkekalan lagi bertambah-tambah kerana ia diberkati oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala. Berbeza dengan orang yang sesak jiwanya, sedikit sebanyak dia akan berinteraksi dengan harta melalui cara yang menyelisihi tunjuk ajar Islam. Ini menyebabkan hartanya, sekalipun besar jumlahnya, tidak membawa kebaikan, keutamaan dan nikmat yang dicari-cari dalam kehidupan kerana ia tidak diberkati oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala

 

Oleh itu apabila mencari harta, yang penting bukanlah jumlahnya tetapi keberkatan di sebaliknya. Betapa banyak orang yang bekerja keras mencari harta atau memiliki harta yang banyak tetapi itu semua tidak membawa kebahagiaan yang diidamkan. Ini kerana mereka memandang kebahagiaan terletak pada jumlah harta dan bukan pada keberkatan harta.


 

[1] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 1472 (Kitab al-Zakat, Bab menahan diri dari meminta-minta).