|
FIQH HARTA: SATU PENGENALAN
Bahagian A: Fiqh Mencari Harta
|
|
Keenam: Antara Redha dan Dengki.
Dengki ialah sifat membenci kebaikan yang ada pada manusia lain. Dengki terdiri daripada tiga tahap, kesemuanya salah di sisi Islam:
Kedengkian amat bertentangan dengan ciri-ciri keimanan, kerana ciri seseorang yang benar lagi sempurna imannya ialah dia menyukai kebaikan yang ada pada manusia lain. Seolah-olah kebaikan itu ada pada dirinya juga. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ.
Tidaklah (sempurna) iman seseorang kalian sehinggalah dia mencintai untuk saudaranya apa yang dia cintai untuk dirinya.[1]
Dalam konteks perbincangan kita, kadangkala manusia dengki kepada manusia lain yang memiliki harta yang lebih. Ini sebenarnya ialah sifat yang tercela kerana banyak atau sedikit harta yang dimiliki oleh seseorang bergantung kepada kurniaan Allah. Apabila seseorang itu membenci seseorang lain kerana kelebihan harta yang dimilikinya, tanpa disedari dia sebenarnya membenci Allah kerana telah mengurniakan kelebihan tersebut. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
Kami membahagi-bahagikan antara mereka segala keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini, (setengahnya Kami jadikan kaya dan setengahnya miskin); dan juga Kami telah mengangkat darjat setengah mereka lebih tinggi dari darjat setengahnya yang lain; (semuanya itu) supaya sebahagian dari mereka senang mendapat kemudahan menjalankan kehidupannya dari (bantuan) setengahnya yang lain. Dan lagi rahmat Tuhanmu (yang meliputi kebahagiaan dunia dan akhirat) adalah lebih baik dari kebendaan dan keduniaan semata-mata yang mereka kumpulkan. [al-Zukhruf 43:32]
Kelebihan yang Allah Subhanahu wa Ta'ala berikan tidak semestinya merupakan satu keistimewaan. Kadangkala ia adalah satu ujian sukar bagi orang yang menerimanya:
Dan Dia-lah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa darjat, kerana Dia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakan-Nya kepada kamu. Sesungguhnya Tuhanmu amatlah cepat azab seksa-Nya, dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [al-An‘aam 6:165]
[1] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 13 (Kitab al-Iman, Bab termasuk sifat iman orang yang mencintai…).
|