Kata Pengantar Pengarang
Dengan Nama Allah Yang Maha
Pemurah Lagi Maha Mengasihani.
Selawat, kesejahteraan dan keberkatan ke atas Penghulu kami
Muhammad, keluarga baginda serta sekalian para sahabat baginda.
Sejarah paling hitam bagi umat Islam ialah peristiwa
pembunuhan Amir al-Mukminin, ‘Utsman bin ‘Affan
radhiallahu ‘anh.
Ia merupakan satu fitnah besar yang melanda umat Islam dan telah
meninggalkan kesan yang negatif sehingga ke hari ini. Fitnah ini
telah menyebabkan berlakunya perpecahan serta pemisahan di kalangan
umat, meretakkan perpaduan mereka, menimbulkan perbalahan serta
menyebabkan lahirnya golongan Syi‘ah dengan beraneka ragam
mazhabnya serta golongan-golongan sesat lainnya. Ini merupakan suatu
yang meruntuh serta melemahkan Ummah yang diikuti pula oleh tindakan
kekerasan yang dilakukan oleh golongan tersebut bagi mencapai
cita-cita mereka. Namun kita tidaklah dapat mengelakkannya kerana ia
telah ditentukan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala sejak dari
azali lagi. Kita tidak dapat melarikan diri daripada apa yang berada
di bawah ilmu serta ketentuan Ilahi serta apa yang telah diberitakan
oleh Nabi kita shallallahu ‘alaihi wasallam
dimana baginda bersabda:
تَفَرَّقَتْ الْيَهُودُ عَلَى إِحْدَى وَسَبْعِينَ أَوْ اثْنَتَيْنِ
وَسَبْعِينَ فِرْقَةً وَالنَّصَارَى مِثْلَ ذَلِكَ وَتَفْتَرِقُ
أُمَّتِي عَلَى ثَلاَثٍ وَسَبْعِينَ فِرْقَةً.
Berpecah umat Yahudi kepada 71 golongan atau 72
golongan dan terpecah golongan Nasrani (Kristian) sebagaimana di
atas dan akan berpecah umatku kepada 73 golongan.
Selain itu menerusi hadis Muawiyah radhiallahu 'anh:
كُلُّهَا فِي النَّارِ إِلاَّ وَاحِدَةً وَهِيَ الْجَمَاعَةُ.
Kesemuanya masuk neraka kecuali satu iaitu al-Jamaah.
Al-Jamaah adalah golongan kebenaran dimana termasuk ke dalam
mereka itu ialah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam,
para sahabat baginda
dan golongan al-Salaf al-Salih
radhiallahu 'anhum dimana tiadalah pada mereka itu kezaliman
mahupun kefasikan.
Benarlah sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.
Sesungguhnya telah berpecah umat baginda sejak dari kurun yang awal
lagi. Zahirnya sejak dari masa tersebut golongan Khawarij,
Nawasib, Syi‘ah, Muktazilah, Jahmiyyah,
Musyabbihah, Mujassimah dan banyak lagi golongan yang
memerlukan satu senarai yang panjang untuk menyatakannya. Bagi
setiap kumpulan tersebut wujud manhaj tersendiri yang berbeza dengan
lainnya, dimana setiap dari mereka menyesatkan golongan yang lain.
Dari kurun ke kurun sebahagian umat telah terpengaruh di bawah
pemikiran pelbagai aliran tersebut sehinggakan mereka tunduk serta
terbelenggu di bawahnya. Penglibatan mereka itu melibatkan negara
serta rakyatnya, dimana harta benda, daya usaha, keuntungan negara
serta sebagainya telah habis digunakan.
Suasana yang mengerikan ini berada di kemuncaknya pada awal
pertengahan kurun ke 14 hijrah sewaktu penjajahan ke atas negara
umat Islam berlaku dengan giatnya. Ketika itu kaum Muslimin
mengalami ujian yang hebat ke atas jiwa, harta, nyawa bahkan agama
mereka di dalam jangka waktu yang panjang.
Namun setelah berlakunya keadaan yang mencemaskan itu
muncul dari kalangan umat Islam golongan yang menyeru ke arah
pembaikan (muslihun) dengan penuh kebenaran serta keikhlasan.
Golongan tersebut telah menyeru umat ke arah kasih sayang,
memberikan pelbagai bantuan dan perlindungan yang diperlukan serta
menyatukan barisan umat. Di kalangan mereka yang menyeru ke arah
pembaikan adalah Hasan al-Banna, Muhammad Yusuf al-Kandahlawi, Abu
Ala al-Maududi, Syakib Arsalan, Abd Rahman al-Kaukabi serta ramai
lagi di serata pelusuk negara-negara Islam.
Termasuk yang menyeru ke arah ini ialah Syi‘ah al-Imamiyyah
al-Ja’fariyyah yang telah melakukan pergerakan di serata tempat
dan lapangan, dimana ramai di kalangan pengikut-pengikut serta alim
ulama’ mereka telah menyeru ke arah penyatuan umat. Mereka telah
membuang jauh perselisihan serta perdebatan yang berlegar di sekitar
permasalahan lama yang berlaku sejak zaman berzaman misalnya
persoalan makan minum. Golongan tersebut telah menyeru ke arah
penyatuan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah dan Syi‘ah serta
meninggalkan perbezaan pendapat yang merenggangkan perhubungan
sesama umat Islam. Para ulama’ Ahl al-Sunnah menyambut baik
usaha murni tersebut dengan tangan terbuka. Ini terbukti dimana
majlis ulama’ Universiti al-Azhar telah mewujudkan matapelajaran
al-Fiqh al-Ja’fariyyah serta menjadikan pembelajarannya
bersamaan dengan mempelajari fiqh empat madzhab. Dengan
adanya usaha tersebut ianya dapat merapat serta menyatukan lagi
hubungan kaum Muslimin.
Namun golongan Syi‘ah al-Rafidhah (الرافضة)
tidak bersama-sama dengan seruan penyatuan tersebut.
Mereka tidak berusaha ke arahnya bahkan usaha mereka lebih cepat ke
arah memecah-belahkan umat. Pada waktu mutakhir ini muncul
risalah-risalah serta kitab-kitab besar mereka yang dengan terang
mencaci serta mencela para sahabat. Contohnya ialah apa yang
dilakukan oleh Abdul Husain di dalam kitabnya yang berjudul al-Muraja‘at
dan Abu Hurairah.
Demikian juga Asad Haidar di dalam kitabnya Ja’far al-Sadiq,
Abu Riyah di dalam kitabnya Marhadah al-Adwa’ yang dipenuhi
kepalsuan, Murthada al-‘Askari di dalam kitabnya Ma’alim
al Madrasatain serta apa yang ditulis oleh anak murid mereka
iaitu Wafa al-Samawi al-Tunisi. Selain dari itu kami dapati ada yang
lebih dahsyat daripada itu di dalam kitab-kitab yang dihasilkan oleh
Syi‘ah mutakhir di kalangan al-Rafidhah. Mereka
menulis perkara yang sangat keji di dalam kitab-kitab mereka dengan
mengutuk, memaki serta mencela para sahabat dan membohongi apa yang
terdapat pada al-Sunnah yang sahih. Mereka itu laksana
pemukul batu yang tidak meredhai apa yang datangnya dari Tuhan yang
Maha Agung serta merasa suka akan terjadinya perpecahan serta
perbalahan.
Sesungguhnya perkara tersebut tidak membawa kepada
penyatuan, kasih sayang, permuafakatan mahupun keselamatan. Kami
berasa sedih kerana kaum Muslimin yang beriman kepada Allah serta
Rasul-Nya tidak berupaya untuk mengatasi golongan tersebut yang
membawa tikaman ke atas para sahabat.
Padahal para sahabatlah yang telah berjuang dengan ikhlas serta
penuh amanah bagi menegakkan Islam, membuka
negara serta peradaban. Di atas usaha merekalah tertegaknya Islam di
Madinah al-Munawwarah.
Kami berharap agar golongan tersebut berhenti daripada
menimbulkan pertelingkahan, menikam, menyesatkan, memburuk serta
mengkafirkan para sahabat radhiallahu ‘anhum yang sudah tentu
termasuk di dalamnya para Khulafa al-Rasyidin yang telah
berusaha memenangkan Islam, meninggikan agama serta menyebarluaskan
ajaran al-Qur’an serta al-Sunnah ke segala pelusuk dunia.
Sesungguhnya para sahabat yang menyebarluaskan ajaran
Islam serta yang menjadi Huffaz yang meriwayatkan dan
memelihara hadis adalah kerana keberkatan Rasulullah shallallahu
‘alaihi wasallam. Di antara mereka itu ialah Abu Hurairah Abdul
Rahman bin Sakhr radhiallahu ‘anh yang meriwayatkan kepada
kita daripada Rasul yang mulia 5347 buah hadis. ‘Abd Allah bin ‘Umar
(anak ‘Umar bin al-Khattab) radhiallahu ‘anhuma pula
merupakan lelaki soleh serta alim yang meriwayatkan kepada kita 2630
buah hadis. Kemudian diikuti pula oleh kekasih Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam serta isteri baginda di dunia serta
di akhirat Ummul Mukminin yang alim lagi mujtahid
dimana kelebihannya menerusi perintah dari tujuh petala langit,
pemimpin kami Aisyah binti al-Shiddiq radhiallahu anhuma.
Beliau telah meriwayatkan 2210 buah hadis.
Diikuti selepas itu dari kalangan sahabat selain mereka
yang penuh dengan ilmu, hikmah serta cahaya yang meriwayatkan kepada
kita hadis-hadis yang beribu-ribu bilangannya. Maka golongan al-Rafidhah
telah mendustakan apa yang diriwayatkan oleh para sahabat
tersebut. Bahkan apa yang dikatakan oleh golongan al-Rafidhah
itu tidaklah lain adalah apa yang diucapkan oleh golongan Orientalis,
Atheis serta para paderi Kristian. Golongan al-Rafidhah
mendustakan apa yang diriwayatkan oleh Aisyah isteri Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam serta para sahabat atau apa yang
termaktub di dalam kitab-kitab pengumpulan hadis muktabar seperti
Shahih al-Bukhari, Shahih Muslim serta kitab al-Sunan
empat yang lainnya, Shahih Ibn Khuzaimah, Shahih Ibn Hibban,
Mustadrak al-Hakim, Musnad Ahmad, Musnad Abi Ya’la, Musnad al-Bazzar,
Musnad al-Toyalisi, Musnad al-Humaidi, Musannaf Abd al-Razaq,
Musannaf Ibn Abi Syaibah, Sunan al-Darimi, Sunan al-Daruquthni,
Sunan al-Baihaqi, Muntaqa Ibn Abi al-Jarud serta selainnya
daripada sunnah Muhammadiyah. Bahkan mereka lebih suka kepada
apa yang ada di sisi mereka dari hadis-hadis yang riwayatnya penuh
dengan pembohongan serta kepalsuan. Mereka hanya menerima
periwayatan dari ‘Ali dan Ahl al-Baitnya atau daripada
sebahagian sahabat yang bagi pandangan mereka tidak murtad ataupun
munafik, dimana jumlah mereka lebih kurang 16 orang sahabat
radhiallahu ‘anhum.
Maka bagaimana mereka hendak bersama-sama menyatukan umat?
Bagaimana kaum Muslimin lainnya dapat menanggung luka di dalam hati
di atas apa yang dilakukan oleh golongan al-Rafidhah itu?
Adakah mereka (kaum Muslimun seluruhnya) hanya akan membisu serta
berpeluk tubuh sahaja di atas penghinaan terhadap para sahabat?
Oleh itu dengan mengharapkan pertolongan Allah
Subhanahu wa Ta‘ala, saya telah mengarang kitab ini yang isinya
berkenaan kelebihan para sahabat yang mana saya dasarkan kepada al-Qur’an
serta al-Sunnah al-Nabawiyah yang sahih. Diikuti dengan
keutamaan para Khulafa al-Rasyidin yang empat serta para
sahabat yang dijamin masuk syurga. Saya tamatkan tulisan saya dengan
menyatakan pandangan alim ulama’ terhadap persoalan yang berlegar di
sekitar para sahabat radhiallahu ‘anhum.
‘Abd Allah ‘Abd al-Qadir al-Taliri
وَتَفْتَرِقُ أُمَّتِي عَلَى ثَلاَثٍ وَسَبْعِينَ مِلَّةً
كُلُّهُمْ فِي النَّارِ إِلاَّ مِلَّةً وَاحِدَةً. قَالُوا وَمَنْ
هِيَ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قَالَ: مَا أَنَا عَلَيْهِ
وَأَصْحَابِي.
Dan akan terpecah umatku menjadi 73 aliran, semua mereka
masuk Neraka kecuali satu aliran. Para sahabat bertanya:
Siapakah aliran itu wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Mereka
yang mengikuti jalan hidupku dan jalan para sahabatku.
Hadis ini dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan dinilai hasan oleh al-Albani
dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no: 2641 (Kitab
al-Iman).
>>
Kata
Pengatar Pengarang