5 Para Sahabat Menurut al-Qur’an al-Karim
Sesungguhnya termaktub di dalam ayat-ayat suci al-Qur’an yang penuh
keberkatan, pujian terhadap para sahabat radhiallahu ‘anhum
serta kenyataan akan kelebihan serta keutamaan mereka. Ini
disebabkan betapa banyaknya usaha yang mereka lakukan bagi membantu
serta mempertahankan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam
di dalam melaksanakan tugas kerasulan baginda. Nyata kepada para
sahabat itu iman yang benar, ketakwaan kepada Allah, ketakutan
terhadap-Nya, pemerhatian serta penyerahan diri yang penuh
kepada-Nya. Terserlah juga ke atas mereka sifat kesabaran terhadap
kesusahan yang menimpa ditambah dengan kewarakan serta kezuhudan di
dalam kehidupan dunia. Betapa sempurnanya kasih mereka kepada Allah
serta Rasul-Nya serta kesungguhan mereka melaksanakan kebaikan dan
mencegah kemungkaran.
Mereka juga menyampaikan ajaran al-Qur’an serta Sunnah Rasululullah
shallallahu ‘alaihi wasallam dengan penuh kejujuran serta
keikhlasan selepas wafatnya baginda. Mereka juga berjihad bagi
menegak serta mempertahankan agama, membuka negara,
peradaban serta melakukan pembaikan (islah) ke atasnya.
Sesungguhnya para sahabat radhiallahu ‘anhum merupakan
pilihan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam ke atas umat
ini. Dengan demikian tiada sesiapa yang dapat mengatasi ataupun
menyamai kelebihan mereka sama ada di kalangan mereka yang terdahulu
mahupun di kalangan umat akhir zaman kecuali para Rasul serta Nabi
‘alaihimus solatu wassalam.
Berikut dikemukakan ayat-ayat al-Qur’an yang menyatakan
pengiktirafan Allah Subhanahu wa Ta'ala ke atas para sahabat
radhiallahu 'anhum yang berupa pujian, kemuliaan, pembelaan,
keampunan dan ganjaran syurga. Sebahagian daripada ayat-ayat
ini ada yang umum meliputi seluruh sahabat dan ada yang khusus
meliputi sebahagian sahabat.
Pertama:
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
وَكَذَلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى
النَّاسِ وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًا
Dan demikianlah, Kami jadikan kamu satu umat yang pilihan lagi adil
supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada
manusia (tentang yang benar dan yang salah), dan Rasulullah
(Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan (kebenaran dan
kesalahan) perbuatan kamu.
[al-Baqarah 2:143]
Ayat ini ditujukan kepada para sahabat radhiallahu ‘anhum
sebelum ditujukan ke atas kaum Muslimin lainnya. Mereka adalah
pemimpin di kalangan umat Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam
yang menjadi saksi ke atas umat terdahulu di Hari Akhirat nanti.
al-Tirmizi meriwayatkan di dalam (kitab Sunannya, bab) al-Tafsir,
sebuah hadis daripada Abu Sa‘id al-Khudri radhiallahu ‘anh
bahawa Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam menafsirkan ayat (وكذلك
جعلناكم أمة وسطا)
sebagai bermaksud “adil”. Hadis ini adalah hasan sahih.
Selain menjadi saksi ke atas umat terdahulu, (وكذلك
جعلناكم أمة وسطا)
pada ayat tersebut juga membawa pengertian bahawa para sahabat itu
merupakan pemimpin yang adil yang menjadi saksi ke atas umat Nabi
shallallahu ‘alaihi wasallam. Ini berdasarkan kepada sabda
baginda di dalam sebuah hadis yang sahih:
مَنْ أَثْنَيْتُمْ عَلَيْهِ خَيْرًا وَجَبَتْ لَهُ الْجَنَّةُ وَمَنْ
أَثْنَيْتُمْ عَلَيْهِ شَرًّا وَجَبَتْ لَهُ النَّارُ أَنْتُمْ
شُهَدَاءُ اللَّهِ فِي الأَرْضِ أَنْتُمْ شُهَدَاءُ اللَّهِ فِي
الأَرْضِ أَنْتُمْ شُهَدَاءُ اللَّهِ فِي الأَرْضِ.
Sesiapa yang kalian katakan terhadapnya kebaikan maka wajib baginya
syurga dan sesiapa yang kalian katakan terhadapnya keburukan maka
wajib baginya neraka. Kalian semua adalah saksi Allah di bumi ini,
kalian semua adalah saksi Allah di bumi ini, kalian semua adalah
saksi Allah di bumi ini.
Kedua:
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَالَّذِينَ هَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي
سَبِيلِ اللَّهِ أُولَئِكَ يَرْجُونَ رَحْمَةَ اللَّهِ وَاللَّهُ
غَفُورٌ رَحِيمٌ
Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan orang-orang yang berhijrah
serta berjihad pada jalan Allah, mereka itulah orang-orang yang
mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun lagi
Maha Mengasihani.
[al-Baqarah 2:218]
Menurut Qatadah, Allah Subhanahu wa Ta‘ala menyatakan
pujiannya terhadap para sahabat Muhammad shallallahu ‘alaihi
wasallam dengan pujian yang sebaik-baiknya di dalam ayat
tersebut. Mereka merupakan pilihan ke atas umat Nabi Muhammad
shallallahu ‘alaihi wasallam.
Turunnya ayat tersebut disebabkan suatu kisah dimana tentera Islam
di bawah pimpinan Abdullah bin Jahsy radhiallahu ‘anh telah
melakukan pembunuhan ke atas musuh-musuh Islam di bulan Rejab
sedangkan pada sangkaan mereka ianya pada akhir bulan Jamadil Akhir.
Dengan itu mereka merasa berdosa dan menganggap tiada ganjaran
pahala di atas tindakan yang mereka lakukan sedangkan hakikatnya
tidak demikian.
Menurut ulama’ tafsir, orang-orang beriman yang berhijrah bersama
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam atau yang berhijrah
kepada baginda, mereka sebenarnya memberikan pertolongan yang benar.
Mereka telah berjihad membunuh serta memerangi golongan musyrikin
dengan mengharap rahmat Allah serta kebaikan daripada-Nya dengan
pengharapan yang sebenar-benarnya. Oleh itu mereka lebih layak
menerima ganjaran berdasarkan apa yang mereka harapkan itu.
Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani, Maha luas
Pengampunan-Nya serta Rahmat-Nya ke atas orang-orang beriman yang
bertaubat serta berbuat kebaikan. Dengan itu sudah tentulah golongan
Mujahidin di kalangan Muhajirin
layak mendapat pengampunan dari Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Ketiga:
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ
بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ
وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَهُمْ مِنْهُمُ
الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ
Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi umat manusia, kamu
menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada
segala perkara yang salah serta kamu pula beriman kepada Allah.
[Ali-Imran 3:110]
Ayat ini asalnya ditujukan kepada para sahabat radhiallahu ‘anhum.
Menurut Ibn Abbas radhiallahu ‘anh yang dimaksudkan dengan
sebaik-baik umat dalam ayat ini adalah para sahabat yang berhijrah
bersama Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.
Menurut Umar al-Khaththab radhiallahu ‘anh:
لو شاء الله لقال: أنتم. فكنا كلنا، ولكن قال ((كنتم)) في خاصة أصحاب
محمد، ومن صنع مثل صنيعهم كانوا ((خير أمة أخرجت للناس)).
Jika Allah kehendaki, nescaya Dia mengatakan: Antum, yang termasuk
ke dalamnya semua kita. Akan tetapi Allah mengatakan kuntum,
mengkhususkannya untuk para sahabat Muhammad shallallahu ‘alaihi
wasallam semata-mata, dan sesiapa yang membuat seperti apa yang
dibuat oleh mereka (para sahabat) sahaja maka mereka itu (termasuk
dalam kategori) sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi manusia.
Ayat yang mulia tersebut turun setelah turunnya perintah Allah
supaya umat Islam berpegang dengan tali Allah. Sebelum itu Allah
menyebut nikmatnya ke atas orang yang beriman dengan melembutkan
hati mereka menerusi persaudaraan Islam, mencegah mereka dari
perpecahan serta perselisihan agama serta memberi ancaman dengan
azab yang menyeksakan sekiranya mereka tidak berpegang dengan tali
Allah. Maka Allah memuji mereka dengan kedudukan yang mulia.
Kamu sebaik-baik umat yang mempunyai kelebihan ke
atas umat lainnya disebabkan melakukan kebaikan, mencegah
kemungkaran serta beriman kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Golongan yang dimaksudkan ayat di atas adalah Nabi shallallahu
‘alaihi wasallam diikuti dengan para sahabat baginda
radhiallahu ‘anhum. Mereka merupakan golongan yang telah
dikurniakan kasih sayang ke dalam hati mereka serta golongan yang
berpegang dengan tali Allah dengan sebenarnya sehingga tidak wujud
pemisahan di dalam agama serta tidak timbul mazhab-mazhab di
kalangan mereka. Mereka beriman kepada Allah sehinggakan Allah
meningkatkan kefahaman mereka, menyucikan hati mereka sehingga
sanggup mereka meninggalkan tanah air serta kampung halaman demi
menegakkan agama Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Maka terserlah
faedah dari peninggalan usaha mereka itu dimana mereka telah berjaya
membuka negara, mengubah peradaban dunia serta menyebarkan agama
yang hak dengan penuh keadilan. Maka nyatalah terhadap para sahabat
kelebihan yang sangat banyak yang dikurniakan Allah kepada mereka.
Oleh kerana itu apa yang terjadi di kalangan mereka misalnya
perbezaan pendapat tentang isu pembunuhan ‘Utsman radhiallahu
‘anh tidak memberi kesan kepada apa yang disifatkan oleh Allah
di dalam ayat tersebut. Ini kerana perbezaan pendapat di kalangan
mereka hanyalah melibatkan urusan keduniaan bukannya urusan
keagamaan serta tidak menyebabkan timbulnya mazhab baru selepas
mereka sebagaimana yang terjadi (beberapa ketika) selepas itu.
Menurut sebahagian besar ulama’ tafsir setelah ayat tersebut
ditujukan kepada para sahabat ianya ditujukan pula kepada sekalian
orang yang beriman. Al-Alusi rahimahullah di dalam kitabnya
Ruh al-Ma‘ani berkata:
والظاهر أن الخطاب وإن كان خاصا بمن شاهد الوحي من المؤمنين أو ببعضهم
لكن حكمه يصلح أن يكون عاما للكل كما يشير إليه قول عمر رضي الله تعالى
عنه فيما حكى قتادة: ياأيها الناس من سره أن يكون من تلكم الأمة فليؤد
شرط الله تعالى منها.
Secara zahirnya ayat ini khas ditujukan ke atas mereka yang
menyaksikan penurunan wahyu di kalangan orang beriman (para sahabat)
atau sebahagian mereka, akan tetapi ianya boleh dijadikan hukum umum
bagi sekalian manusia sebagaimana kata-kata Umar radhiallahu ‘anh
yang diriwayatkan oleh Qatadah: “Wahai manusia sesiapa yang
berasa suka untuk menjadi sebahagian dari golongan tersebut maka
hendaklah dia menunaikan syarat Allah Subhanahu wa Ta‘ala
terhadapnya.”
‘Ali bin Abi Thalib radhiallahu 'anh
meriwayatkan bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam
bersabda:
أُعْطِيتُ مَا لَمْ يُعْطَ أَحَدٌ مِنْ الأَنْبِيَاءِ. فَقُلْنَا: يَا
رَسُولَ اللَّهِ مَا هُوَ؟ قَالَ: نُصِرْتُ بِالرُّعْبِ وَأُعْطِيتُ
مَفَاتِيحَ الأَرْضِ وَسُمِّيتُ أَحْمَدَ وَجُعِلَ التُّرَابُ لِي
طَهُورًا وَجُعِلَتْ أُمَّتِي خَيْرَ الأُمَمِ.
Aku telah diberikan oleh Allah apa yang tidak diberikan-Nya kepada
seorang jua daripada Nabi-Nabi. Maka kami bertanya: “Apakah itu
wahai Rasulullah?” Beliau bersabda: “Aku dimenangkan (dalam
peperangan) hanya kerana rasa ketakutan yang dijatuhkan Allah ke
dalam hati musuh, aku diberi kunci-kunci dunia, aku diberi nama
Ahmad dan tanah dijadikan penyuci bagiku, serta umatku dijadikannya
umat terbaik.”
Muawiyah bin Haidah radhiallahu ‘anh berkata, bahawa
dia mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam
menafsirkan ayat “Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan
bagi umat manusia” sebagai:
وَإِنَّكُمْ تُتِمُّونَ سَبْعِينَ أُمَّةً أَنْتُمْ خَيْرُهَا
وَأَكْرَمُهَا عَلَى اللَّهِ.
Kamu melengkapi bilangan 70 umat dan kamulah yang terbaik dan
termulia di hadapan Allah.
Keempat:
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
لا يَسْتَوِي الْقَاعِدُونَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ غَيْرُ أُولِي
الضَّرَرِ وَالْمُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِهِمْ
وَأَنْفُسِهِمْ فَضَّلَ اللَّهُ الْمُجَاهِدِينَ بِأَمْوَالِهِمْ
وَأَنْفُسِهِمْ عَلَى الْقَاعِدِينَ دَرَجَةً وَكُلا وَعَدَ اللَّهُ
الْحُسْنَى وَفَضَّلَ اللَّهُ الْمُجَاهِدِينَ عَلَى الْقَاعِدِينَ
أَجْرًا عَظِيمًا
Tidaklah sama keadaan orang-orang yang duduk (tidak turut berperang)
dari kalangan orang-orang yang beriman – selain daripada orang-orang
yang ada keuzuran – dengan orang-orang yang berjihad (berjuang) pada
jalan Allah dengan harta dan jiwanya. Allah melebihkan orang-orang
yang berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka atas orang-orang
yang tinggal duduk (tidak berperang kerana uzur) dengan kelebihan
satu darjat. Dan tiap-tiap satu (dari dua golongan itu) Allah
menjanjikan dengan balasan yang baik (Syurga).
[al-Nisa’ 4:95]
Ayat ini menerangkan perbezaan di antara para sahabat yang pergi
berjihad dengan para sahabat yang tidak pergi berjihad kerana
keuzuran yang dibenarkan oleh syara’.
Golongan yang tidak pergi berjihad kerana keuzuran tetap diberikan
ganjaran pahala serta dijanjikan syurga oleh Allah Subhanahu wa
Ta'ala disebabkan mereka tetap bersatu di dalam iman serta
aqidah yang baik, niat yang benar serta amal salih yang banyak.
Mereka merupakan sahabat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam
serta penolong baginda. Ayat tersebut juga merupakan nas yang
menunjukkan bahawa kesemua para sahabat adalah ahli syurga.
Semoga Allah menjadikan kita mengasihi mereka serta mengikuti akan
segala jejak langkah mereka.
Kelima:
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
وَالَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ
وَالَّذِينَ آوَوْا وَنَصَرُوا أُولَئِكَ هُمُ الْمُؤْمِنُونَ حَقًّا
لَهُمْ مَغْفِرَةٌ وَرِزْقٌ كَرِيمٌ
-وَالَّذِينَ
آمَنُوا مِنْ بَعْدُ وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا مَعَكُمْ فَأُولَئِكَ
مِنْكُمْ
Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan
Allah dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan
pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), merekalah
orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka beroleh
keampunan dan limpah kurnia yang mulia. Dan orang-orang yang beriman
sesudah itu, kemudian mereka berhijrah dan berjihad bersama-sama
kamu, maka adalah mereka dari golongan kamu.
[al-Anfal 8:74-75]
Menerusi ayat yang mulia ini Allah Subhanahu wa Ta‘ala
memberikan pujian terhadap orang yang beriman di kalangan golongan
Muhajirin yang awal serta saudara mereka iaitu golongan Ansar yang
telah memberikan tempat kediaman serta pertolongan kepada golongan
Muhajirin tersebut. Golongan Muhajirin mempunyai keimanan yang
sempurna kerana mereka sanggup berhijrah meninggalkan kampung
halaman, memisahkan diri mereka daripada kaum keluarga serta tempat
tinggal. Sudah pasti mereka berbeza dengan golongan beriman yang
tidak berhijrah serta tetap tinggal di negeri yang berada di bawah
naungan kekufuran. Begitu juga dengan golongan Ansar yang sanggup
berkorban memberikan pertolongan untuk saudara mereka golongan
Muhajirin, mereka juga mempunyai keimanan yang sempurna.
Dua ayat di atas didahului dengan ayat yang menyebutkan:
إِنَّ
الَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا بِأَمْوَالِهِمْ
وَأَنْفُسِهِمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَالَّذِينَ آوَوْا وَنَصَرُوا
أُولَئِكَ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ
Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah dan berjihad
dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah, dan orang-orang
(Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada
orang-orang Islam yang berhijrah itu), mereka semuanya menjadi
penyokong dan pembela antara satu dengan lainnya.
[al-Anfal 8:72]
Golongan Muhajirin serta Ansar menjadi penyokong dan pembela di
antara satu sama lain sehingga dengan itu mereka mempunyai kelebihan,
darjat, pujian serta keutamaan yang sangat besar sebagaimana berikut:
-
Mereka merupakan golongan
beriman dengan sebenarnya.
Golongan yang sanggup memisahkan diri dari keluarga, kampung
halaman serta tanah air demi perjuangan pada jalan Allah serta
golongan yang sanggup pula berkorban bagi membantu mereka, itulah
golongan beriman sebenarnya.
-
Mereka memperoleh
pengampunan.
Pengampunan yang dimaksudkan adalah pengampunan yang sempurna ke
atas segala dosa disebabkan kebaikan yang mereka lakukan itu.
-
Mereka memperoleh
rezeki yang mulia.
Ini merupakan kemuliaan yang dikurniakan ke atas para sahabat
radhiallahu ‘anhum dimana mereka sekaliannya dimasukkan ke
dalam syurga serta dikurniakan rezeki yang tidak ada tolok
bandingannya.
Sesungguhnya di kalangan golongan Muhajirin terdapat beberapa tahap
kedudukan. Golongan pertama adalah golongan yang berhijrah ke
Habsyah diikuti dengan golongan yang berhijrah ke Madinah. Mereka
dikenali sebagai “Ashabul Hijratain” (para sahabat yang
berhijrah dua kali). Kemudian diikuti dengan golongan yang berhijrah
setelah perjanjian Hudaibiyyah serta sebelum pembukaan kota Mekah
al-Mukarramah. Kesemua golongan tersebut termasuk di dalam
pengertian ayat al-Qur’an di atas.
Maka tidak syak lagi termasuk di kalangan mereka itu keempat-empat
Khalifah al-Rasyidin radhiallahu ‘anhum yang
mempunyai pelbagai kelebihan serta kemuliaan sebagaimana yang telah
disepakati oleh para ilmuan. Sesiapa yang beriman, berhijrah dan
berjihad sesudah kaum Muhajirin dan Ansar, maka mereka termasuk
dalam golongan di atas.
Keenam:
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
الَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ
بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ أَعْظَمُ دَرَجَةً عِنْدَ اللَّهِ
وَأُولَئِكَ هُمُ الْفَائِزُونَ
-يُبَشِّرُهُمْ
رَبُّهُمْ بِرَحْمَةٍ مِنْهُ وَرِضْوَانٍ وَجَنَّاتٍ لَهُمْ فِيهَا
نَعِيمٌ مُقِيمٌ
-خَالِدِينَ
فِيهَا أَبَدًا إِنَّ اللَّهَ عِنْدَهُ أَجْرٌ عَظِيمٌ
(Sesungguhnya) orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad
pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih
besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang yang
hanya memberi minum orang-orang Haji dan orang yang memakmurkan
masjid sahaja); dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.
Mereka digembirakan oleh Tuhan mereka dengan pemberian rahmat
daripada-Nya dan keredhaan serta Syurga; mereka beroleh di dalam
Syurga itu nikmat kesenangan yang kekal. Mereka kekal di dalamnya
selama-lamanya. Sesungguhnya Allah, menyediakan di sisi-Nya pahala
yang besar.
[al-Taubah 9:20-22]
Turunnya ayat ini adalah sebagai penolakan Allah terhadap golongan
Musyrikin yang menjaga tanah Haram. Mereka merasa bangga kerana
mereka adalah golongan yang menguruskan Masjid al-Haram serta
membekalkan air minuman kepada golongan yang menunaikan Haji padahal
mereka (golongan Musyrikin) tersebut tidak beriman kepada Allah
Subhanahu wa Ta'ala.
Allah menolak kebanggaan yang dirasai mereka dengan firman-Nya:
أَجَعَلْتُمْ سِقَايَةَ الْحَاجِّ وَعِمَارَةَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ
كَمَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَجَاهَدَ فِي سَبِيلِ
اللَّهِ لا يَسْتَوُونَ عِنْدَ اللَّهِ وَاللَّهُ لا يَهْدِي الْقَوْمَ
الظَّالِمِينَ
Adakah kamu
sifatkan hanya perbuatan memberi minum kepada orang-orang yang
mengerjakan Haji, dan (hanya perbuatan) memakmurkan al-Masjid al-Haram
itu sama seperti orang yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat
serta berjihad pada jalan Allah? (Mereka yang bersifat demikian)
tidak sama di sisi Allah, dan Allah tidak memberikan hidayah
petunjuk kepada kaum yang zalim.
[al-Taubah 9:19]
Ayat tersebut (al-Taubah 9:20-22) menunjukkan bahawa para sahabat
radhiallahu ‘anhum dari kalangan Muhajirin yang beriman dan
berjihad dengan harta serta jiwa merupakan golongan yang mempunyai
darjat yang tinggi lagi sempurna di sisi Allah. Ia mengatasi
golongan yang tidak bersifat dengan sifat-sifat demikian. Mereka
itulah golongan yang berjaya serta bergembira dengan kurniaan Allah
yang berupa keutamaan yang mengelilingi mereka seperti himpunan
pahala, rahmat serta imbalan lainnya termasuk balasan syurga di Hari
Akhirat nanti. Kesemua ini merupakan ganjaran terhadap golongan
Muhajirin yang berjihad pada jalan Allah di kalangan para sahabat
radhiallahu ‘anhum. Namun agak malang bagi kita kerana mereka
merupakan golongan yang menerima penghinaan serta kebencian golongan
Syi‘ah al-Rafidhah.
Abu Hayyan rahimahullah (754H) berkata:
Allah mensifatkan golongan yang beriman dengan tiga sifat iaitu iman,
hijrah serta jihad dengan diri dan harta benda. Ganjaran yang akan
diterima oleh mereka juga tiga iaitu rahmat, keredhaan serta syurga.
Allah memulakannya dengan balasan rahmat sebagai tanda penerimaan
iman disebabkan taufik yang diberikan oleh-Nya (kepada mereka).
Sesungguhnya iman sememangnya merupakan perkara yang perlu
didahulukan. Kemudian Allah memberikan balasan keredhaan-Nya dimana
ia adalah sebaik-baik balasan sebagai tanda penerimaan amal jihad
yang telah dilakukan dengan penuh kesungguhan (dengan kesanggupan
mengorbankan) diri serta harta. Yang ketiga, Allah memberi ganjaran
syurga sebagai penerimaan terhadap penghijrahan mereka meninggalkan
kampung halaman.
Ketujuh:
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
لَكِنِ
الرَّسُولُ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ جَاهَدُوا بِأَمْوَالِهِمْ
وَأَنْفُسِهِمْ وَأُولَئِكَ لَهُمُ الْخَيْرَاتُ وَأُولَئِكَ هُمُ
الْمُفْلِحُونَ
-أَعَدَّ
اللَّهُ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الأنْهَارُ خَالِدِينَ
فِيهَا ذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ
Akan tetapi Rasulullah dan orang-orang yang beriman bersamanya,
berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka; dan mereka itulah
orang-orang yang mendapat kebaikan, dan mereka itulah juga yang
berjaya. Allah telah menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang
mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; yang
demikian itulah kemenangan yang besar.
[al-Taubah 9:88-89]
Ayat ini diturunkan setelah ayat sebelumnya yang menerangkan tentang
golongan munafik serta segolongan dari umat Islam yang tidak
menyertai jihad bersama dengan Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam tetapi telah meminta izin daripada baginda untuk
tinggal di belakang bersama-sama dengan golongan yang lemah, wanita,
kanak-kanak serta golongan yang tiada kebaikan bagi mereka (Ahl
al-Fasad).
Adapun selain dari mereka iaitu golongan yang berjihad pada jalan
Allah maka mereka tetap berjihad dengan harta serta diri mereka,
maka bagi mereka kebaikan iman serta Islam sebagaimana firman Allah:
“…mereka itulah orang-orang yang mendapat kebaikan…”
dimana Allah akan memberikan ganjaran pahala ke atas jihad yang
mereka lakukan dan “…mereka itulah orang-orang yang berjaya.”,
iaitu berjaya mendapat kegembiraan di dunia serta di akhirat nanti.
Allah Subhanahu wa Ta'ala menyediakan bagi mereka itu
syurga-syurga dengan pelbagai tingkatannya disebabkan oleh usaha
jihad yang mereka lakukan. Firman Allah:
فَمَنْ زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ
Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke
syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya.
[Ali-Imran 3:185]
Ayat ini (al-Taubah 9:88-89) secara umumnya ditujukan kepada para
sahabat radhiallahu ‘anhum yang keluar bersama Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam menuju peperangan Tabuk yang mana
jumlah mereka adalah 1300 orang atau lebih. Termasuk di dalam
pasukan tersebut adalah tiga orang Khalifah al-Rasyidin iaitu
Abu Bakar, Umar serta ‘Utsman radhiallahu ‘anhum, manakala
Khalifah yang keempat iaitu ‘Ali radhiallahu ‘anh diarahkan
oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa alihi wa sallam untuk
tinggal di belakang (di Kota Madinah) bagi menjaga keluarga baginda.
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam berkata kepada Ali:
أَمَا تَرْضَى أَنْ تَكُونَ مِنِّي بِمَنْزِلَةِ هَارُونَ مِنْ مُوسَى
“Apakah engkau tidak redha, bahawasanya kedudukanmu di sisiku
laksana kedudukan Harun di sisi Musa?”
Ini menunjukkan keutamaan serta kemuliaan Ali radhiallahu ‘anh
walaupun beliau tidak ikut serta di dalam peperangan tersebut.
Ayat ini (al-Taubah 9:88-89) juga menunjukkan bahawa segala
kemuliaan, kebaikan, kejayaan serta ganjaran syurga secara umumnya
dikurniakan kepada para sahabat radhiallahu 'anhum.
Pengecualiannya adalah ke atas golongan munafik yang diketuai oleh
Abdullah bin Ubai bin Salul.
Kelapan:
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
وَالسَّابِقُونَ الأوَّلُونَ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ وَالأنْصَارِ
وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُمْ بِإِحْسَانٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ
وَرَضُوا عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي تَحْتَهَا
الأنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ
Dan orang-orang yang terdahulu - yang mula-mula (berhijrah dan
memberi bantuan) dari orang-orang Muhajirin dan Ansar, dan
orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan,
Allah redha akan mereka dan mereka pula redha akan Dia, serta Dia
menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya
beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah
kemenangan yang besar.
[al-Taubah 9:100]
Ayat yang mulia ini ditujukan kepada golongan awal di kalangan
Muhajirin serta Ansar dan golongan yang mengikuti jejak langkah
mereka dengan kebaikan dimana Allah redha terhadap mereka dan mereka
juga redha terhadap-Nya. Allah telah menyediakan untuk mereka tempat
tinggal serta kegembiraan yang kekal abadi iaitu Syurga.
Para ulama’ berselisih pendapat siapakah yang dikatakan golongan
awal itu. Ada yang mengatakan mereka adalah golongan yang menunaikan
solat dua kiblat bersama Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.
Ada yang mengatakan golongan yang menyertai Perang Badar dan ada
juga yang mengatakan golongan yang terlibat dengan Bai‘ah
al-Ridhwan. Sebagai menyelaraskan antara beberapa pandangan
tersebut Muhammad bin Ka‘ab al-Qarazi rahimahullah berkata:
Mereka itu adalah himpunan para sahabat yang awal bersama-sama
dengan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.
Menurut Abu Mansur al-Baghdadi rahimahullah:
Para sahabat kami, yakni Ahl al- Sunnah wa al-Jamaah
bersepakat bahawa orang yang paling baik adalah para khalifah yang
empat (Abu Bakar, ‘Umar, ‘Utsman dan ‘Ali) dan sepuluh orang sahabat
yang mendapat jaminan Rasulullah untuk masuk syurga. Kemudian
golongan yang ikut serta di dalam peperangan Badar, yang terlibat di
dalam peperangan Uhud, kemudian mereka yang membai‘ah
Rasulullah pada Bai‘ah al-Ridhwan di bawah pohon pada saat
Perjanjian Hudaibiyyah.
Firman Allah: “… Dan orang-orang yang menurut (jejak langkah)
mereka dengan kebaikan …” merujuk kepada golongan yang
menurut jejak langkah para sahabat yang awal iaitu golongan para
sahabat yang terkemudian daripada mereka serta golongan selepas para
sahabat yang mengikut mereka baik dari sudut perbuatan, perkataan
dan selainnya.
Firman Allah: “…Allah redha akan mereka…” bermaksud
Allah redha akan ketaatan mereka terhadap-Nya serta Allah tidak
menunjukkan kemarahan ke atas mereka. Allah mengurniakan ke atas
mereka pelbagai kelebihan serta kegembiraan, di antaranya adalah
syurga yang kekal abadi. Oleh itu menjadi kewajipan bagi kita
golongan Muslimin untuk mengikuti jejak langkah para sahabat
radhiallahu ‘anhum serta menahan diri kita daripada mencela,
mengutuk atau mengatakan sesuatu yang tidak baik terhadap mereka.
Ini kerana keseluruhan para sahabat Rasulullah shallallahu
‘alaihi wasallam adalah penghuni syurga berdasarkan firman
Allah: “…serta Dia menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang
mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya
selama-lamanya.” Maka janganlah kita mencela dan menikam
mereka dengan tutur-kata dan perbuatan kita.
Hamid bin Ziad Abi Shakhr (حميد
بن زياد أبي صخر)
rahimahullah berkata, saya telah bertanya kepada Muhammad bin
Ka’ab al-Qarazi:
“Khabarkanlah kepadaku tentang para sahabat Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam” , maka dia berkata:
“Sesungguhnya Allah telah mengampuni keseluruhan sahabat Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam dan menetapkan ke atas mereka
syurga serta memberi kebaikan ke atas mereka di dalam Kitab-Nya (al-Qur’an).”
Saya bertanya lagi: “Dimana ayat yang menetapkan syurga ke atas
mereka di dalam al-Qur’an?” Dia menjawab: Firman Allah: “Dan
orang-orang yang terdahulu……” (al-Taubah 9:100). Ayat
tersebut menetapkan syurga dan keredhaan Allah bagi keseluruhan para
sahabat Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam. Manakala syarat
bagi golongan yang mengikuti mereka ialah dengan mengikuti jalan
serta kehidupan para sahabat tersebut dengan melakukan amal soleh
dan bukan selainnya.”
(Akhirnya) berkata Abi Shakhr: “Demi Allah! Saya tidak berkata atau
menafsir ayat tersebut melainkan dengan apa yang telah dikatakan
atau ditafsirkan oleh Muhammad bin Ka‘ab al-Qarazi yang ianya
merupakan kata-kata kebanyakan para ulama’ tafsir.”
Kesembilan:
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
لَقَدْ تَابَ اللَّهُ عَلَى النَّبِيِّ وَالْمُهَاجِرِينَ وَالأنْصَارِ
الَّذِينَ اتَّبَعُوهُ فِي سَاعَةِ الْعُسْرَةِ مِنْ بَعْدِ مَا كَادَ
يَزِيغُ قُلُوبُ فَرِيقٍ مِنْهُمْ ثُمَّ تَابَ عَلَيْهِمْ إِنَّهُ
بِهِمْ رَءُوفٌ رَحِيمٌ
-وَعَلَى
الثَّلاثَةِ الَّذِينَ خُلِّفُوا
...
Sesungguhnya Allah menerima taubat Nabi dan orang-orang Muhajirin
dan Ansar yang mengikutnya (berjuang) dalam masa kesukaran, sesudah
hampir-hampir terpesong hati segolongan dari mereka (daripada
menurut Nabi untuk berjuang); kemudian Allah menerima taubat mereka;
sesungguhnya Allah Amat belas, lagi Maha Mengasihani terhadap mereka.
Dan (Allah menerima pula taubat) tiga orang…
[al-Taubah 9:117-118]
Ayat ini menerangkan tentang kelebihan golongan Muhajirin serta
Ansar yang telah keluar berserta Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam di dalam peperangan Tabuk. Namun terdapat sebahagian
daripada mereka yang beriman dengan sebenar-benarnya tetapi
keberatan untuk berjuang kerana suasana yang amat menyukarkan di
Tabuk. Kemudian mereka menyesal dan bertaubat di atas sikap mereka
itu. Allah Subhanahu wa Ta‘ala meninggikan darjat mereka
dengan menerima taubat serta memaafkan kesalahan mereka menerusi
ayat-ayat al-Qur’an di atas.
Mereka yang terlibat itu termasuklah tiga orang sahabat Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam yang tinggal di belakang
daripada ekspedisi Tabuk, mereka menerima ujian hebat terhadap
keimanan mereka disebabkan sikap mereka itu dimana mereka telah
dipulau selama 50 hari akibat dari kesalahan yang mereka lakukan
sehingga mereka merasakan bahawa bumi yang luas ini telah menjadi
sempit.
Namun Allah Subhanahu wa Ta‘ala dengan Rahmat serta Kasih
Sayang-Nya telah menerima taubat serta memaafkan kesalahan mereka.
Bagi membesarkan hati mereka, penerimaan taubat itu ditegaskan
secara umum meliputi Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam
serta sahabat-sahabat baginda yang lain.
Kesepuluh:
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
ثُمَّ إِنَّ رَبَّكَ لِلَّذِينَ هَاجَرُوا مِنْ بَعْدِ مَا فُتِنُوا
ثُمَّ جَاهَدُوا وَصَبَرُوا إِنَّ رَبَّكَ مِنْ بَعْدِهَا لَغَفُورٌ
رَحِيمٌ
Kemudian, sesungguhnya Tuhanmu (memberikan pertolongan) kepada
orang-orang yang telah berhijrah setelah mereka difitnahkan (oleh
kaum-kaum musyrik), kemudian mereka berjihad serta bersabar;
sesungguhnya Tuhanmu – sesudah mereka menderita dan bersabar dalam
perjuangan – adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[al-Nahl 16:110]
Ayat ini memberikan berita baik ke atas golongan Muhajirin yang
ditindas oleh kaum musyrikin di Mekah sehingga mereka terdorong
melakukan perkara yang bertentangan dengan agama, namun kemudiannya
mereka bertaubat serta berhijrah ke Madinah lalu berjuang menentang
kaum musyrikin serta bersabar di dalam perjuangan mereka. Maka Allah
Subhanahu wa Ta'ala membalas dengan Rahmat, Belas Kasihan
serta Kemuliaan-Nya dan mengampunkan segala dosa mereka yang
terdahulu itu.
Kesebelas:
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala
وَالَّذِينَ هَاجَرُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ ثُمَّ قُتِلُوا أَوْ
مَاتُوا لَيَرْزُقَنَّهُمُ اللَّهُ رِزْقًا حَسَنًا وَإِنَّ اللَّهَ
لَهُوَ خَيْرُ الرَّازِقِينَ
-لَيُدْخِلَنَّهُمْ
مُدْخَلا يَرْضَوْنَهُ وَإِنَّ اللَّهَ لَعَلِيمٌ حَلِيمٌ
Dan orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah, kemudian mereka
terbunuh atau mati, sudah tentu Allah akan mengurniakan kepada
mereka limpah kurnia yang baik. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah
adalah sebaik-baik pemberi limpah kurnia. Sudah tentu Allah akan
memasukkan mereka (yang tersebut itu) ke tempat yang mereka sukai (Syurga),
dan sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Penyabar.
[al-Hajj 22:58-59]
Ayat ini diturunkan ke atas sekalian para sahabat di kalangan
Muhajirin yang diketuai oleh Khalifah ar-Rasyidin Abu Bakar,
Umar, ‘Utsman serta ‘Ali radhiallahu ‘anhum yang berjuang
pada jalan Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Ditegaskan bahawa sama
ada mereka terbunuh di medan pertempuran atau mati di tempat tidur
maka Allah Taala tetap akan membalasnya dengan menempatkan mereka di
dalam syurga dengan mengurniakan rezeki yang baik dengan segala
nikmatnya serta kekal di dalamnya buat selama-lamanya.
Keduabelas:
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala
وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ
لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الأرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِنْ
قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَى لَهُمْ
وَلَيُبَدِّلَنَّهُمْ مِنْ بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا يَعْبُدُونَنِي
لا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا وَمَنْ كَفَرَ بَعْدَ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ
هُمُ الْفَاسِقُونَ
Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal salih dari
kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan
mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi,
sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka
khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Dia akan menguatkan dan
mengembangkan agama mereka (Islam) yang telah diredhai-Nya untuk
mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah
mereka mengalami ketakutan (daripada ancaman musuh). Mereka terus
beribadat kepada-Ku dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain
dengan-Ku. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu,
maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.
[al-Nur 24:55]
Ayat ini mengandungi janji Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada
para sahabat radhiallahu ‘anhum dan seterusnya ke atas
golongan selepas mereka di kalangan orang beriman yang salih, bahawa
Allah akan menjadikan mereka Khalifah atau pemimpin di atas muka
bumi sebagaimana yang telah Allah janjikan ke atas golongan beriman
yang terdahulu. Allah juga akan menukarkan keadaan mereka daripada
keadaan lemah kerana ditindas kepada menjadi umat yang kuat lagi
disegani orang. Dengan kata lain mereka akan menjadi umat yang
berwibawa serta berada di dalam keadaan aman sentosa.
Ayat ini menceritakan keadaan para sahabat sebelum dan sesudah
kewafatan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Di
peringkat awal perkembangan Islam iaitu dari saat sebelum hijrah
kepada sejurus selepas hijrah, para sahabat berada di dalam
ketakutan kerana mengalami penindasan daripada golongan musyrikin.
Namun di akhir hayat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam
sehingga selepas kewafatan baginda, para sahabat telah dikurniakan
keamanan dan menjadi umat yang terkuat lagi disegani. Rasulullah
telah meramalkan hal ini sebagaimana yang tercatat di dalam
Shahih al-Bukhari daripada Adi bin Hatim radhiallahu ‘anh,
dimana baginda bersabda:
فَإِنْ طَالَتْ بِكَ حَيَاةٌ لَتَرَيَنَّ الظَّعِينَةَ تَرْتَحِلُ مِنْ
الْحِيرَةِ حَتَّى تَطُوفَ بِالْكَعْبَةِ لاَ تَخَافُ أَحَدًا إِلاَّ
اللَّهَ.
Sekiranya panjang umur engkau pasti engkau akan melihat keluar dari
Hirah seorang wanita yang akan melakukan tawaf di Kaabah dan dia
tidak takut melainkan Allah.
Hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam di atas
meramalkan keamanan selepas kewafatan baginda sehingga seorang
wanita boleh bermusafir seorang diri dari bandar Hirah di Iraq ke
Kota Mekah tanpa terdedah kepada bahaya.
Setelah wafatnya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam para
sahabat radhiallahu ‘anhum telah dijadikan para penguasa
serta pemimpin di atas mukabumi. Ini terbukti dimana sebahagian
besar dari mereka telah bertebaran ke seluruh pelusuk dunia
sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah bagi meninggikan kalimah
Allah serta kemaslahatan umat. Dengan itu berlakulah pembukaan
wilayah serta negara secara meluas sehinggakan tersebarnya Islam
dari timur hingga ke barat. Maka dengan itu terbuktilah kemukjizatan
ayat al-Qur’an dimana semua ini berlaku semasa zaman pemerintahan
Khulafa al-Rasyidin radhiallahu ‘anhum.
Para ulama’ tafsir mengulas bahawa ayat tersebut merupakan dalil
betapa terserlahnya kepimpinan Khalifah Abu Bakar al-Shiddiq
radhiallahu ‘anh serta para Khalifah al-Rasyidin
sesudah beliau sebagai golongan yang diberikan kekuasaan di atas
muka bumi dari kalangan orang-orang yang beriman serta beramal salih.
Terbukti di waktu pemerintahan mereka berlakunya pembukaan serta
peluasan empayar Islam sehingga berjaya menawan Parsi, sebahagian
wilayah Rom dan selainnya. Selain itu wujud keamanan sejagat dan
Islam yang tersebar luas.
Ketigabelas:
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
إِنَّ
الَّذِينَ يُبَايِعُونَكَ إِنَّمَا يُبَايِعُونَ اللَّهَ يَدُ اللَّهِ
فَوْقَ أَيْدِيهِمْ فَمَنْ نَكَثَ فَإِنَّمَا يَنْكُثُ عَلَى نَفْسِهِ
وَمَنْ أَوْفَى بِمَا عَاهَدَ عَلَيْهُ اللَّهَ فَسَيُؤْتِيهِ أَجْرًا
عَظِيمًا
Sesungguhnya orang-orang yang memberi pengakuan taat setia kepadamu
(wahai Muhammad), mereka hanyasanya memberikan pengakuan taat setia
kepada Allah. Tangan Allah di atas tangan mereka. Oleh itu, sesiapa
yang tidak menyempurnakan janji setianya maka bahaya tidak
menyempurnakan itu hanya menimpa dirinya sendiri; dan sesiapa yang
menyempurnakan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah, maka Allah
akan memberi kepadanya pahala yang besar.
[al-Fath 48:10]
Ayat ini menunjukkan kelebihan para sahabat radhiallahu ‘anhum
yang memberikan pengakuan taat setia atau bai‘ah kepada
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam di Hudaibiyyah yang
dikenali sebagai Bai‘ah al-Ridhwan. Bahkan salah seorang dari
kalangan mereka iaitu Salma bin al-Akwa radhiallahu ‘anh
telah berjanji setia untuk bai‘ah sehingga mati sebagaimana
yang diriwayatkan di dalam Shahih al-Bukhari serta Shahih
Muslim. Jumlah mereka yang terlibat di dalam bai‘ah
tersebut adalah seramai 1400 orang termasuk kebanyakan daripada
golongan yang menyertai Perang Badar yang merupakan para sahabat
yang terkanan kedudukannya. Yang menjadi pemimpin di kalangan mereka
ialah tiga orang Khalifah al-Rasyidin iaitu Abu Bakar, ‘Umar
serta ‘Ali radhiallahu ‘anhum. Adapun ‘Utsman radhiallahu
‘anh, beliau telah diutus oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam ke Mekah berjumpa dengan para pemimpin musyrikin
Quraisyh untuk tujuan perundingan. Namun apabila Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam mendapat berita bahawa ‘Utsman
telah dibunuh maka baginda melakukan bai‘ah dengan para
sahabat bagi membela kematian ‘Utsman sehinggakan pengakuan taat
setia tersebut dikenali sebagai “Bai‘ah ‘Utsman”.
Allah Subhanahu wa Ta'ala menjadikan bai‘ah para
sahabat radhiallahu ‘anhum dengan Rasulullah shallallahu
‘alaihi wasallam umpama bai‘ah mereka dengan Allah
Subhanahu wa Ta‘ala sendiri dimana Allah berfirman:
“Tangan Allah di atas tangan mereka.” Ini merupakan suatu
kelebihan ke atas para sahabat radhiallahu ‘anhum. Ibn Katsir
rahimahullah (774H) di dalam tafsirnya mengulas:
Kehadiran Allah Ta‘ala bersama para sahabat adalah kehadiran dengan
pendengaran-Nya bukan kehadiran dengan zat-Nya, dimana Dia dengan
sepenuhnya Mendengar serta Menyaksikan apa yang mereka perbuat
dengan Pengetahuan yang Sempurna dalam serta luarannya. Dengan itu
Allah membai‘ah mereka dengan perantaraan Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam..
Allah Subhanahu wa Ta'ala menjanjikan mereka yang berbai‘ah
dengan ganjaran yang besar. Balasannya adalah syurga serta keredhaan
Allah dimana tanpa sebarang keraguan, seluruh para sahabat
radhiallahu ‘anhum yang terlibat di dalam bai‘ah tersebut
merupakan golongan yang mendapat balasan syurga. Umm Bashir
radhiallahu ‘anha telah mendengar dari Rasulullah shallallahu
‘alaihi wasallam dimana baginda telah bersabda ketika bersama
Ummul Mukminin Hafsah radhiallahu ‘anha:
لاَ يَدْخُلُ النَّارَ إِنْ شَاءَ اللَّهُ مِنْ أَصْحَابِ الشَّجَرَةِ
أَحَدٌ الَّذِينَ بَايَعُوا تَحْتَهَا.
Insha Allah, tiada sesiapa dikalangan sahabatku yang memberi bai‘ah
di bawah (pokok di Hudaibiyyah) akan masuk neraka.
Jabir radhiallahu ‘anh dia berkata: Seorang hamba bagi Hatib
datang kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam mengadu
tentang Hatib sehingga dia berkata: Wahai Rasulullah, Hatib sudah
pasti masuk neraka! Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam
menjawab:
كَذَبْتَ! لاَ يَدْخُلُهَا فَإِنَّهُ شَهِدَ بَدْرًا
وَالْحُدَيْبِيَةَ.
Engkau pembohong, dia tidak akan masuk neraka, dia terlibat di dalam
peperangan Badar serta al-Hudaibiyyah.
Kejadian di atas berdasarkan suatu peristiwa dimana hamba Hatib
radhiallahu ‘anh mengadu tentang tuannya yang satu masa dahulu
pernah melakukan kesalahan, dimana beliau telah menghantar sepucuk
surat kepada golongan musyrikin Mekah. Surat tersebut mengandungi
perkara rahsia tentera Islam. Akan tetapi, sebagaimana hadis di atas,
Allah dan Rasul-Nya telah memaafkan beliau. Dengan kata lain para
sahabat yang terlibat di dalam bai‘ah tersebut telah
diampunkan segala kesalahan mereka serta mendapat keredhaan Allah
Subhanahu wa Ta'ala serta menjadi penghuni syurga.
Bai‘ah
tersebut juga termaktub di dalam Shahih al-Bukhari menerusi
riwayat Jabir radhiallahu ‘anh dimana dia berkata, Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepada kami:
أَنْتُمْ خَيْرُ أَهْلِ الأَرْضِ.
Pada hari ini, kamu adalah penduduk muka bumi yang terbaik.
Keempatbelas:
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
لَقَدْ رَضِيَ اللَّهُ عَنِ الْمُؤْمِنِينَ إِذْ يُبَايِعُونَكَ تَحْتَ
الشَّجَرَةِ فَعَلِمَ مَا فِي قُلُوبِهِمْ فَأَنْزَلَ السَّكِينَةَ
عَلَيْهِمْ وَأَثَابَهُمْ فَتْحًا قَرِيبًا
-وَمَغَانِمَ
كَثِيرَةً يَأْخُذُونَهَا وَكَانَ اللَّهُ عَزِيزًا حَكِيمًا
Demi sesungguhnya! Allah redha akan orang-orang yang beriman, ketika
(mereka) memberikan bai‘ah kepadamu (wahai Muhammad) di bawah
naungan pohon (di Hudaibiyyah); maka (dengan itu) ternyata apa yang
sedia diketahui-Nya tentang (kebenaran iman dan taat setia) yang ada
dalam hati mereka, lalu Dia menurunkan semangat tenang tenteram
kepada mereka, dan membalas mereka dengan kemenangan yang dekat masa
datangnya. Dan juga dengan banyak harta rampasan perang yang mereka
akan dapat mengambilnya. Dan (ingatlah), Allah adalah Maha Kuasa
lagi Maha Bijaksana.
[al-Fath 48:18-19]
Ayat ini merupakan dalil dimana golongan yang berbai‘ah
kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam di Bai‘ah
Ridhwan pada hari Hudaibiyyah bahawa Allah Subhanahu wa
Ta‘ala telah meredhai serta mengampunkan segala dosa mereka.
Maka sesiapa yang Allah redha terhadapnya maka Dia tidak akan murka
terhadap mereka buat selama-lamanya.
Kenyataan di atas ditujukan juga kepada para sahabat di kalangan
mereka yang menyertai Perang Badar, dimana Allah Subhanahu wa
Ta'ala meninggikan kedudukan mereka sehinggakan Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
فَقَدْ وَجَبَتْ لَكُمْ الْجَنَّةُ.
Sesungguhnya diwajibkan ke atas mereka Syurga.
Ini diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim serta selain keduanya.
Sesiapa yang pertolongan Allah Subhanahu wa Ta'ala mendahului
mereka maka kesalahan yang mereka lakukan tidak membahayakan diri
mereka. Dengan itu Allah tetap meredhai sebahagian umat iaitu para
sahabat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang menerima
pertolongan-Nya. Mereka adalah orang-orang yang telah berjuang di
samping Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dengan penuh
kecekalan sehingga sanggup mengorbankan harta benda, keluarga serta
jiwa raga mereka.
Kelimabelas:
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
مُحَمَّدٌ
رَسُولُ اللَّهِ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّاءُ عَلَى الْكُفَّارِ
رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ تَرَاهُمْ رُكَّعًا سُجَّدًا يَبْتَغُونَ فَضْلا
مِنَ اللَّهِ وَرِضْوَانًا سِيمَاهُمْ فِي وُجُوهِهِمْ مِنْ أَثَرِ
السُّجُودِ ذَلِكَ مَثَلُهُمْ فِي التَّوْرَاةِ وَمَثَلُهُمْ فِي
الإنْجِيلِ كَزَرْعٍ أَخْرَجَ شَطْأَهُ فَآزَرَهُ فَاسْتَغْلَظَ
فَاسْتَوَى عَلَى سُوقِهِ يُعْجِبُ الزُّرَّاعَ لِيَغِيظَ بِهِمُ
الْكُفَّارَ وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا
الصَّالِحَاتِ مِنْهُمْ مَغْفِرَةً وَأَجْرًا عَظِيمًا
Muhammad adalah Rasul Allah dan orang-orang yang bersama dengannya
bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir (yang memusuhi
Islam) dan sebaliknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan
sesama umat Islam. Engkau melihat mereka beribadat rukuk dan sujud
dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta
mengharapkan keredhaan-Nya. Tanda yang menunjukkan mereka sebagai
orang-orang yang salih) terdapat pada muka mereka – dari kesan sujud
(dan ibadat mereka yang ikhlas).
Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam Kitab Taurat dan
sifat mereka di dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka
diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan
tunasnya, lalu anak dan tunas itu menyuburkannya sehingga ia menjadi
kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan
keadaan yang mengkagumkan orang-orang yang menanamnya. (Allah
menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad dan pengikut-pengikutnya
berkembang baik serta kuat gagah sedemikian itu) kerana ia hendak
menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad
dengki – dengan kembang biaknya umat Islam itu.
(Dan selain itu) Allah telah telah menjanjikan orang-orang yang
beriman dan beramal salih dari kalangan mereka, keampunan dan pahala
yang besar.
[al-Fath 48:29]
Ayat ini menyatakan pujian Allah Subhanahu wa Ta'ala terhadap
para sahabat radhiallahu ‘anhum sebagaimana yang telah
disifatkan di dalam kitab Taurat serta Injil. Allah mensifatkan
mereka itu di dalam Taurat dengan 5 sifat yang menunjukkan pujian
serta kemuliaan mereka:
-
Bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir,
-
Bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri,
-
Tetap beribadat rukuk dan sujud mengharapkan limpah kurnia (pahala)
Allah,
-
Dan mengharapkan keredhaan Allah
-
(Serta tanda yang menunjukkan mereka sebagai orang-orang yang
salih) terdapat pada muka mereka – dari kesan sujud.
Manakala tanda mereka di dalam kitab Injil pula adalah, mereka
diibaratkan sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan
tunasnya, lalu anak dan tunas itu menyuburkannya sehingga ia menjadi
kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan
keadaan yang mengkagumkan orang-orang yang menanamnya.
Pada peringkat permulaannya para sahabat sedikit sahaja jumlah
mereka. Kemudian ia bertambah serta menjadi semakin kuat sehinggakan
orang-orang kafir merasa gerun terhadap mereka. Firman Allah:
“Nabi Muhammad adalah Rasulullah.” Inilah dia Rasul yang
diberi nama Muhammad dimana Allah Subhanahu wa Ta'ala
mengisytiharkan baginda sebagai pesuruh Allah yang sebenarnya
bukanlah sepertimana yang dikatakan oleh golongan musyrikin.
Sesungguhnya para sahabat tersebut bersama-sama dengan baginda serta
menyaksikan baginda bersikap tegas terhadap orang-orang kafir yang
terang-terangan menentang Islam.
Berkenaan firman Allah: “bersikap keras dan tegas terhadap
orang-orang kafir”, maka menurut ulama’ tafsir:
Begitu keras serta tegas sikap para sahabat terhadap orang-orang
kafir sehinggakan mereka berjaga-jaga supaya pakaian mereka tidak
terkena (menyerupai) pakaian orang kafir. Dan mereka “bersikap
kasih sayang serta belas kasihan sesama umat Islam” dimana
apabila salah seorang dari mereka bertemu di antara satu sama lain
maka mereka akan mengucapkan salam, berpeluk-pelukan, melemparkan
senyuman serta bergelak-ketawa (kerana gembira) sesama sendiri.
Engkau akan melihat wahai para pembaca sekalian bahawa mereka itu
banyak melakukan rukuk serta sujud sehingga Allah mensifatkan mereka
sebagai golongan yang banyak melakukan solat dimana solat itu
merupakan sebaik-baik amal bagi mendekatkan diri kepada Allah
Subhanahu wa Ta‘ala. Para sahabat tekun menunaikan solat-solat
sunat selain yang diwajibkan seperti qiamullail dimana mereka
tidak mengharapkan dengan ibadat mereka segala habuan dunia
melainkan kelebihan dari Allah serta keredhaan-Nya iaitu rahmat,
kebaikan dan nikmat.
“Tanda yang menunjukkan mereka sebagai orang-orang yang salih)
terdapat pada muka mereka – dari kesan sujud”
menunjukkan kepada ketenangan serta kewarakan yang terserlah di
wajah mereka yang terhasil dari ibadah yang mereka lakukan siang dan
malam. Ini menyebabkan sesiapa sahaja yang melihat mereka akan
timbul perasaan kasih sayang. Manakala cahaya wajah yang sebenarnya
akan diperlihatkan nanti di Hari Akhirat. Begitulah tanda-tanda para
sahabat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang
dinyatakan menerusi Kitab Taurat yang disampaikan kepada Nabi Musa
‘alaihissalam.
Manakala tanda para sahabat radhiallahu ‘anhum sebagaimana
yang dinyatakan menerusi Kitab Injil yang disampaikan kepada Nabi
Isa ‘alaihissalam dimana mereka diumpamakan seperti tanaman
yang mengeluarkan tunasnya. Tunas itu menjadikan tanaman itu
membesar di atas pokoknya. Tanaman itu menyenangkan hati para
penanamnya, menunjukkan bahawa Allah ingin “menjadikan
orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki –
dengan kembang biaknya umat Islam itu.”
Firman Allah akhirnya: “(Dan selain itu) Allah telah telah
menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal salih dari kalangan
mereka, keampunan dan pahala yang besar” menunjukkan bahawa
janji Allah pasti berlaku dimana Allah tidak akan menyalahi janjinya.
Allah Subhanahu wa Ta'ala memberi ganjaran yang setimpal ke
atas amal kebaikan yang dilakukan oleh para sahabat radhiallahu
‘anhum.
Keenambelas:
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
لا يَسْتَوِي مِنْكُمْ مَنْ أَنْفَقَ مِنْ قَبْلِ الْفَتْحِ وَقَاتَلَ
أُولَئِكَ أَعْظَمُ دَرَجَةً مِنَ الَّذِينَ أَنْفَقُوا مِنْ بَعْدُ
وَقَاتَلُوا وَكُلا وَعَدَ اللَّهُ الْحُسْنَى
Tidaklah sama di antara kamu, orang-orang yang membelanjakan
hartanya serta turut berperang sebelum kemenangan (Nabi menguasai
Mekah). Mereka itu lebih besar darjatnya daripada orang-orang yang
membelanjakan hartanya serta turut berperang sesudah itu. Dan
tiap-tiap satu puak dari keduanya, Allah janjikan (balasan) yang
sebaik-baiknya.
[al-Hadid 57:10]
Ayat ini menerangkan kedudukan para sahabat yang awal di kalangan
Muhajirin serta Ansar yang telah menafkahkan harta mereka pada jalan
Allah serta berperang bersama Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam sebelum pembebasan kota Mekah. Kedudukan mereka tidak
menyamai para sahabat yang beriman selepas pembebasan kota Mekah.
Bagi golongan yang awal tingkatan darjat mereka melebihi golongan
yang terkemudian. Namun ganjaran tetap diberikan terhadap golongan
sahabat yang terkemudian walaupun tingkatannya berbeza. Ini kerana
mereka bersama-sama mengasihi Allah dan Rasul-Nya serta berjuang dan
menginfakkan harta mereka pada jalan Allah. Maka mereka tetap
diberikan habuan syurga sebagaimana firman Allah: “Dan
tiap-tiap satu puak dari keduanya, Allah janjikan (balasan) yang
sebaik-baiknya.”
Ibn Hazm rahimahullah (456H) mengulas:
Para sahabat keseluruhannya adalah ahli syurga dimana tidak
seorangpun di kalangan mereka akan masuk neraka. Merekalah yang
dinyatakan oleh ayat: “Tidaklah sama di antara kamu,
orang-orang yang membelanjakan hartanya… hingga akhir.
Ketujuhbelas:
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
لِلْفُقَرَاءِ الْمُهَاجِرِينَ الَّذِينَ أُخْرِجُوا مِنْ دِيارِهِمْ
وَأَمْوَالِهِمْ يَبْتَغُونَ فَضْلا مِنَ اللَّهِ وَرِضْوَانًا
وَيَنْصُرُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ أُولَئِكَ هُمُ الصَّادِقُونَ
-وَالَّذِينَ
تَبَوَّءُوا الدَّارَ وَالإيمَانَ مِنْ قَبْلِهِمْ يُحِبُّونَ مَنْ
هَاجَرَ إِلَيْهِمْ وَلا يَجِدُونَ فِي صُدُورِهِمْ حَاجَةً مِمَّا
أُوتُوا وَيُؤْثِرُونَ عَلَى أَنْفُسِهِمْ وَلَوْ كَانَ بِهِمْ
خَصَاصَةٌ وَمَنْ يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِ فَأُولَئِكَ هُمُ
الْمُفْلِحُونَ
-وَالَّذِينَ
جَاءُوا مِنْ بَعْدِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا
وَلإخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالإيمَانِ وَلا تَجْعَلْ فِي
قُلُوبِنَا غِلا لِلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ
(Pemberian itu hendaklah diuntukkan) kepada orang-orang fakir yang
berhijrah, yang telah diusir keluar dari kampung halamannya dan
harta bendanya untuk mencari limpah kurnia dari Allah dan
keredhaan-Nya serta menolong (agama) Allah dan Rasul-Nya; mereka
itulah orang-orang yang benar (imannya dan amalnya).
Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman
sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri
mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan
apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan
mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih
daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan
kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga
serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya,
maka merekalah orang-orang yang berjaya.
Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa
dengan) berkata: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa
saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah
Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam
terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya
Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan Rahmat."
[al-Hasyr 59:8-10]
Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala di atas merujuk kepada tiga
kumpulan atau golongan umat Islam:
-
Golongan Muhajirin yang meninggalkan kampung halaman serta harta
benda mereka dengan tujuan berhijrah ke Madinah al Munawwarah
bagi mencari keredhaan Allah serta ganjaran-Nya. Mereka itu
merupakan golongan yang menolong menegakkan agama Allah dan
Rasul-Nya (Islam). Mereka termasuk ke dalam golongan yang benar
keimanan mereka berdasarkan nas al-Qur’an (ayat di atas).
-
Golongan Ansar yang tinggal di Madinah. Mereka telah beriman
kepada Allah sebelum berhijrahnya golongan Muhajirin ke tempat
mereka, iaitu beberapa di antara mereka yang terlibat dalam
Bai‘ah al-‘Aqabah. Betapa tingginya kasih sayang yang
ditunjukkan oleh golongan Ansar terhadap golongan Muhajirin
sehingga sanggup memberikan segala bantuan yang diperlukan sama
ada tempat kediaman, harta benda dan ahli keluarga mereka untuk
dikahwini oleh lelaki Muhajirin. Sesungguhnya kedua-dua golongan
tersebut merupakan pilihan di kalangan umat Nabi shallallahu
‘alaihi wasallam disebabkan oleh kesempurnaan mereka.
-
Golongan yang mengikuti jejak langkah Muhajirin serta Ansar dan
memohon doa serta keampunan ke atas mereka sehingga Hari Kiamat.
Itulah ketiga-tiga golongan yang mendapat kejayaan. Golongan
Muhajirin dan Ansar merupakan golongan yang paling tinggi darjatnya
disebabkan mereka merupakan sahabat Rasulullah shallallahu
‘alaihi wasallam yang berhijrah, membantu serta membela agama
Allah dan Rasul-Nya. Mereka memainkan peranan yang amat besar
menegakkan Islam diperingkat awal. Diikuti selepas itu golongan yang
mengikuti jalan kebaikan mereka serta memohon keampunan di atas
segala kesalahan mereka,
mengasihi mereka serta tidak memperkatakan tentang mereka kecuali
dengan perkara kebaikan.
Di dalam Shahih al-Bukhari, ‘Umar al-Khaththab radhiallahu
‘anh pernah berkata:
Saya berwasiat kepada khalifah sesudahku supaya berlaku baik
terhadap sahabat Muhajirin supaya mengetahui kedudukan dan
kehormatan mereka. Demikian pula saya berwasiat terhadap sahabat
Ansar supaya dapat menerima segala orang yang baik dari kalangan
mereka dan memaafkan segala kekurangan serta kesalahan mereka.
Adapun selain dari mereka itu yang merupakan golongan yang suka
memaki hamun serta mengutuk para sahabat, merendah-rendahkan
kedudukan serta mengkritik amalan mereka, maka mereka itu adalah
golongan perosak di kalangan umat Nabi shallallahu 'alaihi
wasallam. Mereka itulah golongan Syi‘ah al-Rafidhah yang
dibenci oleh Allah serta Rasul-Nya. Sesungguhnya golongan Yahudi
serta Kristian lebih baik serta sejahtera pandangan mereka terhadap
para sahabat Nabi-Nabi mereka. al-Sha’bi rahimahullah,
seorang tokoh generasi awal umat Islam pernah mengulas:
Yahudi dan Kristian lebih baik dari golongan al-Rafidhah
kerana dua sifat mereka iaitu, jika kamu bertanya kepada orang-orang
Yahudi: “Siapakah orang-orang yang terbaik di antara
pengikut-pengikut agama kamu?” Mereka akan menjawab:
“Sahabat-sahabat Nabi Musa.” Sekiranya kamu bertanya orang-orang
Kristian: “Siapakah yang terbaik di antara penganut-penganut agama
kamu?” Mereka akan menjawab: “Para Hawariyun (sahabat-sahabat
Nabi ‘Isa).”
Akan tetapi jika kamu bertanya golongan al-Rafidhah siapakah
orang yang paling jahat di antara pengikut-pengikut agama kamu?
Mereka akan menjawab: “Sahabat-sahabat Nabi Muhammad shallallahu
'alaihi wasallam.” Mereka disuruh beristighfar untuk para
sahabat tetapi sebaliknya mereka mengutuk sahabat-sahabat tersebut.
Apabila ditanyakan kepada Sa‘id al-Musayyab rahimahullah,
seorang lagi tokoh generasi awal, apakah yang kamu katakan terhadap
‘Utsman, Talhah serta Zubair?
Maka jawabnya:
Aku akan berkata sebagaimana firman Allah di dalam al-Qur’an:
Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa
dengan) berkata: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa
saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah
Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam
terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya
Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan Rahmat.”
Al-Suyuthi rahimahullah (911H) mengemukakan sebuah riwayat:
‘Abd Allah bin ‘Umar radhiallahu ‘anhuma mendengar seorang
lelaki memperkatakan tentang sebahagian golongan Muhajirin lalu
beliau membacakan kepadanya firman Allah: “Kepada orang-orang
faqir yang berhijrah…” (sehingga akhir ayat 8). Ibn ‘Umar
berkata: “Mereka itu adalah golongan Muhajirin, adakah kamu termasuk
ke dalam golongan mereka?” Lelaki itu menjawab: “Tidak.” Kemudian
Ibn ‘Umar membacakan firman Allah: “Dan orang-orang yang
mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka…” (sehingga
akhir ayat 9) lalu bertanya: “Mereka itu merupakan golongan Ansar,
adakah kamu termasuk ke dalam golongan mereka?” Lelaki itu menjawab:
“Tidak.” Kemudian Ibn ‘Umar membacakan firman Allah: “Dan
orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka… (sehingga
akhir ayat 10) lalu bertanya: “Adakah kamu termasuk ke dalam
golongan mereka?” Lelaki itu menjawab: “Ya.” Lalu berkata Ibn ‘Umar:
“Tidak termasuk golongan ini mereka yang mencela golongan (Muhajirin
dan Ansar).
Kesimpulannya: Apa yang kami paparkan di sini yang berupa kenyataan
dari al-Qur’an tentang kelebihan para sahabat radhiallahu 'anhum.
Para sahabat ini, sebahagian besar daripada mereka didustakan oleh
golongan Syi‘ah al-Rafidhah. Mereka hanya menerima sebahagian
kecil daripada para sahabat iaitu di kalangan Ahl al-Bait.
Maka kami akan mengikuti perbincangan ini dengan mengemukakan
kelebihan para sahabat berdasarkan hadis-hadis Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam dimana apabila dinyatakan
hadis-hadis tersebut kepada golongan Syi‘ah al-Rafidhah pasti
mereka akan berkata: Sesungguhnya ia adalah dusta serta palsu belaka.
Maka dengan izin Allah kami akan membahaskan perkara ini di dalam
babnya yang khusus seterusnya.
>>
6. Para Sahabat Menurut al-Sunnah al-Nabawiyah