3 Pandangan Aneh Berkenaan Sahabat
Berkata al-Khatib al-Baghdadi rahimahullah di dalam
kitabnya al-Kifayah:
وذهبت طائفة من أهل البدع – وهم المعتزلة والشيعة – إلى أن حال الصحابة
كانت مرضية إلى وقت الحروب التي ظهرت بينهم وسفك بعضهم دماء بعض فصار
أهل تلك الحروب ساقطى العدالة ولما اختلطوا باهل النزاهة وجب البحث عن
أمور الرواة منهم.
Satu golongan dari ahli-ahli bid’ah yang terdiri
dari golongan Muktazilah serta Syi‘ah
mengatakan bahawa keadaan sahabat adalah diredhai sebelum berlakunya
peperangan dan pertumpahan darah di kalangan sebahagian mereka.
Dimana golongan yang terlibat dalam peperangan tersebut telah gugur
keadilan mereka. Oleh itu apabila mereka bercampur dengan kalangan
sahabat yang bersih atau yang tidak terlibat di dalam peristiwa itu
maka adalah wajib untuk dikaji tentang periwayatan mereka.
al-Ghazali rahimahullah (505H) berkata di dalam
kitabnya al-Mustashfa
(المستصفى)
وقد زعم قوم أن حالهم كحال غيرهم في لزوم البحث وقال قوم حالهم العدالة
في بداية الأمر إلى ظهور الحرب والخصومات ثم تغير الحال وسفكت الدماء
فلا بد من البحث وقال جماهير المعتزلة عائشة وطلحة والزبير وجميع أهل
العراق والشام فساق بقتال الإمام الحق ... وشك بعضهم في فسق عثمان
وقتلته. وكل هذا جراءة على السلف على خلاف السنة.
Satu kaum (aliran) telah menyangka bahawa keadaan para
sahabat sama seperti keadaan orang-orang lain dalam kemestian untuk
mengkaji periwayatan mereka. Menurut suatu kaum (aliran) yang lain
pula keadilan mereka hanya diterima pakai pada peringkat awal
sehingga berlakunya peperangan dan perbalahan di antara mereka yang
membawa kepada pertumpahan darah. Oleh itu tidak dapat tidak perlu
untuk dikaji akan periwayatan mereka. Manakala menurut majoriti di
kalangan aliran Muktazilah: Aisyah, Talhah serta Zubair (radhiallahu
‘anhum) dan kesemua penduduk Iraq serta Syam adalah golongan
fasik disebabkan mereka terlibat di dalam pembunuhan Ali (radhiallahu
‘anh) ... Dan sebahagian mereka pula berasa sangsi
terhadap kefasikan ‘Utsman (radhiallahu ‘anh) dan para
pembunuhnya. Semua di atas itu adalah tuduhan yang melulu terhadap
generasi awal dimana ianya menyalahi al-Sunnah.
al-Syaukani
rahimahullah
(1252H) menolak pendapat di atas bahawa kononnya sifat adil para
sahabat gugur selepas berlakunya peristiwa fitnah seperti pembunuhan
‘Utsman, Perang Jamal dan Perang Siffin. Beliau menulis di dalam
al-Irsyad:
وهذ القول في غاية الضعف لاستلزامه إهدار غالب السنة
فإن المعتزلين لتلك الحروب هم طائفة يسيرة بالنسبة إلى الداخلين فيها
... القول الرابع أنهم كلهم عدول إلا من قاتل عليا وبه قال جماعة من
المعتزلة والشيعة ويجاب عنه بأن تمسكهم بما تمسكوا به من الشبه يدل على
أنهم لم يقدموا على ذلك جراءة على الله وتهاونا بدينه ... وقد كان في
أهل الشام صحابة صالحون عرضت لهم شبه لولا عروضها لم يدخلوا في تلك
الحروب. ولا غمسوا فيها أيديهم. وقد عدلوا تعديلا عاما بالكتاب والسنة.
Ini adalah pendapat yang sangat lemah disebabkan ianya menyimpang
dari al-Sunnah.
Sesungguhnya golongan Muktazilah di dalam peperangan tersebut
terdiri dari bilangan yang kecil berbanding dengan bilangan sahabat
mahupun para tabi’in yang terlibat di dalamnya.
Menurut pendapat yang keempat,
para sahabat semuanya adil kecuali orang-orang yang membunuh Ali
radhiallahu ‘anh dimana pendapat ini menjadi pegangan sebahagian
golongan Muktazilah serta Syi‘ah. Maka jawapan
terhadapnya ialah: Pegangan serta ikutan para sahabat itu pada
dasarnya tidak menunjukkan bahawa mereka melampaui perintah Allah
Subhanahu wa Ta‘ala ataupun mempermudah-mudahkan agama Allah.
Adapun di kalangan penduduk Syam
maka ada sahabat yang soleh yang telah terseret ke dalam kancah
peperangan. Seandainya tidak terseret maka mereka tidak akan
melibatkan diri di dalam peperangan tersebut serta campurtangan di
dalamnya. Maka mereka ini adalah tetap adil berdasarkan kenyataan
al-Qur’an serta al-Sunnah.
Golongan Syi‘ah Imamiyyah al-Ja’fariyyah
berkata, sepertimana yang disebut oleh Murtadha al-‘Askari (مرتضى
العسكري)
di dalam Ma‘alim al-Madrasatain:
إن في الصحابة منافقين فنحن نحتاط في أخذ معالم ديننا من صحابي عادى
عليا ولم يواليه, حذرا من أن يكون الصحابي من المنافقين الذين لا
يعلمهم إلا الله.
Sesungguhnya di kalangan para sahabat itu adanya
golongan munafik. Maka kami berhati-hati dalam mengambil pegangan
agama kami daripada para sahabat selain dari Ali radhiallahu ‘anh.
Ini kerana kami takut terambil sumbernya dari golongan para sahabat
yang munafik dimana mereka itu hakikatnya tidak diketahui jumlah
yang sebenar kecuali Allah sahaja.
Pendapat di atas disebut oleh penulis-penulis mereka (Syi‘ah
Imamiyah al-Ja’fariyah) serta ulama’-ulama’ sezaman dengan
mereka.
Di antara para sahabat yang munafik itu adalah ketiga-tiga
Khalifah al-Rasyidin (Abu Bakar, ‘Umar, ‘Utsman) serta para
sahabat dari kalangan Muhajirin dan Ansar yang memberi bai‘ah
kepada mereka. Mereka semuanya munafik serta menjadi musuh kepada
‘Ali.
(Demikianlah pendapat Syi‘ah Imamiyyah al-Ja’fariyyah),
maka jelaslah bahawa yang sedemikian adalah pendapat yang sesat
belaka.
>>
4. Para Sahabat Tidak Maksum