Kedua:
Keutamaan ‘Umar al-Khaththab al-Faruq
Beliau ialah Abu Hafs ‘Umar bin al-Khaththab al-Faruq al-Quraisy
al-‘Adawi al-Madani Amir al-Mukminin. Antara yang awal
memeluk Islam dan salah seorang dari 10 orang sahabat yang
dijanjikan masuk syurga. Beliau juga ialah salah seorang dari
khalifah al-Rasyidin yang empat dan menjadi mertua kepada
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. ‘Umar radhiallahu
'anh juga merupakan salah seorang dari ulama’ besar di kalangan
para sahabat serta sangat terkenal dengan kezuhudan, ahli ibadat dan
keberaniannya. ‘Umar juga merupakan menteri kepada Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam di samping Abu Bakar al-Siddiq
radhiallahu ‘anh. Beliau merupakan orang ketiga yang
dikebumikan di Raudhah di samping Rasulullah dan Abu Bakar.
‘Umar dilahirkan 13 tahun sesudah lahirnya Rasulullah shallallahu
‘alaihi wasallam . Pada zaman jahiliyah beliau merupakan salah
seorang dari pemimpin atau pembesar Quraisy serta menjadi duta
mereka. Dikatakan, apabila terjadi permasalahan yang bersangkutan
dengan diplomasi maka ianya diserahkan kepada ‘Umar. Jika terjadi
peperangan di antara kabilah, maka ‘Umar akan diutus sebagai orang
tengah.
Apabila Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam diutus sebagai
seorang Rasul, ‘Umar terkenal di kalangan mereka sebagai yang paling
kejam penyiksaannya ke atas kaum Muslimin. Namun disebabkan hidayah
Allah Subhanahu wa Ta'ala ‘Umar memeluk Islam hasil doa
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam supaya agama Islam
dikuatkan menerusi beliau. Baginda berdoa:
اللَّهُمَّ أَعِزَّ الإِسْلاَم بِعُمَر أَوْ بِعَمْرِو بْن هِشَام.
Ya Allah, muliakanlah agama Islam ini dengan orang yang paling
Engkau cintai di antara kedua orang ini, iaitu ‘Umar (bin al-Khaththab)
atau ‘Amr bin Hisyam (Abu Jahal).
Setelah Allah menghendaki kebaikan untuk ‘Umar al-Khaththab, beliau
datang bertemu dengan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam di
Dar al-Arqam bagi menyatakan keislamannya. Kaum Muslimin sekaliannya
berasa amat gembira dengan keislaman ‘Umar dan beliaulah orang yang
pertama menyatakan keislamannya secara terang-terangan di khalayak
ramai. Ibn Mas‘ud radhiallahu ‘anh diriwayatkan berkata:
Islamnya ‘Umar adalah suatu kemenangan besar, hijrahnya adalah
keuntungan dan kepimpinannya adalah rahmat. Saya melihat sendiri
bagaimana kami tidak mampu melakukan solat di Baitullah sebelum
‘Umar menyatakan keislamannya. Tatkala ‘Umar masuk Islam, dia
menyatakan perang kepada mereka (kaum Quraisy) sehingga mereka
membiarkan kami melakukan solat dengan bebas.
‘Umar, sebagaimana Abu Bakar al-Siddiq, tidak pernah
memisahkan dirinya daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam. Beliau turut serta mengikuti seluruh peperangan
bersama mereka berdua seperti peperangan Badar, Uhud, Khandak,
Bai‘ah Ridhwan, Khaibar, pembebasan Kota Mekah dan peperangan
Tabuk. ‘Umar terkenal sebagai seorang yang sangat tegas dalam urusan
agama Allah dan terhadap orang kafir serta golongan munafik. ‘Umar
termasuk di kalangan sahabat yang diredhai Rasulullah shallallahu
‘alaihi wasallam ketika baginda wafat.
al-Nawawi rahimahullah (676H) di dalam kitabnya Tahzib al-Asma’
wa al-Lughat berkata:
Mereka bersepakat tentang banyaknya ilmu ‘Umar, mendalamnya
kefahamannya, bersangatan zuhud serta tawadu’nya, sangat mengasihi
kaum Muslimin di samping sikap ketegasan dan kebenarannya, mengikuti
dengan sepenuhnya jejak-langkah Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam serta amat memberikan perhatian terhadap kemaslahatan
kaum Muslimin. Kemuliaannya terkenal di kalangan ahli keutamaan dan
kebaikan manakala ciri-ciri kebaikannya sangat banyak untuk diteliti
dan diambil iktibar.
Ibn Mas‘ud radhiallahu ‘anh pernah berkata:
“Dengan wafatnya ‘Umar maka hilanglah sembilan persepuluh ilmu.”
Ini merupakan pandangan yang masyhur di kalangan Salaf al-Soleh.
‘Umar juga merupakan antara yang terawal berhijrah ke
Madinah mendahului Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.
al-Barra’ bin ‘Azib radhiallahu ‘anh berkata:
Orang yang pertama kali datang kepada kami dari kalangan Muhajirin
adalah Mus‘ab bin ‘Umair, kemudian Ibn Ummi Makhtum, kemudian ‘Umar
al-Khaththab dengan rombongan dua puluh orang yang menaiki kenderaan.
Kami berkata: “Apa yang sedang dilakukan Rasulullah shallallahu
‘alaihi wasallam saat ini?” ‘Umar berkata: “Dia sedang berada di
belakangku.” Kemudian datanglah Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam dan Abu Bakar radhiallahu ‘anh.
‘Ali radhiallahu ‘anh berkata:
Saya tidak mengenal seorangpun yang melakukan hijrah melainkan dia
akan melakukannya secara sembunyi, kecuali ‘Umar al-Khaththab.
Ketika beliau akan berhijrah, dia menyandang pedangnya serta busur
panahnya dan memegang beberapa anak panah di tangannya. Dia
mendatangi Kaabah ketika orang Quraisy berada di halamannya. Dia
melakukan tawaf sebanyak 7 kali serta menunaikan solat di maqam
Ibrahim. Kemudian dia mendatangi kelompok Quraisy tersebut satu demi
satu sambil berkata: “Wahai wajah-wajah yang tidak bersinar,
barangsiapa yang ingin ibunya kehilangan anak, anaknya menjadi yatim,
isterinya menjadi janda, maka hendaklah ia menemuiku di belakang
lembah ini.” Namun tiada seorangpun dari mereka yang mengikutinya.
‘Umar al-Khaththab termasuk di kalangan sahabat yang
berjaya mencapai keutamaan yang sempurna di dalam agama sebagaimana
Abu Bakar al-Siddiq radhiallahu ‘anh. Sesungguhnya
terdapat banyak kebaikan dan kekhususan yang dikhususkan oleh Allah
Subhanahu wa Ta'ala kepadanya dan tidak kepada orang lain. Di
antaranya adalah seperti berikut:
1 Islamnya
‘Umar Membawa Kekuatan Serta Kemuliaan Kepada Islam
Apabila Allah ingin menguat serta memberikan kemuliaan kepada agama
Islam maka Allah memberikan hidayah-Nya kepada ‘Umar al-Khaththab
radhiallahu ‘anh. Ibn ‘Umar radhiallahu ‘anhuma
menerangkan bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam
berdoa: Ya Allah, muliakanlah Islam dengan salah satu dari dua
orang yang engkau cintai dengan Abu Jahal atau ‘Umar al-Khaththab.
Maka Allah memperkenankan
doa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dimana ‘Umar
memeluk Islam. Dengan Islamnya beliau maka agama Allah serta kaum
Muslimin sekaliannya menjadi lebih kuat dari sebelumnya.
‘Abd Allah bin Mas‘ud radhiallahu ‘anh berkata:
“Kami menjadi kuat sejak Islamnya ‘Umar.”
Ibn Hajar al-‘Asqalani mengulas:
“Ianya merujuk kepada bertambahnya kekuatan serta keteguhan
melaksanakan segala titah perintah Allah Subhanahu Wa Taala.”
2 Keluarnya
Segala Belenggu Dari Hati ‘Umar
Ketika ‘Umar memeluk Islam maka Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam diriwayatkan memukul dada beliau sebanyak 3 kali sambil
berdoa:
الله اللَّهُمَّ أَخْرِجْ مَا فِي صَدْرِ عُمَرَ مِنْ غِلٍّ
وَأَبْدِلْهُ إِيْمَاناً.
Ya Allah, keluarkanlah segala belenggu yang ada pada hati ‘Umar dan
gantikanlah ianya dengan iman.
Tidak diragukan bahawa doa Nabi shallallahu ‘alaihi
wasallam diperkenankan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala.
Maka keluarlah segala belenggu-belenggu yang ada pada hati ‘Umar
sehingga penuhlah dadanya dengan keimanan, kasih sayang serta
keikhlasan terhadap sekalian kaum Muslimin. Ini menggentarkan
golongan Yahudi, Nasrani, Majusi serta orang-orang kafir yang
lainnya disebabkan kehebatan yang ada pada beliau.
3 ‘Umar Dikurniakan Ilham
Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta'ala telah menjadikan
kebenaran pada diri ‘Umar. Tidak ada sesuatu perkara yang terjadi
kepada para sahabat lalu mereka berpendapat dengan sesuatu,
sedangkan ‘Umar berpendapat sesuatu yang lain, melainkan turun wahyu
Allah yang membenarkan pendapat ‘Umar. Ini tidak lain kerana ilham
yang dikurniakan Allah ke dalam hatinya yang penuh dengan kebenaran.
Abu Hurairah radhiallahu ‘anh berkata, Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
لَقَدْ كَانَ فِيمَا قَبْلَكُمْ مِنْ الأُمَمِ مُحَدَّثُونَ فَإِنْ
يَكُ فِي أُمَّتِي أَحَدٌ فَإِنَّهُ عُمَرُ. (وفي رواية): لَقَدْ كَانَ
فِيمَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ مِنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ رِجَالٌ
يُكَلَّمُونَ مِنْ غَيْرِ أَنْ يَكُونُوا أَنْبِيَاءَ فَإِنْ يَكُنْ
مِنْ أُمَّتِي مِنْهُمْ أَحَدٌ فَعُمَرُ.
Demi sesungguhnya di antara orang-orang sebelum kalian terdapat
sejumlah manusia yang mendapat ilham. Apabila salah seorang daripada
umatku mendapatkannya maka ‘Umarlah orang itu.
(Di dalam riwayat lain): Sesungguhnya orang-orang sebelum kalian
dari Bani
Israel ada yang diberikan ilham sekalipun mereka bukan Nabi, jika
salah seorang dari umatku mendapatkannya, maka ‘Umarlah orangnya.
Ibn ‘Umar radhiallahu 'anhuma menerangkan bahawa
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda:
إِنَّ اللَّهَ جَعَلَ الْحَقَّ عَلَى لِسَانِ عُمَرَ وَقَلْبِهِ.
وَقَالَ ابْنُ عُمَرَ: مَا نَزَلَ بِالنَّاسِ أَمْرٌ قَطُّ فَقَالُوا
فِيهِ وَقَالَ فِيهِ عُمَرُ أَوْ قَالَ ابْنُ الْخَطَّابِ فِيهِ شَكَّ
خَارِجَةُ إِلاَّ نَزَلَ فِيهِ الْقُرْآنُ عَلَى نَحْوِ.
Sesungguhnya Allah menjadikan kebenaran melalui lidah ‘Umar dan
hatinya.
Ibn ‘Umar melanjutkan:
Tidak ada suatu perkarapun yang terjadi kepada manusia, lalu mereka
berpendapat seperti ini, sedangkan ‘Umar (juga dikenali sebagai Ibn
al-Khaththab) berpendapat lain, kecuali akan turun ayat al-Qur’an
yang membenarkan pendapat ‘Umar.
‘Ali bin Abi Thalib radhiallahu ‘anh berkata:
Apabila disebut tentang orang-orang salih, terbayang di fikiran
kami tentang ‘Umar. Kami para sahabat Muhammad shallallahu ‘alaihi
wasallam tidak pernah merasa ragu bahawa ketenangan itu terucap dari
lisan ‘Umar.
4 Pendapat
‘Umar Sesuai Dengan Firman Allah
Di antara keutamaan yang ada pada beliau ialah kerapkali ‘Umar
berpendapat tentang sesuatu hal, maka turunlah ayat al-Qur’an yang
membenarkan pendapat beliau itu. Terdapat beberapa riwayat yang
menerangkan tentang keutamaan ini:
Pertama:
‘Abd Allah ibn ‘Umar radhiallahu 'anhuma
menerangkan, tatkala ‘Abd Allah bin Ubay mati, Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam diminta oleh anaknya untuk
mensolatkannya dan memohon ampun untuknya. Lalu Rasulullah berdiri
untuk mensolatkannya. ‘Umar bangkit dan berkata: “Bukankah Allah
melarang kami mensolatkan orang munafiqin?” Rasulullah menjawab:
“Saya memilih antara dua kebaikan, sama ada memohon ampun untuk
mereka atau tidak memohon ampun untuk mereka. Maka Rasulullah
bersolat ke atas ‘Abd Allah bin Ubay. Maka Allah menurunkan ayat:
وَلا تُصَلِّ عَلَى أَحَدٍ مِنْهُمْ مَاتَ أَبَدًا وَلا تَقُمْ عَلَى
قَبْرِهِ إِنَّهُمْ كَفَرُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَمَاتُوا وَهُمْ
فَاسِقُونَ
Dan janganlah engkau sembahyangkan seorang pun yang mati dari
orang-orang munafik itu selama-lamanya, dan janganlah engkau berada
di (tepi) kuburnya, kerana sesungguhnya mereka telah kufur kepada
Allah dan Rasul-Nya, dan mereka mati sedang mereka dalam keadaan
fasik (derhaka).
[al-Taubah 9:84] Maka setelah itu Rasulullah tidak mensolatkan
beliau.
Kedua:
Anas bin Malik radhiallahu 'anh menerangkan bahawa
‘Umar al-Khaththab radhiallahu ‘anh berkata, Pendapatku
bersesuaian dengan kehendak Allah dalam tiga perkara:
Pertama,
saya pernah berkata kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam, andaikata kita menjadikan maqam Ibrahim sebagai tempat
solat.
Kedua, saya katakan kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam: “Ya Rasulullah! Orang yang baik dan buruk perangainya
masuk ke dalam rumah isteri-isterimu, alangkah baiknya jika engkau
perintahkan mereka untuk berhijab.” Kemudian turunlah ayat hijab.
Dan ketiga, para isteri Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam berkumpul kerana dilanda rasa cemburu. Maka saya
katakan semoga Allah menceraikan kamu semua dan Dia menggantikannya
dengan isteri-isteri yang lain yang lebih baik dari kamu semua. Lalu
turunlah firman Allah tentang hal ini:
عَسَى رَبُّهُ إِنْ طَلَّقَكُنَّ أَنْ يُبْدِلَهُ أَزْوَاجًا خَيْرًا
مِنْكُنَّ مُسْلِمَاتٍ مُؤْمِنَاتٍ
قَانِتَاتٍ
تَائِبَاتٍ عَابِدَاتٍ سَائِحَاتٍ ثَيِّبَاتٍ وَأَبْكَارًا
Boleh jadi, jika Nabi menceraikan kamu, Tuhannya akan menggantikan
baginya isteri-isteri yang lebih baik dari kamu, - yang menurut
perintah, yang ikhlas imannya, yang taat, yang bertaubat, yang tetap
beribadat, yang berpuasa, - (meliputi) yang janda dan yang anak dara.
[al-Tahrim 66:05]
Ketiga:
Setelah selesainya Perang Badar, Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam bertanya kepada Abu Bakar al-Shiddiq dan ‘Umar
al-Khaththab radhiallahu 'anhuma tentang apakah yang
sepatutnya dilakukan kepada para tawanan perang. ‘Umar berpendapat
bahawa mereka patut dibunuh. Pendapat ‘Umar adalah benar kerana
setelah itu Allah Subhanahu wa Ta'ala menurunkan ayat:
مَا كَانَ لِنَبِيٍّ أَنْ يَكُونَ لَهُ أَسْرَى حَتَّى يُثْخِنَ فِي
الأرْضِ
Tidaklah patut bagi seseorang Nabi mempunyai orang-orang tawanan
sebelum ia dapat membunuh sebanyak-banyaknya di muka bumi.
[al-Anfal 8:67]
Keempat:
‘Umar al-Khaththab radhiallahu 'anh menerangkan, tatkala
turunnya ayat yang mengharamkan arak, dia berdoa: “Ya Allah!
Jelaskanlah kepada kami tentang arak dengan penjelasan yang
memuaskan.” Lalu turunlah ayat:
يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ
كَبِيرٌ
Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi.
Katakanlah: "Pada keduanya ada dosa besar.”
[al-Baqarah 2:219] ‘Umar berdoa lagi: “Ya Allah! Jelaskanlah kepada
kami tentang arak dengan penjelasan yang memuaskan.” Lalu turunlah
ayat yang terdapat dalam surah al-Nisa’:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لا تَقْرَبُوا الصَّلاةَ وَأَنْتُمْ
سُكَارَى
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya)
sedang kamu dalam keadaan mabuk.
[al-Nisa’ 4:43] …… ‘Umar berdoa lagi: “Ya Allah! Jelaskanlah kepada
kami tentang arak dengan penjelasan yang memuaskan.” Lalu turunlah
ayat:
إِنَّمَا
يُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَنْ يُوقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ
وَالْبَغْضَاءَ فِي الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ وَيَصُدَّكُمْ عَنْ ذِكْرِ
اللَّهِ وَعَنِ الصَّلاةِ فَهَلْ أَنْتُمْ مُنْتَهُونَ
Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan
permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi,
dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada
mengerjakan sembahyang. Oleh itu tidak mahukah kamu berhenti (daripada
melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih
berdegil)?
[al-Maidah 5:91]
Merujuk kepada firman Allah: “Oleh itu tidak mahukah kamu
berhenti?” , ‘Umar berkata: “Kami berhenti!”
Demikianlah beberapa ayat al-Qur’an yang menunjukkan
selarinya pendapat ‘Umar dengan ayat yang diturunkan di dalam al-Qur’an.
Ibn Hajar al-‘Asqalani rahimahullah (852H) di dalam Fath
al-Bari menyatakan ada 15 pendapat ‘Umar yang bersesuaian dengan
ayat al-Quran. al-Suyuthi rahimahullah (911H) di dalam
Tarikh al-Khulafa berkata ada 20 pendapat ‘Umar yang bersesuaian
dengan ayat al-Quran.
5 Syaitan
Takut Kepada ‘Umar Serta Melarikan Diri Daripadanya
Di antara keutamaan ‘Umar yang menonjol ialah syaitan
takut serta melarikan diri mereka apabila berhadapan dengan beliau.
Sa‘ad bin Abi Waqqas radhiallahu 'anh menerangkan bahawa
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
إِيهًا يَا ابْنَ الْخَطَّابِ وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ مَا لَقِيَكَ
الشَّيْطَانُ سَالِكًا فَجًّا قَطُّ إِلاَّ سَلَكَ فَجًّا غَيْرَ
فَجِّكَ.
Wahai Ibn al-Khaththab, demi Allah yang jiwaku berada dalam
genggaman tangan-Nya, tidaklah syaitan menemuimu sedang berjalan di
suatu jalan kecuali dia akan mencari jalan lain yang tidak engkau
lalui.
Berkata al-Nawawi rahimahullah ketika mengulas
hadis di atas:
Hadis ini difahami secara zahir dimana apabila syaitan melihat ‘Umar
melalui satu jalan, ia melarikan diri bertempiaran ke mana sahaja
menjauhi ‘Umar kerana ketakutan yang bersangatan daripada keberanian
‘Umar – seandainya dia melakukan sesuatu kepadanya.
Ibn Hajar al-‘Asqalani rahimahullah menambah:
Di dalamnya terkandung keutamaan ‘Umar yang amat agung sehinggakan
syaitan tidak akan berjalan pada jalan yang dilalui olehnya. Ini
tidak lain disebabkan pemeliharaan yang tinggi yang ada pada dirinya,
……menunjukkan serta keteguhan, kebenaran serta kejujurannya di dalam
memelihara agama.
Maka hadis di atas jelas menunjukkan kemuliaan yang
terdapat pada ‘Umar radhiallahu ‘anh dimana para syaitan
takut serta melarikan diri daripadanya. Namun kemuliaan yang
terdapat pada dirinya tidak sekali-kali mengatasi kemuliaan
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana tuduhan
yang diperbuat oleh golongan Syi‘ah al-Rafidhah yang
menggunakan hadis di atas bagi menolak keutamaan ‘Umar.
6
Kuatnya Agama Dan Keimanan ‘Umar
Abu Sa‘id al-Khudri radhiallahu ‘anh berkata, Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
بَيْنَا أَنَا نَائِمٌ رَأَيْتُ النَّاسَ يُعْرَضُونَ عَلَيَّ
وَعَلَيْهِمْ قُمُصٌ مِنْهَا مَا يَبْلُغُ الثُّدِيَّ وَمِنْهَا مَا
دُونَ ذَلِكَ وَعُرِضَ عَلَيَّ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ وَعَلَيْهِ
قَمِيصٌ يَجُرُّهُ. قَالُوا: فَمَا أَوَّلْتَ ذَلِكَ يَا رَسُولَ
اللَّهِ؟ قَالَ: الدِّينَ.
“Pada suatu ketika aku sedang tidur bermimpi melihat orang banyak
yang ditunjukkan kepadaku. Mereka memakai baju gamis; maka dari
baju-baju gamis itu ada yang sampai pada dada, ada yang sampai di
bawah itu. Dan diperlihatkan kepadaku ‘Umar bin al-Khaththab dan
padanya baju gamis yang diseretnya.” Sahabat bertanya: “Apakah
takwilnya itu wahai Rasulullah?” Baginda bersabda: “Agamanya.”
Hadis di atas menunjukkan kelebihan serta kemuliaan yang nyata pada
‘Umar dimana beliau telah berhasil mencapai keutamaan yang sempurna
di dalam agama. Ibn Abi Jamrah radhiallahu ‘anh berkata:
Yang dimaksudkan ‘orang banyak’ di dalam hadis tersebut adalah
orang-orang mukmin, sebab pentakwilan Rasulullah ‘baju’ gamis
ditakwilkan dengan makna ‘agama’. Beliau berkata lagi: Yang jelas
bahawa yang dimaksudkan adalah pengkhususan kepada sebahagian ummat
Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam sahaja. Sedangkan yang
dimaksudkan ‘agama’ adalah mengamalkannya sesuai dengan
kaedah-kaedahnya, seperti kecenderungan yang sangat tinggi melakukan
segala perintah dan menjauhi segala larangan. Sedangkan ‘Umar al-Khaththab
di dalam hal ini menduduki kedudukan yang teratas. ……Telah
dinyatakan di dalam sebuah hadis yang oleh ‘Uqbah bin Amir
radhiallahu ‘anh dia berkata: Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam bersabda: Sekiranya ada Nabi selepasku maka ‘Umar
al-Khaththablah orangnya.
7 ‘Umar
Mewarisi Ilmu Rasulullah
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
بَيْنَا أَنَا نَائِمٌ أُتِيتُ بِقَدَحِ لَبَنٍ فَشَرِبْتُ مِنْهُ
حَتَّى إِنِّي لأَرَى الرِّيَّ يَخْرُجُ مِنْ أَظْفَارِي ثُمَّ
أَعْطَيْتُ فَضْلِي يَعْنِي عُمَرَ. قَالُوا: فَمَا أَوَّلْتَهُ يَا
رَسُولَ اللَّهِ؟ قَالَ: الْعِلْمَ.
“Pada suatu ketika aku sedang tidur aku bermimpi diberi segelas susu,
maka aku meminumnya sehingga sungguh aku merasakan kesegaran
mengalir pada kuku-kukuku, kemudian sisanya aku berikan kepada ‘Umar.”
Sahabat bertanya: “Apakah takwilnya itu, wahai Rasulullah?” Baginda
menjawab: “Ilmu pengetahuan.”
Berdasarkan hadis di atas, pemberian susu ke atas ‘Umar menunjukkan
apa yang akan perolehi oleh ‘Umar dari ilmu pemberian Allah,
manakala penafsiran Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bahawa
susu dikaitkan dengan ilmu menunjukkan ‘Umar tidak akan mengambil
selain dari al-Qur’an, al-Sunnah dan ilmu Nabi yang diperolehinya
tanpa perantaraan orang lain. Kaitan antara susu dengan ilmu
menunjukkan banyaknya manfaat serta kebaikan yang ada pada
kedua-duanya dimana susu merupakan makanan kepada jasmani manakala
ilmu merupakan makanan kepada rohani. Yang dimaksudkan dengan ilmu
adalah ilmu yang berhubung dengan siasah atau politik
pemerintahan. Ianya dikhususkan kepada ‘Umar kerana tempoh
pemerintahannya yang panjang dari Abu Bakar al-Siddiq dan
manusia pula bersepakat di dalam mentaatinya berbanding dengan
‘Utsman.
Ibn Mas‘ud radhiallahu ‘anh berkata:
“Andaikata ilmu ‘Umar diletakkan pada satu piring timbangan dan ilmu
seluruh manusia diletakkan pada piring timbangan yang lainnya maka
timbangan ‘Umar akan jauh lebih berat.” Beliau menambah:
“Sesungguhnya kami mengira sembilan belas jenis ilmu yang hilang
pada hari wafatnya ‘Umar.”
8 ‘Umar
Diberi Khabar Gembira Menjadi Penghuni Syurga
Termasuk keutamaan ‘Umar al-Khaththab radhiallahu 'anh
adalah beliau diberi khabar gembira oleh Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam sebagai penghuni syurga. Abu
Hurairah radhiallahu ‘anh berkata, Rasulullah shallallahu
‘alaihi wasallam bersabda:
بَيْنَا أَنَا نَائِمٌ رَأَيْتُنِي فِي الْجَنَّةِ فَإِذَا امْرَأَةٌ
تَتَوَضَّأُ إِلَى جَانِبِ قَصْرٍ. فَقُلْتُ: لِمَنْ هَذَا الْقَصْرُ؟
قَالُوا: لِعُمَرَ. فَذَكَرْتُ غَيْرَتَهُ فَوَلَّيْتُ مُدْبِرًا
فَبَكَى عُمَرُ وَقَالَ: أَعَلَيْكَ أَغَارُ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟
Pada suatu ketika aku tidur, aku melihat diriku ada di dalam syurga.
Lalu ada seorang wanita sedang berwuduk di samping sebuah istana,
maka aku bertanya: “Istana siapakah ini?” Jawab mereka: “Untuk ‘Umar.”
Lalu aku teringat pada kecemburuannya dan aku pun kembali. Mendengar
sabda baginda itu ‘Umar menangis seraya berkata: “Apakah kepadamu
aku cemburu, wahai Rasulullah?”
9
‘Umar Diberi Khabar Gembira Akan Gugur Syahid
Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam telah
menyampaikan berita gembira kepada ‘Umar bahawa beliau akan hidup
dalam keadaan terpuji serta mati sebagai seorang syuhada’ dan
dikurniakan rezeki yang menyejukkan hatinya di dunia serta di
akhirat. Ibn ‘Umar radhiallahu ‘anhuma berkata: Nabi
shallallahu 'alaihi wasallam melihat ‘Umar memakai sebuah baju
berwarna putih. Baginda bertanya: “Adakah baju engkau ini baju baru
atau baju lama yang sudah dibasuh?” ‘Umar berkata: “Aku tidak
tahu apa jawapan yang patut aku berikan.” Lalu Nabi bersabda:
الْبَسْ جَدِيدًا وَعِشْ حَمِيدًا وَمُتْ شَهِيدًا وَيَرْزُقُكَ
اللَّهُ قُرَّةَ عَيْنٍ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ.
Pakailah baju baru, hiduplah dalam puji-pujian, matilah sebagai
seorang syahid dan Allah akan memberikan rezeki kepada engkau apa
yang menyejukkan hati engkau di dunia serta akhirat.
Benarlah sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam
di atas dimana ‘Umar sememangnya telah melalui suatu kehidupan
yang terpuji dan Allah mengakhiri kehidupannya dengan gugur syahid.
Ia juga merupakan doa yang dipohon oleh ‘Umar pada saat akhir
pemerintahannya. Aslam radhiallahu ‘anh berkata bahawa ‘Umar
berdoa:
اللَّهُمَّ ارْزُقْنِي شَهَادَةً فِي سَبِيلِكَ وَاجْعَلْ مَوْتِي فِي
بَلَدِ رَسُولِكَ.
Ya Allah, kurniakanlah hamba gugur di jalan-Mu sebagai syahid dan
jadikanlah kematian hamba di negara Rasul-Mu.
10
Kesempurnaan Kecintaan ‘Umar Kepada Rasulullah
‘Abd Allah bin Hisyam radhiallahu ‘anh berkata:
Suatu ketika kami bersama-sama dengan Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam dan baginda ketika itu sedang memegang tangan ‘Umar al-Khaththab.
‘Umar berkata kepada baginda: “Wahai Rasulullah, engkau lebih aku
kasihi dari segala-galanya kecuali diriku sendiri.” Nabi shallallahu
‘alaihi wasallam menjawab:
لاَ! وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْكَ مِنْ
نَفْسِكَ.
“Tidak! Demi jiwaku berada ditangan-Nya (engkau tidak akan dapat
kesempurnaan iman) sehingga aku engkau kasihi lebih daripada dirimu
sendiri.” Berkata ‘Umar kepada baginda: “Sekarang, Demi Allah,
engkau lebih kukasihi dari diriku sendiri.” Nabi menjawab:
“Sekarang, wahai ‘Umar (engkau adalah orang beriman sebenarnya)”
11
Rasulullah Wafat Dalam Keadaan Meredhai ‘Umar
Termasuk ciri-ciri keutamaan ‘Umar al-Khaththab radhiallahu 'anh
adalah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam wafat
dalam keadaan meredhai beliau. Berkata ‘Abd Allah ibn ‘Abbas
radhiallahu 'anh kepada ‘Umar sebelum beliau wafat setelah
ditikam:
Wahai Amirul Mukminin, bukankah engkau sahabat Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam yang selalu mengiringinya dan engkau
telah berbuat baik dalam persahabatan dengannya. Kemudian engkau
berpisah dengannya dalam keadaan baginda redha terhadapmu. Setelah
itu engkau menjadi sahabat setia Abu Bakar hingga engkau berpisah
dengannya dalam keadaan dia redha terhadapmu. Kemudian engkau
bergaul dengan sahabat-sahabat mereka dengan baik, maka jika engkau
meninggalkan mereka, mereka akan redha terhadapmu.
12 ‘Umar
Penghalang Kepada Fitnah
Di antara kelebihan ‘Umar adalah beliau seorang penghalang kepada
berlakunya fitnah, laksana sebuah pintu. Huzaifah bin al-Yaman
radhiallahu ‘anh berkata:
قَالَ عُمَرُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ: أَيُّكُمْ يَحْفَظُ حَدِيثَ
رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ الْفِتْنَةِ؟
قَالَ قُلْتُ: أَنَا أَحْفَظُهُ ...... فِتْنَةُ الرَّجُلِ فِي
أَهْلِهِ وَوَلَدِهِ وَجَارِهِ تُكَفِّرُهَا الصَّلاَةُ وَالصَّدَقَةُ
وَالْمَعْرُوفُ. قَالَ: لَيْسَ هَذِهِ أُرِيدُ وَلَكِنِّي أُرِيدُ
الَّتِي تَمُوجُ كَمَوْجِ الْبَحْرِ. قَالَ قُلْتُ: لَيْسَ عَلَيْكَ
بِهَا يَا أَمِيرَ الْمُؤْمِنِينَ بَأْسٌ بَيْنَكَ وَبَيْنَهَا بَابٌ
مُغْلَقٌ. قَالَ: فَيُكْسَرُ الْبَابُ أَوْ يُفْتَحُ؟ قَالَ قُلْتُ:
لاَ بَلْ يُكْسَرُ. قَالَ: فَإِنَّهُ إِذَا كُسِرَ لَمْ يُغْلَقْ
أَبَدًا. قَالَ قُلْتُ: أَجَلْ. فَهِبْنَا أَنْ نَسْأَلَهُ مَنْ
الْبَابُ فَقُلْنَا لِمَسْرُوقٍ سَلْهُ قَالَ فَسَأَلَهُ فَقَالَ
عُمَرُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ.
‘Umar radhiallahu 'anh bertanya: “Siapakah di antara kalian yang
menghafal hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tentang
fitnah?” Berkata Huzaifah: “Saya menghafalnya …… fitnah yang menimpa
seseorang kerana keluarga, anak dan jiran tetangganya yang dapat
dihapuskan dengan solat, sedekah dan perkara ma’ruf (serta mencegah
kemungkaran).” ‘Umar berkata: “Bukan itu yang aku maksudkan, akan
tetapi fitnah laksana gelombang lautan.”
Huzaifah menjawab: “Wahai Amirul Mukminin, engkau tidak akan terkena
fitnah itu, sebab terdapat pintu yang tertutup antara dirimu dengan
fitnah tersebut.” “Apakah pintu itu dirosak ataukah ianya dibuka?”
tanya ‘Umar. “Pintu itu dirosakkan.” jawab Huzaifah. “Jika ianya
dirosakkan maka ia tidak akan tertutup selama-lamanya.” sambung
‘Umar. “Benar!” sambung Huzaifah pula.
Kami rasa kami tahu siapakah pintu yang dimaksudkan maka kamipun
bertanya kepada Masruq: “Tanyakanlah (kepada Huzaifah).” Maka diapun
bertanya, Huzaifah menjawab: “Pintu itu ialah ‘Umar.”
Dalam sebuah riwayat yang lain Abu Dzar radhiallahu
‘anh berkata, Pada suatu hari aku bersama-sama dengan
‘Umar al-Khaththab dan aku memegang tangannya dengan kuat sambil
berkata: “Wahai kunci kepada fitnah!” ‘Umar berkata: “Apa itu kunci
fitnah?” Aku berkata: “Pada suatu hari telah datang Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam lalu baginda duduk di sisi orang ramai
dan aku duduk di penghujung mereka. Rasulullah bersabda:
لاَ تُصِيْبُكُمْ فِتْنَةٌ مَا دَامَ هَذَا فِيْكُمْ.
Tidak akan menimpa ke atas diri kamu fitnah selagi mana adanya orang
ini di sisi kamu (‘Umar al-Khaththab)
‘Umar merupakan pintu tertutup yang menghalang daripada fitnah. Ini
tidak lain kerana bersangatan kekuatan dirinya membasmi segala
bentuk kemungkaran, kemunafikan serta segala sesuatu yang akan
melemahkan iman pada zaman pemerintahannya. Ibn Mas’ud
radhiallahu ‘anh mengulas:
Sesungguhnya ‘Umar merupakan kota yang kuat ke atas Islam. Manusia
akan masuk dan tidak akan keluar dari kota tersebut. Sejahtera bagi
sesiapa yang berada di dalamnya, dan bagi sesiapa yang keluar
daripadanya maka dia tidak akan masuk pula ke dalamnya.
13
Perlantikan ‘Umar Sebagai Khalifah Sesudah Abu Bakar
‘Umar al-Khaththab radhiallahu ‘anh dilantik menjadi khalifah
pada hari kewafatan Abu Bakar al-Shiddiq radhiallahu ‘anh.
Ketika sakitnya Abu Bakar yang membawa kepada kewafatannya, para
sahabat di kalangan Muhajirin serta Ansar masuk menemuinya lalu dia
berkata kepada mereka: “Katakan kepadaku apa pendapat kamu tentang ‘Umar?”
Maka berkata salah seorang dari mereka dari kalangan Ansar iaitu
Usaid bin Hudair radhiallahu ‘anh:
“Saya tahu bahawa dia adalah orang terbaik setelah engkau. Dia rela
untuk satu hal yang baik dan akan marah dengan satu hal yang wajib
dibenci.”
Kemudian Abu Bakar memanggil ‘Utsman radhiallahu ‘anh dan
berkata, tulislah:
Bismillahirrahmanirrahim,
inilah apa yang diwasiatkan oleh Abu Bakar bin Abu Quhafah di akhir
hidupnya di dunia di saat akan keluar darinya, dan awal hidupnya
diambang akhirat…Sesungguhnya saya menetapkan ‘Umar sebagai khalifah
atas kamu sekaliannya setelah saya meninggal. Maka dengar dan
taatilah dia. Saya telah melakukan yang terbaik kepada Allah, Rasul
dan agamanya dan kepada kamu sekalian serta saya sendiri. Maka jika
dia berlaku adil, itulah yang saya harapkan dan yang saya ketahui
tentang dirinya. Namun jika dia berubah, maka setiap orang akan
menanggung apa yang dia lakukan. Sedangkan saya menginginkan hal
yang baik, namun saya tidak tahu hal yang ghaib. Dan orang-orang
yang melakukan kezaliman akan tahu ke mana mereka akan dikembalikan…wassalamualaikum
warahmatullah wabarakatuh.
Kemudian Abu Bakar menyuruh ‘Utsman untuk menuliskannya
dan mengesahkannya dengan cop mohor lalu menyuruhnya keluar dengan
membawa kertas wasiat yang telah diberi cop mohor itu. Abu Bakar
kemudiannya memanggil ‘Umar sendirian lalu memberikan nasihat
kepadanya. Setelah selesainya segala urusan, Abu Bakar berdoa sambil
berkata:
Ya Allah, saya telah menjatuhkan pilihanku untuk kesejahteraan kaum
Muslimin dan dengan harapan untuk menghilangkan fitnah yang mungkin
muncul di antara mereka. Mengenai apa yang saya lakukan, Engkaulah
yang paling mengetahuinya. Setelah melakukan pertimbangan yang
sebaik-baiknya saya telah memilih orang yang saya anggap paling
mengikuti jalan yang lurus. Perintah-Mu telah dikeluarkan dan saya
amanahkan semuanya itu kepada-Mu. Mereka adalah hamba-Mu dan
semuanya berada di dalam genggaman Tangan-Mu. Ya Allah, jagalah
pemimpin mereka agar berjalan di jalan yang lurus dan saya bermohon
kepada-Mu jadikanlah penggantiku sebagai khalifah yang mendapat
petunjuk dan memberikan kedamaian.
Sesungguhnya perlantikan ‘Umar al-Khaththab sebagai khalifah
menggantikan Abu Bakar merupakan perkara yang disepakati para
sahabat sekaliannya. Sejak itu banyaklah jasa ‘Umar al-Khaththab
radhiallahu ‘anh dalam menegakkan agama serta memerintah dunia
dengannya. Semasa hayat beliau Negara Islam Madinah berjaya membuka
beberapa wilayah sehingga ke Iraq, Jazirah serta Iran. Begitu juga
tentera-tentera Islam di zamannya berjaya membuka Parsi, Baitul
Maqdis, Palestin, Mesir, Armenia, Azerbaijan, Khuzastan serta banyak
wilayah lain di negeri Syam.
‘Umar juga melakukan beberapa pembaharuan dalam
pemerintahannya, antaranya beliaulah khalifah pertama yang bergelar
Amir al-Mukminin, pertama kali membuat kalendar berdasarkan
tahun Hijriyah, mengumpulkan manusia untuk solat Tarawih
berjemaah, orang yang pertama kali mengelilingi Madinah pada malam
hari bagi mengawal rakyatnya, yang pertama kali membuat kota-kota,
menempatkan para Qadhi dan sebagainya.
14
‘Umar Gugur Syahid
Abu Lu’luah (أبو
لؤلؤة)
seorang hamba kepada al-Mughirah bin Syu’bah yang berbangsa Parsi
serta beragama Majusi menemui ‘Umar mengadu tentang sesuatu. Lalu
‘Umar membuat keputusan tentang pengaduannya tetapi dia merasa tidak
puas hati dan marah di atas keputusan tersebut. Maka beliau menuju
ke masjid serta bersembunyi di salah satu sudutnya di dalam
kegelapan. Dia terus berada di situ sehingga ‘Umar membangunkan
orang ramai untuk menunaikan solat Subuh, maka ketika ‘Umar telah
dekat dengannya, Abu Lu’luah menikamnya dengan 3 kali tikaman
menggunakan pisau besar yang bermata dua serta beracun. Maka dengan
tikaman itu wafatlah ‘Umar setelah tiga hari. Maka benarlah sabda
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang memberikan
penyaksian baginda di atas syahidnya ‘Umar al-Khaththab: “Kehidupannya
terpuji dan matinya sebagai seorang syahid.”
Amir al-Mukminin
‘Umar radhiallahu ‘anh wafat pada akhir bulan Zulhijjah tahun
23 hijrah ketika umurnya 63 tahun. Beliau dikebumikan di sisi
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam serta Abu Bakar
al-Siddiq setelah menjadi khalifah selama 10 tahun 5 bulan serta
21 hari. Setelah meninggalnya beliau maka berkumpullah enam orang
sahabat utama ahli Syura untuk melantik penggantinya iaitu:
‘Utsman, ‘Ali, ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf, al-Zubair, Talhah serta
Sa‘ad bin Abi Waqqas radhiallahu ‘anhum sebagaimana termaktub
di dalam Shahih al-Bukhari dan Shahih Muslim.
15
Anak-Anak ‘Umar
Anak-anak ‘Umar radhiallahu ‘anh adalah ‘Abd Allah, ‘Ubaid
Allah, ‘Asim, Zaid al-Sughra, Umm al-Mukminin Hafsah
iaitu isteri Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam serta
Fatimah radhiallahu ‘anhum.
>>
Keutamaan Abu Bakar dan ‘Umar
وَاتَّخِذُوا مِنْ مَقَامِ إِبْرَاهِيمَ مُصَلًّى
Dan
jadikanlah sebahagian Maqam Ibrahim sebagai tempat solat.
[al-Baqarah: 2:125]