4 Para Sahabat Tidak Maksum
Pandangan kami tentang keadilan para sahabat radhiallahu ‘anhum
tidaklah bermakna bahawa mereka maksum (terpelihara) dari melakukan
maksiat mahupun berselisih (pendapat di kalangan mereka) atau
tersilap dan keliru sebagaimana sangkaan Syi‘ah al-Rafidhah
terhadap Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah. Para sahabat adalah
sebagaimana manusia biasa yang boleh melakukan perbuatan dosa serta
pelbagai kesalahan lainnya. Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam bersabda:
كُلُّ ابْنِ آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ.
Setiap anak Adam (yakni manusia) pasti melakukan kesalahan,
sedangkan sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan adalah orang
yang bertaubat.
Hadis di atas umum sifatnya dimana tidak terkeluar
daripada maknanya kecuali para Rasul serta para Nabi ‘alaihim al-Shalat
wa al-Salam. Hanya mereka sahaja yang terpelihara daripada
melakukan dosa dan kesalahan. Terhadap golongan selain daripada
mereka Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam mengajar
sebuah doa yang berbunyi:
إِنْ تَغْفِرْ اللَّهُمَّ تَغْفِرْ جَمَّا وَأَيُّ عَبْدٍ لَكَ لاَ
أَلَمَّا.
Sekiranya engkau mengampunkan Ya Allah, ampunkanlah kesemuanya
kerana sesungguhnya tidak ada hamba-hamba Engkau yang terlepas dari
melakukan dosa.
Hadis ini umum, bererti para sahabat termasuk di dalamnya juga.
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam juga bersabda
sebagaimana yang termaktub di dalam Shahih Muslim:
وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَوْ
لَمْ تُذْنِبُوا لَذَهَبَ اللَّهُ بِكُمْ وَلَجَاءَ بِقَوْمٍ
يُذْنِبُونَ فَيَسْتَغْفِرُونَ اللَّهَ فَيَغْفِرُ لَهُمْ
Demi nyawaku yang berada di Tangan-Nya, sekiranya
kamu tidak melakukan dosa nescaya Allah akan pergi bersama dengan
kamu dan akan datang suatu kaum lain dan mereka melakukan dosa dan
mereka yang melakukan dosa tersebut memohon keampunan kepada Allah
maka Allah mengampunkan dosa mereka.
Apakah sebabnya manusia melakukan dosa? Sesungguhnya
perbuatan tersebut merupakan suatu hikmah yang mendalam serta rahsia
Ilahi ke atas kejadian makhluk-Nya. Tambahan pula Allah Subhanahu
wa Ta‘ala mempunyai nama-nama yang khas bagi diri-Nya yang
sangat berfaedah buat manusia sekaliannya. Di antaranya al-Ghafur
(Maha Pengampun), al-Tawwab (Maha Penerima Taubat), al-Rahim
(Maha Mengasihani), al-Qahhar (Maha Menguasai), al-Jabbar
(Maha Perkasa), al-Muntaqim (Yang Maha Memberi Balasan).
Apakah faedahnya nama-nama tersebut di sisi Allah sekiranya manusia
sekalian bersifat maksum?
Sesungguhnya al-Qur’an menceritakan pelbagai kisah golongan yang
melakukan dosa dan maksiat serta pengingkaran terhadap Allah dengan
disertai hukuman ke atas mereka. Namun di samping itu ia turut
menceritakan bagaimana Allah Mengampunkan dosa-dosa golongan yang
bertaubat dari kesalahan-kesalahan yang mereka lakukan.
Oleh kerana itu sikap kami terhadap para sahabat Nabi shallallahu
‘alaihi wasallam adalah bahawa mereka juga tidak terpelihara
daripada melakukan kesalahan-kesalahan. Malah sebahagian kecil
daripada mereka ada yang terlibat melakukan dosa-dosa besar seperti
membunuh, berzina, meminum arak, pencelaan sesama sendiri dan
sebagainya. Misalnya kejadian yang berlaku ke atas Ma’iz
radhiallahu ‘anh yang didapati berzina serta dihukum berdasarkan
hukum Syari‘at (hudud) sebagaimana yang termaktub di dalam
hadis yang
sahih.
Begitu juga kejadian meminum arak serta pengkhianatan Hathib bin Abi
Balta’ah ((حاطب
بن أبي بلتعة kes pemotongan tangan al-Makhzumiyah المخزومية ))
yang didapati mencuri
dan juga kejadian saling mencela di antara sahabat sehingga sampai
ke pengetahuan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.
Kami tidak menafikan kejadian-kejadian yang disebutkan di atas serta
kami tidak akan mengingkarinya disebabkan ia termaktub di dalam
hadis-hadis yang sahih kedudukannya.
Begitu juga selepas kewafatan Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam terdapat sebahagian para sahabat radhiallahu ‘anhum
yang telah melakukan dosa membunuh, berzina, meminum arak serta
perbuatan dosa besar lainnya. Namun sikap kami ialah, segala
kejadian yang berlaku ke atas sebahagian para sahabat tidak
sedikitpun mencacatkan sifat keadilan mereka dan Allah tetap
meredhai mereka sekalian disebabkan mereka semuanya telah bertaubat
dari kesalahan yang dilakukan serta rujuk kembali mentaati segala
perintah Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Sesungguhnya para sahabat radhiallahu ‘anhum di kalangan
Muhajirin serta Ansar, mereka itu beriman sepenuhnya kepada Allah
dan Rasul-Nya serta apa yang datang dari keduanya. Mereka berjuang
serta berjihad pada jalan Allah serta menyertai Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam dengan penuh kebenaran dan
keikhlasan. Maka segala kesalahan yang telah dilakukan oleh
sebahagian mereka itu telahpun diampunkan oleh Allah disebabkan
ketinggian kedudukan mereka di sisi Allah dan Rasul-Nya yang
mengatasi sekalian lainnya. Dengan itu keseluruhan mereka meninggal
dunia di dalam keadaan beriman kepada-Nya serta diredhai-Nya.
Dengan itu segala periwayatan yang dilakukan oleh para sahabat
adalah benar serta terhindar sama sekali daripada mendustai
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Wali Allah al-Dahlawi
rahimahullah berkata:
وبالتتبع وجدنا أن جميع الصحابة يعتقدون أن الكذب على رسول الله صلى
الله عليه وسلم أشد الذنوب ويحترزون عنه غاية الاحتراز.
Kita dapati bahawa para sahabat beri’tiqad bahawa sebesar-besar dosa
adalah perbuatan mendustakan Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam dan mereka seluruhnya mengelakkan diri dari melakukan
perbuatan tersebut.