Keenam: Keutamaan ‘Ali bin Abi
Thalib Karramallahu Wajhah
Beliau ialah Abu al-Hasan, Abu Turab, ‘Ali bin
Abi Thalib al-Hashimi al-Makki al-Madani al-Kufi, Amirul Mukminin.
Sepupu kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam,
saudara, wali serta menantu baginda menerusi perkahwinannya dengan
penghulu wanita syurga iaitu Fathimah binti Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam. Beliau juga adalah bapa kepada “Abu
al-Sabthain” iaitu Hasan serta Husain radhiallahu 'anhuma.
Sedangkan ibunya merupakan wanita pertama Bani Hasyim yang
melahirkan seorang Bani Hasyim. ‘Ali merupakan khalifah pertama di
kalangan Bani Hasyim, salah seorang daripada sepuluh orang sahabat
yang dijamin masuk syurga, salah seorang yang menyertai Perang Badar
yang telah diampuni dosa-dosa mereka, salah seorang daripada enam
ahli Syura yang diredhai Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam apabila baginda wafat. Beliau juga salah seorang yang
paling awal memeluk Islam, salah seorang daripada Khalifah
al-Rasyidin yang mendapat petunjuk, salah seorang ulama’ besar
di kalangan para sahabat, Imam Rabbaniyyin yang masyhur gagah
beraninya serta sangat terkenal dengan kezuhudannya.
‘Ali radhiallahu 'anh merupakan
orang yang pertama memeluk Islam di kalangan kanak-kanak. Ketika
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berhijrah ke Madinah,
baginda telah memerintahkan ‘Ali yang ketika itu masih kanak-kanak,
untuk tinggal di Mekah selama beberapa hari sehingga dia
mengembalikan semua barangan yang diamanahkan kepada baginda untuk
dijaga oleh para pemiliknya. ‘Ali telah menunaikan tanggungjawab itu
dengan baiknya.
Para sejarawan Islam bersepakat bahawa ‘Ali
menghadiri semua peperangan bersama Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam kecuali Perang Tabuk kerana pada ketika itu baginda
melantiknya sebagai wakil baginda di Madinah serta menjaga kaum
keluarga baginda di
sana. Dalam setiap peperangan yang disertainya, ‘Ali memiliki
kisah-kisah yang sangat terkenal sehinggakan baginda Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam menyerahkan bendera perang
kepadanya dalam banyak peristiwa peperangan.
‘Ali radhiallahu 'anh dilantik
menjadi khalifah sehari setelah terbunuhnya ‘Utsman radhiallahu
‘anh menerusi kesepakatan para sahabat Muhajirin dan Ansar.
Namun selepas dari perlantikannya itu berlaku pergeseran di antara
beliau dengan sebahagian sahabat utama, di antaranya Talhah serta
al-Zubair radhiallahu ‘anhuma apabila mereka berdua ingin
menyelesaikan segera persoalan pembunuhan ‘Utsman radhiallahu
‘anh. ‘Ali membuat keputusan untuk menangguhkan penangkapan ke
atas pembunuh tersebut sehingga selesai urusan menundukkan para
pemberontak.
Disebabkan perbezaan pendapat inilah maka
Muawiyah bin Abu Sufian radhiallahu ‘anh tidak memberikan
bai‘ahnya kepada ‘Ali sehingga ‘Ali menyelesaikan dahulu
permasalahan tersebut. Rentetan dari peristiwa tersebut menyebabkan
berlakulah peperangan saudara di kalangan umat Islam iaitu Perang
Jamal dan Perang Siffin yang akhirnya membawa kepada peristiwa
Tahkim. Namun terdapat di kalangan pengikut ‘Ali radhiallahu
‘anh yang tidak bersetuju diadakan perdamaian serta Tahkim,
maka mereka membuat keputusan keluar dari barisannya serta mengambil
tindakan mengkafirkannya. Golongan mereka ini kemudiannya diperangi
dalam sebuah peperangan Nahrawan. Golongan yang keluar ini dikenali
sebagai golongan Khawarij. Akan tetapi sebahagian dari mereka
melakukan perancangan teliti yang akhirnya berjaya mengakibatkan
pembunuhan ‘Ali menerusi ‘Abd al-Rahman bin Muljam al-Khariji pada
tahun 40 hijrah (661 Masihi).
Anak-Anak Beliau
Anak-anak lelaki ‘Ali radhiallahu ‘anh
adalah Hasan, Husain, Muhammad al-Hanafiyyah, ‘Abbas dan
‘Umar. Manakala anak-anak perempuan beliau adalah Zainab dan Umm
Kaltsum, dimana Umm Kaltsum ini telah dinikahkan dengan ‘Umar bin
al-Khaththab radhiallahu ‘anh.
‘Ali, Sahabat Yang Sangat
Banyak Kelebihannya
‘Ali karramallahu wajhah
mempunyai banyak keutamaan serta kelebihan sehingga berkata Ahmad,
Isma’il al-Qadhi, al-Nasa’i dan Abu ‘Ali al-Naisaburi
rahimahumullah: Belum ada riwayat dengan sanad-sanad yang baik
berkenaan keutamaan sahabat yang lebih banyak daripada riwayat
tentang keutamaan ‘Ali bin Abi Talib radhiallahu ‘anh.
Ibn Hajar al-‘Asqalani menjelaskan sebabnya:
Ini kerana beliau adalah orang yang terakhir (iaitu
Khalifah al-Rasyidin yang terakhir) dimana banyak terjadi
perselisihan pada zaman beliau sehinggakan sebahagian orang
menyatakan bangkangan terhadap beliau. Itulah sebabnya
riwayat-riwayat tentang beliau tersebar, bersumber dari penjelasan
para sahabat sebagai bantahan terhadap orang-orang yang berselisih
faham dengan beliau……
Pada masa pemerintah ‘Ali terdapat golongan yang
memerangi beliau, kemudian (selepas itu) diperhebatkan oleh para
khatib dari kalangan para penderhaka Bani ‘Umayyah dan penyokong
mereka yang melaknat beliau di atas mimbar-mimbar (ketika solat
Jumaat). Begitu juga kebencian yang bersangatan oleh golongan
Khawarij terhadapnya sehingga ke peringkat mengkafirkan beliau.
Umat Islam pada ketika itu dapat dibahagikan kepada
tiga golongan:
1.
Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah
dimana mereka merupakan golongan yang memberikan bai‘ah
kepada ‘Ali radhiallahu ‘anh serta kekal di dalam bai‘ah
tersebut.
2.
Golongan ahli
Bid’ah dari kalangan Khawarij.
3.
Golongan yang
memeranginya dari kalangan Bani Umayyah serta pengikut-pengikut
mereka.
Oleh kerana itu Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah
memandang penting untuk menyebarkan riwayat-riwayat tentang
keutamaan serta kelebihan ‘Ali radhiallahu ‘anh. Maka
ramailah perawi yang menukilkannya. Kerana pada hakikatnya seluruh
Khalifah al-Rasyidin yang empat, masing-masing daripada
mereka mempunyai keutamaan serta kelebihan. Dan apabila disukat
dengan sukatan yang adil, pasti tidak akan terkeluar dari asas
Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah.
Berikut disenaraikan keutamaan ‘Ali bin Abi Thalib
radhiallahu 'anh:
1
‘Ali Mencintai Allah Dan Rasul-Nya Dan Dia Dicintai Allah Dan
Rasul-Nya
Di antara keutamaan yang agung bagi ‘Ali
radhiallahu ‘anh adalah pengakuan Rasulullah shallallahu
‘alaihi wasallam bahawa ‘Ali mencintai Allah dan Rasul-Nya
manakala Allah dan Rasul-Nya juga mencintai beliau. Sesungguhnya
sangat benarlah ucapan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam
itu. Sahal bin Sa‘ad radhiallahu ‘anh menerangkan bahawa
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda pada hari
Perang Khaibar:
لأُعْطِيَنَّ هَذِهِ
الرَّايَةَ غَدًا رَجُلاً
يَفْتَحُ اللَّهُ عَلَى يَدَيْهِ يُحِبُّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ
وَيُحِبُّهُ اللَّهُ وَرَسُولُهُ.
“Nescaya akan kuserahkan bendera ini esok hari kepada
seseorang yang Allah berikan kemenangan melalui tangannya. Orang itu
mencintai Allah serta Rasul-Nya dan dia dicintai oleh Allah serta
Rasul-Nya.”
(Sahal meneruskan): Maka semalaman suntuk orang-orang membicarakan
siapakah di antara mereka yang akan diserahi bendera itu. Keesokan
paginya mereka mendatangi Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam
dimana masing-masing berharap dialah yang akan diserahkan bendera
itu. Lalu Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
“Dimanakah ‘Ali bin Abi Talib?” Dijawab: “Wahai Rasulullah! Dia
diserang sakit mata.” Rasulullah bersabda: “Panggil dan bawa dia
kemari.”
Dan dibawalah ‘Ali kehadapan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam
lalu baginda meludah pada kedua belah matanya seraya berdoa untuknya.
Seketika sahaja dia sembuh seakan-akan tidak pernah terkena penyakit.
Kemudian Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menyerahkan bendera
itu kepadanya. ‘Ali berkata: “Wahai Rasulullah, aku memerangi mereka
hingga mereka menjadi seperti kita.”
Rasulullah bersabda: “Majulah ke depan dengan tenang! Sampai kamu
tiba ke tempat mereka, ajaklah mereka kepada Islam dan sampaikanlah
kepada mereka hak-hak Allah yang wajib mereka tunaikan. Demi Allah,
sekiranya Allah memberikan petunjuk kepada seseorang melalui dirimu,
sungguh lebih baik (berharga) bagimu daripada memiliki unta-unta
merah.
Hadis ini menunjukkan kelebihan
‘Ali dimana kedudukan beliau sudah berada pada tahap maqam
kasih-sayang (al-Mahbubiyyah) Allah
Subhanahu Wa Ta‘ala
serta Rasul-Nya. Kedudukan tersebut tidak dikurniakan kecuali kepada
lelaki yang sangat tinggi kedudukannya.
2 Mencintai
‘Ali Sebahagian Daripada Iman Manakala Membenci ‘Ali Sebahagian
Daripada Kemunafikan
Termasuk keutamaan
‘Ali radhiallahu 'anh adalah Allah menjadikan antara petanda
keimanan seseorang dengan mencintai beliau manakala petanda
kemunafikan seseorang adalah dengan membenci beliau. ‘Ali pernah
berkata:
وَالَّذِي فَلَقَ الْحَبَّةَ وَبَرَأَ النَّسَمَةَ إِنَّهُ لَعَهْدُ
النَّبِيِّ لأُمِّيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَيَّ أَنْ
لاَ يُحِبَّنِي إِلاَّ مُؤْمِنٌ وَلاَ يُبْغِضَنِي إِلاَّ مُنَافِقٌ.
Demi Zat yang membelah biji-bijian dan
menciptakan makhluk yang bernyawa, sesungguhnya Nabi yang Ummi
shallallahu ‘alaihi wasallam mengatakan kepadaku bahawa tidak ada
yang mencintaiku kecuali seorang mukmin dan tidak ada yang
membenciku kecuali seorang munafik.
Hadis ini menunjukkan kelebihan ‘Ali
radhiallahu ‘anh dimana ia merupakan neraca bagi mengenali
golongan beriman serta golongan munafik. Sesiapa yang mengasihi
kerabat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang termasuk
di dalamnya ‘Ali maka dia mengasihi baginda dan baginda mengasihinya.
Betapa tingginya kedudukan ‘Ali dilihat dari segi jasa-jasa,
penghijrahan serta jihadnya bagi meninggi dan memberikan kemenangan
kepada Islam. Bertentangan dengan itu, sesiapa yang mencela serta
mengutuknya maka ia menjadi tanda kepada terkeluarnya iman dan Islam
seseorang itu serta menunjukkan kepada budi-pekerti yang buruk. Maka
dengan sebab itu para sahabat, apabila mereka ingin mengenali
golongan munafik di kalangan mereka, mereka akan melihat kepada
sesiapa yang menunjukkan kebencian kepada ‘Ali radhiallahu ‘anh.
Adapun peristiwa sebahagian para sahabat
yang terlibat di dalam memerangi ‘Ali, misalnya Thalhah, al-Zubair
serta ‘Aisyah radhiallahu ‘anhum, mereka melakukan tindakan
demikian bukanlah kerana kebencian kepada ‘Ali atau perkara yang
berkaitan dengan keperibadian ‘Ali atau kerana urusan keduniaan.
Akan tetapi ia adalah di atas urusan keagamaan yang melibatkan
permasalahan ijtihad semata-mata. Adapun kesalahan ijtihad tentunya
mereka dimaafkan sekiranya tersalah.
Berbeza dengan Syi‘ah al-Rafidhah
yang menjadikan hadis ini sebagai hujah bagi menunjukkan kemunafikan
sebahagian besar dari para sahabat kerana bertindak zalim memerangi
‘Ali semasa pemerintahannya. Maka betapa sesat dan mengarutnya
pandangan mereka itu.
3 Kedudukan ‘Ali Di Sisi
Rasulullah Seperti Kedudukan Harun Di Sisi Musa
Satu
penghormatan yang tinggi nilainya bagi ‘Ali ialah apabila Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam menjadikannya sebagai wakil
serta khalifah sementara bagi menggantikan tempat baginda sewaktu
baginda masih hidup serta meletakkan kedudukannya sama seperti Nabi
Harun di sisi Nabi Musa ‘alaihimussalam.
‘Amr bin Sa‘ad bin Abi Waqqas meriwayatkan
daripada ayahnya bahawa dia berkata:
أَمَرَ مُعَاوِيَةُ بْنُ أَبِي سُفْيَانَ سَعْدًا فَقَالَ: مَا
مَنَعَكَ أَنْ تَسُبَّ أَبَا التُّرَابِ؟ فَقَالَ أَمَّا مَا ذَكَرْتُ
ثَلاَثًا قَالَهُنَّ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ فَلَنْ أَسُبَّهُ لأَنْ تَكُونَ لِي وَاحِدَةٌ مِنْهُنَّ
أَحَبُّ إِلَيَّ مِنْ حُمْرِ النَّعَمِ.
سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ
لَهُ خَلَّفَهُ فِي بَعْضِ مَغَازِيهِ فَقَالَ لَهُ عَلِيٌّ: يَا
رَسُولَ اللَّهِ خَلَّفْتَنِي مَعَ النِّسَاءِ وَالصِّبْيَانِ؟ فَقَالَ
لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَمَا
تَرْضَى أَنْ تَكُونَ مِنِّي بِمَنْزِلَةِ هَارُونَ مِنْ مُوسَى إِلاَّ
أَنَّهُ لاَ نُبُوَّةَ بَعْدِي.
وَسَمِعْتُهُ يَقُولُ يَوْمَ خَيْبَرَ: لأُعْطِيَنَّ الرَّايَةَ
رَجُلاً يُحِبُّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَيُحِبُّهُ اللَّهُ وَرَسُولُهُ.
قَالَ فَتَطَاوَلْنَا لَهَا فَقَالَ: ادْعُوا لِي عَلِيًّا فَأُتِيَ
بِهِ أَرْمَدَ فَبَصَقَ فِي عَيْنِهِ وَدَفَعَ الرَّايَةَ إِلَيْهِ
فَفَتَحَ اللَّهُ عَلَيْهِ.
وَلَمَّا نَزَلَتْ هَذِهِ الْآيَةُ فَقُلْ تَعَالَوْا نَدْعُ
أَبْنَاءَنَا وَأَبْنَاءَكُمْ دَعَا رَسُولُ اللَّهِ
صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلِيًّا وَفَاطِمَةَ وَحَسَنًا
وَحُسَيْنًا فَقَالَ: اللَّهُمَّ هَؤُلَاءِ أَهْلِي.
Muawiyah bin Abu Sufian radhiallahu ‘anh
melantik Sa‘ad sebagai Gabenor lalu berkata: “Apakah yang
menghalangimu dari mencela Abu al-Turab (‘Ali)?” Sa‘ad menjawab:
“Ianya disebabkan tiga perkara (keutamaan) yang saya ingat
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam berkata tentangnya, maka
dengan itu saya tidak akan mencelanya. Malah jika saya dapat
perolehi satu daripada (keutamaan tersebut) untuk diri saya maka
ianya lebih aku kasihi daripada unta-unta merah.”
(Sa‘ad menyambung) “Saya mendengar
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam berkata tentang ‘Ali semasa
baginda meninggalkannya (di Kota Madinah ketika baginda keluar)
dalam satu peperangan (iaitu Perang Tabuk). ‘Ali berkata kepada
baginda: “Wahai Rasulullah, anda meninggalkan saya bersama-sama
dengan wanita dan kanak-kanak?” Maka Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam berkata kepadanya: “Apakah engkau tidak redha kedudukanmu
di sisiku seperti kedudukan Harun di sisi Musa? Hanyasanya tidak ada
Nabi lagi sesudahku.”
Dan saya juga mendengar baginda bersabda
pada hari Perang Khaibar: “Nescaya aku akan serahkan bendera ini
kepada seseorang yang mencintai Allah dan Rasul-Nya dan dia dicintai
oleh Allah dan Rasul-Nya.” Berkata Saad: Kami menanti dengan penuh
harapan akan perkara tersebut, lalu baginda berkata: “Panggil ‘Ali.”
Lalu diapun dipanggil sedangkan dia menghidapi sakit mata. Lalu
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menyemburkan ludahnya kepada
kedua matanya dan menyerahkan bendera itu kepadanya. Maka Allah
memberikan kemenangan kepadanya.
(Keutamaan ketiga adalah) apabila turunnya
ayat: Marilah kita memanggil anak-anak kami dan anak-anak kamu [ Ali
Imran 3:61], maka Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam memanggil
‘Ali, Fatimah, Hasan, Husain lalu berkata: “Ya Allah mereka adalah
keluargaku.”
Sesungguhnya Muawiyah dan para pengikutnya
serta sebahagian dari para pembesar Bani Umayyah di serata wilayah
pemerintahannya mencela serta melaknat ‘Ali radhiallahu ‘anh
di atas mimbar-mimbar masjid. Hal ini berlaku pada waktu hari raya
serta di perhimpunan lainnya. Mereka mengingkari sesiapa yang tidak
melakukan demikian serta menghukum mereka sehingga ke peringkat
membunuh bagi sesiapa yang tidak mencela dan melaknat ‘Ali. Ini
sebagaimana yang termaktub di dalam kitab-kitab hadis dan sejarah.
Di antara riwayat yang dimaksudkan ialah daripada Sahal bin Sa‘ad
radhiallahu 'anh:
اسْتُعْمِلَ عَلَى الْمَدِينَةِ رَجُلٌ مِنْ آلِ مَرْوَانَ قَالَ
فَدَعَا سَهْلَ بْنَ سَعْدٍ فَأَمَرَهُ أَنْ يَشْتِمَ عَلِيًّا. قَالَ
فَأَبَى سَهْلٌ. فَقَالَ لَهُ: أَمَّا إِذْ أَبَيْتَ فَقُلْ لَعَنَ
اللَّهُ أَبَا التُّرَابِ! فَقَالَ سَهْلٌ: مَا كَانَ لِعَلِيٍّ اسْمٌ
أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ أَبِي التُّرَابِ.
Seorang lelaki dari ahli keluarga Marwan
dilantik sebagai Gabenor Madinah. Maka dia memanggil Sahal bin
Sa‘ad dan menyuruhnya untuk mencela ‘Ali. Sahal menolak untuk
melakukannya. Dia (Gabenor) tersebut berkata kepadanya: “Sekiranya
kamu tidak setuju melakukannya sekurang-kurangnya katakanlah, Semoga
Allah mencela Abu Turab!”
Sahal menjawab: “Tidak ada nama yang lebih
dicintai ‘Ali selain daripada Abu Turab.”
Berdasarkan hadis di atas, jelas bahawa
sebahagian besar Bani Umayyah serta para pengikut mereka mencela
serta melaknat ‘Ali dan menyeru orang ramai agar melakukan hal yang
sama. Perbuatan mereka merupakan sesuatu yang sabit dan tidak
mungkin dapat diingkari. al-Suyuthi rahimahullah berkata:
“Bani Umayyah telah melaknat ‘Ali bin Abi Thalib di tujuh puluh
mimbar Masjid.”
Al-Abi rahimahullah di dalam Syarh Shahih Muslim
berkata:
“Sesungguhnya mencela ‘Ali tu merupakan seburuk-buruk perkataan dan
perbuatan Bani Umayyah.”
Kami (pengarang) menekankan bahawa sesiapa yang
mencela ‘Ali radhiallahu ‘anh maka dia mencela Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana yang dikatakan oleh Umm
Salamah radhiallahu 'anha, bahawa dia mendengar Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
مَنْ سَبَّ عَلِيًّا فَقَدْ سَبَّنِي.
Sesiapa yang mencela ‘Ali maka dia mencela diriku.
Adapun sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam: “Apakah engkau tidak redha kedudukanmu di sisiku
seperti kedudukan Harun di sisi Musa? Hanyasanya tidak ada Nabi lagi
sesudahku” merupakan hadis yang mutawatir yang
diriwayatkan menerusi sepuluh orang sahabat Nabi shallallahu
‘alaihi wasallam serta termaktub di dalam Shahih al-Bukhari
dan Shahih Muslim.
Maksud hadis di atas adalah seakan-akan
Nabi bersabda kepada ‘Ali: “Engkau saudaraku, menteriku serta
khalifahku sewaktu aku masih hidup.”
Ini sebagaimana yang berlaku di antara Nabi Musa dengan Nabi Harun.
Nabi Harun adalah saudara, menteri dan khalifah Nabi Musa kepada
Bani Israel sewaktu hayat Nabi Musa. Ini berlaku ketika beliau (Nabi
Musa) pergi bermunajat kepada Allah.
Akan tetapi Nabi Harun tidak menjadi khalifah selepas kewafatan Nabi
Musa kerana beliau (Nabi Harun) telah wafat terlebih dahulu. Maka
begitu juga ‘Ali tidak menjadi khalifah khusus bagi Nabi
shallallahu ‘alaihi wasallam kecuali sewaktu hayat baginda
sahaja.
Maka hadis tersebut tidak boleh dijadikan hujah bagi menunjukkan
‘Ali sebagai khalifah Rasulullah selepas kewafatan baginda
sebagaimana lazim diperhujahkan oleh Syi‘ah al-Rafidhah.
4 ‘Ali Dan Rasulullah
Merupakan Sebahagian Dari Sebahagian Yang Lain
Di antara keutamaan yang agung bagi ‘Ali
radhiallahu 'anh adalah Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam menjadikan diri ‘Ali sebahagian dari diri baginda. Al-Barra’
bin ‘Azib radhiallahu 'anh berkata, Rasulullah shallallahu
'alaihi wasallam pernah bersabda kepada ‘Ali:
أَنْتَ مِنِّي وَأَنَا مِنْكَ.
Engkau adalah daripadaku dan aku adalah daripada
engkau.
Dalam riwayat yang lain daripada ‘Imran
bin al-Hushain, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam
pernah mengutus ‘Ali mengetuai satu ekspedisi ke Yaman. Dalam
ekspedisi tersebut, sebahagian sahabat ada yang tidak setuju dengan
tindak-tanduk ‘Ali, lalu mereka mengadu kepada Rasulullah setelah
kembali ke Madinah. Setiap kali mereka mengadu Rasulullah berpaling,
sehinggalah kali keempat dimana baginda menjadi marah dan bersabda:
مَا تُرِيدُونَ مِنْ عَلِيٍّ! مَا تُرِيدُونَ مِنْ عَلِيٍّ! مَا
تُرِيدُونَ مِنْ عَلِيٍّ! إِنَّ عَلِيًّا مِنِّي وَأَنَا مِنْهُ وَهُوَ
وَلِيُّ كُلِّ مُؤْمِنٍ بَعْدِي.
Apa yang kalian kehendaki dari ‘Ali? Apa
yang kalian kehendaki dari ‘Ali? Apa yang kalian kehendaki dari
‘Ali? Sesungguhnya ‘Ali adalah daripada aku dan aku adalah daripada
‘Ali dan dia (‘Ali) adalah wali setiap mukmin sesudah aku.
5 ‘Ali adalah Maula
Bagi Sekalian Orang Beriman
Di antara keutamaan dan kelebihan
yang dikhususkan Allah Subhanahu wa Ta'ala kepada ‘Ali ialah
beliau adalah Maula pemimpin bagi setiap orang yang beriman
sesudah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam. Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam telah bersabda:
مَنْ كُنْتُ مَوْلاَهُ فَعَلِيٌّ مَوْلاَهُ.
Barangsiapa yang aku adalah mawlanya maka ‘Ali adalah mawlanya.
Dalam riwayat yang lain dengan jalan periwayat
yang banyak, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
مَنْ كُنْتُ مَوْلاَهُ فَهَذَا وَليَّهُ, اللَّهُمَّ وَالِ مَنْ
وَالاَهُ وَعَادِ مَنْ عَادَاهُ.
Barangsiapa aku adalah
mawlanya maka inilah (‘Ali) walinya. Ya Allah! Cintailah sesiapa
yang memperwalikannya dan musuhilah sesiapa yang memusuhinya.
Walaubagaimanapun tidak boleh mengangkat
perkataan Mawla kepada al-Imamah (atau khalifah)
kerana ia bertentangan dengan apa yang berlaku secara realiti. Ini
kerana Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak akan
mengkhabarkan sesuatu yang bertentangan dengan realiti. Memahami
perkataan Mawla sebagai al-Imamah (atau khalifah)
membawa kepada celaan dan kesesatan kepada setiap sahabat, khasnya
para sahabat yang utama dari kalangan Muhajirin dan Anshar. Oleh itu
perkataan Mawla wajib difahami sebagai kecintaan, pertolongan
dan kesetiaan dalam Islam.
6 Mengasihi ‘Ali Bererti
Mengasihi Rasulullah Manakala Membenci ‘Ali Bererti Membenci
Rasulullah
Umm Salamah radhiallahu 'anha
berkata, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
مَنْ أَحَبَّ عَلِياًّ فَقَدْ أَحَبَّنِي، وَمَنْ أَحَبَّنِي فَقَدْ
أَحَبَّ الله، وَمَنْ أَبْغَضَ عَلِياًّ فَقَدْ أَبْغَضَنِي، وَمَنْ
أَبْغَضَنِي فَقَدْ أَبْغَضَ الله.
Sesiapa yang mengasihi ‘Ali maka sungguh
dia mengasihi aku dan sesiapa mengasihi aku maka sungguh dia
mengasihi Allah. Dan sesiapa membenci ‘Ali maka sungguh dia membenci
aku dan sesiapa membenci aku maka sungguh dia membenci Allah.
Dalam sebuah hadis yang lain Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
مَنْ أَحَبَّ عَلِياًّ فَقَدْ أَحَبَّنِي وَمَنْ أَبْغَضَ عَلِياًّ
فَقَدْ أَبْغَضَنِي.
Sesiapa yang mengasihi ‘Ali maka sungguh
dia mengasihi aku dan sesiapa membenci ‘Ali maka sungguh dia
membenci aku.
Sesungguhnya ini merupakan keutamaan
anugerah Allah yang dikhususkan kepada Abu al-Hasan (‘Ali)
radhiallahu ‘anh.
7 Allah Mengampuni ‘Ali
‘Ali radhiallahu ‘anh berkata,
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepadanya:
Mahukah aku ajarkan kamu kalimat yang
apabila diucap terampunlah bagi engkau dan engkau memperoleh
kedudukan keampunan? (Ucapkanlah):
لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ الْحَلِيمُ الْكَرِيمُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ
اللَّهُ الْعَلِيُّ الْعَظِيمُ سُبْحَانَ اللَّهِ رَبِّ السَّمَوَاتِ
السَّبْعِ وَرَبِّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ
الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ.
Tidak ada Tuhan selain Allah yang Maha
Penyantun, yang Maha Mulia. Tidak ada Tuhan selain Allah yang Maha
Tinggi, yang Maha Agung. Maha Suci Allah Tuhan langit yang tujuh dan
Tuhan al-‘Arasy yang agung. Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian
alam.
Ini merupakan keutamaan besar dari Nabi
shallallahu ‘alaihi wasallam kepada ‘Ali radhiallahu 'anh
dimana beliau akan berada di bawah pengampunan Allah Subhanahu wa
Ta'ala serta segala dosa dan kesalahannya akan diampuni. Perkara
ini tidaklah menghairankan kerana ‘Ali merupakan salah seorang ahli
keluarga Nubuwwah, seorang yang menyertai Perang Badar dan Bai‘ah
al-Ridwan.
8
‘Ali, Sahabat Nabi Yang Paling
Berilmu dan Pintu Kepada Kota Ilmu
Termasuk
keutamaan ‘Ali ialah ketinggian ilmunya dimana jarang sekali di
kalangan para sahabat yang lain yang dapat menandinginya.
Diriwayatkan bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam
pernah berkata-kata kepada Fathimah radhiallahu 'anha dimana
antara lain baginda bersabda:
أَوَ مَا تَرْضَيْنَ أَنِّي زَوَّجْتُكِ أَقْدَمَ أُمَّتِي سِلْمَا
وَأَكْثَرَهُمْ عِلْمًا وَأَعْظَمَهُمْ حِلْمًا؟
Apakah engkau akan redha apabila aku
memberitahu bahawa suami engkau adalah orang yang paling terdahulu
bagi umatku dalam kebaikannya, paling banyak ilmunya di antara
mereka dan paling agung kesantunannya di antara mereka?
Hasan bin ‘Ali radhiallahu 'anhuma
berkhutbah selepas pembunuhan ‘Ali: “Demi sesungguhnya kalian
telah berpisah dengan seseorang yang tidak dapat ditandingi ilmunya
baik oleh orang yang sebelumnya mahupun selepasnya.”
‘Abd Allah ibn ‘Abbas radhiallahu 'anh
berkata, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam
diriwayatkan bersabda:
أَنَا مَدِيْنَةُ العِلْمِ وَعَلِي بَابُهَا فَمَنْ أَرَادَ
المَدِيْنَةُ فَلْيَأْتِ البَاب.
Saya adalah kota ilmu sedangkan ‘Ali adalah pintunya, sesiapa yang
hendak memasuki
kota (ilmu) maka masuklah melalui pintunya.
Hadis di atas menunjukkan bahawa ‘Ali
radhiallahu ‘anh adalah seorang yang sangat menguasai ilmu
pengetahuan serta petunjuk. Keadaan ini bertambah terserlah menerusi
penyaksian Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam apabila
baginda mengutuskan beliau sebagai Qadhi (Hakim) ke Yaman
sekalipun beliau saat itu masih muda. Maka Rasulullah shallallahu
'alaihi wasallam berdo’a untuk ‘Ali: “Ya Allah berikanlah
petunjuk dalam hatinya dan tetapkan lidahnya.” Sejak
itu ‘Ali tidak pernah ragu-ragu untuk memutuskan hukuman di antara
dua orang yang dihadapkan kepadanya.
‘Umar al-Khaththab
radhiallahu 'anh
pernah berkata:
“Pembaca al-Qur’an terbaik di kalangan kami ialah Ubay manakala
sebaik-baik Qadhi (hakim) di kalangan kami ialah ‘Ali.”
Ibn Mas‘ud
radhiallahu 'anh
berkata:
“Kita telah berbincang, bahawa di kalangan
kami (para sahabat) Qadhi yang terbaik ialah ‘Ali.”
‘Aisyah radhiallahu 'anha pernah ditanya tentang hukum
menyapu di atas kasut sebagai ganti membasuh ketika berwudhu’, maka
beliau menyuruh orang tersebut untuk merujuk kepada ‘Ali bin Abi
Thalib.
Pernah pada zaman pemerintahan ‘Umar, beliau
menghukum rejam ke atas seorang wanita yang tidak siuman. Hal ini
sampai ke pengetahuan ‘Ali, lalu beliau pergi berjumpa ‘Umar dan
berkata: “Wahai Amirul Mukminin, tidakkah engkau tahu
sesungguhnya terangkat kalam (Allah tidak akan menyiksa) manusia ke
atas 3 perkara: Orang yang gila hingga dia sedar dari gilanya, orang
yang tidur hingga dia bangun dari tidurnya dan kanak-kanak hingga
dia mencapai usia baligh?” ‘Umar menjawab: “Benar.” Maka
selepas itu wanita tersebut dibebaskan.
Demikianlah contoh ketinggian ilmu ‘Ali radhiallahu 'anh.
Kalaulah tidak nasihat ‘Ali kepada ‘Umar, nescaya wanita tidak
siuman tersebut akan dihukum rejam. Kisah ini juga menunjukkan
betapa besarnya kedudukan ‘Ali di sisi ‘Umar.
9 Kebenaran Berada Di
Tangan ‘Ali
Termasuk keutamaan ‘Ali bin Abi Thalib radhiallahu 'anh adalah
ramalan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bahawa kelak
akan ada perselisihan dan di dalam perselisihan tersebut, kebenaran
berada di pihak ‘Ali.
Abu Sa‘id al-Khudri radhiallahu 'anh
berkata, Kami berada di sisi rumah Nabi shallallahu 'alaihi
wasallam bersama-sama para sahabat Muhajirin dan Ansar, lalu baginda
bertanya: “Mahukah aku khabarkan kalian apa yang baik bagi kalian?”
“Sudah tentu!” Rasulullah bersabda: Orang-orang yang memberi
kemaafan yang membuat kebaikan. Sesugguhnya Allah mengasihi orang
yang menyembunyikan ketaqwaannya (tidak bersifat riya’).”
Kemudian ‘Ali melintas (di hadapan mereka),
maka Rasulullah bersabda:
الحَقُّ مَعَ ذَا, الحَقُّ مَعَ ذَا.
“Kebenaran bersama orang ini, kebenaran
bersama orang ini.”
Abu Zar radhiallahu ‘anh berkata,
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepada ‘Ali:
يَا عَلِيُّ مَنْ فَارَقَنِي فَارَقَ الله وَمَنْ فَارَقَكَ يَا
عَلِيُّ فَارَقَنِي.
Wahai ‘Ali, sesiapa yang memisahkan diri dariku maka dia memisahkan
diri dari Allah, dan sesiapa yang memisahkan diri dari engkau wahai
‘Ali, maka dia memisahkan diri dariku.
Abu Sa‘id al-Khudri radhiallahu ‘anh
berkata, aku mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam
bersabda: “Sesungguhnya di antara kalian akan ada seorang yang
berperang demi sebuah penafsiran al-Qur’an laksana aku berperang
demi penurunannya.” Maka berdirilah Abu Bakar dan ‘Umar, namun
baginda menjawab: “Tidak, tetapi dia adalah orang yang aku
hadiahkan kasut (ini).” Lalu Rasulullah menghadiahkan kasut tersebut
kepada ‘Ali.
10 Penyaksian Rasulullah
Terhadap Kesusahan dan Kesyahidan ‘Ali
Di antara keutamaan yang berkekalan
untuk ‘Ali bin Abi Thalib radhiallahu 'anh adalah penyaksian
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tentang kesusahan
yang akan menimpanya dan juga penyaksian baginda terhadap orang yang
akan membunuhnya. ‘Abd Allah ibn ‘Abbas radhiallahu 'anh
berkata, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda
kepada ‘Ali bin Abi Thalib:
أَمَّا إِنَّكَ سَتُلْقَى بَعْدِي جُهْدًا. قَالَ: فِي سَلاَمَةٍ مِنْ
دِيْنِي؟ قَالَ: فِي سَلاَمَةٍ مِنْ دِيْنِكَ.
“Sesungguhnya engkau akan bersusah payah selepasku.”
‘Ali bertanya: “Sejahterakah saya di dalam agama saya?” Baginda
berkata “(Ya), engkau selamat dalam agama.”
‘Ammar bin Yasir radhiallahu ‘anh
berkata, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam berkata
kepada ‘Ali:
أَلاَ أُحَدِّثُكُمَا بِأَشْقَى النَّاسِ رَجُلَيْنِ؟ قُلْنَا: بَلَى
يَا رَسُولَ اللَّهِ. قَالَ: أُحَيْمِرُ ثَمُودَ الَّذِي عَقَرَ
النَّاقَةَ وَالَّذِي يَضْرِبُكَ يَا عَلِيُّ عَلَى هَذِهِ
يَعْنِي قَرْنَهُ حَتَّى تُبَلَّ مِنْهُ هَذِهِ يَعْنِي لِحْيَتَهُ.
“Hendakkah aku khabarkan kepada kalian berdua (‘Ammar dan ‘Ali)
tentang dua orang lelaki yang merupakan manusia paling celaka?” Kami
menjawab: “Sudah tentu wahai Rasulullah.” Rasulullah meneruskan:
“(Mereka berdua ialah) Penyembelih unta (Nabi Saleh dari kalangan
kaum) Tsamud dan orang yang memukul engkau wahai ‘Ali, yakni di
kepala engkau sehingga menyebabkan kematian kamu.”
Sesungguhnya yang menyebabkan kematian
‘Ali adalah perasaan tidak puashati suatu golongan (yang dikenali
dengan Khawarij) di atas perdamaian (Peristiwa Tahkim)
yang diadakan di antara pihak ‘Ali dengan pihak Muawiyah. Golongan
tersebut keluar dari pihak ‘Ali dan mengkafirkan beliau. Mereka juga
mengkafirkan para sahabat yang lain seperti Thalhah, al-Zubair,
‘Utsman, Muawiyah dan sesiapa sahaja yang bersama para sahabat
tersebut. ‘Ali kemudiannya telah memerangi mereka serta berjaya
menundukkan mereka. Akan tetapi setelah itu mereka (golongan
Khawarij) melantik tiga orang di kalangan mereka untuk membunuh
‘Ali, Muawiyah dan Amr bin al-Ash. Tindakan ini diambil kerana
golongan Khawarij beranggapan ketiga-tiga individu tersebut
merupakan punca utama kepada fitnah yang menimpa.
Mereka bersepakat untuk melakukan
pembunuhan tersebut secara serentak pada hari Jumaat 17 Ramadhan
tahun 40 hijrah. Ketiga-tiga pembunuh yang mereka lantik berangkat
menuju ke destinasi masing-masing. ‘Abd al-Rahman bin Muljam al-Muradi
ditugaskan membunuh ‘Ali. Apabila dia tiba di Kufah, dia telah
membunuh ‘Ali dengan pedangnya ketika ‘Ali baru keluar dari rumahnya,
dalam perjalanan ke masjid untuk menunaikan solat Subuh.
>> Keutamaan Abu Bakar, ‘Umar, ‘Utsman dan ‘Ali
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِنَ
الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ وَلا تَجَسَّسُوا وَلا
يَغْتَبْ بَعْضُكُمْ بَعْضًا أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَنْ يَأْكُلَ
لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ
اللَّهَ تَوَّابٌ رَحِيمٌ
Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah
kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan
yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu
adalah dosa; Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari
kesalahan dan keaiban orang; Dan janganlah setengah kamu
mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka
memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian
keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh
itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah
kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha
mengasihani. [al-Hujerat 49:12]
‘Umar al-Khaththab radhiallahu 'anh
berkata:
“Janganlah kamu berprasangka terhadap kalimat yang keluar
dari saudara kamu yang beriman kecuali dengan prasangka yang
baik selama kamu dapati kemungkinan untuk memahaminya dengan
pemahaman yang baik.”
[Dikemukakan
oleh Ibn Kathir dalam Tafsir al-Qur‘an al-‘Adzim, jld. 4,
ms. 193 (tafsir bagi ayat 12 surah al-Hujerat)]
Abu Qilabah rahimahullah (104H)
menasihatkan:
“Apabila sampai kepada kamu
berita tentang saudara kamu yang tidak menyenangkan, maka
carilah untuk dia sesuatu alasan dengan kesungguhan usaha kamu.
Dan jika tidak menemuinya, maka katakanlah kepada diri kamu:
“Barangkali dia mempunyai alasan yang aku tidak mengetahuinya.” [Dikeluarkan oleh
Abu Nu‘aim dalam Hilyah al-Auliya’ - no: 2411 (Tabaqat
Ahl al-Madinah: ‘Abd Allah bin Zaid al-Jarami).]
Catitan
penyunting: Yakni ke Gunung Tursina untuk menerima Kitab
Taurat. Hal ini dicatit di dalam al-Qur’an:
وَوَاعَدْنَا مُوسَى ثَلاثِينَ
لَيْلَةً وَأَتْمَمْنَاهَا بِعَشْرٍ فَتَمَّ مِيقَاتُ رَبِّهِ
أَرْبَعِينَ لَيْلَةً وَقَالَ مُوسَى لأخِيهِ هَارُونَ اخْلُفْنِي
فِي قَوْمِي وَأَصْلِحْ وَلا تَتَّبِعْ سَبِيلَ الْمُفْسِدِينَ