Keempat:
Keutamaan ‘Utsman bin ‘Affan Zu al-Nurain
Beliau ialah ‘Utsman bin ‘Affan Abi al-Ash, al-Quraisyi,
al-Amawi, al-Makki, Amirul Mukminin, Zu al-Nurain (pemilik
dua cahaya), salah seorang daripada sepuluh orang sahabat yang
dijamin masuk syurga, salah seorang daripada enam anggota Syura
yang diredhai Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam ketika
baginda wafat. Beliau juga salah seorang daripada empat Khalifah
al-Rasyidin, salah seorang daripada yang terawal memeluk Islam,
salah seorang daripada golongan Muhajirin yang melakukan dua
kali hijrah (pertama ke Habsyah, kedua ke Madinah), salah seorang
yang banyak menafkahkan hartanya pada jalan Allah, salah seorang
daripada menantu Rasulullah serta salah seorang ulama’ di kalangan
para sahabat.
Dilahirkan pada tahun ke enam dari tahun Gajah, beliau
memeluk Islam sebelum Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam
berdakwah di Darul Arqam di tangan Abu Bakar al-Shiddiq
radhiallahu ‘anh. Turut memeluk Islam bersama dengannya ialah
enam orang sahabat iaitu Abu ‘Ubaidah al-Jarrah, ‘Abd al-Rahman bin
‘Auf, Abu Salmah bin Abd al-Asad, al-Arqam bin al-Arqam dan ‘Utsman
bin Mazh‘un radhiallahu ‘anhum.
Beliau merupakan Muhajirin yang pertama berhijrah
pada jalan Allah ke Habsyah berserta dengan isterinya Ruqayyah binti
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Kemudian mereka
berdua berhijrah ke Madinah.
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam memberikan
pengakuan baginda bahawa ‘Utsman merupakan ahli syurga. Baginda juga
membai‘ah untuk ‘Utsman melalui tangan baginda yang mulia di
bai‘ah al-Ridhwan. Baginda diriwayatkan bersabda:
“Sesungguhnya ‘Utsman bin ‘Affan sedang melaksanakan perintah
Allah dan Rasul-Nya.”
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam mengasihi ‘Utsman
serta memperkatakan kemuliaan dirinya, ketinggian akhlaknya serta
kedermawannya.
Di antara keagungan ‘Utsman ialah ketika tentera Islam
dikerahkan dalam keadaan sulit (جيش
العسرة)
iaitu di dalam peperangan Tabuk. ‘Utsman menafkahkan hartanya
sebanyak tiga ratus ekor unta lengkap dengan pelana dan alasnya
serta wang sebanyak seribu dinar. Ibn Ishaq berkata, ‘Utsman
menafkahkan hartanya di dalam peperangan tersebut dengan nafkah yang
agung yang tidak ada seorangpun yang menafkahkan serupa dengannya
ketika itu.
Termasuk keagungan beliau ialah membeli telaga Rumat
dengan harga 35,000 dinar serta menafkahkannya pada jalan Allah bagi
menyahut seruan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam
dimana baginda bersabda: “Sesiapa yang menggali telaga Rumat
maka baginya syurga.”
Sesungguhnya ‘Utsman radhiallahu ‘anh adalah
seorang sahabat yang sangat rajin beribadah siang dan malam
sehinggakan pada saat beliau terbunuh, isterinya berkata:
“Mereka tergamak membunuhnya, padahal dia telah menghidupkan seluruh
malam dengan al-Qur’an.”
Beliau dilantik menjadi khalifah setelah terbunuhnya ‘Umar
al-Khaththab radhiallahu 'anh dengan disepakati para sahabat
radhiallahu ‘anhum di kalangan Muhajirin dan Ansar. Ini
berlaku setelah pemilihan yang dilakukan terhadap enam orang ahli
syura yang mana beliau adalah salah seorang anggotanya.
Ketika beliau menjadi khalifah empayar Islam menjadi
semakin luas dimana banyak daerah serta kota telah berjaya dibuka.
Di antaranya Afrika, Qabras, Tobaristan, Marwu’, Kirman dan Sajistan.
Berikut diperincikan beberapa keutamaan ‘Utsman ibn ‘Affan
radhiallahu 'anh:
1 ‘Utsman Di Kalangan Terawal Memeluk Islam
Ulama’ sejarah bersepakat bahawa ‘Utsman merupakan salah seorang
yang awal memeluk Islam di tangan Abu Bakar al-Siddiq
radhiallahu ‘anh.
2 ‘Utsman Di Kalangan Terawal Berhijrah
Para ulama’ bersepakat bahawa ‘Utsman radhiallahu ‘anh
merupakan Muhajirin pertama yang berhijrah ke Habsyah
bersama isterinya Ruqayyah binti Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam kemudian diikuti oleh golongan Muhajirin lainnya.
Setelah melakukan hijrah ke Habsyah, beliau berhijrah buat kali
keduanya ke Madinah. Keutamaan berhijrah serta ganjaran yang
diperolehi daripadanya termaklum di dalam al-Qur’an serta al-Sunnah.
3 Para
Malaikat Malu Terhadap ‘Utsman
Pada suatu hari Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam
sedang duduk di rumah baginda dimana ketika itu paha baginda terbuka
(tersingkap kainnya). Maka Abu Bakar radhiallahu 'anh meminta
izin kepada baginda untuk menutupinya dan diizinkan. Akan tetapi
paha baginda (kemudian) terbuka semula. Kemudian ‘Umar
radhiallahu 'anh meminta izin kepada baginda untuk menutupinya
dan diizinkan. Akan tetapi paha baginda (kemudian) terbuka semula.
Kemudian ‘Utsman radhiallahu 'anh beliau meminta izin kepada
baginda untuk menutupinya, namun baginda melepaskan pakaiannya (menutupi
seluruh pahanya yang terbuka).
Ketika mereka sudah pergi maka A’isyah bertanya: “Wahai Rasulullah,
Abu Bakar dan ‘Umar meminta izin kepadamu untuk menutupinya dan
engkau mengizinkan keduanya, tetapi engkau tetap berada dalam
keadaan semula (membiarkan paha beliau terbuka). Sedangkan ketika
‘Utsman meminta izin kepadamu, maka engkau melepaskan pakaianmu (menutupi
paha seluruhnya). Maka Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam
menjawab:
أَلاَ أَسْتَحِي مِنْ
رَجُلٍ تَسْتَحِي مِنْهُ الْمَلاَئِكَةُ.
Bagaimana aku tidak merasa malu dari seseorang yang malaikatpun
merasa malu kepadanya?
al-Nawawi rahimahullah dalam menerangkan hadis di
atas mengulas:
Ianya menunjukkan kelebihan yang nyata pada ‘Utsman dimana beliau
dipandang tinggi oleh para malaikat manakala malu merupakan salah
satu dari sifat-sifat mulia yang ada pada para malaikat.
4 ‘Utsman Seorang Derwaman
Ketika ‘Utsman radhiallahu 'anh dikepung oleh
orang-orang yang akhirnya membawa kepada pembunuhannya, beliau
berucap kepada orang ramai:
“Aku mengingatkan kalian, demi Allah, mereka yang mengetahui
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pada hari Hira’ bergoncang
lalu baginda menghentakkan kakinya ke gunung tersebut seraya berkata:
“Tenanglah ya Hira’ tidaklah di atas engkau melainkan seorang Nabi,
Siddiq, Syahid.”
Mereka
menjawab: “Benar!”.
Kemudian ‘Utsman berkata: “Aku mengingatkan kalian, demi Allah,
mereka yang mengetahui Rasulullah shallallahu ‘alaihi alihi wa
sallam pada hari pasukan ‘Usrah baginda bersabda: “Siapa yang
membekali pasukan ini dengan nafkah yang maqbul?” sedangkan orang
ramai ketika itu keletihan dan kesempitan disebabkan ekspedisi
tersebut (Perang Tabuk).” Mereka menjawab: “Ya Allah! Benar!”
‘Utsman berkata lagi: “Aku mengingatkan kalian, demi Allah, kepada
mereka yang mengetahui tentang telaga Rumat yang airnya tidak dapat
diminum oleh seseorang kecuali dengan bayaran, lalu aku membelinya
dengan hartaku dan aku peruntukkannya kepada orang fakir dan para
musafir untuk meminum airnya.” Mereka menjawab: “Ya Allah! Benar!”
‘Abd al-Rahman bin Samurah radhiallahu ‘anh berkata:
‘Utsman datang menemui Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dengan
membawa seribu dinar tatkala dia sedang mempersiapkan pasukan ‘Usrah
(untuk ekspedisi Tabuk). Kemudian baginda menyimpannya di dalam
biliknya dan membalik-balikkan wang tersebut seraya berkata:
مَا ضَرَّ عُثْمَانَ مَا عَمِلَ بَعْدَ الْيَوْمِ (مَرَّتَيْنِ).
“Setelah ini tidak ada perbuatan ‘Utsman yang membahayakan dirinya.”
Baginda mengulanginya dua kali.
Dengan adanya penyaksian daripada Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam terhadap ‘Utsman dimana apa sahaja
yang dilakukannya di masa hadapan tidak akan memberikan kemudaratan
pada dirinya, maka apakah patut bagi golongan yang terkemudian untuk
mencela serta memaki hamun beliau? Sudah tentu tidak melainkan
mereka yang ingkar kepada penyaksian Rasulullah!
5 ‘Utsman Berada Di Atas Kebenaran Pada Waktu Fitnah
Murrah bin
Ka‘ab radhiallahu 'anh menerangkan bahawa:
سَمِعْتُهُ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
مَا قُمْتُ وَذَكَرَ الْفِتَنَ فَقَرَّبَهَا فَمَرَّ رَجُلٌ مُقَنَّعٌ
فِي ثَوْبٍ فَقَالَ: هَذَا يَوْمَئِذٍ عَلَى الْهُدَى. فَقُمْتُ
إِلَيْهِ فَإِذَا هُوَ عُثْمَانُ بْنُ عَفَّانَ. قَالَ فَأَقْبَلْتُ
عَلَيْهِ بِوَجْهِهِ فَقُلْتُ: هَذَا؟ قَالَ: نَعَمْ.
Aku mendengar daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam
ketika beliau menyebut tentang fitnah yang akan terjadi di
tengah-tengah umat Islam. Pada ketika menyebut tentang fitnah ini,
berlalu seorang lelaki yang tertutup kepalanya dengan kain. Baginda
lantas bersabda: “Pada hari tersebut orang ini berada di atas
petunjuk” … sambil menunjuk ke arah lelaki yang bertutup itu.
(Murrah menyambung) Maka aku pergi kepada lelaki bertutup itu,
ternyata beliau ialah ‘Utsman bin ‘Affan. Kemudian ketika wajah
‘Utsman aku perlihatkan kepada Rasulullah, aku bertanya: “Orang
inikah anda maksudkan?”
Rasulullah menjawab: “Ya.”
Hadis di atas menyatakan pengakuan Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam terhadap ‘Utsman bahawa beliau berada di atas kebenaran
serta jalan yang lurus ketika menghadapi fitnah besar pada masa akan
datang. Iaitu fitnah yang menyebabkan berlakunya pertumpahan darah,
kezaliman serta kematian ke atas ‘Utsman radhiallahu ‘anh.
6 ‘Utsman Memenuhi Seruan Allah Dan Rasul-Nya
Termaktub di dalam Sahih al-Bukhari daripada ‘Ubai
Allah bin ‘Ady bin al-Khiar berkenaan dengan kisah al-Walid dimana
‘Utsman berkata:
أَمَّا بَعْدُ فَإِنَّ اللَّهَ بَعَثَ مُحَمَّدًا صَلَّى اللَّهُ
عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ بِالْحَقِّ فَكُنْتُ مِمَّنْ اسْتَجَابَ لِلَّهِ
وَلِرَسُولِهِ وَآمَنْتُ بِمَا بُعِثَ بِهِ وَهَاجَرْتُ
الْهِجْرَتَيْنِ كَمَا قُلْتَ وَصَحِبْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى
اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَبَايَعْتُهُ فَوَاللَّهِ مَا عَصَيْتُهُ
وَلاَ غَشَشْتُهُ حَتَّى تَوَفَّاهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ ثُمَّ أَبُو
بَكْرٍ مِثْلُهُ ثُمَّ عُمَرُ مِثْلُهُ ثُمَّ اسْتُخْلِفْتُ.
Amma Ba’du, sesungguhnya Allah mengutus Muhammad shallallahu ‘alaihi
wasallam dengan membawa kebenaran dan aku termasuk salah seorang
yang memenuhi panggilan Allah dan Rasul-Nya, aku beriman dengan apa
yang baginda diutuskan dengannya (Islam), aku juga melakukan dua
kali hijrah, aku juga telah menemani dan membai‘ah Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam. Demi Allah aku tidak pernah
menderhakai dan mengkhianati baginda hingga Allah ‘Azza wa Jalla
mewafatkannya, demikian juga Abu Bakar dan ‘Umar sehingga aku
diangkat menjadi khalifah.
7 Keutamaan
‘Utsman Di Sebalik Perang Badar, Uhud Dan Bai‘ah al-Ridhwan
Pada zaman pemerintahan ‘Utsman seorang lelaki datang dari Mesir
untuk melaksanakan haji, lantas dia melihat suatu kaum sedang
duduk-duduk. Dia bertanya:
“Siapa mereka?”
Dijawab: “Mereka adalah kaum Quraisy.”
“Siapa yang paling alim di antara mereka?”
“‘Abd Allah bin ‘Umar.”
“Wahai Ibn ‘Umar, aku ingin bertanya sesuatu kepada engkau maka
tolonglah beri jawapannya. Apakah engkau tahu bahawa ‘Utsman lari
meninggalkan pasukan pada Perang Uhud?”
Ibn ‘Umar menjawab: “Benar.”
“Apakah engkau tahu bahawa dia tidak ikut serta di dalam peperangan
Badar?”
“Benar.”
“Apakah engkau tahu bahawa dia tidak ikut serta Bai‘ah al-Ridhwan?”
“Benar.”
Lelaki itu berkata: “Allahu Akbar.”
Ibn ‘Umar berkata:
Kemarilah aku akan jelaskan kepadamu tentang permasalahan tersebut.
Adapun mengenai larinya beliau dari Perang Uhud, sesungguhnya dia
telah mendapat ampunan daripada Allah,
adapun dia tidak ikut serta di dalam peperangan Badar kerana dia
sedang mengurus isterinya yakni puteri Rasulullah shallallahu
‘alaihi wasallam yang sedang sakit. Rasulullah bersabda kepadanya:
“Sesungguhnya engkau mendapat pahala seorang yang ikut serta dalam
peperangan Badar dan engkau juga mendapat bahagian pada harta
rampasannya.”
Adapun dia tidak ikut serta di dalam Bai‘ah al-Ridhwan, maka
kalaulah ada seorang yang lebih terhormat di Kota Mekah selain
‘Utsman tentunya Rasulullah akan menggantikan ‘Utsman dengan orang
tersebut. Namun Rasulullah tetap mengirimkan ‘Utsman ke Mekah dan
Bai‘ah al-Ridhwan terjadi setelah ‘Utsman berangkat ke Mekah.
Rasulullah mengisyaratkan dengan tangan kanannya seraya bersabda:
“Ini adalah tangan ‘Utsman” lantas menepukkannya dengan tangan
baginda dan bersabda: “Ini adalah bai‘ah ‘Utsman.”
Ibn ‘Umar berkata kepada lelaki tersebut: “Bawalah berita ini kerana
sekarang engkau sudah tahu.”
Anas bin Malik radhiallahu ‘anh berkata, tatkala Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam memerintahkan untuk melakukan
Bai‘ah al-Ridhwan, ‘Utsman pada saat itu adalah utusan
Rasulullah kepada penduduk Mekah. Para sahabat berbai‘ah
kepada Rasulullah. Baginda bersabda:
إِنَّ عُثْمَانَ فِي حَاجَةِ اللَّهِ وَحَاجَةِ رَسُولِهِ. فَضَرَبَ
بِإِحْدَى يَدَيْهِ عَلَى الأُخْرَى فَكَانَتْ يَدُ رَسُولِ اللَّهِ
صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِعُثْمَانَ خَيْرًا مِنْ
أَيْدِيهِمْ لأَنْفُسِهِمْ
“Sesungguhnya ‘Utsman bin ‘Affan sedang melaksanakan perintah Allah
dan Rasul-Nya.” (Anas berkata): “Kemudian baginda meletakkan satu
tangannya kepada yang lain. Dengan demikian tangan Rasulullah
disimbolkan sebagai tangan ‘Utsman. Itu adalah lebih baik dari
tangan para sahabat yang lain.”
8 ‘Utsman Dilarang Daripada Melepaskan Jawatan Khalifah
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah melarang
‘Utsman daripada melepaskan jawatan khalifah yan bakal disandangnya
satu hari nanti.
Baginda pernah bersabda:
يَا عُثْمَانُ إِنَّهُ لَعَلَّ اللَّهَ يُقَمِّصُكَ قَمِيصًا فَإِنْ
أَرَادُوكَ عَلَى خَلْعِهِ فَلاَ تَخْلَعْهُ لَهُمْ.
Wahai ‘Uthman, sesungguhnya Allah mungkin akan memberikan pakaian
kekhalifahan kepada kamu. Oleh itu jika mereka memaksa kamu untuk
melepaskan pakaian itu, janganlah kamu melepaskannya.
Pesanan ini dipegang oleh ‘Utsman radhiallahu 'anh
sehinggalah hari beliau dikepung. Abi Sahlah radhiallahu 'anh
berkata, ‘Utsman berkata kepadanya pada hari pengepungan para
pemberontak:
إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَدْ عَهِدَ
إِلَيَّ عَهْدًا فَأَنَا صَابِرٌ عَلَيْهِ.
Sesungguhnya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah
memberikan janji kepada aku untuk berpegang teguh kepadanya. Maka
aku bersabar untuk berpegang teguh kepadanya.
9
‘Utsman Diangkat Menjadi Khalifah
Amr bin Maimun meriwayatkan sebuah kisah tentang wasiat ‘Umar al-Khaththab
radhiallahu ‘anh ketika beliau ditikam yang membawa
kematiannya. Orang ramai berkata: “Wahai Amirul Mukminin!
Berikanlah wasiat kepada siapa jawatan khalifah akan diberikan.”
‘Umar menjawab: “Aku tidak dapati orang yang berhak menerimanya
selain mereka yang mendapat keredhaan daripada Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam hingga baginda wafat.”
Kemudian ‘Umar menyebutkan nama mereka, iaitu ‘Ali, ‘Utsman, al-Zubair,
Thalhah, Sa‘ad dan ‘Abd al-Rahman. Setelah selesai pengkebumian
‘Umar, berkumpullah orang-orang yang telah disebutkan namanya. ‘Abd
al-Rahman berkata: “Pilihlah di antara kalian tiga orang calon.
Zubair berkata: “Aku memilih ‘Ali.” Thalhah berkata: “Aku memilih ‘Utsman.”
Sa‘ad berkata: “Aku memilih ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf.”
‘Abd al-Rahman bin ‘Auf berkata: “Siapa di antara kamu berdua mahu
mengundurkan diri dari pencalonan maka aku akan menjadikan urusan
ini untuknya dan Allah yang akan mengawasinya dan Islam, hendaklah
lihat siapa yang paling utama di antara kamu berdua?” Ali dan
‘Utsman terdiam. ‘Abd al-Rahman berkata: “Apakah kamu menyerahkan
perkara pemilihan ini kepadaku untuk memilih siapa yang terbaik di
antara kamu berdua?” Mereka menjawab: “Ya!”
Maka ‘Abd al-Rahman memegang tangan ‘Ali seraya berkata kepadanya:
“Engkau adalah kerabat dekat Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam dan orang pertama masuk Islam dan hal itu sudah engkau
ketahui. Demi Allah jika engkau yang diangkat maka berlaku adillah
dan jika ‘Utsman yang diangkat maka dengar dan taatilah dia.”
Kemudian ‘Abd al-Rahman mendekati ‘Utsman dan mengucapkan hal yang
sama. Setelah mereka berdua berjanji, Abdul Rahman berkata:
“Angkatlah tanganmu wahai ‘Utsman.” Lantas dia membai‘ahnya
diikuti oleh ‘Ali dan semua penduduk.
10 Khabar
Gembira Rasulullah Kepada ‘Utsman
Sebagaimana Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah
melarang ‘Utsman daripada melepaskan jawatan khalifahnya, Rasulullah
juga telah mengkhabarkan kepada ‘Utsman bahawa beliau akan gugur
syahid kerananya. Khabar-khabar Rasulullah tentang hal ini mencapai
taraf mutawatir sebagaimana yang disebut oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani
rahimahullah.
Ketika rumah ‘Utsman dikepung oleh para pemberontak yang akhirnya
membawa kepada pembunuhannya, Ibn ‘Umar radhiallahu ‘anhuma
berkata:
‘Utsman radhiallahu ‘anh berkata dikhalayak ramai: “Aku melihat Nabi
shallallahu ‘alaihi wasallam di dalam mimpi dimana baginda bersabda:
Wahai ‘Utsman, berbukalah bersama kami.” (Ibn ‘Umar melanjutkan)
Maka pada paginya beliau berpuasa lalu terbunuh pada hari itu.
Musa bin Uqbah radhiallahu ‘anh menerangkan:
‘Utsman tertidur pada hari beliau akan dibunuh, lalu beliau bangun
dan berkata: “Aku melihat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam
dalam tidurku tadi. Baginda bersabda: Sesungguhnya engkau akan
menyaksikan hari Jumaat bersama kami.”
>>
Keutamaan Abu Bakar, ‘Umar dan ‘Utsman
Dalam
pelbagai hadisnya, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam
telah mengkhabarkan kepada ‘Utsman bahawa beliau pada satu
hari nanti akan menerima fitnah disebabkan jawatan khalifah yang
dipegangnya. Rasulullah berpesan agar beliau tidak meninggalkan
jawatan khalifahnya semata-mata kerana fitnah tersebut. Baginda
pernah bersabda: “Wahai ‘Uthman, sesungguhnya Allah
mungkin akan memberikan pakaian kekhalifahan kepada kamu. Oleh
itu jika mereka memaksa kamu untuk melepaskan pakaian itu,
janganlah kamu melepaskannya.” [Sahih:
Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan dinilai sahih oleh al-Albani
dalam Shahih Sunan al-Tirmizi – hadis no: 3705 (Kitab
al-Manaqib, Bab Manaqib ‘Utsman ibn ‘Affan).]
Fitnah ini
akhirnya akan menyebabkan beliau dibunuh secara zalim. Kezaliman
ini menyebabkan beliau gugur syahid dan diberi kedudukan yang
mulia di dalam syurga. ‘Abd Allah ibn ‘Umar radhiallahu 'anhuma
menerangkan bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam
menyebut tentang peristiwa fitnah (yang bakal terjadi), baginda
bersabda: “Orang ini akan terbunuh secara zalim”
sambil menunjuk ke arah ‘Utsman. [Sanad Hasan:
Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan berkata al-Albani: Sanadnya
Hasan. Rujuk Shahih Sunan al-Tirmizi – hadis no: 3708 (Kitab
al-Manaqib, Bab Manaqib ‘Utsman ibn ‘Affan).]
Oleh itu atas
pesanan dan janji Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam
ke atas beliau, ‘Utsman mengambil sikap bersabar ke atas fitnah
yang melanda dirinya. Abi Sahlah radhiallahu 'anh berkata,
‘Utsman berkata kepada beliau pada hari pengepungan para
pemberontak: “Sesungguhnya Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam telah memberikan janji kepada aku untuk berpegang teguh
kepadanya. Maka aku bersabar untuk berpegang teguh kepadanya.”
[Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan dinilai
sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi –
hadis no: 3711 (Kitab al-Manaqib, Bab Manaqib ‘Utsman ibn ‘Affan).]
Berdasarkan
pesanan dan janji Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam
di atas, ‘Utsman tahu bahawa sama ada dia memerangi para
pemberontak atau tidak memerangi mereka, beliau akhirnya tetap
akan korban syahid. Oleh itu ‘Utsman memilih untuk tidak
memerangi para pemberontak. Beliau rela dirinya yang terkorban
dan bukannya para pemberontak kerana memerangi para pemberontak
akan menyebabkan banyak orang awam yang terkorban sama. Hal ini
akan diulas secara lanjut seterusnya.
Para
pemberontak bersembunyi di tengah-tengah umat Islam. Jika
‘Uthman radhiallahu 'anh ingin memburu dan membunuh
mereka, pasti ramai umat Islam yang tidak bersalah akan terbunuh.
Lebih dari itu para pemberontak itu sendiri terbahagi kepada dua
kumpulan, mereka yang benar-benar memusuhi Islam dan mereka yang
terpengaruh dengan hasutan musuh Islam. Maka yang sepatutnya
diburu adalah mereka yang benar-benar memusuhi ‘Utsman. Namun
dalam suasana percampuran masyarakat, adalah amat sukar untuk
dibezakan antara pemberontak dan orang awam, antara pemberontak
yang benar-benar memusuhi Islam dan yang terpengaruh untuk
memusuhi Islam.
Oleh itu agar
umat Islam tidak menjadi korban, ‘Utsman merelakan agar dirinya
yang terkorban. Beliau juga melarang para sahabat daripada
mengangkat senjata membela dirinya kerana hal ini, tidak dapat
tidak, pasti akan menyebabkan mereka (para sahabat) terkorban
juga. ‘Utsman memilih agar dia dan para sahabat tidak memerangi
para pemberontak agar umat Islam akan terselamat manakala para
pemberontak yang benar-benar memusuhi Islam dapat dikenal pasti.
Cuba
bandingkan, tindakan ‘Utsman di atas pasti tidak akan dilakukan
oleh para pemimpin yang lain. Di sisi para pemimpin yang lain,
pasti mereka akan mengorbankan rakyat yang ramai semata-mata
kerana memburu pemberontak yang sedikit. Mereka tidak sanggup
mengorbankan diri sendiri tetapi rakyatlah yang menjadi korban
untuk mereka.
Kesilapan
kebanyakan penganalisa kepimpinan ‘Utsman radhiallahu 'anh
adalah mereka menggunakan ukuran politik masa kini untuk
menilai benar atau salah tindak tanduk ‘Utsman. Padahal politik
masa kini tidak terlepas daripada pelbagai kotoran dan kezaliman.
Sikap yang benar dalam menilai kepimpinan ‘Utsman ialah
menggunakan ukuran Allah dan Rasul-Nya. Hanya dengan ukuran ini
kita dapat menilai sama ada tindak tanduk ‘Utsman adalah benar
atau tidak. Murrah bin Ka‘ab radhiallahu 'anh menerangkan
bahawa: “Aku mendengar daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam ketika beliau menyebut tentang fitnah yang akan terjadi
di tengah-tengah umat Islam. Pada ketika menyebut tentang fitnah
ini, berlalu seorang lelaki yang tertutup kepalanya dengan kain.
Baginda lantas bersabda: “Pada hari tersebut orang ini berada di
atas petunjuk” … sambil menunjuk ke arah lelaki yang bertutup
itu.
(Murrah
menyambung) Maka aku pergi kepada lelaki bertutup itu, ternyata
beliau ialah ‘Uthman bin ‘Affan. Kemudian ketika wajah ‘Uthman
aku perlihatkan kepada Rasulullah, aku bertanya: “Orang inikah
anda maksudkan?” Rasulullah menjawab: “Ya.”
[Sahih:
Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan dinilai sahih oleh al-Albani
dalam Shahih Sunan al-Tirmizi – hadis no: 3704 (Kitab
al-Manaqib, Bab Manaqib ‘Utsman ibn ‘Affan).]