Kelima:
Keutamaan Abu Bakar, ‘Umar dan ‘Utsman
Abu Musa al-Ash’ari radhiallahu ‘anh menerangkan bahwa
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam masuk ke dalam sebuah
kebun dan memerintahkan aku untuk menjaga pintu kebun tersebut.
Kemudian datang seorang lelaki meminta izin untuk masuk maka baginda
bersabda:
افْتَحْ وَبَشِّرْهُ بِالْجَنَّةِ.
“Bukalah pintu dan berikan khabar gembira bahawa dia
akan memasuki syurga.”
Ternyata lelaki tersebut ialah Abu Bakar lalu aku sampaikan khabar
gembira bahawa dia akan memasuki syurga. Kemudian datang seorang
lelaki lain meminta izin untuk masuk, maka baginda bersabda:
افْتَحْ وَبَشِّرْهُ بِالْجَنَّةِ.
“Bukalah pintu dan berikan khabar gembira bahawa dia akan memasuki
syurga.”
Ternyata lelaki tersebut ialah ‘Umar lalu aku sampaikan khabar
gembira bahawa dia akan memasuki syurga. Kemudian datang seorang
lelaki lain meminta izin untuk masuk. Nabi
shallallahu 'alaihi wasallam
duduk, kemudian bersabda:
افْتَحْ وَبَشِّرْهُ بِالْجَنَّةِ عَلَى بَلْوَى تَكُونُ.
“Bukalah pintu dan berikan khabar gembira bahawa dia akan memasuki
syurga disertai dengan musibah yang menimpa.”
Ternyata lelaki tersebut ialah ‘Utsman ibn ‘Affan lalu aku sampaikan
khabar gembira bahawa dia akan memasuki syurga. Lalu ‘Utsman berkata:
“Semoga Allah mengurniakan aku kesabaran”
(atau dalam riwayat lain)
“Semoga Allah membantu aku.”
Hadis di atas menunjukkan keagungan ketiga-tiga Khalifah
al-Rasyidin dimana mereka merupakan penghuni syurga
sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam. Baginda juga menyatakan tentang fitnah yang akan
dihadapi oleh ‘Utsman radhiallahu ‘anh pada masa hadapan.
Tidak syak lagi bahawa ramalan baginda merupakan wahyu atau
perkhabaran daripada Allah Subhanahu wa Taala.
Dalam sebuah riwayat lain, Anas bin Malik radhiallahu 'anh
berkata:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَعِدَ أُحُدًا
وَأَبُو بَكْرٍ وَعُمَرُ وَعُثْمَانُ فَرَجَفَ بِهِمْ فَقَالَ اثْبُتْ
أُحُدُ فَإِنَّمَا عَلَيْكَ نَبِيٌّ وَصِدِّيقٌ وَشَهِيدَانِ
Bahawa Nabi shallallahu 'alaihi wasallam mendaki gunung Uhud bersama
Abu Bakar, ‘Umar dan ‘Utsman. Maka gunung itu bergoyang bersama
mereka. Maka Rasulullah bersabda: “Tetaplah wahai Uhud! Sesungguhnya
tidak ada sesiapa di atasmu melainkan seorang Nabi, al-Siddiq dan
dua orang syahid.”
Pandangan Syi‘ah al-Rafidhah Terhadap Abu
Bakar, ‘Umar dan ‘Utsman
Kami telah menyatakan keutamaan Abu Bakar, ‘Umar dan
‘Utsman radhiallahu ‘anhum yang merupakan tokoh yang
dihormati serta pembesar di kalangan para sahabat dan umat Islam.
Mereka merupakan pembawa syari‘at Islam serta penolongnya. Betapa
besarnya jasa mereka dimana menerusi tangan merekalah agama Islam
serta wilayahnya diperluaskan dari Timur hingga ke Barat.
Oleh kerana itu orang-orang beriman diwajibkan agar
menghormati, mengagung, memulia dan meletakkan mereka pada kedudukan
yang betul sebagaimana kedudukan mereka di sisi Allah Subhanahu
wa Ta'ala dan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam .
Sesungguhnya golongan Syi‘ah, khususnya Syi‘ah
al-Rafidhah, mengambil sikap menolak para sahabat yang diberikan
keutamaan serta kelebihan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala
menerusi al-Qur’an serta menerusi lidah Rasul-Nya yang al-Amin
(terpercaya). Bahkan sebahagian mereka mencela, mengutuk,
mencaci-maki sehingga ke peringkat mengkafirkan para sahabat
tersebut.
Syi‘ah al-Rafidhah juga bersepakat bahawa
ketiga-tiga orang khalifah itu berada jauh dari petunjuk Allah atau
sesat. Maka dengan itu mereka mencela dan melaknat mereka di dalam
segala hal keadaan.
Sesungguhnya terdapat banyak sumber serta perkhabaran
daripada Syi‘ah al-Rafidhah yang menyatakan kemurtadan,
kekafiran serta kefasikan ketiga-tiga orang khalifah tersebut.
Bahkan termasuk di kalangan yang menerima hukuman tersebut adalah
para sahabat seluruhnya yang turut memberikan bai‘ah mereka
kepada ketiga-tiga khalifah tersebut.
Syi‘ah al-Rafidhah hanya mengecualikan ‘Ali serta
Ahl al-Bait beliau serta sebilangan kecil para sahabat iaitu
Abu Zar, Miqdad, Salman al-Farisi, Ammar bin Yassir serta beberapa
lain yang bilangannya tidak melebihi jari-jari tangan manusia.
Termasuklah yang murtad adalah para Ummahatul Mukminin, yakni
isteri-isteri Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.
Pandangan Syi‘ah al-Rafidhah ini termaktub di dalam
kitab-kitab karangan alim ulama’ mereka. Jika dikaji secara adil,
segala pandangan mereka itu tidak sanggup diucapkan oleh orang-orang
Islam yang beriman kecuali daripada golongan Yahudi, Kristian,
Orientalis serta golongan yang tidak percaya kepada agama.
Maka kami menamatkan perbincangan keutamaan ketiga-tiga
orang khalifah radhiallahu ‘anhum dengan diikuti perbincangan
khalifah yang keempat, ‘Ali bin Abi Thalib.
>> Keutamaan ‘Ali bin Abi Thalib Karramallahu Wajhah
Yahudi dan Kristian lebih baik dari golongan al-Rafidhah
kerana dua sifat mereka iaitu, jika kamu bertanya kepada
orang-orang Yahudi: “Siapakah orang-orang yang terbaik di antara
pengikut-pengikut agama kamu?” Mereka akan menjawab:
“Sahabat-sahabat Nabi Musa.” Sekiranya kamu bertanya orang-orang
Kristian: “Siapakah yang terbaik di antara penganut-penganut
agama kamu?” Mereka akan menjawab: “Para
Hawariyun (sahabat-sahabat Nabi Isa).”