7 Penjelasan Para Ilmuan
Tentang Bahaya dan Hukuman Mencela Sahabat
Daripada ayat-ayat al-Qur’an dan hadis-hadis Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam di atas, jelas kepada kita
kedudukan mulia para sahabat yang diberikan oleh Allah Subhanahu
wa Ta'ala. Maka sesiapa yang beriman kepada al-Qur’an dan
Rasulullah tidak akan sekali-kali berani mencela para sahabat
radhiallahu 'anhum. Terhadap firman Allah Subhanahu wa Ta'ala
yang bermaksud:
(Pemberian itu hendaklah diuntukkan) kepada orang-orang fakir yang
berhijrah, yang telah diusir keluar dari kampung halamannya dan
harta bendanya untuk mencari limpah kurnia dari Allah dan
keredhaan-Nya serta menolong (agama) Allah dan Rasul-Nya; mereka
itulah orang-orang yang benar (imannya dan amalnya).
Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman
sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri
mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan
apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan
mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih
daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan
kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga
serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya,
maka merekalah orang-orang yang berjaya.
Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa
dengan) berkata: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa
saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah
Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam
terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya
Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan Rahmat."
[al-Hasyr 59:8-10], berkata al-Fakhr al-Razi (الفخر الرازي)
rahimahullah (606H) di dalam kitab tafsirnya:
Ketahuilah bahawa ayat di atas ditujukan kepada sekalian orang
beriman baik mereka itu di kalangan golongan Muhajirin atau Anshar
atau mereka yang datang selepas itu. Sikap kita yang datang selepas
golongan Muhajirin serta Ansar adalah kita perlu sentiasa mendoakan
mereka serta memohon rahmat ke atas mereka. Sesiapa yang tidak
berbuat demikian maka ianya merupakan perbuatan keji serta terkeluar
dari golongan orang beriman berdasarkan nas al-Qur’an tersebut.
Di antara golongan yang sudah terkeluar itu ialah golongan Syi‘ah
al-Rafidhah.
Terhadap firman Allah Subhanahu wa Ta'ala yang bermaksud:
Dan orang-orang yang terdahulu - yang mula-mula (berhijrah dan
memberi bantuan) dari orang-orang Muhajirin dan Ansar, dan
orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan,
Allah redha akan mereka dan mereka pula redha akan Dia, serta Dia
menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya
beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah
kemenangan yang besar.
[al-Taubah 9:100], berkata Ibn Katsir:
Kecelakaan ke atas sesiapa yang membenci atau mencela para sahabat,
sama ada seluruh atau sebahagian daripada mereka. Khasnya terhadap
ketua serta pemimpin utama mereka sesudah Rasulullah shallallahu
'alaihi wasallam iaitu Abu Bakar al-Shiddiq radhiallahu ‘anh
yang merupakan orang yang terbaik, terutama dan paling benar di
kalangan para sahabat.
Sesungguhnya golongan yang gagal adalah Syi‘ah al-Rafidhah,
mereka adalah musuh kepada para sahabat – mencela serta mencaci-maki
mereka. Kami berlindung kepada Allah dari melakukan perkara yang
demikian. Ini menunjukkan bahawa pemikiran serta hati mereka berada
dalam keadaan tunggang-terbalik, dimanakah bukti yang mengatakan
bahawa mereka beriman dengan al-Qur’an padahal mereka mengutuk serta
mencaci-maki golongan yang Allah telah redha ke atas mereka.
Adapun Ahl al-Sunnah, mereka meredhai golongan yang diredhai
oleh Allah dan mengutuk golongan yang menerima kutukan Allah serta
Rasul-Nya. Mereka (Ahl al-Sunnah) memberikan ketaatan
kepada para wali Allah serta menunjukkan kebencian kepada musuh para
wali Allah.
Berdasarkan ayat-ayat al-Qur’an serta hadis-hadis yang mengiktiraf
para sahabat, diikuti dengan bukti-bukti sejarah akan pengorbanan
mereka demi Islam, para ilmuan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah
melarang sesiapa daripada mencela para sahabat. Sesiapa mencela para
sahabat dianggap telah melakukan kesalahan yang besar dan layak
dihukum. Abu Zur‘ah al-Razi rahimahullah (264H) berkata:
إذا رأيت الرجل ينتقص أحدا من أصحاب رسول الله صلى الله عليه وسلم
فاعلم انه زنديق. وذلك أن الرسول صلى الله عليه وسلم عندنا حق والقرآن
حق وما جاء به حق. وانما أدى إلينا هذا القرآن والسنن أصحاب رسول الله
صلى الله عليه وسلم وانما يريدون ان يجرحوا شهودنا ليبطلوا الكتاب
والسنة والجرح بهم أولى وهم زنادقة.
Bila engkau melihat seseorang memburuk-burukkan salah seorang
daripada sahabat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam maka
ketahuilah bahawa orang itu zindik (yang lahirnya kelihatan
Islam tetapi hakikatnya kafir). Ini kerana Rasulullah shallallahu
'alaihi wasallam di sisi kita adalah benar, al-Qur’an adalah
benar dan apa yang datang dengannya adalah benar. Al-Qur’an dan
Sunnah Rasulullah telah disampaikan kepada kita hanya menerusi para
sahabat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Mereka (yang
memburuk-burukkan sahabat) mahu mencacatkan saksi-saksi kita dengan
tujuan untuk membatalkan (menimbulkan keraguan terhadap) ajaran Al-Qur’an
dan Al-Sunnah itu sendiri. Oleh kerana tujuan mereka begitu, maka
merekalah yang lebih patut dicacatkan dan mereka adalah golongan
zindik.
Berkata al-Qadhi ‘Iyadh rahimahullah (544H):
وسب آل بيته وأزواجه وأصحابه صلى الله عليه وسلم وتنقصهم حرام ملعون
فاعله.
Mencela dan memburuk-burukkan Ahl al-Bait, para isteri dan
para sahabat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam adalah
haram serta dilaknati ke atas pembuatnya.
Malik bin Anas rahimahullah (179H) berkata:
من شتم النبي صلى الله عليه وسلم قتل ومن شتم أصحابه أدب.
Sesiapa yang mencaci Nabi shallallahu 'alaihi wasallam maka
dia dibunuh manakala sesiapa yang mencaci para sahabatnya maka
dihukum.
al-Nawawi rahimahullah berkata:
واعلم أن سب الصحابة رضي الله عنهم حرام، من فواحش المحرمات سواء من
لابس الفتن منهم وغيره لأنهم مجتهدون في تلك الحروب متأولون ... قال
القاضي: وسب أحدهم من المعاصي الكبائر، ومذهبنا ومذهب الجمهور أنه يعزر
ولا يقتل، وقال بعض المالكية: يقتل.
Ketahuilah bahawa mencela para sahabat radhiallahu
'anhum adalah haram, ia termasuk perkara keji yang diharamkan
sama ada kepada mereka yang terlibat di dalam peristiwa fitnah atau
selainnya. Ini kerana mereka adalah para mujtahid di dalam
peperangan tersebut. al-Qadhi
(‘Iyadh) menambah: Mencela salah seorang daripada sahabat merupakan
kesalahan yang besar. Pandangan kami serta pandangan jumhur ilmuan
adalah mereka itu dihukum tetapi tidaklah dibunuh. Namun menurut
sebahagian ulama’ Maliki mereka itu dibunuh.
Berkata Ibn Taimiyah rahimahullah:
فأما من سب أحدا من أصحاب رسول الله من أهل بيته وغيرهم فقد أطلق
الإمام أحمد أنه يضرب ضربا نكالا وتوقف عن كفره وقتله... وقال عبد
الله: سألت أبي من الرافضة؟ فقال: الذين يشتمون أو يسبون أبا بكر وعمر
رضي الله عنهما.
Adapun orang yang mencela salah seorang daripada para sahabat
Rasulullah, sama ada dari kalangan Ahl al-Bait baginda atau
selain mereka
maka menurut al-Imam Ahmad dia dipukul dengan sekeras-kerasnya,
namun tidak dihukum sebagai kafir mahupun dibunuh. Berkata ‘Abd
Allah (bin Ahmad bin Hanbal), aku bertanya kepada ayahku, siapakah
al-Rafidhah? Beliau menjawab: Mereka ialah golongan yang mencela
atau mencaci-maki Abu Bakar serta Umar radhiallahu ‘anhuma.
Ibn Hajar al-‘Asqalani rahimahullah juga mengulas hal yang
sama:
اختلف في ساب الصحابي فقال: عياض ذهب الجمهور الى أنه يعزر وعن بعض
المالكية يقتل. وخص بعض الشافعية ذلك بالشيخين والحسنين فحكى القاضي
حسين في ذلك وجهين وقواه السبكي في حق من كفر الشيخين وكذا من كفر من
صرح النبي صلى الله عليه وسلم بايمانه أو تبشيره بالجنة إذا تواتر
الخبر بذلك عنه لما تضمن من تكذيب رسول الله صلى الله عليه وسلم
Para ilmuan berselisih pendapat tentang hukum orang yang mencela
para sahabat. Berkata (al-Qadhi) ‘Iyadh, menurut jumhur ilmuan
mereka dihukum manakala menurut sebahagian ilmuan Mazhab Maliki,
mereka dibunuh. Sebahagian ilmuan Mazhab al-Syafi’e hukum sedemikian
(hukum bunuh) dijatuhkan kepada sesiapa yang mencela Abu Bakar dan
‘Umar serta Hasan dan Husain (dua cucu Rasulullah). Ini dihikayatkan
oleh al-Qadhi Husain dan diperkuatkan oleh al-Subki kepada sesiapa
yang mengkafirkan Abu Bakar dan ‘Umar.
Demikianlah pandangan para ilmuan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah
ke atas orang-orang yang mencela para sahabat radhiallahu 'anhum.