Ketiga:
Keutamaan Abu Bakar dan ‘Umar
Jika sebelum ini kita dapat mengenali keutamaan Abu Bakar dan ‘Umar
secara individu, sekarang marilah kita mengenali keutamaan mereka
secara bersama berdasarkan hadis-hadis yang sahih dan pandangan
generasi al-Salaf al-Salih.
1 Kesempurnaan
Iman Abu Bakar Dan ‘Umar
Abu Hurairah radhiallahu ‘anh berkata, Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
بَيْنَا رَجُلٌ يَسُوقُ بَقَرَةً إِذْ رَكِبَهَا فَضَرَبَهَا
فَقَالَتْ: إِنَّا لَمْ نُخْلَقْ لِهَذَا إِنَّمَا خُلِقْنَا
لِلْحَرْثِ. فَقَالَ النَّاسُ: سُبْحَانَ اللَّهِ بَقَرَةٌ تَكَلَّمُ!
فَقَالَ: فَإِنِّي أُومِنُ بِهَذَا أَنَا وَأَبُو بَكْرٍ وَعُمَرُ
وَمَا هُمَا ثَمَّ.
وَبَيْنَمَا رَجُلٌ فِي غَنَمِهِ إِذْ عَدَا الذِّئْبُ فَذَهَبَ
مِنْهَا بِشَاةٍ فَطَلَبَ حَتَّى كَأَنَّهُ اسْتَنْقَذَهَا مِنْهُ
فَقَالَ لَهُ الذِّئْبُ: هَذَا اسْتَنْقَذْتَهَا مِنِّي فَمَنْ لَهَا
يَوْمَ السَّبُعِ يَوْمَ لاَ رَاعِيَ لَهَا غَيْرِي؟ فَقَالَ النَّاسُ:
سُبْحَانَ اللَّهِ ذِئْبٌ يَتَكَلَّمُ! قَالَ: فَإِنِّي أُومِنُ
بِهَذَا أَنَا وَأَبُو بَكْرٍ وَعُمَرُ وَمَا هُمَا ثَمَّ.
Ketika seorang lelaki membawa lembunya dengan dibebani dengan bawaan
yang berat, dia (lembu tersebut) berkata: “Sesungguhnya saya tidak
diciptakan untuk ini, sesungguhnya saya diciptakan hanya untuk
membajak tanah.” Orang-orang berkata: “Maha Suci Allah, lembu yang
dapat berkata-kata!” Rasulullah bersabda: “Saya beriman dengan itu,
demikian juga Abu Bakar dan ‘Umar, demikianlah yang akan dilakukan
Abu Bakar dan ‘Umar.”
Dan ketika seorang pengembala mengembala kambingnya, tiba-tiba
datang serigala dan mengambil seekor di antaranya. Pengembala itu
meminta kembali daripada serigala itu. Serigala menoleh kepadanya
dengan berkata: “Siapakah pemilik hari pengembalaan binatang buas,
dimana tidak ada pengembala selain diriku?” Orang-orang berkata:
“Maha Suci Allah, serigala yang dapat berkata-kata!” Rasulullah
bersabda: “Saya beriman dengan itu, demikian juga Abu Bakar dan
‘Umar, demikianlah yang akan dilakukan Abu Bakar dan ‘Umar.”
Hadis di atas menunjukkan kekuatan iman yang sempurna yang ada pada
Abu Bakar serta ‘Umar radhiallahu ‘anhuma berdasarkan
pengakuan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam terhadap
mereka. Walaupun mereka berdua tidak hadir di dalam majlis tersebut,
baginda tetap menyatakan bahawa mereka berdua akan beriman serta
membenarkan sabda baginda tersebut.
2 Sebaik-baik
Pemerintahan Menerusi Abu Bakar Dan ‘Umar
Abu Hurairah radhiallahu ‘anh berkata, Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
بَيْنَا أَنَا نَائِمٌ رَأَيْتُنِي عَلَى قَلِيبٍ عَلَيْهَا دَلْوٌ
فَنَزَعْتُ مِنْهَا مَا شَاءَ اللَّهُ ثُمَّ أَخَذَهَا ابْنُ أَبِي
قُحَافَةَ فَنَزَعَ بِهَا ذَنُوبًا أَوْ ذَنُوبَيْنِ وَفِي نَزْعِهِ
ضَعْفٌ وَاللَّهُ يَغْفِرُ لَهُ ضَعْفَهُ ثُمَّ اسْتَحَالَتْ غَرْبًا
فَأَخَذَهَا ابْنُ الْخَطَّابِ فَلَمْ أَرَ عَبْقَرِيًّا مِنْ النَّاسِ
يَنْزِعُ نَزْعَ عُمَرَ حَتَّى ضَرَبَ النَّاسُ بِعَطَنٍ
Pada suatu ketika aku sedang tidur, lalu aku bermimpi melihat diriku
di atas perigi yang di situ ada timbanya, maka aku menimba
daripadanya beberapa timba sebagaimana kehendak Allah. Kemudian
timba itu diambil oleh Ibn Abi Quhafah (yakni Abu Bakar), maka dia
menimba satu atau dua kali. Dia nampak berat dalam menariknya, lalu
Allah mengampuninya.
Kemudian timba itu berubah, maka ia diambil oleh Ibn al-Khaththab.
Maka aku belum pernah melihat dari manusia seorang yang luar biasa
kepandaiannya, lalu dia menimba air sehingga orang-orang dapat
memberi minum kepada unta-unta mereka.
al-Nawawi rahimahullah mengulas:
Para ulama’ berkata, mimpi Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam itu menunjukkan contoh apa yang akan berlaku kepada dua
orang khalifah selepas baginda. Ianya jelas menunjukkan bahawa
mereka berdua merupakan orang salih yang dapat diambil manfaat oleh
orang ramai yang keseluruhannya mereka perolehi dari Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam . Bagindalah yang memiliki segala
urusan itu, maka baginda melaksanakannya dengan sempurna dan baginda
menetapkan kaedah-kaedah agama. Kemudian baginda digantikan oleh Abu
Bakar dimana beliau telah berperang melawan golongan yang murtad
serta membinasakan mereka. Kemudian ‘Umar mengambil tempat beliau,
maka pada zamannya dia telah menyebarkan Islam dengan meluasnya.
Ibn Hajar al-‘Asqalani rahimahullah berkata:
Hadis tersebut menunjukkan kekhalifahan mereka berdua, keselamatan
wilayah pemerintahan mereka berdua serta banyaknya kemanfaatan yang
mereka berdua perolehi sebagaimana yang disabdakan (oleh Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam) .
3 Abu
Bakar Dan ‘Umar Teladan Bagi Umat Seluruhnya
Huzaifah al-Yaman radhiallahu ‘anh berkata, Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
إِنِّي لاَ أَدْرِي مَا بَقَائِي فِيكُمْ فَاقْتَدُوا بِاللَّذَيْنِ
مِنْ بَعْدِي. وَأَشَارَ إِلَى أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ.
Aku tidak tahu sampai bila aku akan tetap bersama kamu sekalian.
Maka ikutilah dua orang ini sepeninggalanku. Baginda mengisyaratkan
kepada Abu Bakar dan ‘Umar.
Hadis di atas menunjukkan kemuliaan Abu Bakar serta ‘Umar
radhiallahu ‘anhuma. Di dalamnya terkandung perintah Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam ke atas kaum Muslimin supaya
mengikuti Abu Bakar dan ‘Umar serta berpegang teguh dengan sunnah
keduanya.
4 Abu
Bakar Dan ‘Umar Merupakan Mata Dan Telinga Rasulullah
Berkata ‘Abd Alah bin Hanthab radhiallahu 'anh,
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam melihat kepada Abu
Bakar serta ‘Umar lalu baginda bersabda:
هَذَانِ السَّمْعُ وَالْبَصَرُ.
Dua orang ini adalah mata serta telinga (bagiku).
5
Rasulullah Bersaksi Bahawa Abu Bakar Dan ‘Umar Adalah Penghuni
Syurga
Abu Sa‘id al-Khudri radhiallahu ‘anh menerangkan, Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
إِنَّ أَهْلَ الدَّرَجَاتِ الْعُلَى لَيَرَاهُمْ مَنْ تَحْتَهُمْ كَمَا
تَرَوْنَ النَّجْمَ الطَّالِعَ فِي أُفُقِ السَّمَاءِ وَإِنَّ أَبَا
بَكْرٍ وَعُمَرَ مِنْهُمْ وَأَنْعَمَا.
Sesungguhnya orang-orang yang menduduki darjat-darjat tertinggi (di
dalam syurga) akan dilihat oleh orang-orang yang ada di bawahnya
sebagaimana kamu sekaliannya melihat bintang-bintang yang ada di
langit. Sedangkan Abu Bakar dan ‘Umar berada di dalam kedudukan yang
tertinggi tersebut dalam kenikmatan.
Anas bin Malik dan ‘Ali bin Abi Thalib radhiallahu
‘anhuma berkata, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam
berkata kepada Abu Bakar dan ‘Umar:
هَذَانِ سَيِّدَا كُهُولِ أَهْلِ الْجَنَّةِ مِنْ الأَوَّلِينَ
وَالآخِرِينَ إِلاَّ النَّبِيِّينَ وَالْمُرْسَلِينَ.
Dua orang ini adalah tuannya (Sayyid) orang-orang tua ahli syurga,
baik orang-orang terdahulu mahupun yang akan datang, kecuali para
Nabi serta Rasul.
Kedua-dua hadis di atas bukan sahaja menerangkan Abu Bakar dan ‘Umar
radhiallahu 'anhuma akan memasuki syurga, tetapi memperoleh
kedudukan yang tinggi di sana. Ini menunjukkan keutamaan mereka yang
amat besar.
6 Pujian
‘Ali Terhadap Abu Bakar dan ‘Umar
‘Abd Allah ibn Abbas radhiallahu ‘anh menerangkan
pada saat kewafatan ‘Umar, beliau (‘Umar) ditidurkan di atas
katilnya sementara manusia berada di sekelilingnya mendoakannya
sebelum dia diangkat. Ketika itu aku (Ibn ‘Abbas) hadir di antara
mereka. Aku terkejut ketika seseorang memegang kedua bahuku dan
ternyata dia adalah ‘Ali bin Abi Talib. ‘Ali mengucapkan doa untuk
‘Umar semoga dirahmati oleh Allah, kemudian Ali berkata:
مَا خَلَّفْتَ أَحَدًا أَحَبَّ إِلَيَّ أَنْ أَلْقَى اللَّهَ بِمِثْلِ
عَمَلِهِ مِنْكَ وَايْمُ اللَّهِ إِنْ كُنْتُ لأَظُنُّ أَنْ يَجْعَلَكَ
اللَّهُ مَعَ صَاحِبَيْكَ وَحَسِبْتُ. إِنِّي كُنْتُ كَثِيرًا أَسْمَعُ
النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: ذَهَبْتُ أَنَا
وَأَبُو بَكْرٍ وَعُمَرُ وَدَخَلْتُ أَنَا وَأَبُو بَكْرٍ وَعُمَرُ
وَخَرَجْتُ أَنَا وَأَبُو بَكْرٍ وَعُمَرُ.
Tidaklah engkau meninggalkan seseorang yang lebih mengasihi diri
engkau kecuali aku. Aku berharap dapat menjadi seperti dirimu ketika
akan mengadap Allah. Demi Allah aku merasa yakin bahawa Allah akan
mengumpulkanmu dengan kedua sahabatmu (Rasulullah serta Abu Bakar).
Aku banyak mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam
bersabda: “Aku berangkat bersama Abu Bakar dan ‘Umar, aku masuk
bersama Abu Bakar dan ‘Umar, aku keluar bersama Abu Bakar dan ‘Umar.
al-Nawawi rahimahullah mengulas:
Hadis di atas menunjukkan kelebihan Abu Bakar dan ‘Umar dengan
disaksikan oleh ‘Ali ke atas mereka berdua. Beliau memuji keduanya
dengan kebaikan ketika wafatnya ‘Umar al-Khaththab radhiallahu
‘anhum ajma‘in.
Muhammad bin al-Hanafiyah berkata, aku bertanya kepada ayahku (yakni
‘Ali bin Abi Thalib):
“Siapakah manusia terbaik selepas Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam?” ‘Ali menjawab: “Abu Bakar.” Aku bertanya: “Kemudian siapa?”
‘Ali menjawab: “Kemudian ‘Umar.” Aku bimbang dia (‘Ali kemudiannya
akan berkata) ‘Utsman, lalu aku berkata: “Kemudian anda?” ‘Ali
menjawab: “Aku tidak lain adalah manusia biasa dari kalangan
orang-orang Islam.”
Inilah dia penyaksian ‘Ali radhiallahu ‘anh yang
memberikan pujian serta menyatakan kesalihan ke atas Abu Bakar dan
‘Umar radhiallahu ‘anhuma. Maka ianya menjadi bukti betapa
sesatnya golongan yang memiliki sikap yang berbeza daripada ‘Ali
sehingga sanggup menghina serta memusuhi Abu Bakar dan ‘Umar.
Padahal mereka berdua telah diberi pengakuan tentang keutamaan
masing-masing oleh ‘Ali radhiallahu ‘anh.
>>
Keutamaan ‘Utsman bin ‘Affan Zu al-Nurain