al-Firdaus :: kandungan :: rujukan & kajian

Hujah : 1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19 20

 
 

Hujah Keenam:

          

Dalam al-Qur’an tidak ada satu ayat sekalipun yang menyebut Sunnah Nabi atau Hadis Nabi. Malah jika dikaji dan diperbanding antara ayat-ayat al-Qur’an, akan di dapati bahawa perkataan Sunnah dan Hadis memiliki definasi dan erti yang berlainan.

Jawapan:

Sebelum dijawab dakwaan di atas, marilah kita melihat sejenak definasi, maksud dan kaedah penggunaan istilah Hadis dan Sunnah.

Definasi, maksud dan penggunaan istilah Hadis.

Hadis ( الحديث ) secara harfiah bermaksud sesuatu yang baru dari segala bentuk.[1] Dari segi maksudnya, ia memiliki beberapa erti, antaranya kata-kata, ucapan dan sebutan yang dikhabarkan, disampaikan dan diberitakan.[2] Di dalam al-Qur’an perkataan hadis digunakan beberapa kali dengan beberapa maksud dan tujuan yang berbeza sesuai dengan konteks perbicaraan ayat. Antaranya ialah: perkataan, pembicaraan, percakapan, pernyataan dan al-Qur’an itu sendiri. Berikut adalah dua contoh penggunaannya dalam al-Qur’an:

Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan (hadis) iaitu Kitab (Al-Quran) yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang (keterangannya, dengan pelbagai cara). [az-Zumar 39:23]

Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (hadis). [ad-Dhuha 93:11]

Terdapat juga penggunaan perkataan “hadis” di dalam hadis Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam, berikut adalah dua contoh:

Pertama: Abu Hurairah radiallahu-anhu pernah bertanya: Ya Rasulullah, Siapakah orang yang paling bertuah, yang akan menerima syafa’at kamu di Hari Kiamat nanti ? Rasulullah menjawab:

Demi sesungguhnya aku telah menyangka – wahai Abu Hurairah – bahawa tiada siapa yang akan bertanyakan aku mengenai hadis ini terlebih awal selain engkau, kerana aku memang melihat (mengetahui) minat engkau yang besar terhadap hadis. Seutama manusia yang akan mendapat syafa’at aku di Hari Kiamat nanti ialah orang yang menyebut “Tiada Tuhan melainkan Allah” dengan keihlasan yang mendalam di hati dan jiwanya. [3]

 Kedua: Semoga Allah menyerikan wajah orang yang mendengar sebuah hadis dari aku lalu dihafalnya sehingga disampaikan kepada orang lain. [4]

Perlu juga ditambah bahawa penggunaan istilah hadis mengikut kaedah bahasa Arab ia tidaklah bererti kata-kata atau sebutan semata-mata, tetapi adalah kata-kata yang di dalamnya sedia terkandung nilai ilmu, pengajaran dan maklumat yang dikhabar, diberita dan disampaikan dari satu pihak ke pihak yang lain. Demikian juga sebaliknya, apabila hadis disandarkan kepada sesuatu yang bernilai negatif, sepertimana firman Allah:

Dan ada di antara manusia: (ada) orang yang membeli cerita-cerita dan perkara-perkara (hadis) yang berakibat menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari agama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan. [Luqman 31:06] – ia bererti kata-kata yang memiliki maklumat dan pengajaran yang memudaratkan seperti sindiran, cacian, gossip, fitnah dan sebagainya.

Para sahabat radiallahu-anhum merujuk kepada percakapan dan ucapan Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam sebagai hadis Nabi kerana ia bererti segala kata-kata dan ucapan Rasulullah yang mengandungi ilmu, pengajaran, manfaat dan petunjuk di dalamnya. Sejak itu berkembang masyhurlah penggunaan istilah hadis Nabi di kalangan generasi tabiin, tabiin muda dan generasi-generasi seterusnya, sehingga apabila sahaja disebut hadis, pantas difahami bahawa yang dimaksudkan adalah hadis Nabi sallallahu-alaihi-wasallam. Perbuatan Rasulullah juga termasuk dalam istilah hadis Nabi apabila yang bertanya adalah generasi tabiin yang tidak pernah hidup bersama Rasulullah  sallallahu-alaihi-wasallam dan yang menjawab pula adalah para sahabat kerana mereka (para sahabat) telah menterjemah perbuatan Nabi tersebut menjadi kata-kata yang dikhabarkan kepada yang bertanya.

 

Definasi, maksud dan penggunaan istilah Sunnah.

Dalam kamus-kamus Arab, Sunnah bererti tatacara, jalan yang diikuti dan perilaku hidup sama ada baik mahupun buruk.[5] Tatacara, jalan yang diikuti dan perilaku hidup ini adalah langsungan, terbitan dan pancaran dari seseorang atau sesuatu yang berperanan sebagai titik punca.[6] Dalam al-Qur’an ianya digunakan 16 kali, umumnya merujuk kepada dua perkara, yang pertama adalah tatacara dan peraturan Allah Subhanahu waTa’ala dalam mengurus alam, yakni Sunnatullah dan yang kedua adalah tatacara umat-umat terdahulu, yakni Sunnatul awalin. Berikut adalah dua ayat, setiap satunya mewakili maksud yang diterangkan di atas:

(Demikianlah) peraturan (Kami yang tetap mengenai) orang-orang yang telah Kami utuskan sebelummu dari Rasul-rasul Kami; dan engkau tidak akan dapati sebarang perubahan bagi peraturan Kami yang tetap itu. [al-Israa’ 17:77]

  Allah menghendaki untuk menerangkan (Syariat-Nya) dan untuk menunjukkan kepada kamu jalan-jalan aturan orang-orang yang dahulu daripada kamu (Nabi-nabi dan orang-orang yang soleh, supaya kamu mengikutinya), dan juga untuk menerima taubat kamu. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. [an-Nisaa 4:26]

Perkataan Sunnah juga merujuk kepada tatacara hidup Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam, mewakili percakapan, perbuatan dan persetujuannya. Perhatikan hadis berikut:

Sekumpulan 3 orang lelaki datang ke rumah isteri-isteri Nabi sallallahu-alaihi-wasallam bertanyakan mengenai ibadat Nabi sallallahu-alaihi-wasallam. Maka setelah diberitahu, mereka menganggap seakan-akan ianya sedikit lalu berkata: “Bagaimana kita boleh berbanding dengan Nabi sallallahu-alaihi-wasallam ? Demi sesungguhnya beliau telah diampuni oleh Allah dosa-dosanya yang terdahulu dan yang akan datang.”

Berkata salah seorang dari mereka: “Adapun saya, saya akan bersolat malam selama-lamanya.” Dan berkata seorang lagi: “Saya akan berpuasa sepanjang masa dan tidak akan berbuka.” Dan berkata yang terakhir: “Saya akan menjauhi wanita dan tidak akan berkahwin selama-lamanya.”

Maka (kemudian) datang Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam lalu beliau bersabda: “Kaliankah yang berkata sedemikian sedemikian ? Demi Allah, akulah yang paling takut kepada Allah dan yang paling bertaqwa kepada-Nya dari kalian. Tetapi aku berpuasa dan berbuka, bersolat dan tidur dan aku berkahwin dengan wanita-wanita. Maka barangsiapa yang tidak menyukai sunnahku maka bukanlah dia dari golonganku.” [7]

Perkataan Sunnah juga boleh merujuk kepada tatacara atau perilaku seseorang lain, sebagaimana sabda Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam dalam hadis berikut:

Maka hendaklah kalian berpegang dengan sunnahku dan sunnah para Khalifah yang terpimpin lagi mendapat petunjuk.[8]

Perkataan Sunnah juga boleh mewakili perilaku mulia yang dimulakan oleh seseorang, umpamanya:

Barangsiapa merintis dalam Islam suatu jalan yang baik maka dia memperolehi pahala orang yang melakukannya sesudah dirinya tanpa dikurangi sedikit jua pahala mereka. Dan barangsiapa merintis dalam Islam suatu jalan yang buruk maka dia akan menerima dosa jalan buruk itu dan dosa orang yang mengerjakannya sesudah dirinya tanpa dikurangi sedikit jua dosa mereka. [9]

Dari contoh-contoh di atas jelas kepada kita tentang definasi, maksud dan penggunaan istilah Sunnah –bererti tatacara, jalan yang diikuti dan perilaku hidup sama ada baik mahupun buruk. Dengan itu juga fahamlah kita bahawa yang dimaksudkan sebagai Sunnah Nabi adalah segala percakapan, perbuatan, pengiktirafan, jalan yang dipimpin dan tatacara hidup Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam.

Seperkara penting tentang penggunaan istilah Sunnah menurut kaedah bahasa Arab adalah bahawa ia merupakan satu istilah yang tidak dapat berdiri dengan sendirinya melainkan ia wajib dirujuk atau disandarkan kepada seseorang individu, sesuatu perkara dan sesebuah identiti. Sepertimana yang dinyatakan di bahagian awal bab ini, tatacara, jalan yang diikuti dan perilaku hidup yang dimaksudkan dari istilah sunnah adalah langsungan, terbitan dan pancaran dari sesuatu atau seseorang yang berperanan sebagai titik punca. Hal ini jelas dari contoh-contoh yang telah dikemukakan di atas, seperti sunnah Allah, sunnah orang-orang terdahulu, sunnah Rasulullah dan sunnah para Khalifah. Justeru apabila sahaja istilah sunnah digunakan, ia wajib merujuk kepada seseorang atau sesuatu perkara.[10]

Kembali kepada dakwaan Golongan Anti Hadis bahawa di dalam al-Qur’an tidak ada satu ayat sekalipun yang menyebut dan menerangkan istilah Sunnah Nabi atau Hadis Nabi, ia tidaklah menjadi masalah kerana kitab al-Qur’anul Karim bukanlah sebuah kamus bahasa Arab. Malah yang benar-benar keliru di sini ialah Golongan Anti Hadis sendiri kerana mereka telah menjadikan kitab al-Qur’anul Karim sebagai satu-satunya kamus bahasa Arab yang mutlak. Mereka mencari erti sesuatu perkataan Arab dengan merujuk kepada beberapa terjemahan al-Qur’an yang sedia ada; dan mereka juga mencari kefahaman serta cara-guna sesuatu perkataan Arab dengan membanding-banding antara beberapa ayat al-Qur’an yang sedia memiliki perkataan tersebut. Apa-apa erti atau istilah yang tidak terdapat di dalam al-Qur’an, atau maksud pengertiannya adalah berlainan dengan penerangan al-Qur’an, maka perkataan atau pengertian tersebut dianggap batil dan ditolak. Tindakan ini adalah salah kerana:

[1] Al-Qur’an bukanlah kitab yang memperkenalkan bahasa Arab kepada masyarakat Arab 1400 tahun yang lalu. Ketika al-Qur’an mula diturunkan, masyarakat ketika itu sudah sedia mengetahui dan menguasai bahasa Arab. Jika benar al-Qur’an adalah satu-satunya kamus bahasa Arab, maka bagaimana mungkin masyarakat Arab ketika itu hendak memahami ayat-ayat al-Qur’an yang diturunkan ?

[2] Al-Qur’an diturunkan secara berperingkat-peringkat, menjangkau tempoh 22 tahun lebih. Seandainya kita menerima-pakai teori bahawa sesuatu perkataan atau istilah itu hanya tepat difahami dengan merujuk dan membanding antara ayat dengan ayat, adakah itu bererti bahawa masyarakat Arab ketika itu tidak dapat memahami langsung pengajaran al-Qur’an secara tepat kecuali setelah 22 tahun, yakni setelah al-Qur’an menjadi lengkap keseluruhan himpunan ayat-ayatnya ? Sudah tentu tidak !

Justeru tindakan menjadikan al-Qur’an sebagai satu-satunya kamus bahasa Arab dan penjelas pengertian istilah adalah tidak lain merupakan tindakan orang-orang yang tidak tahu bahasa Arab dan amat sempit wawasan pemikiran mereka. Yang benar adalah, al-Qur’an boleh digunakan sebagai salah satu sumber rujukan bagi mengetahui dan memahami pengertian dan maksud sesuatu perkataan Arab, terutamanya oleh kita masyarakat yang bahasa ibundanya bukan bahasa Arab. Tetapi kita tidak boleh memutlakkan al-Qur’an sebagai satu-satunya kamus dan penjelas bahasa Arab. Melakukan sedemikian bererti kita telah memaksa al-Qur’an kepada satu tanggung-jawab yang tidak ia dipertanggungkan pada asalnya.

Persoalan istilah Sunnah dan Hadis Nabi yang tidak disebut dalam al-Qur’an bukanlah satu persoalan yang membatalkan kedudukannya dari sisi syari’at Islam kerana dasar rujukan kepada dua sumber tersebut tidak terletak pada nama atau istilah, tetapi kepada konsep dan pengertian yang didirikan oleh al-Qur’an itu sendiri.[11] Sebagaimana kita di Malaysia dalam bahasa Melayu mengatakan bahawa sembahyang itu adalah wajib padahal perkataan “sembahyang” sememangnya tidak terdapat di dalam al-Qur’an tetapi konsep dan perintah mendirikan “sembahyang” tersebut memang sedia terdapat di dalam al-Qur’an. Perbezaan nama atau istilah tidaklah membatalkan sesuatu konsep, pengertian, perintah dan pekerjaan yang jelas diasaskan oleh al-Qur’an.

 

Hujah 7:         Al-Qur’an terjamin kesahihannya manakala hadis tidak.  



[1]               Ajaj al-Khatib – Keutamaan Ilmu-ilmu Hadis, ms 23.

[2]               Subhi Saleh – Ilmu Hadith: Satu Pengenalan dan Kajian, ms 3.

[3]               Sahih: Hadis dari Abu Hurairah radiallahu-anhu, dikeluarkan oleh Ahmad, Bukhari dan al-Baihaqi, lihat Sahih Bukhari – no: 099. (Kitab al-Ilmu, Bab Kemulian belajar hadis).

[4]               Sahih: Sebahagian dari hadis yang panjang dari Zaid bin Thabit radiallahu-anhu, dikeluarkan oleh Tirmizi dan ad-Dhiyaa’, dinukil dan dinilai sahih oleh as-Suyuti dalam Jamii-us-Sagier – no: 9264 dan dipersetujui sahih oleh Nasiruddin Albani dalam Sahih Jamii’-us-Sagheir – no: 6763.

[5]               Lihat Qamus al-Muhit, Lisan al-Arab dan lain-lain; di atas dinukil dari Hadis Nabi dan Sejarah Kodifikasinya, ms 13 oleh Mustafa Azami.

[6]                 S.M.Yusuf – The Sunnah: It’s Development and Revision; sebuah artikel yang dimuatkan oleh P.K. Koya dalam bukunya Hadith and Sunnah: Ideal and Realities, pg 103.

[7]               Sahih: Hadis dari Anas bin Malik radiallahu-anhu, dikeluarkan oleh Ahmad, Bukhari, Ibnu Hibban dan lain-lain, di atas adalah lafaz al-Bukhari, lihat Sahih Bukhari – no: 5063 (Kitab Nikah, Bab Anjuran untuk bernikah.........).

[8]               Sahih: Sebahagian dari satu hadis yang panjang dari ‘Irbadh bin Sariah radiallahu-anhu, dikeluarkan oleh Abu Daud, Tirmizi, Ibnu Hibban dan lain-lain, dinilai sahih oleh Syu’aib al-Arnuth dalam Sahih Ibnu Hibban – no: 05. (Muqaddimah, Bab Berpegang kepada sunnah).

[9]         Sahih: Sebahagian dari sebuah hadis yang panjang dari Munthir bin Jarir radiallahu-anhu, dikeluarkan oleh Muslim, Ibnu Hibban, al-Hakim dan lain-lain, lihat Sahih Muslim – no: 1017. (Kitab az-Zakat, Bab Anjuran bersedekah sekalipun setengah biji kurma……)

[10]                  S.M.Yusuf – The Sunnah: It’s Development and Revision, pg 103-105. Ilmu penggunaan istilah Sunnah ini juga telah ditemui dan diakui oleh M.M. Bravmann dalam bukunya – The Spritual Background of Early Islam: Studies in Ancient Arab Concepts sebagaimana yang dinyatakan oleh Daniel Brown dalam – Rethinking Tradition in Modern Islamic Thought, pg 8. Perkara ini sengaja penulis tekankan bagi menolak dakwaan Schacht dan Juynboll yang berkata istilah Sunnah hanyalah merujuk kepada adat kebiasaan masyarakat Arab ketika itu dan bukannya percakapan, perbuatan dan persetujuan Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam.

[11]             Mustafa Azami – On Schacht’s Origins of Muhammadan Jurisprudence, pg 36.

 

 

   

 

 
 

al-Firdaus :: kandungan :: rujukan & kajian