al-Firdaus :: kandungan :: rujukan & kajian

Hujah : 1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19 20

 
 

Hujah Ketujuhbelas:

          

Hadis-hadis Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam banyak yang bercanggah dan berlawanan antara satu sama lain. Oleh itu adalah mustahil untuk merujuk dan menukil sesuatu hukum atau kefahaman dari hadis-hadis.

Jawapan.

Satu perkara yang tidak dinafikan tentang hadis-hadis Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam adalah terdapatnya beberapa percanggahan, pertentangan dan pertembungan antara satu sama lain. Hal ini terjadi kerana beberapa sebab, yang utama adalah kerana Rasulullah mendakwahkan Islam selama 22 tahun lebih dan sepanjang tempoh yang lama tersebut, bicara dan dakwah ditujukan kepada sekian banyak orang atau kumpulan yang terdiri dari pelbagai peringkat keimanan dan daya intelek dan semua ini pula dilatar belakangkan dengan pelbagai persoalan, kes, keadaan dan suasana yang saling berbeza-beza. Faktor-faktor ini telah menyebabkan hadis-hadis pada zahirnya nampak seolah-olah berbeza-beza dan saling bercanggah antara satu sama lain.[1] Bagi mengkaji dan menyuraikan “percanggahan” ini, para ilmuan Islam telah menggariskan beberapa langkah dan kaedah seperti berikut:

[1]           Langkah pertama ialah memastikan bahawa antara dua hadis yang bercanggah setiap darinya memiliki status kekuatan yang sama. Jika yang bercanggah adalah antara hadis sahih dengan hadis daif, maka percanggah ditamatkan dengan mengambil hadis sahih sahaja. Jika kedua-dua hadis adalah sahih maka kaedah selanjutnya adalah:

[2]           Mengkaji bilakah Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam menyabdakan hadis-hadis tersebut. Adakalanya dua hadis bercanggah antara satu sama lain kerana yang pertama disabdakan oleh Rasulullah di zaman awal Islam manakala yang kedua disabdakan beliau di zaman pertengahan atau akhir Islam. Hadis yang terakhir tersebut membatalkan hadis yang pertama. Hadis yang membatalkan disebut nasikh manakala hadis yang dibatalkan disebut mansukh.

Hikmah wujudnya nasikh dan mansukh adalah kerana Islam mendidik, mentarbiyah, membina dan membangun umatnya secara berperingkat-peringkat, tidak secara mendadak dan terburu-buru. Oleh itu ada ajaran Islam disyari’atkan secara berperingkat-peringkat sesuai dengan suasana umat, masyarakat dan kekuatan Islam di ketika itu.

Sebelum seseorang membezakan antara hadis nasikh dan hadis mansukh wajib dia mencari bukti dan petunjuk terlebih dahulu bahawa hadis yang awal tersebut (hadis mansukh) telah benar-benar dibatalkan oleh Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam dalam hadis yang terakhir (hadis nasikh).

[3]          Kaedah ketiga adalah dengan mengkaji kepada siapakah sesuatu hadis itu ditujukan. Kadang-kadang dua hadis nampak bercanggah kerana ia ditujukan oleh Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam kepada dua individu atau kumpulan yang berlainan. Ketahuilah bahawa salah satu kebijaksanaan Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam adalah beliau sentiasa perhatikan kepada siapa dia mengajar dan dari siapa dia menerima soalan. Dengan kebijaksanaan ini beliau dapat menjadi guru dan pemimpin yang bermanfaat kepada semua lapisan masyarakat, sama ada yang tua atau muda, lelaki atau wanita, yang bijak atau yang jahil, yang baru memeluk Islam atau sudah lama dan seterusnya.[2]

[4]     Sebab percanggahan sesuatu hadis juga boleh “disuraikan” dengan mengkaji suasana dan keadaan sekeliling apabila sesuatu hadis disabdakan. Adakalanya wujud percanggahan kerana satu hadis disabdakan dalam suasana perang dan hadis yang lain pula dalam suasana damai. Boleh juga terjadi percanggahan antara hadis yang disabdakan Rasulullah dalam khutbah kepada orang awam manakala ada hadis yang disabdakan dalam ceramah kecil yang dihadiri oleh beberapa sahabat senior. Dengan mengkaji perbezaan suasana dan keadaan sekelling, dapat difahami kenapa wujudnya percanggahan dan ditemui kefahaman yang sebenar.

[5]     Sebab terakhir wujudnya percanggahan adalah kerana kurangnya fahaman kita sendiri sama ada dari sudut memahami bahasa Arab, perbandingan dengan hadis-hadis lain atau kefahaman kepada seluruh ruh dan tujuan syari’at. Bagi mengelak masalah ini hendaklah seseorang itu memahirkan diri dalam bahasa Arab dahulu. Kemudian apabila berhadapan dengan hadis yang bercanggah, hendaklah dicari semua hadis-hadis yang termasuk dalam bab yang dibincangkan kemudian digarap kefahaman darinya.

Sebagai contoh perhatikan semula perbincangan sebelum ini dalam bab larangan penulisan hadis (lihat jawapan ke-11). Terdapat dua hadis Rasulullah yang bercanggah, yang pertama dari Abu Sa’id al-Khudri yang melarang penulisan hadis manakala yang kedua dari Abdullah bin ‘Amr yang membenarkan penulisan hadis. Akan tetapi setelah dikaji hadis lain dari Abu Hurairah, fahamlah kita bahawa yang sebenarnya dilarang oleh Rasulullah adalah menulis hadis di atas lembaran yang sama dengan al-Qur’an hingga mungkin menyebabkan percampuran.

Demikian 5 kaedah dan langkah bagi mengkaji dan “menyuraikan” hadis-hadis Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam yang nampak bercanggah. Tidak dinafikan bahawa untuk menguasai sepenuhnya bidang ini seseorang itu perlu memiliki ilmu menyemak isnad serta pengetahuan yang luas dalam keseluruhan hadis-hadis Rasulullah dan syari’at Islam. Seandainya tidak berkemampuan menguasai bidang ini maka rujuklah kepada para pakarnya, janganlah terburu-buru berkata bahawa disebabkan wujudnya percanggahan mustahil untuk menukil hukum dan kefahaman.

 

Hujah 18:  Terdapat banyak hadis yang aneh lagi pelik.



[1]                 Muhammad al-Ghazali – Menjawab 40 Soal Islam Abad 20, ms 131-132.

[2]               Lihat as-Sunnah sebagai sumber Iptek dan Peradaban, ms 164 dan seterusnya oleh Yusuf Qardhawi.

 

 

 

   

 

 
 

al-Firdaus :: kandungan :: rujukan & kajian