al-Firdaus :: kandungan :: rujukan & kajian

Hujah : 1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19 20

 
 

Hujah Ketiga:

          Prinsip Islam yang terpenting adalah tidak boleh mentaati sesuatu hukum syari’at kecuali yang berasal dari Allah Subhanahu waTa’ala. Tidak boleh mencari atau mentaati sumber hukum yang lain sebagaimana yang dikritik oleh Allah waTa’ala dalam ayat berikut:  

          Patutkah aku hendak mencari hakim selain dari Allah ? [al-An’aam 6:114]

         Umat Islam mentaati hukum-hukum yang berasal dari Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam kerana mereka memahami firman Allah yang bermaksud: Taatlah kepada Rasulullah sebagai bererti mentaati hukum-hukum yang berasal dari beliau. Ini adalah satu fahaman yang salah kerana perintah mentaati Rasulullah bukanlah bererti mentaati Muhammad tetapi bererti mentaati tugas yang dipertanggung-jawabkan kepada Muhammad sebagai seorang Rasul Allah, iaitu membawa kitab al-Qur’anul Karim kepada manusia. Seandainya umat Islam dikehendaki mentaati hukum-hukum yang berasal dari Muhammad, pasti Allah akan berfirman umpama: Taatlah kepada Muhammad.

         Lebih dari itu Muhammad hanyalah seorang manusia biasa seperti kita semua, mentaati beliau dalam urusan syari’at bererti menyamakan kedudukannya di sisi Allah Ta’ala dan ini jelas satu perbuatan syirik yang besar.

Jawapan.

         Dakwaan di atas akan penulis jawab dalam 4 bahagian, [1] Siapakah “hakim” yang sepatutnya bagi orang beriman ? , [2] Erti perintah Taatlah kepada Rasulullah [3] Adakah mentaati Rasulullah satu perbuatan syirik ? dan [4] Kedudukan Muhammad sallallahu-alaihi-wasallam sebagai seorang manusia biasa.

Pertama: Siapakah “hakim” yang sepatutnya bagi orang beriman ?

          Firman Allah Azza waJalla yang bermaksud: Patutkah aku hendak mencari hakim selain dari Allah ? [al-An’aam 6:114] sebenarnya merupakan jawapan kepada tindakan orang-orang musyrik Makkah ketika itu yang telah melantik seorang pemimpin Ahli Kitab untuk mengadili kebenaran Muhammad sebagai seorang Rasul Allah. Mereka menyuruh pemimpin Ahli Kitab tersebut menilai kebenaran Muhammad berdasarkan apa yang tertulis dalam kitab Taurat dan Injil.[1] Maka Allah Subhanahu waTa’ala menurunkan ayat ini yang seluruhnya berbunyi:  

          (Katakanlah): Patutkah aku hendak mencari hakim selain dari Allah, padahal Dialah yang menurunkan kepada kamu kitab Al-Quran yang jelas nyata kandungannya satu persatu ? Dan orang-orang yang Kami berikan kitab (orang-orang Yahudi dan Nasrani), mengetahui bahawa Al-Quran itu adalah diturunkan dari Tuhanmu dengan sebenar-benarnya. Oleh itu, jangan sekali-kali engkau menjadi (salah seorang) dari golongan yang ragu-ragu. [al-An’aam 6:114], iaitu apakah patut dicari seorang hakim selain Allah padahal Allah telah menurunkan kitab al-Qur’anul Karim yang jelas menyatakan dan membuktikan kerasulan Muhammad sallallahu-alaihi-wasallam. Ayat ini memiliki erti yang lebih luas, iaitu apabila kita berdialog dan berbincang dengan orang-orang bukan Islam, adalah mencukupi al-Qur’an sebagai “hakim” yang menjadi dalil, sumber penghujahan dan bukti kebenaran.

           Ayat di atas tidak bermaksud mengecualikan Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam sebagai “hakim” bagi umat Islam dalam persoalan hukum-hukum mereka. Perhatikan ayat berikut yang bukan sahaja menuntut ketaatan tetapi juga menjanjikan kejayaan kepada sesiapa yang menjadikan Rasulullah sebagai seorang “hakim” yang memutuskan persoalan hukum di kalangan mereka:  

           Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diajak kepada Allah dan Rasul-Nya, supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, hanyalah mereka berkata: “Kami dengar dan kami taat”; dan mereka itulah orang-orang yang beroleh kejayaan. [an-Nur 24:51]

Kedua: Erti perintah Taatlah kepada Rasulullah.

           Jika dikaji keseluruhan al-Qur’an akan didapati Allah Subhanahu waTa’ala merujuk kepada Muhammad bin Abdullah sallallahu-alaihi-wasallam dengan 4 istilah. Yang pertama adalah dengan istilah hamba-Nya sebagaimana ayat berikut:

          Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. [al-Israa’ 17:01]

         Kedua Allah merujuk kepada Muhammad dengan nama baginda yang sebenar bagi menerangkan kepada para pembaca al-Qur’an siapakah beliau. Contohnya adalah ayat berikut:

         Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam).  [al-Fath 48:29]

         Ketiga Allah merujuk kepada Muhammad dengan istilah Nabi apabila membicarakan persoalan peribadi baginda seperti nasihat, urusan rumahtangga dan sebagainya. Berikut adalah satu contoh:

       Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu: Sekiranya kamu semua mahukan kehidupan dunia (yang mewah) dan perhiasannya (yang indah), maka marilah supaya aku berikan kepada kamu pemberian mut'ah (sagu hati), dan aku lepaskan kamu dengan cara yang sebaik-baiknya. [al-Ahzab 33:28]

        Termasuk dalam kategori ketiga ini ialah apabila Allah Subhanahu waTa’ala merujuk kepada Muhammad dengan kata-kata engkau atau kamu.

        Keempat Allah merujuk kepada Muhammad dengan istilah Rasul atau Rasul-Nya atau Rasulullah, semua ini merujuk kepada tugas, peranan, amanah dan tanggung-jawab yang dimiliki oleh baginda dalam urusan risalah Islam. Terdapat banyak contoh ayat yang menggunakan istilah ini, satu darinya adalah:

Sebagaimana Kami mengutuskan kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu (iaitu Muhammad), yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu, dan membersihkan kamu, dan yang mengajarkan kamu kandungan Kitab (Al-Quran) serta Hikmah kebijaksanaan, dan mengajarkan kamu apa yang belum kamu ketahui. [al-Baqarah 2:151]

Selain itu istilah Rasul juga digunakan oleh Allah Subhanahu waTa’ala dalam al-Qur’an bagi mengingatkan kelebihan, kemuliaan dan keistimewa Muhammad sebagai seorang manusia yang berpangkat Rasul supaya umat Islam menghormati dan berlaku sopan terhadapnya. Berikut adalah satu contoh dan perhatikan perbezaan penggunaan istilah Nabi dan Rasul:

           Dan di antara mereka (yang munafik itu) ada orang-orang yang menyakiti Nabi sambil mereka berkata: Bahawa dia (Nabi Muhammad) orang yang suka mendengar (dan percaya pada apa yang didengarnya). Katakanlah: Dia mendengar (dan percaya) apa yang baik bagi kamu, ia beriman kepada Allah dan percaya kepada orang mukmin, dan ia pula menjadi rahmat bagi orang-orang yang beriman di antara kamu. Dan orang-orang yang menyakiti Rasulullah itu, bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya. [at-Taubah 9:61]

           Kembali kepada asas perbincangan, tidak dinafikan bahawa Allah telah memerintahkan ketaatan kepada Rasulullah dan bukan kepada Muhammad, bererti bahawa yang wajib kita taati adalah segala tugas, peranan, amanah dan tanggungjawab baginda dalam konteks risalah Islam. Akan tetapi adalah tidak wajar jika tugas tersebut dibataskan kepada membawa kitab al-Qur’an sahaja kerana selain itu baginda juga memiliki pelbagai tugas yang penting seperti yang telah disenaraikan di atas (lihat jawapan bagi hujah kedua). Maka perintah mentaati Rasulullah bererti mentaati semua tugas-tugas yang dipertanggung-jawabkan kepadanya oleh Allah Subhanahu waTa’ala, tidak satu sahaja.

Ketiga: Adakah mentaati Rasulullah satu perbuatan syirik ?

           Dakwaan bahawa mentaati ajaran, perintah dan larangan yang berasal dari Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam adalah satu perbuatan syirik terhadap Allah Azza waJalla adalah tidak benar kerana ia sebenarnya telah diberi pengiktirafan dan keizinan oleh Allah sendiri sebagaimana firman-Nya:

          Dan Kami tidak mengutus seseorang Rasul pun melainkan supaya ia ditaati dengan izin Allah. [an-Nisaa’ 4:64]

          Lebih dari itu, mentaati ajaran, perintah dan larangan yang berasal dari Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam bererti mentaati Allah Subhanahu waTa’ala sendiri sebagaimana firman-Nya:  

         Sesiapa yang taat kepada Rasul, maka sesungguhnya ia telah taat kepada Allah. [an-Nisaa’ 4:80]

Dalam sebuah ayat lain Allah Azza waJalla menegaskan:

       Sesungguhnya orang-orang yang memberi pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad), mereka hanyasanya memberikan pengakuan taat setia kepada Allah; Allah mengawasi keadaan mereka yang memberikan taat setia itu (untuk membalasnya). [al-Fath 48:10]

         Firman Allah …memberi pengakuan taat setia kepadamu… adalah terjemahan dari perkataan (yubaya`unaka) yang berasal dari kata dasar (al-bai') : al-Bai’ah. Ibnu Athir (606H) menerangkan bahawa al-Bai’ah ialah suatu ungkapan (yang bermaksud) saling mengikat atau saling berjanji, seolah-olah setiap pihak dari keduanya telah menjual apa yang ada pada dirinya kepada sahabatnya, dan (dalam perjanjian itu) dia memberikan ketulusan hati, ketaatan dan urusan dirinya (menyerahkan diri sepenuhnya).[2]

          Ibnu Khaldun (808H) juga berkata: Ketahuilah bahawa al-Bai’ah merupakan kontrak dan perjanjian untuk taat. Misalnya seorang yang menyampaikan sumpah setia, membuat perjanjian dengan amirnya, akan menyatakan bahawa dia akan menyerahkan pengawasan atau urusannya sendiri dan kaum muslimin kepadanya (amir) dan bahawa dia tidak akan menandingi kekuasaannya dan bahawa dia akan mentaatinya dengan melaksanakan semua tugas yang dibebankan kepadanya baik dia bersetuju atau tidak.[3]

Oleh itu sesiapa yang berbai’ah kepada Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam maka dia sebenarnya berbai’ah kepada Allah Azza waJalla. Sesiapa yang bermuafakat, berikrar, berjanji dan bersetuju untuk mentaati serta menyerahkan diri sepenuhnya kepada Rasulullah maka dia sebenarnya bermuafakat, berikrar, berjanji dan bersetuju untuk mentaati serta menyerahkan diri sepenuhnya Allah Azza waJalla. Ayat ke 10 surah al-Fath ini bersama ayat 80 surah an-Nisaa sebelumnya secara tegas membatalkan dakwaan bahawa mengikut dan mentaati Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam adalah satu perbuatan syirik terhadap Allah Azza waJalla.

Kempat: Kedudukan Muhammad sebagai seorang manusia biasa.

Tidak dinafikan bahawa Muhammad bin Abdullah sallallahu-alaihi-wasallam adalah seorang manusia biasa yang makan dan minum seperti kita semua. Semua Rasul yang diutuskan oleh Allah adalah dari jenis manusia, bukan malaikat atau jin. Hal ini telah diterangkan sendiri oleh Allah Subhanahu waTa’ala beberapa kali di dalam al-Qur’an, antaranya:

Katakanlah (wahai Muhammad): Maha Suci Tuhanku! Bukankah aku ini hanya seorang manusia yang menjadi Rasul ? [al-Isra’ 17:93]

Dan Kami tidak mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang-orang lelaki yang Kami wahyukan kepada mereka (bukan malaikat); maka bertanyalah kamu kepada “Ahlu – Zikri” jika kamu tidak mengetahui. Dan Kami tidak menjadikan Rasul-rasul itu bertubuh badan yang tidak makan minum, dan mereka pula tidak akan kekal hidup selama-lamanya (di dunia). [al-Anbiya’ 21:7-8]

Hikmah diutus para Rasul dari jenis manusia adalah kerana tugas mereka bukanlah sekadar membawa kitab suci Allah tetapi mereka juga bertanggung-jawab mengajar, menjelas dan menterjemah ayat-ayat kitab suci menjadi perbuatan praktikal agar umat mudah memahami dan mengikutinya. Para Rasul juga bertanggung-jawab untuk menunjukkan umat kaedah hidup, terutamanya dari sudut akhlak dan moral supaya manusia dapat mengekalkan diri mereka sebagai sebaik-baik ciptaan dan tidak pula menjadi haiwan dan binatang ternak. Sudah tentu tugas-tugas ini tidak dapat disempurnakan jika Allah Subhanahu waTa’ala mengutuskan para Rasul-Nya dari jenis malaikat, jin atau mana-mana makhluk lain.

           Oleh itu adalah benar dakwaan bahawa Muhammad sallallahu-alaihi-wasallam adalah seorang manusia biasa. Akan tetapi adalah tidak benar untuk memandang rendah dan meremehkan Muhammad kerana Allah Subhanahu waTa’ala di dalam al-Qur’an telah mengangkat dan memuliakan beliau berbanding manusia selainnya. Berikut adalah 10 keterangan al-Qur’an tentang kemulian dan kelebihan Muhammad sallallahu-alaihi-wasallam.

 

10 Kemulian dan Kelebihan Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam.  

[1] Allah Subhanahu waTa’ala dan para Malaikat berselawat kepada Rasulullah.

 Firman Allah Subhanahu waTa’ala:  

Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. [al-Ahzab 33:56]

Istilah Selawat berasal dari perkataan solat yang bererti doa. Apabila dikatakan berselawat kepada Rasulullah, ia bererti mendoakan segala yang baik untuk baginda. Selawat Allah kepada Rasulullah bererti pujian, pengagungan dan pengurnian rahmat oleh Allah Subhanahu waTa’ala kepada baginda. Manakala selawat para malaikat dan manusia kepada Rasulullah adalah doa agar Allah Subhanahu waTa’ala memberikan rahmat, keberkatan, keutamaan dan kemulian kepada baginda. Ayat 56 surah al-Ahzab ini jelas menunjukkan kemulian dan kelebihan Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam di atas mana-mana manusia lain sehingga ke Hari Akhirat.

 

[2] Allah meninggi dan memuliakan nama Rasulullah.

Firman Allah Subhanahu waTa’ala:  

Bukankah Kami telah melapangkan bagimu, dadamu (wahai Muhammad) ? Dan Kami telah meringankan daripadamu, bebanmu (menyiarkan Islam) - Yang memberati tanggunganmu ? Dan Kami telah meninggikan bagimu, sebutan namamu ? [asy-Syarh 94:1-4]

Terhadap firman Allah: ....... Dan Kami telah meninggikan bagimu: sebutan namamu .... telah diriwayatkan bahawa Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam bersabda:

Jibrail (alaihi salam) telah datang kepada aku dan berkata: “Sesungguhnya Rabb aku dan Rabb engkau telah telah berfirman – Tahukah bagaimana (Aku) menaikkan sebutan namamu ?” Berkata Rasulullah: “Allah sahaja yang mengetahui.” Berkata Jibrail: “Apabila namaKu disebut nama engkau disebut bersamaKu.” [4]

Riwayat ini sekalipun lemah isnadnya, tetapi maksudnya dibenarkan oleh umat Islam sejak dari saat pertama Islam bermula. Yang dimaksudkan dengan Apabila namaKu disebut nama engkau disebut bersamaKu adalah dalam sebutan syahadah, yakni apabila nama Allah Subhanahu waTa’ala dan Muhammad sallallahu-alaihi-wasallam disebut bersama: “Tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah pesuruh Allah” Berkata Mujahid (104H) rahmatullhu-alaihi, anak murid bagi Abdullah ibnu Abbas (68H) radiallahu-anhu: Tidaklah disebut (nama Allah) melainkan disebut juga nama dia (Muhammad) bersama (iaitu ketika berkata) “Aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah pesuruh Allah.” [5] Berkata juga Qatadah (118H) rahmatullahu-alaihi: Allah telah meninggikan namanya (Muhammad) di dunia dan akhirat. Tiadalah seorang yang menyebut atau bersyahadah atau bersolat  kecuali akan berkata - “Tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah pesuruh Allah.” [6] Mujahid dan Qatadah adalah dua tokoh ilmuan dan pakar tafsir generasi tabiin.

 

[3] Allah bersumpah dengan nama dan kedudukan Rasulullah.

Firman Allah Subhanahu waTa’ala:

Demi umurmu (wahai Muhammad), sesungguhnya mereka membuta tuli dalam kemabukan maksiat mereka. [al-Hijri 15:72]

Para ahli tafsir menerangkan bahawa apabila Allah Subhanahu waTa’ala bersumpah dalam al-Qur’an, ia adalah bagi menunjukkan kebesaran objek yang disumpah-Nya atau bagi mengisyaratkan besarnya subjek yang bakal menyusuli sumpah tersebut.[7] Justeru apabila Allah Subhanahu waTa’ala bersumpah dengan usia atau hayat Rasulullah, ia menunjukkan kebesaran, keutamaan dan kepentingan Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam. Malah inilah julung kalinya Allah bersumpah dengan sesuatu yang bernyawa dalam al-Qur’an, sumpah-sumpah-Nya yang lain semuanya ditujukan kepada benda tidak bernyawa seperti bulan, matahari, waktu dan sebagainya. Abdullah ibnu Abbas (68H) radiallahu-anhu berkata: Allah tidak mencipta atau membuat atau mereka suatu nyawa yang Dia muliakan lebih dari Muhammad sallallahu-alaihi-wasallam. Dan aku tidak pernah mendengar Allah bersumpah dengan suatu nyawa selain nyawanya (Muhammad).[8]

Selain itu Allah Subhanahu waTa’ala juga beberapa kali telah menyusul sumpah-sumpah-Nya dengan Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam, sekali lagi membuktikan kebesaran dan keutamaan baginda. Sila rujuk ayat-ayat berikut:

Yaa, Siin. Demi Al-Quran yang mengandungi hikmah-hikmah dan kebenaran yang tetap kukuh, Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad adalah seorang Rasul) dari Rasul-rasul yang telah diutus. [Yasin 36:1-3]

Demi bintang semasa ia menjunam, rakan kamu (Nabi Muhammad), tidaklah ia menyeleweng (dari jalan yang benar), dan ia pula tidak sesat. [an-Najm 53:1-2]

Nuun. Demi Pena dan apa yang mereka tulis, Engkau (wahai Muhammad) - dengan sebab nikmat pemberian Tuhanmu - bukanlah seorang gila. [al-Qalam 68:1-2]

Aku bersumpah dengan negeri (Makkah) ini; Sedang engkau (wahai Muhammad) tinggal di negeri ini. [al-Balad 90:1-2]

Demi waktu Dhuha, dan malam apabila ia sunyi-sepi, (bahawa) Tuhanmu (wahai Muhammad) tidak meninggalkanmu, dan Ia tidak benci (kepadamu). [ad-Dhuha 93:1-3]

 

[4] Allah membela dan melindungi Rasulullah.

Firman Allah Subhanahu waTa’ala:

Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat). Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, dialah yang terputus. [al-Kaustar 108:1-3]

Ayat ini turun sebagai menjawab orang-orang kafir ketika itu yang telah menyindir Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam – kononnya beliau terputus zuriat keturunan, akibat kematian putera-putera beliau dalam usia yang masih kecil. Oleh itu Allah Subhanahu waTa’ala membela Rasulullah dengan menerangkan bahawa sekalipun beliau terputus zuriat keturunan, risalah Islam yang dibawanya tidak akan terputus. Ia akan terus berkembang sebagaimana yang dapat dilihat pada hari ini. Malah yang sebenarnya terputus adalah orang-orang kafir itu sendiri, bilangan mereka makin mengecil dan mereka semua tertinggal dalam kegelapan jahiliyah dan kesesatan taghut.[9]

Ayat ini juga memiliki erti dan pengajaran yang lebih luas memandangkan Allah Subhanahu waTa’ala telah menurunkannya dengan lafaz yang umum lagi terbuka. Oleh itu ayat ini juga ditujukan kepada:

[1] Sesiapa yang membenci Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam, termasuk menghina, meremeh, merendah, bermusuhan, berdengkian dan marah kepada beliau.

[2] Sesiapa yang membenci dan melecehkan sunnah-sunnah Rasulullah, enggan mentaati dan mengikutinya tetapi lebih suka berbuat bid’ah sesuka hati.

[3] Sesiapa yang membenci risalah Islam yang dibawa oleh Rasulullah.[10]

Maka bagi orang-orang yang memiliki sifat kebencian ini, mereka terputus dari rahmat, kasih sayang, hidayah, petunjuk, kebaikan dan ganjaran Allah Subhanahu waTa’ala.

Selain itu terdapat beberapa ayat lain yang menerangkan pemeliharaan dan pertolongan Allah Subhanahu waTa’ala kepada Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam, antaranya ialah:

Dan Allah jualah akan memeliharamu (Muhammad) dari (kejahatan) manusia. [al-Maidah 5:67]

Maka bukanlah kamu yang membunuh mereka, akan tetapi Allah jualah yang menyebabkan pembunuhan mereka. Dan bukanlah engkau (wahai Muhammad) yang melempar ketika engkau melempar, akan tetapi Allah jualah yang melempar. [al-Anfal 8:17] Ayat ini turun semasa Perang Badar apabila Allah Azza waJalla menurunkan pasukan tentera para malaikat bagi menolong Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam dan umat Islam.

Dan ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang-orang kafir musyrik (Makkah) menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menahanmu, atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya. [al-Anfal 8:30]

Jika kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya. [at-Taubah 9:40]

 

[5] Allah menyifatkan pengutusan Rasulullah sebagai Rahmat bagi sekalian alam.

Firman Allah Subhanahu waTa’ala:

Sesungguhnya Allah telah mengurniakan rahmat-Nya kepada orang-orang yang beriman, setelah Ia mengutuskan di kalangan mereka seorang Rasul…..[‘Ali Imran 3:164]

Perkataan mannaLlah bererti limpahan nikmat, rahmat dan kurnia yang Allah berikan kepada orang-orang Islam, iaitu apabila diutuskan kepada mereka Muhammad sallallahu-alaihi-wasallam.[11]

Katakanlah: Dia mendengar (Muhammad) apa yang baik bagi kamu, ia beriman kepada Allah dan percaya kepada orang mukmin, dan ia pula menjadi rahmat bagi orang-orang yang beriman di antara kamu. [at-Taubah 9:61]

Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam. [al-Anbiya’ 21:107]

 

[6] Allah mensyaratkan kasih sayang kepada-Nya dengan ikutan kepada Rasulullah.

Sesiapa yang benar-benar mengasihi Allah Subhanahu waTa’ala, hendaklah dia membuktikan kasih sayang tersebut dengan mengikuti sunnah Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam. Firman Allah Subhanahu waTa’ala melalui lisan Rasulullah.

Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka IKUTILAH daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [‘Ali Imran 3:31]

 

[7] Sesiapa yang memuliakan, menolong dan mengikut sunnah Rasulullah akan berjaya dunia dan akhirat, dan akan memperolehi, kasih sayang, keampunan dan keredhaan Allah.

Firman Allah Subhanahu waTa’ala:

Maka orang-orang yang beriman kepadanya (Muhammad), dan memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut nur (cahaya) yang diturunkan kepadanya, mereka itulah orang-orang yang berjaya. [al-A’raaf 7:157]

Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka IKUTILAH daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [‘Ali Imran 3:31]

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) Hari Akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak. [al-Ahzaab 33:21]

[8] Allah memuji akhlak dan perilaku Rasulullah.

Firman Allah Subhanahu waTa’ala:

Dan bahawa sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang amat mulia.[al-Qalam 68:04]

 

[9] Allah memberi amaran keras kepada sesiapa yang biadap dan tidak sopan terhadap Rasulullah.

Firman Allah Subhanahu waTa’ala:

Janganlah kamu jadikan seruan atau panggilan Rasulullah di antara kamu seperti seruan atau panggilan sesama kamu. [an-Nur 24:63] Iaitu janganlah dipanggil Muhammad tetapi panggilah “Ya Rasulullah” atau “Wahai Nabi”.

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengangkat suara kamu melebihi suara Nabi, dan janganlah kamu menyaringkan suara (dengan lantang) semasa bercakap dengannya sebagaimana setengah kamu menyaringkan suaranya semasa bercakap dengan setengahnya yang lain. (Larangan yang demikian) supaya amal-amal kamu tidak hapus pahalanya, sedang kamu tidak menyedarinya. [al-Hujerat 49:02]

Allah Subhanahu waTa’ala juga memberikan amaran keras kepada sesiapa yang menyakiti Rasulullah dan melakukan perkara-perkara yang tidak disukainya. Malah dalam satu ayat lain Allah meletakkan Rasulullah di sisi nama-Nya dalam memperingatkan kesalahan yang besar ini:

Dan orang-orang yang menyakiti Rasulullah, bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya. [at-Taubah 9:61]

Sesungguhnya orang-orang yang menyakiti (atau melakukan perkara yang tidak diredai oleh) Allah dan Rasul-Nya, Allah melaknatkan mereka di dunia dan di akhirat, dan menyediakan untuk mereka azab seksa yang menghina. [al-Ahzaab 33:57]

 

[10] Allah tidak akan menghukum sesuatu kaum selagi Rasulullah hadir di tengah-tengah mereka ketika itu.

Firman Allah Subhanahu waTa’ala:

Dan Allah tidak sekali-kali akan menyeksa mereka, sedang engkau (wahai Muhammad) ada di antara mereka. [al-Anfal 8:33]

Demikian 10 dalil al-Qur’anul Karim yang menerangkan kemulian, penghormatan dan kelebihan yang diberi oleh Allah Subhanahu waTa’ala kepada Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam. Semua ini menunjukkan bahawa beliau bukanlah sekadar manusia yang biasa tetapi adalah manusia terpilih yang dikhususkan oleh Allah Tabaraka waTa’ala.[12]



Hujah 4:         Allah melarang Rasulullah dari berkata sesuatu selain al-Qur’an.

 


[1]               Muhammad Ali as-Shabuni – Cahaya al-Qur’an, jld 1, ms 346.

[2]               an-Nihayah fi Gharib al-Atsar, jld 1, ms 174.

[3]               Muqaddimah Ibnu Khaldun, ms 226.

[4]               Hasan: Hadis dari Abu Said al-Khudri radiallahu-anhu, dikeluarkan oleh Abu Ya’la dalam Musnad – no: 1380, Ibnu Hibban dalam Sahih – no: 3382, Ibnu Jarir at-Tabari dalam Jamii’al-Bayan -  no: 29068 dan Ibnu Abi Hatim al-Razi dalam Tafsir al-Qur’an al-‘Adzim no: 19393, semuanya dari jalan Abi al-Haithami, yakni Sulaiman bin ‘Amru al-Laithi – dan adalah beliau seorang yang lemah. Lihat takhrijnya oleh al-Haithami dalam Majma az-Zawaaid – no: 13922, Syu’aib al-Arnuth dalam Sahih Ibnu Hibban, jld 8, ms 175 dan Husain Salim Asad dalam Musnad Abu Ya’la, jld 2, ms 522. Namun maksudnya benar sebagaimana penjelasan yang menyusul di atas.

[5]               Hasan: Dikeluarkan oleh Abdurrazzaq dalam kitab Tafsirnya – no: 3641 dari Ma’amar (bin Rashid), dari (Sufyan) bin Uyaynah, dari Ibnu Abi Najih, dari Mujahid. Penulis berkata, para perawinya terpercaya (thiqah) hanya sahaja Ibnu Abi Najih – nama sebenarnya Abdullah bin Yasir – beliau tidak mendengar secara terus dari Mujahid melainkan dari al-Qasim bin Abi Barrah, demikian terang Sa’id al-Qathan. Lihat Mizan al-Iktidal – no: 4656. al-Qasim adalah salah seorang perawi al-Bukhari. Atsar ini juga dikeluarkan oleh Ibnu Jarir at-Tabari dalam Jamii’ al-Bayan – no: 29065 dan Ibnu Abi Hatim – Tafsir al-Qur’an al-‘Adzim – no: 19391.

[6]               Sahih: Dikeluarkan oleh Ibnu Jarir Tabari dalam Jamii’ al-Bayan – no: 29067  - hadathana Bashr (bin Mu’az al-‘Aqadi), dia berkata hadathana Yazid (bin Zari’i), dia berkata hadathana Sa’id (bin Bashir), dari Qatadah. Penulis berkata, para perawinya adalah terpercaya (thiqah) lagi bersambungan. Sa’id bin Bashir adalah maula Bani Nasr, lihat al-Jarh wa Ta’dil, jld 4, ms 6. Riwayat ini juga dikeluarkan oleh Ibnu Abi Hatim ar-Razi dalam Tafsir al-Qur’an al-‘Adzim Musnadan - no: 19392.

[7]               Ia juga bermaksud sebagai menarik perhatian dan pemikiran manusia kepada guna dan manfaat objek atau subjek yang menyusuli smpah tersebut. Lihat mana-mana kitab tafsir di bawah tajuk sumpah Allah, antaranya Quraish Shihab – Tafsir al-Qur’an al-Karim: Tafsir atas Surat-surat Pendek Berdasarkan Urutan Turunnya Wahyu, ms 322-323 dan Muhammad Asad - The Qur’an Translated and Explained, ms 910, nk: 23.

[8]               Sahih: Dikeluarkan oleh Ibnu Jarir at-Tabari dalam Jamii’ al-Bayan – no: 16048  - hadathana (Muhammad bin) al-Mathani, dia berkata hadathana Muslim bin Ibrahim, dia berkata hadathana Sa’id bin Zaid, dia berkata hadathana ‘Amru bin Malik (an-Nakari), dari Abi al-Jauzai, dari Abdullah ibnu Abbas. Penulis berkata, para perawinya adalah terpercaya (thiqah) dan bersambungan. Sa’id bin Zaid, beliau ialah Abu al-Hasan Sa’id bin Zaid bin Darham al-Azdi, lihat Tahzib al-Kamal, jld 10, ms 441, perawi no: 2276 dan Tahzib at-Tahzib, jld 4, ms 29. Juga dikeluarkan oleh Ibnu Abi Hatim al-Razi dalam Tafsir al-Qur’an al-‘Adzim Musnadan - no: 12420.

[9]               Lihat Tafsir Ibnu Katsir, jld 4, ms 527-528.

[10]             Lebih lanjut sila lihat, setiapnya mengikut turutan: [1] M. Quraish Shihab – Tafsir al-Qur’an al-Karim, ms 576-579 [2] Ibnu Taimiyah – Tafsir al-Kabir, jld 7, ms 46-47 [3] al-Maraghi – Tafsir al-Maraghi, jld 30, ms 444-445. Lihat juga Fakh-ur-Razi – Tafsir al-Kabir, jld 10, ms 320-322, Abu Hafs Umar bin Ali – al-Bab fi Ulum al-Kitab, jld 20, ms 524 dan lain-lain lagi.

[11]             Rashid Rida – Tafsir al-Manar, jld 4, ms 180 dan Tafsir al-Maraghi, jld 4, ms 20.

[12]             Ada banyak lagi kemulian dan keutamaan Nabi Muhammad sallallahu-alaihi-wasallam. Sila rujuk buku as-Shifa: Muhammad Messenger of Allah oleh Qadi ‘Iyad.  Nampaknya Golongan Anti Hadis di submitters.org telah menyedari hakikat ini, lalu mereka mengubah taktik dengan tidak lagi meremehkan Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam tetapi memuliakannya selari dengan ayat-ayat di atas. Namun tetap ada helahnya, dengan kemuliaan yang baru mereka temui ini, mereka kemukakan pula hadis-hadis yang mengikut akal mereka adalah aneh lagi pelik, lalu dituduh bahawa umat Islam sengaja suka memburuk-buruk dan menghina Rasulullah dengan hadis-hadis sedemikian. Alangkah pintarnya ! Insya-Allah hadis-hadis aneh dan pelik tersebut akan penulis jelaskan di bahagian yang akan datang (Jawapan hujah ke-18).

 

 

   

 

 
 

al-Firdaus :: kandungan :: rujukan & kajian