al-Firdaus :: kandungan :: rujukan & kajian

Hujah : 1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19 20

 
 

Hujah Ketigabelas:

          

Hadis-hadis Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam tidak ditulis sehingga kira-kira 200 tahun selepas kewafatan beliau. Sepertimana yang diketahui, dalam tempoh 200 tahun pertama sejarah Islam, telah terjadi pelbagai perbalahan dan pertarungan politik yang amat buruk sehingga menyebabkan umat saling berbunuhan. Bagaimana mungkin di dalam tempoh ini kita dapat mempercayai para perawi yang menyampaikan sesebuah hadis kerana pasti sahaja setiap dari mereka mempunyai motif dan hajat politik tersendiri. Sudah tentu dalam tempoh yang lama tersebut, pelbagai kepalsuan telah menyelinap masuk ke dalam hadis-hadis tersebut sehingga ia tercatit bersama di dalam kitab-kitab.

Jawapan:

Dalam tempoh 200 tahun pertama sejarah Islam,memang telah berlaku beberapa pergeseran politik di kalangan umat akan tetapi adalah sangat tidak benar untuk dikatakan bahawa pergeseran tersebut telah memporak-perandakan seluruh umat dan mengubah mereka dari sifat ketaqwaan kepada sifat kemunafikan. Contohnya apabila kita membaca dalam akhbar hari ini berlakunya rompakan di Kuala Lumpur, kes pecah rumah di Miri dan kes kecurian di Alor Setar, kita tidak boleh mengandaikan bahawa seluruh Malaysia sedang berada dalam keadaan yang sangat tidak selamat dengan pelbagai kes jenayah berlaku di sana sini dalam setiap jam atau minit. Demikianlah juga, apabila kita membaca dalam sejarah Islam beberapa pergeseran politik, kita tidak boleh mengandaikan bahawa pergeseran tersebut melibatkan seluruh umat sehingga tidak seorangpun dari mereka yang bebas dari pengaruhnya.

Adalah sangat tidak benar dakwaan bahawa hadis-hadis tidak ditulis selama 200 tahun selepas kewafatan Rasulullah sallalahu-alaihi-wasallam. Aktiviti penulisan dan pencatitan hadis telahpun bermula sejak dari zaman kehidupan Rasulullah. Catitan dan penulisan ini dilakukan secara kecil-kecilan sahaja kerana kebanyakan dari ucapan dan perbuatan Rasulullah masih segar di ingatan para sahabat dan ia diterjemahkan melalui percakapan dan perbuatan harian mereka. Perbuatan ini seterusnya diturunkan ke generasi tabiin dan tabiin muda. Adalah juga tidak benar untuk dikatakan bahawa catitan formal hadis-hadis Rasulullah hanya bermula lebih 200 tahun selepas kewafatannya kerana jelas tercatit dalam kitab-kitab sejarah Islam mahupun dengan penemuan-penemuan manuskrip lama, bahawa aktiviti mencatit hadis-hadis secara formal telahpun bermula sejak pertengahan kurun pertama Islam, yakni kira-kira 50 tahun selepas kewafatan Rasulullah.[1]

Sepertimana kata as-Shafi’i, apabila Allah Azza waJalla memerintahkan ketaatan kepada Rasul-Nya berulang-kali di dalam al-Qur’an, maka perintah ini ditujukan-Nya kepada umat seluruh zaman sehingga ke Hari Akhirat. Bagi membolehkan umat seluruh zaman mentaati Rasulullah, pasti sahaja Allah – dengan segala kekuasaan-Nya yang Maha Besar lagi Maha Luas – akan menggubah cara-cara serta kaedah supaya hadis dan sunnah Rasulullah dapat sampai kepada umat seluruh zaman. Oleh itu tidak perlu diragui kaedah catitan dan perkembangan hadis Rasulullah di zaman awal Islam kerana ia sentiasa berada di bawah pengawasan dan pengurusan Allah Azza waJalla.[2]

Seperkara lain yang perlu dipertimbangkan adalah, ditulis atau tidak hadis Rasulullah di zaman awal Islam tidaklah menjadi faktor yang utama kerana yang penting adalah kejujuran dan sikap adil orang yang membawa hadis-hadis tersebut. Tidak ada jaminan ketulenan dan keaslian hadis sekalipun ia telah ditulis sejak dari awal jika yang menulisnya adalah seorang pendusta. Demikian juga tidak ada kecacatan pada hadis jika yang menghafal dan mempraktikkannya sehari-harian, sekalipun ia meliputi orang perseorangan dari beberapa generasi, adalah terdiri dari orang-orang yang jujur, adil, beriman lagi bertaqwa sepenuhnya. Bezakanlah ia !

 

Hujah 14:  Sahih atau tidak sesuatu hadis adalah relatif kerana yang menilai  kebenaran seseorang perawi adalah manusia sendiri.

 



[1]               Lihat hasil-hasil kajian berikut:

[1] Nadia Abbott – Studies in Arabic Literary Papyry. 3 jld, lihat jilid pertama. (Chicago Univ. Press 1957).

[2] Fu’ad Segzin – Geschichte des Arabischen Schrifttums. 9 jilid, lihat jilid pertama. (Leiden 1967).

[3] Mustafa Azami – Studies in Early Hadis Literature – with A Critical Edition of some Early Text. (Indiana: American Trust Publication 1968).

[4] Muhammad Hamidullah – Sahifah Hammam bin Munabbih. (England: Apex Books 1979).

[5] Harald Motzki – The Musannaf of ‘Abd al-Razzaq al-San’ani as a Source of Authentic Ahadis in The First Century A.H. (Journal of Near Eastern Studies – edisi 50, 1991).

[2]               Lihat Daniel Brown - Rethinking Tradition, pg 15.

 

   

 

 
 

al-Firdaus :: kandungan :: rujukan & kajian