al-Firdaus :: kandungan :: rujukan & kajian

Hujah : 1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19 20

 
 

Hujah Keduabelas:

          

Hadis dan sunnah hanya menjadi rujukan umat Islam setelah dipelopori oleh Imam Shafi’i kira-kira 200 tahun selepas kewafatan Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam. Sebelum itu umat hanya merujuk kepada al-Qur’an sahaja.

Jawapan:

Hujah di atas dapat disangkal dengan tiga fakta berikut:

[1] Ketaatan, rujukan dan ikutan kepada hadis dan sunnah telah mula diperintahkan oleh al-Qur’an sejak bermulanya kerasulan Muhammad sallallahu-alaihi-wasallam. Sama ada sebelum atau selepas tahun 200 hijrah, umat Islam seluruhnya mentaati, merujuk dan mengikut hadis dan sunnah Rasulullah, bukan kerana Imam Shafi’i tetapi kerana ia adalah perintah Allah Tabaraka waTa’ala di dalam al-Qur’anul Karim.

[2] Ketaatan, rujukan dan ikutan kepada hadis dan sunnah Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam jelas terbukti dalam kitab al-Muwattha’ Imam Malik bin Anas, sama ada dalam bentuk riwayat hadis Rasulullah atau kisah para sahabat dan tabiin yang mempraktikkan sunnah Rasulullah. Intisari dan kandungan kitab al-Muwattha’ telah mula diajar oleh Imam Malik pada tahun 120-130 hijrah[1] dan ia lengkap dibukukan pada tahun 150 hijrah.[2] Ini jelas menunjukkan bahawa Imam Shafi’i bukanlah merupakan orang pertama yang mempelopori ketaatan, rujukan dan ikutan kepada hadis dan sunnah Rasulullah.

[3] Menurut dakwaan pihak yang menolak hadis, sebelum tahun 200 hijrah umat Islam seluruhnya hanya merujuk kepada satu sumber – yakni al-Qur’anul Karim. Jika dakwaan ini adalah benar, kita bertanya – bagaimana mungkin seorang Imam bersama sebuah kitabnya berjaya mempengaruh dan menukar dasar agama dan rujukan ratusan ribu umat selama 200 tahun dari al-Qur’an sahaja kepada al-Qur’an dan sunnah Rasulullah ? Sudah tentu ini mustahil mengingatkan budaya hidup dan peradaban umat ketika itu yang tidak memiliki sebarang kemudahan media cetak, elektronik dan multimedia. Lebih dari itu, pasti ratusan ribu umat Islam di saat itu akan bangkit membantah dan menolak konsep al-Qur’an dan sunnah Nabi secara besar-besaran.

Bagi menggambarkan betapa besarnya kemustahilan Imam Shafi’i mengusulkan konsep “baru” al-Qur’an dan sunnah Rasulullah di zaman 200 hijrah, marilah kita bandingkan dengan usaha Golongan Anti-Hadis masa kini di zaman peradaban yang serba moden lagi canggih. Umpamakan usaha mereka mengusulkan konsep al-Qur’an sahaja di kalangan umat masa kini yang berpegang kepada al-Qur’an dan sunnah Rasulullah seperti usaha Imam Shafi’i mengusulkan konsep al-Qur’an dan sunnah Rasulullah di kalangan umat tahun 200 hijrah yang berpegang kepada al-Qur’an sahaja. Dapat kita perhatikan bahawa Golongan Anti-Hadis masa kini dengan segala medium serba moden yang mereka gunakan, seperti internet, buku bercetak, risalah percuma, poster-poster, artikel akhbar, rencana majalah dan wawancara radio televisyen, tetap tidak dapat mengubah pegangan umat dari al-Qur’an dan sunnah Rasulullah kepada al-Qur’an sahaja. Usaha mereka siang dan malam selama bertahun-tahun secara berkumpulan hanya membuahkan hasil yang minimum.

Nah ! Jika dengan segala kelengkapan moden ini gagal menukar pegangan umat masa kini, maka bagaimana pula dengan Imam Shafi’i seorang, bersama sebuah kitabnya yang berjudul al-Risalah yang dicatit tangan, tanpa media cetak, internet, radio, televisyen dan sebagainya mampu hendak mengubah pegangan umat di zaman 200 hijrah ? Sudah tentu bertambah mustahil. Justeru ketahuilah – bahawa Imam Shafi’i bukanlah orang yang pertama mengusulkan konsep hadis dan sunnah Rasulullah di samping al-Qur’an kepada umat Islam. Yang benar adalah konsep hadis dan sunnah Rasulullah di samping al-Qur’an telah bermula sejak saat-saat pertama agama Islam bermula. Inilah hakikat yang sebenarnya.

 

Hujah 13: Hadis-hadis tidak ditulis selama 200 tahun dan selama tempoh ini  telah terjadi pelbagai pergolakan politik dan pertumpahan darah.
 


[1]               Habib-ur-Rahman Azami – The Sunnah in Islam, pg 33.

[2]               Yasin Dutton – The Origins of Islamic Law: The Qur’an, The Muwattha’ and Madinan Amal, pg 26-27.

 

 

   

 

 
 

al-Firdaus :: kandungan :: rujukan & kajian