|
9
Wasiat Para Imam Mazhab Kepada Umat Islam
Setiap seorang dari para imam mazhab yang empat telah
berwasiat kepada umat Islam seluruhnya agar mentaati
al-Qur’an dan al-Sunnah, bukannya ajaran atau
pendapat mereka. Ini mereka tegaskan kerana menyedari
akan hakikat sebenar diri mereka sebagai manusia
yang ada kelemahan dan kekurangan. Walaupun para
imam mazhab ini diiktiraf dan disanjung keilmuannya
oleh orang ramai, mereka tetap dengan penuh keikhlasan
hati dan rendah diri mengakui bahawa adakalanya
mereka boleh tersilap atau kurang tepat dalam
ajaran mereka.
Antara masalah paling kerap yang dihadapi oleh para imam mazhab,
sebagaimana yang telah diterangkan sebelum ini,
ialah kesukaran memperolehi hadis-hadis Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam. Para sahabat penghafal hadis banyak
yang sudah meninggal dunia manakala anak murid
mereka yang sempat menghafal hadis-hadis tersebut
bertebaran di seluruh dunia Islam.
Atas faktor ini dan beberapa yang lain, kita dapati para imam
mazhab berwasiat kepada umat Islam dengan wasiat
yang masyhur:
Apabila sesuatu hadis itu sahih maka itulah mazhab aku.
Berikut akan dikemukakan wasiat-wasiat para imam mazhab, dimulai
dengan tumpuan khas kepada wasiat al-Syafi‘e memandangkan
kebanyakan rakyat Malaysia cenderung kepada Mazhab
al-Syafi‘e.
Wasiat al-Syafi‘e
Pertama: Berkata al-Syafi‘e rahimahullah:
Sesuatu sunnah daripada Rasulullah shallallahu
‘alaihi wasallam kemungkinan akan sampai atau tidak sampai
kepada seorang itu. Maka apabila sahaja aku menghuraikan
pendapatku atau merumuskan sesuatu prinsip dan
pada waktu yang sama wujud satu hadis yang sah
daripada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam yang menerangkan sebaliknya maka pendapat yang betul itu adalah
apa yang Nabi katakan dan demikianlah juga akan
menjadi pendapat aku.
Kedua: Berkata al-Syafi‘e rahimahullah:
Setiap hadis yang sah daripada Rasulullah shallallahu
‘alaihi wasallam adalah juga merupakan ajaran aku walaupun
engkau tidak pernah mendengarnya daripada aku
sebelum ini.
Ketiga: Berkata al-Syafi‘e rahimahullah:
Dalam setiap isu, apabila seseorang ahli hadis itu menjumpai
sebuah riwayat yang sahih daripada Nabi shallallahu ‘alaihi
wasallam dan riwayat itu pula bertentangan dengan ajaran aku maka aku
menarik kembali ajaran aku yang asal tadi sama
ada pada ketika aku masih hidup atau apabila aku
sudah meninggal dunia nanti.
Keempat: Berkata al-Syafi‘e rahimahullah:
Apabila kamu dapati
di dalam bukuku sesuatu yang bertentangan dengan
hadis Rasulullah shallallahu
'alaihi wasallam maka berpeganglah kepada Hadis tersebut
dan tinggalkanlah apa yang telah aku katakan itu
(atau tuliskan).
Kelima: Berkata al-Syafi‘e rahimahullah:
Pertama, sesuatu berita itu daripada Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam
wajib diterima. Kedua, berita
tersebut ataupun hadis tersebut wajib diterima
jika ianya telah disahkan walaupun tiada di antara imam-imam sebelum ini yang mengamalkan atau mengajarkan
sesuatu daripada hadis tersebut.
Kenyataan ini juga menunjukkan bahawa jika tindakan salah seorang
imam itu bertentangan dengan hadis daripada Nabi
maka tindakan imam itu haruslah ditinggalkan dan
diganti dengan petunjuk yang berasal daripada hadis Nabi.
Di
samping itu, suatu hadis yang diyakini sah daripada
Nabi adalah tegas dengan sendirinya tanpa memerlukan
konformasi daripada tindakan seseorang lain selepas
beliau.
Keenam: Berkata
al-Syafi‘e rahimahullah:
Pertama, pendapat boleh diterima bilamana tidak ada sunnah
dalam hal itu. Akan tetapi jika sunnah menyatakan
bahawa seseorang itu harus melakukan sesuatu perkara
itu sebegini-sebegini, seseorang itu wajib meninggalkan
apa yang dia telah atau sedang lakukan.
Seseorang
itu wajib meninggalkan sesuatu amalan yang bertentangan
dengan sunnah. Juga dia wajib meninggalkan pendapat
yang mengatakan bahawa sunnah hanya boleh tertegak
atas dukungan suatu berita yang datang menyusul.
Dan seseorang itu patut akur bahawa sunnah itu
tidak boleh dikebelakangkan oleh sesuatu apapun
yang bertentangan dengannya.
Wasiat
Abu Hanifah
Berkata
Abu Hanifah rahimahullah:
Apabila aku mengeluarkan sesuatu pendapat yang bertentangan
dengan al-Qur’an dan al-Sunnah, maka tinggalkanlah
pendapat aku itu.
Wasiat
di atas diulas oleh al-Syuhnah di dalam kitabnya
Syarh al-Hidayah:
Apabila sesuatu hadis itu sahih manakala ianya bertentangan
pula dengan mazhab, perkara yang mesti dilakukan
ialah beramal berdasarkan hadis tersebut. Demikian
itu adalah Mazhab Abu Hanifah dan para pengikut
mazhab tidaklah terkeluar dari kedudukannya sebagai
pengikut Hanafi dengan mengamalkan hadis tersebut.
Terdapat suatu riwayat yang sahih daripada al-Imam
Abu Hanifah menyebutkan bahawa beliau telah berkata
“Apabila Hadis itu sahih, itulah mazhab aku.”
Riwayat ini diceritakan daripada Ibn ‘Abd al-Barr
daripada al-Imam Abu Hanifah dan juga daripada
imam-imam lainnya.
Wasiat
Malik bin Anas
Pertama:
Berkata Malik bin Anas rahimahullah:
Aku hanya manusia biasa yang mana pendapat aku mungkin
benar dan mungkin salah. Maka telitilah pendapat
yang aku kemukakan. Semua pendapat yang selaras
dengan al-Qur’an dan al-Sunnah maka ambillah ia
manakala yang tidak selaras dengan al-Qur’an dan
al-Sunnah, tinggalkanlah.
Kedua:
Berkata Malik bin Anas rahimahullah:
Tidak ada perkataan manusia selepas Nabi kecuali sama
ada ianya diterima atau ditolak, melainkan perkataan
Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam.
Wasiat
Ahmad bin Hanbal
Pertama:
Berkata Ahmad bin Hanbal rahimahullah:
Tidak ada perkataan sesiapapun melainkan boleh diterima
perkataannya atau ditolak kecuali perkataan Nabi
shallallahu ‘alaihi wasallam.
Kedua:
Berkata Ahmad bin Hanbal rahimahullah:
Pendapat al-Awza‘e, Malik dan Abu Hanifah, semuanya
adalah pendapat semata-mata. Aku melihat semuanya
sama di sisiku, yang mesti jadi rujukan hanyalah
sunnah Nabi shallallahu
‘alaihi wasallam.
Demikian
beberapa wasiat para imam mazhab kepada umat Islam
keseluruhannya. Abu Hanifah, Malik bin Anas, al-Syafi‘e
dan Ahmad bin Hanbal, secara jujur dan penuh ketaqwaan
sentiasa menekankan agar yang ditaati ialah sunnah
atau hadis Rasulullah shallallahu
‘alaihi wasallam dan bukannya ajaran mereka.
Ibn
Rajab al-Hanbali rahimahullah merumuskan:
Daripada keterangan-keterangan para imam mazhab ini,
adalah menjadi kewajipan apabila seseorang itu
menemui suatu perintah daripada Rasulullah shallallahu
‘alaihi wasallam atau mengetahuinya, untuk menerangkannya kepada sekian
umat, menasihatkan mereka dengan penuh keikhlasan
dan memerintahkan mereka untuk mengikutinya walaupun
jika ia bertentangan dengan pendapat para imam
mazhab atau seseorang lain yang terkemuka.
Ini adalah kerana kedudukan
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam
adalah yang paling hak untuk dihormati dan ditaati,
melebihi dan mengatasi mana-mana pendapat orang
atau tokoh lain yang mungkin atas sebab-sebab
yang tidak disengajai telah bertentangan dengan
perintah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Kerana
inilah kita dapati para sahabat dan generasi selepas
mereka membantah sesiapa sahaja yang didapati
melakukan sesuatu yang bertentangan dengan sunnah
yang sahih. Dan adakalanya bantahan ini mereka
lakukan dengan amat keras, bukan disebabkan perasaan
benci kerana para sahabat itu sememangnya amat
menyayangi dan menghormati mereka, akan tetapi
pesuruh Allah itu lebih mereka sayangi dan perintahnya
lebih tinggi kedudukannya berbanding perintah
mana-mana makhluk lain.
Justeru itu apabila terdapat perselisihan antara ajaran
Nabi dan ajaran manusia, ajaran Nabi-lah yang
lebih berhak ditunaikan dan ditaati. Ini tidaklah
bermaksud sebagai menghina kedudukan imam ikutan
seseorang itu kerana secara pasti dia akan diampuni
atas ketidak-sengajaannya dan silapnya, bahkan
si imam tersebut akan lebih rela jika ajarannya
itu diketepikan apabila didapati bertentangan
dengan ajaran Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam yang
sahih.
al-Sya'rani rahimahullah berkata:
Kita meyakini seandainya
para imam mujtahid (para imam mazhab) tersebut
semasa hidupnya mengetahui kesahihan hadis-hadis
yang tidak mereka pergunakan dan baru diketahui
kesahihannya sepeninggalan mereka, tentu mereka
akan mempergunakan hadis-hadis tersebut dan mengamalkannya.
Kemudian mereka akan menghindari qiyas yang telah
mereka lakukan dan meralat (membetulkan) semula
pendapat yang telah mereka cetuskan terdahulu
…… Sikap yang lebih utama ialah mengamalkan hadis-hadis
yang baru diketahui kesahihannya sepeninggalan
mazhab kerana imam mazhab itu sendiri berpesan
sedemikian.
Berkata
al-Albani rahimahullah setelah mengemukakan
wasiat-wasiat di atas:
Kenyataan tersebut menggambarkan ketinggian ilmu dan
ketaqwaan para imam tersebut, di mana melalui
perkataan seperti di atas mereka menegaskan bahawa
mereka tidaklah menguasai sunnah keseluruhannya.
Kadang-kala terhasil daripada mereka ini
(para imam mazhab) beberapa perkara yang menyalahi
sunnah yang tidak kesampaian kepada mereka. Apabila mereka mengetahui akan sunnah tersebut,
mereka memerintahkan kita agar berpegang teguh
dengannya dan menjadikannya sebagai mazhab mereka.
Semoga Allah memberi Rahmat kepada mereka semua.
Catitan
Penting.
Wasiat-wasiat para imam mazhab di atas adalah benar akan tetapi
perlaksanaannya tidaklah semudah yang disangkakan.
Seseorang itu tidak boleh mengubah ajaran mazhabnya
atau menghukum imam mazhabnya sebagai tersilap
semata-mata dengan satu atau dua hadis sahih yang
baru ditemuinya. Ini kerana sesuatu mazhab itu
tidak terbina di atas satu atau dua hadis tetapi
himpunan ribuan buah hadis. Himpunan hadis-hadis
ini pula difahami dan ditetapkan kandungan hukumnya
berdasarkan kaedah-kaedah yang digariskan dalam
ilmu usul fiqh.
Oleh itu perlaksanaan wasiat-wasiat di atas tertakluk kepada
beberapa syarat sebagaimana yang diulas oleh al-Nawawi
rahimahullah:
Perkataan (wasiat) al-Syafi‘e tersebut tidaklah bermaksud bahawa
setiap seseorang yang menemui hadis yang sahih
berhak berkata “Inilah ajaran Mazhab al-Syafi‘e”
dan beramal dengan zahir hadis tersebut. Sesungguhnya
yang berhak berkata sedemikian hanyalah seseorang
yang memiliki darjat berijtihad dalam mazhab,
baik yang telah sampai kepadanya atau yang menghampirinya.
Dan disyaratkan bagi orang tersebut dengan keyakinan yang mengatasi
dugaan bahawa al-Syafi‘e rahimahullah tidak membicarakan hadis tersebut atau tidak mengetahui akan
kebenarannya. Dan ini hanyalah dapat dilakukan
setelah ditelaah semua kitab al-Syafi‘e dan juga
kitab para sahabatnya (tokoh-tokoh al-Syafi‘eyyah)
yang diiktiraf atau apa yang setaraf dengannya.
Syarat-syarat ini adalah sulit dan hanya segelintir kecil yang
mampu mencapainya. Sesungguhnya sebab kami menyebut
syarat-syarat ini hanyalah kerana al-Syafi‘e rahimahullah,
berdasarkan penilaian dan ilmunya, seringkali
meninggalkan pengamalan zahir sebuah hadis
kerana di sisi beliau terdapat dalil lain yang
melemahkannya atau yang membatalkannya (nasakh) atau yang mengkhususkannya atau kerana ditakwilkannya atau
kerana beberapa sebab yang lain.
Di atas adalah syarat-syarat yang perlu diperhatikan sebelum
seseorang itu mengubah mazhab imamnya. Adapun
atas tujuan selain itu, seseorang boleh berpegang
dan beramal dengan hadis sahih yang ditemuinya
sekalipun dia belum mencapai darjat seorang mujtahid.
Asalkan dia mampu mengkaji dan menganalisa secara
ilmiah dan menyeluruh. al-Zarkasyi rahimahullah
menulis:
Sesiapa yang (pada mulanya) bertaqlid kepada sebahagian imam (mazhab) lalu kemudian darjatnya naik
sedikit sehingga mampu memahami dan mengkaji dalil-dalil
syari‘at , maka apabila dia menemui sebuah hadis
yang dapat digunakan sebagai hujah dan hadis itu
pula digunakan oleh sebahagian orang namun berselisihan
dengan pendapat imam mazhabnya, maka adakah dibolehkan
dia berijtihad (dengan mengamalkan hadis tersebut
dan meninggalkan pendapat imam mazhabnya) ?
…… Berkata Abu ‘Amr (Ibn al-Shalah): Dalam
hal ini kami berpendapat, jika seseorang itu memiliki
sarana untuk berijtihad secara mutlak atau (sekurang-kurangnya
berijtihad) dalam sesebuah bab atau masalah tertentu,
maka dibolehkan bagi dia beramal dengan hadis
tersebut. (Juga dibolehkan) sekalipun jika dia
tidak memiliki saranan untuk berijtihad secara
sempurna dan wujud di hatinya keraguan terhadap
hadis tersebut, asalkan dia tidak mendapati
hadis lain yang bertentangan dengan hadis yang
ingin diamalkan itu. Jika terdapat seorang imam
di luar mazhabnya yang beramal dengan hadis tersebut,
maka dia boleh bermazhab kepadanya. Demikian merupakan
alasan yang membolehkan dia meninggalkan pendapat
imam mazhabnya (yang asal).
Ibn Taimiyyah rahimahullah menguatkan lagi
pendapat Ibn al-Shalah tentang tidak perlunya
seseorang itu memiliki darjat mujtahid untuk beramal
dengan hadis sahih yang ditemuinya:
Urusan
ijtihad bukanlah suatu perkara yang tidak dapat
menerima pemecahan dan pembahagian. Bahkan mungkin
sahaja wujud seorang yang memiliki keahlian untuk
berijtihad di dalam satu bidang ilmu atau bab
atau permasalahan dan tidak di dalam bidang ilmu
atau bab atau permasalahan yang lain. Oleh itu
setiap seseorang boleh berijtihad mengikut tahap
kemampuan masing-masing.
Justeru sesiapa yang meneliti sesuatu permasalahan
yang berselisih para ilmuan tentangnya lalu dia
memperolehi beberapa nas (hujah) yang berada di
luar nas-nas yang diperselisihan oleh kedua-dua
pihak yang berbeza pendapat itu,
maka bagi dia dua pilihan:
(Pertama), dia mengikut pendapat terakhir
(terkuat dan termasyhur di dalam mazhabnya) dengan
sebab ia adalah pendapat imam yang mazhabnya menjadi
ikutan dia. Tindakan ini tidak memiliki hujah
di dalam syari‘at akan tetapi disebabkan
kebiasaan yang ditentang oleh kebiasaan yang lain,
dia terikat kepada mengikut saja pendapat imam
mazhabnya.
(Kedua), dia mengikut pendapat yang dikuatkannya
berdasarkan penelitiannya terhadap nas-nas yang
menjadi dalil ke atasnya. Dalam suasana seperti
ini, (hendaklah dipastikan bahawa) pendapatnya
selari dengan pendapat salah seorang imam sekalipun
ia berbeza dengan pendapat imam (yang menjadi
ikutannya) dan nas-nas tersebut selamat daripada
sebarang pertentangan dengan nas yang lain untuk
diamalkan. (Jika dapat dipastikan dua hal ini)
maka (beramal dengan pendapat yang dikuatkannya
itu) merupakan satu tindakan yang salih (baik).
Justeru orang yang belum mencapai darjat mujtahid sepenuhnya,
apabila dia menemui hadis sahih yang pada zahir
kelihatan berselisihan dengan pendapat imam mazhabnya
hendaklah memerhatikan beberapa perkara yang penting:
1.
Tidak boleh menggunakan hadis tersebut
untuk mengubah ajaran mazhabnya.
2.
Dia boleh mengamalkan hadis tersebut dengan
syarat dia dapat memastikan tidak ada dalil yang
menentangnya, sama ada dalam bentuk yang membatalkannya
(nasikh
& mansukh), mengkhususkannya (am & khas),
membataskannya (mutlak & muqayyad) dan sebagainya.
3.
Dengan hadis tersebut dia boleh meninggalkan
pendapat mazhabnya dalam masalah yang berkaitan.
Namun lebih afdal jika pengamalan hadis tersebut
adalah selari dengan pendapat salah seorang imam
atau tokoh ilmuan yang lain.
4.
Dia juga boleh mengajar pengamalan hadis
tersebut kepada orang ramai akan tetapi tidak
boleh memaksa atau bertindak keras jika sebahagian
mereka masih ingin mengikut pendapat mazhab masing-masing.
Ini kerana orang ramai bebas memilih kepada siapa
mereka hendak rujuk berdasarkan keyakinan masing-masing.
^Kembali
Ke Atas
|
10. Adakah
Seruan “Kembali kepada al-Qur’an dan
al-Sunnah” Bererti Meninggalkan Ajaran Para
Imam Mazhab ?
|