|
5
Teladan Para Imam Mazhab Dalam Menghadapi Perbezaan
Pendapat
Perbezaan
pendapat di kalangan para imam mazhab tidak pernah
melebihi daripada apa yang sepatutnya. Perbezaan
ini tidak bersangkutan dengan sifat taksub,
sombong
diri, hasad dan apa-apa lain penyakit hati.
Para imam mazhab tidak pernah mempunyai tujuan
yang lain dalam usaha mereka kecuali mengajar
serta menegakkan agama Islam kepada umat.
Justeru
jika kita kaji sejarah dan riwayat hidup mereka,
kita akan dapati sifat bertolak-ansur dan terbuka
yang amat tinggi di antara mereka. Mereka menerima
teguran dengan hati yang terbuka, membetulkan
ajaran yang tersilap, menghormati antara satu
sama lain dan saling membanding ajaran sesama
mereka.
Manakan tidak, bukankah para imam mazhab
itu pada mulanya duduk berguru sesama mereka,
mengasaskan ajaran daripada sumber yang sama dan
mempunyai tujuan yang sama?
Pernah
sekali Malik bin Anas ditanya adakah perlu membasuh
jari-jari kaki ketika berwudhu’. Beliau menjawab
“Itu tidak perlu”. Setelah berakhirnya majlis
kuliah tersebut, seorang anak murid Malik, bernama
Ibn Wahhab berkata “Aku mengetahui akan suatu
hadis berkenaan soalan tadi.”
Bertanya
Malik: “Hadis apakah itu ?”
Ibn
Wahhab berkata: “Laits ibn Sa‘ad, Ibn Luhai‘ah
dan ‘Amr bin al-Harits meriwayatkan dari jalan
Yazid bin ‘Amr, dari Mustawrid bin Shaddad; di
mana mereka telah berkata: ‘Kami melihat Rasulullah
menggosok antara jari-jari kakinya ketika berwudhu
dengan anak jarinya’.”
Berkata
Malik: “Riwayat ini adalah sahih. Aku tidak pernah
mendengarnya hingga seketika tadi.”
Ibn
Wahhab seterusnya menerangkan bahawa Malik kemudian
mengajar orang ramai untuk menggosok jari-jari
kaki mereka apabila berwudhu’.
Demikian satu contoh daripada Malik, apabila dia
mendengar suatu hadis dan dikenali sanadnya berdarjat
sahih, dia terus membetulkan ajarannya.
Ahmad
bin Hanbal pada awalnya berpendapat bahawa perkataan
quru’ dalam ayat:
Dan
isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu
dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama
tiga kali suci (quru’).
[Maksud surah al-Baqarah 2:228] bermaksud bersih dari haid.
Kemudian apabila dia menemui sebuah hadis
di mana Rasulullah shallallahu
‘alaihi wasallam diriwayatkan telah berkata
kepada Fatimah binti Hubaisy radhiallahu ‘anha:
Tinggalkanlah solat pada masa quru’-mu,
Ahmad telah membetulkan pendapatnya yang
awal dengan berkata:
Aku pada mulanya mengatakan bahawa quru’ itu ialah
suci (dari haid), sekarang aku berpendapat bahawa
quru’ itu ialah haid dan bukan suci (dari haid).
Dalam
kesungguhan
mencari
hadis pada zaman mereka,
para imam mazhab saling bertanya dan berkongsi
hadis sesama mereka. Contoh paling baik ialah
pesanan al-Syafi‘e kepada Ahmad bin Hanbal:
Engkau
lebih mengetahui akan hadis-hadis daripada aku.
Oleh itu jika ada hadis yang sahih, beritahulah
aku, sama
ada hadis itu dari Kufah, Basrah atau Syria. Beritahulah aku supaya aku
dapat berpegang kepadanya asalkan ia adalah sahih.
Teladan
lain yang tidak boleh kita lupakan ialah kisah
al-Syafi‘e yang mengimami solat subuh di masjid
berhampiran kubur Abu Hanifah. Beliau solat tanpa
membaca doa qunut dan apabila ditanya seseorang
sehabis solat al-Syafi‘e menjawab:
Masakan
aku hendak melakukan sesuatu yang berlainan dari
apa yang diajar olehnya (Abu Hanifah) padahal
aku berada berhampirannya.
Walaupun
pada asalnya al-Syafi‘e berpendapat bahawa doa
qunut itu sunat dibaca dalam solat subuh tetapi
pendapatnya itu dikebelakangkan sebagai menghormati
Abu Hanifah yang berpendapat doa qunut itu tidak
sunat dibaca.
Disamping itu al-Syafi‘e juga tidak berqunut pada
pagi itu bagi memudahkan jamaahnya yang majoriti
pada ketika itu adalah pengikut Abu Hanifah.
Ahmad
bin Hanbal berpendapat bahawa pendarahan hidung
membatalkan wudhu’ dan dengan itu ia
membatalkan
solat manakala Malik bin Anas pula berpendapat
ianya tidak membatalkan.
Akan tetapi apabila Ahmad ditanya tentang
apakah hukumnya seseorang yang bersolat di belakang
imam yang tidak memperbaharui wudhu’nya ketika
mengalami pendarahan hidung, Ahmad berkata:
Apakah
patut aku enggan bersolat di belakang Malik dan
Sa‘id ibn al-Musayyib ?
Jawapan
Ahmad ini menunjukkan sifat keterbukaannya yang tidak
membataskan
seseorang
itu untuk mengikut pendapatnya sahaja. Yang bertanya
itu boleh solat di belakang mana-mana imam sekalipun
pendapat
sesama
mereka tentang perkara yang membatalkan wudhu’ dan solat adalah
tidak
sama.
Perbezaan
pendapat antara
mazhab
juga tidak menjadi faktor penghalang untuk solat
bersama-sama. Apabila tiba sahaja musim Haji,
semua umat Islam tidak kira sama ada para imam
mazhab atau murid mereka atau pengikut mereka
akan turun ke Mekah dan Madinah untuk menunaikan
amalan haji. Abu Hanifah dan anak muridnya dari
Kufah, al-Syafi‘e dan anak muridnya dari Mesir
serta Yaman, Ahmad dan anak muridnya dari Baghdad,
dan ramai lagi dari serata pelusuk dunia Islam
datang ke Mekah dan Madinah dan solat berjamaah
di belakang Malik bin Anas dan anak muridnya tanpa
sebarang keberatan. Malik berpendapat bacaan Basmalah
tidak dibaca secara
kuat di dalam solat ketika
membaca
al-Fatihah manakala Abu Hanifah
dan al-Syafi‘e berpendapat ianya dibaca secara kuat.
Namun
hal
ini tidak menghalang mereka solat bersama-sama.
Selain
itu pemerintah Islam ketika itu, Khalifah Abu
Ja’far al-Mansur pernah membuat keputusan untuk
menjadikan kitab hadis Malik bin Anas, al-Muwattha’, sebagai kitab yang rasmi bagi seluruh empayar Islam
Dinasti Abbasid. Akan tetapi Malik menolak keputusan
itu dengan
berkata:
Sesungguhnya
umat Islam merata-rata berpegang dan berpengetahuan
dengan hadis dan riwayat yang mungkin kami (Malik)
sendiri tidak mengetahuinya.
Jawapan
Malik membuktikan bahawa dia tahu ada banyak lagi
hadis-hadis yang tidak sempat diriwayatkannya
dan lebih utama lagi, dia tidak mahu memaksa orang
ramai menerima ‘mazhab’nya tanpa pilihan lain.
Riwayat
hidup al-Syafi‘e juga terkenal dengan apa yang
digelar sebagai qaul qadim dan qaul jadid.
Qaul qadim merupakan pendapat al-Syafi‘e
yang awal ketika berada di Semenanjung Arab. Akan
tetapi setelah dia berhijrah ke Iraq dan Mesir,
dia telah berjaya menemui sejumlah hadis-hadis
yang lain yang membuatkan dia membetul dan menyelaraskan
semula ajarannya yang terdahulu. Pembetulannya
ini beliau lakukan tanpa malu-malu,
hingga terkenal dalam sejarah sebagai Qaul
jadid.

Demikianlah
beberapa contoh
yang sempat dikemukakan
untuk dijadikan teladan untuk kita bermazhab.
Daripada contoh-contoh di atas, boleh kita simpulkan:
·
Para
imam mazhab membetulkan ajaran mereka serta-merta
apabila terbukti salah tanpa sebarang sikap ragu-ragu
atau keberatan.
·
Para
imam mazhab saling hormat menghormati antara satu
sama lain. Mereka menghormati ketinggian ilmu
serta pendapat di kalangan mereka.
·
Para
imam mazhab sendiri ada kalanya mengubah pendapat dan
amalan mereka kepada pendapat imam yang lain.
Tidak timbul konsep “Itu
mazhab dia, ini mazhab aku!”
·
Para
imam mazhab tidak memaksa umat Islam untuk mentaati
ajaran mereka, malah mereka sendiri yang mengesyorkan
agar umat Islam memilih dan mengambil apa yang
terbaik.
·
Para
imam mazhab tidak pernah memaksa umat Islam untuk
bermazhab ataupun mengikuti mana-mana mazhab.
Setiap individu bebas beramal dengan ilmu yang
diterima
masing-masing.
·
Para
imam mazhab tidak pernah berhenti daripada mencari dan mengkaji
ilmu. Usaha mereka diteruskan sehingga ke akhir
hayat, membetulkan mana yang salah
dan
mengajar apa
yang
baru. Ini
dilakukan secara
terbuka tanpa bersembunyi
atau berdiam diri.
·
Para
imam mazhab tidak mementingkan maruah dan kepentingan
diri. Bagi mereka apa yang benar, itulah yang
diperjuangkan.
Harapnya
teladan-teladan yang ditunjukkan oleh para imam
mazhab di atas dapat dijadikan pegangan dan iktibar
oleh kita. Bagi mereka apa yang benar ialah ajaran
al-Qur’an dan al-Sunnah.
Dari dua sumber inilah mereka mengupas segala
hukum dan ajaran untuk kebaikan umat Islam sendiri.
Adakalanya mereka tersilap atau kurang tepat tetapi
mereka menerima hakikat tersebut dengan sering
berunding dan bertukar pendapat sesama mereka.
Sikap
yang demikian perlu kita ambil dan praktikkan.
Bukannya sikap membeza-beza antara sesama mazhab,
membenarkan yang satu dan menyalahkan yang lain.

^Kembali
Ke Atas
|
6. Beberapa
Contoh Sikap Taksub Mazhab
|