|
4
Sebab-Sebab Wujudnya Perbezaan Pendapat Antara
Para Imam Mazhab
Satu soalan yang agak menghairankan:
Kenapakah
wujud perbezaan pendapat antara sesama para imam
mazhab
?
Kita semua sudah mengetahui bahawa ke
semua
para imam mazhab mendasarkan pendapat mereka kepada
dalil al-Qur’an dan al-Sunnah, justeru mengapa wujud perbezaan ?
Sebenarnya
perbezaan pendapat
antara para imam mazhab bukanlah
sesuatu
yang besar sebagaimana
yang kita sangkakan.
Perbezaan mereka tidak lain hanyalah pada perkara-perkara
kecil dan cabang bukannya asas dan usul sepertimana
yang diterangkan oleh ‘Abd al-Rahman I. Doi:
Jika
seseorang itu betul-betul memerhatikan ajaran
fiqh keempat-empat mazhab Islam itu, dia tidak
akan menemui sebarang perbezaan pendapat atau
perbezaan ajaran dalam konteks prinsip-prinsip
asas ajaran Islam sesama mereka.
Perbezaan yang wujud hanyalah berkisar
pada perkara-perkara furu’ (cabang) dan bukannya
perkara-perkara usul (asas) keislaman.
Perbezaan
furu’ dan bukan usul sebagaimana yang dinyatakan
di atas diumpamakan oleh Abu
Fath
al-Bayanuni sebagai:
Satu
jenis buah-buahan yang berasal dari sebatang pohon
pokok; bukannya berjenis-jenis buah yang berasal
dari berlainan pohon pokok.
Batang pohon yang satu adalah kitab Allah
dan Sunnah sementara ranting-rantingnya adalah
dalil-dalil syara’ dan cara berfikir yang berjenis-jenis;
manakala hasil buahnya pula adalah hukum fiqh
yang sekian banyak dan bermacam-macam itu.
Bab
ini insya-Allah akan cuba mengupas dan menghuraikan
sebab-sebab berlakunya perbezaan
pendapat
antara para imam mazhab. Akan dibuktikan bahawa
sebab-sebab tersebut bukanlah disengajakan oleh
mereka tetapi ia adalah sesuatu yang sememangnya
wujud disebabkan oleh faktor-faktor sejarah dan
fitrah manusia. Akan dibuktikan juga bahawa perbezaan
itu hanyalah dalam hal-hal furu’ (cabang)
dan tidak
melibatkan prinsip.
Secara umumnya perbezaan ini timbul kerana
dua sebab iaitu:
·
Faktor
kemanusiaan.
Manusia dicipta dengan kebolehan yang berbeza-beza,
sama ada secara fizikal atau mental. Perbezaan
mental lebih tepat diertikan sebagai perbezaan
seseorang itu menafsir sesuatu dalil al-Qur’an
dan al-Sunnah untuk mengeluarkan sebuah hukum.
Ini hanya berlaku terhadap
dalil
yang
bersifat umum sehingga memungkinkan pemahaman
yang berbeza.
·
Faktor
sejarah. Pada zaman para imam mazhab, tidak terdapat
suasana yang
memudahkan
mereka untuk memperolehi hadis-hadis atau duduk bersama membicarakan sesuatu hal agama.
Para imam mazhab terpaksa berhijrah ke sana sini
di seluruh dunia Islam untuk
mencari
hadis-hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Suasana ini ada hubung-kaitnya dengan
hukum yang dikeluarkan oleh seseorang imam mazhab
itu di mana setiap daripada mereka akan mengeluarkan
pendapat berdasarkan hadis-hadis yang sempat mereka
terima sahaja.
Kedua-dua
faktor di atas akan dihuraikan dengan lebih terperinci berikut
ini:
Pertama:
Satu dalil yang mempunyai beberapa maksud.
Ada
beberapa perkataan dalam
al-Qur’an
dan al-Sunnah yang
mempunyai lebih dari satu maksud.
Dalam kaedah usul fiqh, ianya dikenali sebagai
Lafaz Musytarak.
Daripada perkataan
yang
satu ini, ada yang memahaminya dengan satu maksud
manakala ada yang memahaminya dengan maksud yang
lain.
Contoh
yang paling banyak dibicarakan ialah perkataan
Quru’ dalam
ayat:
Dan
isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu
dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama
tiga kali suci.
[al-Baqarah
2:228].
Quru’
mempunyai dua erti, iaitu haid atau suci;
dan juga tempoh haid atau tempoh bersih
dari haid.
Dalam mengeluarkan hukum dari ayat di atas, para
imam mazhab berbeza dalam memahaminya.
Malik dan al-Syafi‘e berpendapat bahawa
perkataan Quru’
mewakili
tempoh bersih dari haid, manakala Abu Hanifah
berpendapat ianya mewakili tempoh seseorang itu
berada dalam haid. Ahmad dalam pendapatnya yang
pertama mengatakan ‘Quru’
itu
adalah masa suci kemudian dalam
pendapatnya yang kedua mengatakan ia adalah masa
dalam keadaan haid.
Dalam
contoh ini kita dapat perhatikan
bahawa
walaupun merujuk kepada satu
dalil
yang sama, para imam mazhab mempunyai tafsiran
hukum yang berbeza. Ini adalah kerana sifat ayat
Allah ‘Azza wa Jalla yang adakalanya mempunyai
makna yang lebih dari satu.
Kedua: Satu
dalil
yang mempunyai makna hakiki atau kiasan.
Kadang
kala
sesuatu perkataan itu boleh juga mempunyai dua
makna, satu makna yang sebenar dan satu makna
yang tersembunyi atau kiasan. Dalam kaedah usul
fiqh ini digelar sebagai Lafaz
Hakiki dan Lafaz Majazi.
Contoh yang selalu dibicarakan ialah hukum batal atau tidak wudhu’
apabila bersentuhan antara lelaki dan perempuan.
Perbicaraan
ini merujuk kepada firman Allah
Subhanahu
wa Ta‘ala:
…atau
kamu telah menyentuh perempuan, kemudian kamu
tidak mendapat air… [al-Nisaa’
4:43
dan al-Maidah 5:06)
Perkataan
La-ma-sa
boleh difahami secara hakiki iaitu bersentuhan
dan boleh juga difahami secara majazi iaitu
bersetubuh antara lelaki dan perempuan.
Hikmah di sebalik penggunaan lafaz kiasan
di dalam ayat ini ialah kerana Allah enggan menggunakan
secara terus-terang perkataan yang mewakili sesuatu
perbuatan yang mengurangkan kesopanan dan kemuliaan
bahasa al-Qur’an. Perkataan ‘bersetubuh’ adalah
kurang sopan untuk digunakan dalam al-Qur’an maka
Allah menggunakan perkataan ‘bersentuhan’ sebagai
alternatif lain.
Abu
Hanifah dan
al-Syafi‘e berpendapat wudhu’
seseorang itu batal apabila bersentuhan antara
berlainan jantina berdasarkan
ayat
di atas. Malik dan Ahmad berpendapat wudhu’ seseorang
yang bersentuhan kulit antara berlainan jantina
hanya akan menjadi batal apabila timbulnya perasaan
syahwat. Jika tidak ada syahwat maka tidaklah
membatalkan wudhu’.
Di
sini kita dapat juga melihat walaupun berdasarkan
kepada dalil yang sama, para imam mazhab menafsirnya
dengan cara yang berbeza, sesuai dengan keluasan
ilmu masing-masing. Setiap mereka mempunyai hujahnya
dan setiap mereka mempunyai kebenarannya.
Ketiga: Satu
dalil
yang tidak pasti maksudnya.
Ada
segelintir
kalimah Arab
itu yang bersifat tidak pasti maksudnya. Contohnya ialah
ayat berikut berkenaan wudhu’:
Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang,
maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan
kedua belah tangan kamu hingga ke siku…..[al-Maidah 5:06]
Perkataan
ilaa
bermaksud hingga, oleh itu dalam ayat di
atas adakah tangan dibasuh hingga ke siku atau
juga termasuk siku ? Dalil yang satu di atas boleh
mengeluarkan dua pendapat, membasuh tangan tidak
termasuk siku dan juga membasuh tangan hendaklah termasuk
siku.
Keempat:
Penerimaan hadis
yang berbeza.
Masalah
ini sering berlaku kerana setiap imam mazhab berfatwa
berdasarkan hadis yang sempat mereka dengar atau
temui. Hadis-hadis pada zaman para imam mazhab masih
belum dihimpunkan secara sistematik. Para imam
mazhab terpaksa mencarinya sendiri dengan berhijrah
ke sana sini atau bertanya kepada yang lain.
al-Syafi‘e pernah bertanya kepada Ahmad
bin Hanbal:
Engkau
lebih mengetahui akan hadis-hadis daripada aku.
Oleh itu jika ada hadis yang sahih beritahulah
aku sama
ada hadis itu dari Kufah, Basrah atau Syria. Beritahulah aku supaya aku
dapat berpegang kepadanya asalkan ianya adalah
sahih.
Contoh
tidak
sampainya hadis ialah berkenaan
hukum
Khamr (arak).
Abu Hanifah berpendapat bahawa yang diharamkan
oleh perkataan Khamr
dalam hadis Rasulullah shallahu ‘alaihi wasallam
hanyalah minuman yang diperbuat daripada buah
anggur (wine).
Akan
tetapi setelah kewafatan beliau, anak muridnya:
Abu Yusuf telah menemui sebuah hadis sahih yang
menyatakan bahawa semua minuman yang memabukkan
itu adalah haram. Hadis tersebut berbunyi:
Setiap
yang memabukkan itu adalah khamr dan setiap jenis
khamr itu adalah haram.
Maka
dengan itu beliau mengeluarkan fatwa baru bagi
Mazhab Hanafi bahawa semua minuman yang memabukkan
itu adalah haram tanpa terhad kepada yang berasal
daripada buah anggur (wine).
Kelima:
Beza pendapat terhadap kekuatan hadis.
Ada
kalanya perbezaan wujud kerana antara para imam
mazhab, mereka berbeza dalam menilai sesuatu hadis
itu, sama ada ianya sahih atau dhaif. Contohnya
ialah hukum
batal wudhu’
jika termuntah. Abu Hanifah dan Ahmad bin Hanbal
berpendapat muntah itu membatalkan wudhu’. Pendapat
ini mereka dasarkan kepada hadis:
Barangsiapa
yang muntah, hidung berdarah, atau makanan dari
tenggoroknya keluar lagi atau keluar air madzi;
hendaklah dia meninggalkan solat, mengulangi wudhu’
dan kemudian menyambung solatnya di mana dia tertinggal,
tanpa bercakap di antaranya.
Walaubagaimanapun Malik dan al-Syafi‘e
berpendapat riwayat di atas tidak sahih. Oleh
itu mereka tidak mensyaratkan muntah sebagai sesuatu
yang membatalkan wudhu’. Demikian beberapa
faktor yang menyebabkan perbezaan pendapat antara
para imam mazhab.
|