|
8
Kepentingan Mazhab Kepada Umat Islam
Daripada
bab sebelumnya, jelas bahawa setiap individu Muslim
wajib mentaati ajaran al-Qur’an dan al-Sunnah.
Walaubagaimanapun diakui bahawa tidak semua orang
dapat merujuk terus kepada al-Qur’an dan al-Sunnah.
Ini kerana manusia memiliki kemampuan yang berbeza-beza
yang secara umumnya dapat dibahagikan kepada 3
tahap:
Pertama:
Mereka yang dapat mengkaji dan memahami secara
terus nas-nas al-Qur’an dan al-Sunnah dan mampu
mengeluarkan hukum daripadanya.
Kedua:
Mereka yang tidak dapat mengkaji dan tidak mampu
mengeluarkan hukum daripadanya.
Ketiga:
Mereka yang berada di pertengahan antara tahap
pertama dan kedua di atas.
Bagi
seorang yang berada di tahap yang pertama, dia
dibolehkan merujuk secara terus kepada al-Qur’an
dan al-Sunnah. Malah merupakan satu kesalahan
bagi dia untuk menurut sahaja (taqlid buta)
sesuatu mazhab kerana berbuat sedemikian bererti
dia menderhakai kelebihan yang diberikan Allah
Subhanahu wa Ta‘ala kepadanya.
Sebaliknya
bagi seorang yang berada di tahap kedua dan ketiga,
bagi mereka diharuskan mengikut sesuatu mazhab
fiqh Islam. Sememangnya inilah tujuan sebenar
mazhab-mazhab Islam sejak dari dahulu, iaitu memudahkan
umat Islam mencapai ketaatan kepada al-Qur’an
dan al-Sunnah. Ini kerana setiap ajaran mazhab
adalah berdasarkan al-Qur’an dan al-Sunnah, oleh
itu mengikuti mazhab bererti mengikuti al-Qur’an
dan al-Sunnah.
Muhammad
'Awwamah menulis:
(Mazhab) Fiqh
dari para fuqaha - Abu Hanifah dan ulama'-ulama'
lainnya tentang berpuluh-puluh ribu permasalahan
fiqh Islami adalah sebenarnya penafsiran terhadap
sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam dan bukan merupakan unsur luar yang dimasukkan ke dalam Islam dan bukan
pula hasil rekaan akal mereka yang tidak disandarkan
kepada sumber asli syari‘at Islam.
Apabila
kita berkata fiqh (atau mazhab) Abu Hanifah atau
fiqh (mazhab) al-Syafi‘e …… maka maksud sebenar
perkataan kita itu ialah “Pemahaman Abu Hanifah
dan Pemahaman al-Syafi‘e.” Pemahaman terhadap
apa ?
Tak lain adalah pemahaman mereka terhadap
al-Qur'an dan Sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam. Demikianlah kerana asal perkataan 'fiqh' di dalam bahasa Arab bererti
'pemahaman'.
Mazhab-mazhab fiqh Islam berperanan sebagai jalan bagi membawa
seorang Muslim itu kepada ketaatan terhadap al-Qur’an
dan al-Sunnah. Ia memudahkan umat yang tidak berkemampuan
untuk mendekati ajaran al-Qur’an dan al-Sunnah
secara terus. Ini sebagaimana terang al-Sya’rani
rahimahullah:
Tujuan yang ingin dicapai oleh para imam mazhab ialah menjelaskan
kepada manusia apa yang telah difirmankan oleh
Allah Subhanahu wa Ta‘ala
dan apa yang disabdakan oleh Rasulullah shallallahu
‘alaihi wasallam dengan menggunakan bahasa yang mudah difahami
oleh masyarakat umum kerana kebanyakan ahli masyarakat
tidak mampu memahami dalil-dalil al-Qur'an dan
Hadis secara langsung.
Demikian juga ulas Abu Ameenah Bilal Philips:
Melalui kajian peredaran sejarah, dapat kita ketahui bahawa
Fiqh Islam dan mazhab-mazhabnya mempunyai hubung-kait
yang erat antara satu sama lain dalam menyumbang
kepada kefahaman kepada al-Qur’an dan al-Sunnah
sama ada secara umum mahupun khusus.
Hendaklah diakui bahawa kedua-dua fiqh Islam dan mazhab-mazhabnya
diperlukan bagi menyokong sumber wahyu yang diturunkan,
iaitu al-Qur’an dan al-Sunnah dalam menggariskan
panduan-panduan bagi keseluruhan umat beribadat
dan menjalani kehidupan duniawi.
Berdasarkan ilmu dan kebijaksanaan yang dikurniakan Allah kepada
umat-Nya terutama ulama’-ulama’, sumber al-Qur’an
dan al-Sunnah dapat ditafsirkan dan diterjemahkan
bagi memenuhi keperluan semua lapisan umat sezaman
dan di sinilah dapat dilihat keutamaan fiqh dan
mazhab dalam agama Islam.
Namun dalam kita bermazhab, perlu diperhatikan beberapa batasnya.
Pertama, ketaatan yang sebenar adalah kepada al-Qur’an
dan al-Sunnah. Mazhab hanya berperanan memudahkan
ketaatan tersebut, bukan menggantikannya.
Kedua, mengikuti mazhab bukanlah bererti membebaskan diri daripada
sifat belajar dan mengkaji. Ini kerana menuntut
ilmu merupakan salah satu kewajipan agama sebagaimana
sabda Rasulullah shallallahu
'alaihi wasallam:
Menuntut
ilmu adalah wajib atas setiap Muslim.
Oleh itu wajib belajar ajaran fiqh mazhab dengan
mengkaji dalil-dalilnya dan membandingkannya dengan
mazhab yang lain atau penelitian semula oleh tokoh
terkemudian.
Hasan al-Banna rahimahullah menasihatkan:
Bagi setiap Muslim yang belum mencapai tingkat ‘mujtahid’ terhadap
dalil-dalil umum syari‘at, diperbolehkan baginya
untuk mengikut pendapat salah seorang imam agama
(imam mazhab).
Namun sangat dianjurkan agar dia berusaha dengan segenap kemampuannya
untuk mempelajari dalil-dalil yang dipergunakan
oleh imam yang diikutinya dan tetap bersedia menerima
kebenaran dari orang lain yang berhak mengemukakannya.
Selain itu dia harus berusaha menyempurnakan segala kekurangan
ilmunya jika dia adalah seorang yang mampu melakukan
hal itu sehingga akhirnya dia dapat mencapai kedudukan
sebagai seorang mujtahid.
Mutakhir ini terdapat segelintir pihak yang menolak
mazhab fiqh Islam dan melarang orang ramai daripada
bermazhab. Golongan ini pernah ditegur oleh al-Sya’rani
rahimahullah:
Janganlah anda menolak atau melemahkan pendapat salah seorang
imam mujtahid (imam mazhab) hanya berdasarkan
kefahaman anda yang dangkal terhadap al-Qur’an
dan al-Sunnah kerana pemahaman anda itu tidak
lain hanyalah seperti angin yang berlalu jika
dibandingkan dengan kefahaman para imam mujtahid.
Senafas dengan teguran di atas ialah apa yang diperkatakan
oleh Taha Jabir al-‘Alwani:
Hanya berdasarkan kepada pengkajian sebuah buku berkenaan ilmu
Islam yang sekian luas ini, seseorang itu tidaklah
dapat mengkategorikan dirinya sebagai seorang
mujtahid, iaitu seseorang yang layak untuk mengeluarkan
hukum dengan sendiri.
Yusuf al-Qaradhawi mengulas lebih lanjut:
Pada abad kita sekarang ini ada orang-orang yang menyatakan
diri mereka sebagai mujtahid dan mengajak orang-orang
lain untuk turut menjadi mujtahid.
Mereka beranggapan mampu mengarah manusia kepada satu arah
yang mereka buat dan menyatukan manusia ke dalam
satu pendapat yang mereka anuti, sesuai dengan
pemahaman mereka terhadap nas syari‘at. Dengan
cara ini lenyaplah mazhab-mazhab yang ada dan
hapuslah segala bentuk perbezaan pendapat sehingga
semua orang bertemu dalam kalimat yang satu.
Tetapi mereka lupa bahawa pemahaman mereka terhadap nas, tidak
lebih dari sekadar pendapat yang boleh mengandungi
kesalahan atau kebenaran. Tidak ada seorang ulama’
yang maksum pendapatnya, sekalipun dia telah memenuhi
segala syarat ijtihad. Dia hanya terjamin mendapat
pahala atas ijtihadnya, sama ada benar atau salah.
Oleh kerana itu golongan ini hanya akan mewujudkan satu mazhab
yang baru di samping mazhab-mazhab yang sedia
ada. Selain itu dengan anehnya mereka mengecam
para pengikut mazhab kerana bertaqlid kepada
para imam mazhabnya padahal mereka sendiri menuntut
orang ramai agar bertaqlid dan
mengikut mereka !
Janganlah anda beranggapan bahawa saya menolak ajakan mereka
untuk mengikuti nas atau mengecam ijtihad mereka
dalam memahami nas. Hal ini adalah merupakan hak
setiap Muslim yang telah memenuhi syarat-syarat
ijtihad. Tidak seorangpun yang punya hak untuk
pintu ijtihad yang dibuka oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam untuk umatnya.
Apa yang saya tolak adalah kesombongan mereka (golongan anti
mazhab) terhadap metodologi para ulama’ umat,
sikap mereka yang melecehkan warisan fiqh, tuntutan
mereka bahawa mereka sahaja yang paling benar
sedangkan orang lain adalah keliru, serta anggapan
bahawa mereka mampu menghapuskan perbezaan pendapat
dan menyatukan semua orang ke dalam satu pendapat,
iaitu pendapat mereka sendiri.
Oleh itu yang benar mazhab-mazhab fiqh Islam memiliki kepentingan
kepada umat Islam, hanya tahapnya yang berbeza-beza.
Bagi orang yang mampu mengkaji secara terus kepada
dalil al-Qur’an dan al-Sunnah, mereka tidak memerlukan
mazhab melainkan sekadar sumber meluaskan skop
kajian. Bagi orang yang tidak mampu, mereka memerlukan
mazhab sebagai jalan yang memudahkan ketaatan
kepada al-Qur’an dan al-Sunnah. Golongan yang
pertama tidak boleh mengecam golongan yang kedua
dan begitulah juga sebaliknya.
^Kembali
Ke Atas
|
9. Wasiat
Para Imam Mazhab Kepada Umat Islam
|