MARI BERKENALAN DENGAN

AHL AL-SUNNAH WA AL-JAMAAH

 

 

hafiz firdaus abdullah

 

   

Berkenalan Dengan Ciri - Ciri Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah Dalam:

 

Aqidah

 

A - C : D - E : F : G - I : J - L : M

 

 

 

M:       Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah mengetahui bahawa sebahagian tokoh berbeza dalam perkara-perkara aqidah yang disebut di atas, seperti mentakwilkan sifat-sifat Allah. Maka Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah membezakan tokoh-tokoh tersebut kepada dua kategori:

 

Pertama:

Perbezaan yang dilakukan oleh orang-orang yang masyhur dikenali sebagai menyelisihi al-Qur’an dan al-Sunnah, malah terkenal sebagai memusuhi al-Sunnah, suka mencipta bid‘ah dan berusaha keras untuk berselisih dengan al-Salaf al-Shalih. Mereka terkenal dengan sikap dusta, memutar belitkan fakta dan melakukan takwil yang aneh. Kebanyakan hasil pemikiran, percakapan dan amalan mereka adalah bertentangan dengan kefahaman al-Salaf al-Shalih terhadap al-Qur’an dan al-Sunnah.

Terhadap orang kategori pertama ini, Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah tidak mengambil manfaat daripada ilmu mereka dan memberi peringatan kepada orang ramai agar turut tidak mengambil manfaat daripada ilmu mereka.

 

Kedua:

Perbezaan yang dilakukan oleh para tokoh yang masyhur dikenali berpegang kepada al-Qur’an dan al-Sunnah secara ikhlas dan jujur. Kebanyakan hasil pemikiran, percakapan dan amalan mereka adalah selari dengan kefahaman al-Salaf al-Shalih terhadap al-Qur’an dan al-Sunnah. Namun dalam beberapa kes terpencil, mereka melakukan ijtihad yang hasilnya berbeza. Perbezaan tersebut berlaku bukan kerana mereka sengaja ingin menderhakai Allah dan Rasul-Nya serta menghasilkan kebatilan, tetapi disebabkan oleh faktor-faktor yang tidak mampu mereka elakkan.

Terhadap para tokoh dalam kategori kedua ini, Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah mengambil manfaat daripada ilmu mereka sambil membetulkan beberapa ijtihad mereka yang berbeza. Semua ini dilakukan dengan tetap memuliakan mereka, sama ada sebagai seorang ilmuan mahu pun sebagai seorang Muslim.

 

Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah mengecam segelintir individu yang menghina dan memulau para tokoh yang berbeza pandangan dalam segelintir perkara aqidah tanpa membezakan terlebih dahulu sama ada tokoh tersebut duduk dalam kategori pertama atau kedua.

 

Penjelasan:

            Ghuluw, yakni sikap ekstrim atau melampaui batas adalah salah satu penyakit hati yang banyak menyerang umat Islam, sekali pun terhadap mereka yang berilmu. Hanya sedikit yang berjaya melepaskan diri daripadanya, iaitu mereka yang pada asalnya memiliki sikap ikhlas apabila berinteraksi dengan ilmu agama. Sikap ekstrim ini berlaku dalam pelbagai hal, antaranya ialah sikap terhadap para ilmuan Islam.

Dalam hal ini, anda akan menemui sebahagian orang yang ekstrim dalam mengkritik para tokoh yang “tidak duduk dalam kelompok mereka”, sehingga ke tahap menghina dan memulau ilmuan tersebut. Ini dilakukan semata-mata kerana beberapa pandangan atau ijtihad ilmuan tersebut yang mereka nilai berbeza dengan pandangan atau ijtihad “kelompok mereka”. Namun menarik untuk diperbandingkan, apabila tokoh yang “duduk dalam kelompok mereka” mengeluarkan pandangan atau ijtihad yang berbeza, mereka akan bermati-mati membelanya dan menutupi perbezaan tersebut.

Antara tokoh yang masyhur menjadi mangsa ialah al-Nawawi dan Ibn Hajar al-‘Asqalani, semoga Allah merahmati mereka berdua. Kedua-dua ilmuan ini dihina dan dipulau oleh golongan yang ekstrim di atas semata-mata kerana pandangan mereka untuk mentakwil nas-nas berkenaan sifat-sifat Allah.

Sikap ekstrim ini perlu dijauhkan dengan segera. Ketahuilah bahawa para ilmuan tersebut adalah para mujtahid yang seandainya mereka tersilap dalam berijtihad, mereka tetap akan mendapat pahala, bahkan sehingga ke tahap lima puluh kali ganda. Ibn Taimiyyah menerangkan:

 

Maka tatkala berlalunya zaman, apa yang jelas kepada generasi al-Salaf menjadi samar bagi kebanyakan manusia sementara apa yang nyata bagi generasi al-Salaf menjadi kebingungan bagi kebanyakan manusia. Lalu kebanyakan golongan mutakhir menyelisihi al-Qur’an dan al-Sunnah terhadap apa yang tidak pernah berlaku pada generasi al-Salaf

 

Sungguh pun begitu, mereka adalah mujtahid yang dimaafkan keuzuran mereka dan diampunkan kesalahan mereka oleh Allah dan diberi pahala atas ijtihad mereka. Bahkan mungkin bagi mereka pahala kebaikan yang menyamai pahala lima puluh orang (mujtahid) pada zaman tersebut (zaman al-Salaf) kerana mereka pada zaman itu (al-Salaf) memiliki orang yang dapat membantu (menyelesaikan) sesuatu masalah (yang perlu diijtihadkan) manakala golongan mutakhir tidak memiliki bantuan yang seumpama.[1]

 

Sekali pun kesilapan ijtihad yang dilakukan adalah dalam perkara aqidah, ia tetap dimaafkan. Dalilnya adalah hadis berikut daripada Huzaifah bin al-Yaman radhiallahu ‘anh, dimana beliau menerangkan bahawa Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

 

Ada seorang lelaki daripada kalangan sebelum kalian yang ragu-ragu tentang amalannya.

Maka dia berkata kepada ahli keluarganya:

“Apabila aku mati maka ambillah aku (bakarkan jasad aku) dan taburkanlah ia di lautan pada hari yang berangin.”

Maka mereka (ahli keluarganya) melakukannya. Kemudian Allah menghimpunkannya dan berkata:

“Apakah yang menyebabkan engkau melakukan perkara tersebut?”

Lelaki itu menjawab: “Tidak aku lakukannya melainkan kerana takut kepada Engkau (Allah).”

Maka Allah mengampunkannya.[2]

 

Dalam hadis di atas, lelaki tersebut telah melakukan dua kesilapan aqidah:

·     Pertama dia menganggap dirinya mampu melarikan diri daripada pengadilan Allah,

·    Kedua dia menganggap Allah tidak mampu menghimpun makhluk yang jasadnya sudah hancur berdebu serta hanyut di lautan.

 

Ternyata bahawa kedua-dua anggapannya adalah salah. Namun kedua-dua kesalahan aqidah ini diampunkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala kerana lelaki tersebut melakukannya bukan kerana ingin menderhakai Allah, tetapi kerana takut akan kekuasaan dan kebesaran Allah.

Nah! Jika orang awam yang melakukan kesilapan aqidah diampunkan oleh Allah, nescaya seorang mujtahid yang melakukan kesilapan dalam aqidah akan lebih diampuni oleh Allah. Asalkan, kesilapan tersebut bukan untuk menegakkan kebatilan atau menderhakai Allah.

Berkata Ibn Taimiyyah berkenaan para tokoh Islam, termasuk mereka yang beraliran al-‘Asya’irah:

 

Tidak ada seorang pun dari mereka, kecuali telah terbukti pembelaannya terhadap Islam. Mereka telah melakukan pelbagai usaha yang terpuji dan kebajikan. Mereka aktif dalam membendung gerakan orang-orang atheis (Ahl al-Ilhad) dan ahli bid‘ah. Pada waktu yang sama, mereka banyak membantu ahli sunnah dan agama ini (Islam). Usaha mereka terkenal dan tidak ada kesamaran di dalamnya. Khususnya bagi orang yang mengenal baik keadaan mereka dan menceritakan biografi mereka berkenaan ilmu, kejujuran, keadilan dan wawasan tinggi (yang mereka miliki).

 

Namun sayangnya, ketika prinsip-prinsip dasar agama yang asli menjadi kabur dan samar, yang pada awalnya diakibatkan oleh pemikiran aliran Mu’tazilah dengan tokoh-tokoh mereka dikenal sangat rasionalis (mengunggulkan akal), maka prinsip-prinsip tersebut diabaikan oleh mereka. Akibatnya, timbul banyak pemikiran yang ditolak oleh para ulama’ dan tokoh agama dari kaum muslimin. Akibat lanjutnya, kaum muslimin terbahagi kepada dua kelompok: Sebahagian ada yang mengagung-agungkan mereka kerana memiliki beberapa kebaikan dan keunggulan. Sebahagian lagi ada yang mencela dan menjatuhkan mereka kerana di antara pemikiran mereka ada termasuk dalam kategori bid‘ah dan batil. Padahal sebaik-baik urusan adalah di pertengahan.

 

Hal ini tidak hanya terjadi kepada mereka sahaja, bahkan menimpa sebahagian ahli ilmu dan agama. Namun demikian, Allah Ta‘ala tetap akan menerima kebaikan-kebaikan dari hamba-hamba-Nya dan akan memberi maaf atas keburukan-keburukan mereka. Firman-Nya:

 

“Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami

yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki

dan dendam terhadap orang-orang yang beriman.

Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

[al-Hasyr 59:10]

 

Kita tidak perlu ragu bahawa sesiapa yang berijtihad untuk mencari kebenaran dalam agama dari jalur Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, lalu kemudian dia melakukan kesilapan pada sebahagian ijtihadnya, Allah pasti akan mengampuni kesilapannya. Ini sebagai bukti penerimaan doa yang dijanji untuk diterima-Nya bagi Nabi dan orang-orang mukmin, ketika mereka berdoa: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau silap.” [al-Baqarah 2:286]

 

Sesiapa yang mengikuti prasangka dan hawa nafsunya, lalu dia memburuk-burukkan orang yang berijtihad tetapi tersilap, padahal yang berijtihad itu memandangnya benar, maka ia (tindakan memburuk-burukkan tersebut) adalah satu bid‘ah (yang jelas) menyalahi sunnah. Sepatutnya dia (orang yang memburuk-burukkan) membandingkan hal ini, sama ada terhadap kes yang lebih besar atau lebih kecil kepada seseorang yang diagung-agungkan olehnya dari kalangan kelompoknya sendiri (pasti dia akan menemui berlaku kesilapan dalam sebahagian ijtihad, namun tidak pula diburuk-burukkan mujtahid tersebut kerana berada dalam kelompok yang sama).

 

Ini kerana sedikit sekali para ulama’ mutakhir yang selamat dari masalah-masalah sedemikian (tersilap dalam ijtihad) disebabkan oleh banyaknya hal-hal yang samar dan jauhnya manusia dari cahaya al-Nubuwah dan naungan risalah, yang dengannya dapat diperoleh kebenaran dan petunjuk. Selain itu dengan cahaya al-Nubuwah pula, perasaan ragu dari hati akan hilang.[3]

 

Muhammad bin Shalih al-Utsaimin pernah ditanya tentang sikap Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah terhadap tokoh yang mentakwilkan sifat-sifat Allah. Beliau menjawab:

 

Ada pun sikap kita terhadap para ulama’ yang melakukan takwil, kami berkata: Sesiapa yang mengenal di antara mereka sebagai memiliki niat yang baik dan kejujuran dalam urusan (ilmu) serta mengikuti al-Sunnah, maka dia ma’dzur (keuzuran yang dimaafkan) dengan takwilnya. Akan tetapi uzurnya tentang hal itu tidak mencegah (kita untuk) menyalahkan jalan dia yang menyelisihi pemahaman al-Salaf al-Shalih yang membiarkan nas-nas (berkenaan sifat-sifat Allah) tetap pada zahirnya serta menyakini apa yang ditunjukkan oleh makna zahirnya tanpa takyif dan tanpa tamsil.

 

Wajib membezakan antara menghukum pendapat orang yang berkata dan perbuatan orang yang berkata. Pendapat yang salah bila muncul dari ijtihad dan maksud yang baik, maka orang yang berkata tidaklah dicela. Bahkan dia mendapat satu pahala atas ijtihadnya berdasarkan sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam (yang bermaksud): Apabila seorang hakim memutuskan perkara lalu dia berijtihad kemudian ijtihadnya benar, maka baginya dua pahala. Apabila dia memutuskan lalu berijtihad kemudian ijtihadnya salah, maka baginya satu pahala.” (Mutafaqqun ‘alahi).

 

Ada pun apa yang disifatkan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dengan dhalal (kesesatan, iaitu hadis setiap bid‘ah adalah sesat), jika sifat dhalal tersebut adalah mutlak yang dengannya tercela dan dimurkai, maka sifat ini tidak ditujukan kepada mujtahid seperti ini yang diketahui kebaikan niatnya, mempunyai kejujuran dalam agama dan mengikuti al-Sunnah. Jika yang dimaksudkan dengan sesat adalah pendapatnya yang menyelisihi kebenaran tanpa mencela terhadap yang berkata, maka hal itu tidak mengapa kerana tindakan seperti ini tidak menyesatkan dengan maksud kesesatan secara mutlak. Ini kerana dari segi wasilah ia adalah benar, iaitu mengerahkan kemampuannya untuk mencapai kebenaran. Akan tetapi dari segi hasil adalah kesesatan, menyelisihi kebenaran.[4]

 

Pada ketika yang lain, apabila ditanya: “Apa pendapat anda tentang sebahagian orang yang menganggap al-Nawawi dan Ibn Hajar al-‘Asqalani adalah Ahl al-Bid‘ah?”, Muhammad bin Shalih al-Utsaimin rahimahullah (1421H) menjawab:

 

Sesungguhnya Imam al-Nawawi dan Imam Ibn Hajar adalah dua ulama’ yang benar dan berjasa besar kepada umat Islam. Jika mereka pernah melakukan kesalahan dalam mentakwilkan teks-teks, maka hal itu tidak boleh mengabaikan keunggulan-keunggulan yang ada pada kedua-duanya. Kita tidak boleh menganggap bahawa pendapat mereka tidak berdasarkan ijtihad yang serius atau dengan takwil yang sebarangan meski pun dalam pendapat keduanya terkadang ada kesalahan, semoga Allah mengampuni keduanya. Untuk itulah apa yang telah mereka berikan (berupa ilmu yang tertuang dalam hasil karya), memang terdapat kegunaan dan kita harus mengakuinya. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala (bermaksud): “Sesungguhnya amal yang baik dapat menghilangkan amal yang jahat.” (Hud 11:114).

 

Apa yang kita lihat bahawasanya mereka berdua termasuk Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah, terbukti dengan cara mereka mengamalkan Sunnah Rasul serta merealisasikan apa yang ada dalam Sunnah tersebut. Akan tetapi mereka berdua berbeza dalam ayat-ayat sifat, hadis-hadisnya atau sebahagian lain tentang kebaikan Ahl al-Sunnah, maka kita mohon kepada Allah agar mereka tetap bermuamalah dengan keampunan-Nya.[5]

 

al-Albani tidak ketinggalan untuk memberi nasihat:

 

            Saya ingin menyebutkan sebuah hakikat yang tidak diperselisihkan dan saya ingin menambahkan sesuatu yang tidak difikirkan oleh para pemuda pada masa kini, iaitu sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dalam banyak hadisnya (yang bermaksud): Sesiapa yang mengkafirkan seorang Muslim, maka dia telah kafir.” Ini hakikat yang tidak diragukan lagi dan diketahui rinciannya dalam hadis ini. Dalam sebahagian riwayat lain (disebut) bahawa jika orang yang dia kafirkan itu adalah seorang kafir, maka dia telah melakukan hal yang benar. Jika tidak, tuduhan itu kembali kepada dirinya (orang yang menuduh kafir itu sendiri). Ini tidak perlu untuk dibahas lagi kerana hadis ini jelas.

 

Akan tetapi saya ingin menjelaskan sebuah tambahan. Maka saya katakan, siapa yang menuduh seorang Muslim sebagai ahli bid‘ah, boleh jadi Muslim itu ahli bid‘ah. Akan tetapi jika tidak, penuduh itu sendiri yang (menjadi) ahli bid‘ah. Ini adalah realiti yang saya sebutkan tadi. Sesungguhnya para pemuda kita membid‘ahkan para ulama’, namun mereka itulah (para pemuda) yang terjatuh dalam bid‘ah. Akan tetapi mereka tidak mengetahui dan tidak berniat untuk melakukan bid‘ah, hanya saja mereka terjerumus ke dalamnya.

 

Oleh kerana itu kami menasihati para pemuda untuk berpegang teguh dengan mengamalkan al-Qur’an dan al-Sunnah sesuai dengan pengetahuan mereka dan tidak menuduh orang lain dimana mereka tidak memiliki ilmu, kefahaman dan bahkan kemaslahatan. Seperti Imam al-Nawawi dan al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani. Kita katakan, berikanlah kami hari ini di dunia Islam orang-orang seperti mereka (sudah tentu tidak ada lagi yang seperti mereka). Tinggalkanlah Sayyid Quthb, orang ini telah dimuliakan oleh jihadnya. Akan tetapi hal ini tidak mengubah dia dari seorang penulis dan sasterawan, tapi dia bukan seorang ulama’. Maka tidak perlu hairan jika ada yang keluar dari diri beliau hal-hal yang menyalahi manhaj yang benar.

 

Ada pun orang-orang yang disebut bersamanya seperti Imam al-Nawawi, Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani dan selainnya, Demi Allah! Merupakan satu kezaliman jika mengatakan mereka sebagai ahli bid‘ah. Saya tahu bahawa mereka mengikut mazhab al-‘Asya’irah, akan tetapi mereka tidak berniat menyalahi al-Qur’an dan al-Sunnah. Mereka mengikut kerana dua sebab: Pertama, bahawa (Abu al-Hasan) al-Asya’ari mengatakan hal itu, padahal dia mengatakan hal itu pada masa awalnya dan sesudah itu dia menariknya kembali. Kedua, mereka menduganya benar padahal tidak.[6]

 

Ketika ditanya “Bagaimana sikap kita terhadap para ulama’ yang mengucapkan perkataan bid‘ah atau kesalahan yang batil secara jelas?”, ‘Abd Allah al-Ghunaiman menjawab:

 

Kesalahan sebahagian ulama’, sama seperti ketika mengkritik Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani, Imam al-Nawawi, Imam al-Baihaqi dan lainnya, juga yang lebih terdahulu daripada mereka seperti Imam al-Khatthabi; sedikit kita dapati dari kalangan ulama’ yang memiliki perjuangan dan buku-bukunya yang tersebar luas lalu tidak ditemui dalamnya kesalahan. Sebahagian mereka mengatakan lebih dari ini, bahawa mereka adalah para mujtahid yang meniatkan kebenaran, mereka tidak inginkan kebatilan dan tidak meniatkan hal itu. Akan tetapi mereka tidak tiba kepada kebenaran, maka mereka jatuh dalam kesalahan sesudah berijtihad.

 

Tidak boleh mencela mereka kerana hal itu. Kita tidak boleh meninggalkan buku-buku mereka dan (meninggalkan daripada) mengambil pelajaran darinya, apatah lagi menganggap mereka sesat atau kafir. Menganggap mereka sesat atau mengkafirkan mereka adalah sebuah kesesatan.

 

Seperti yang kami katakan sebelumnya, sesungguhnya mereka itu dimaafkan. Tidak boleh menganggap mereka sesat semata-mata kerana mereka terjatuh dalam kesalahan. Pendapat-pendapat dan buku-buku mereka tidak boleh ditinggalkan kerana sangat sedikit orang yang selamat daripada kesalahan. Terdapat perbezaan antara orang yang berijtihad lalu jatuh dalam kesalahan dengan orang yang meniatkan kesalahan itu sendiri dan dia mengetahui bahawa dia terjatuh dalam kesalahan. Hukumnya berbeza dengan hukum orang yang berijtihad lalu dia jatuh dalam kesalahan.[7]

 

            Terhadap soalan yang sama, Muhammad ‘Id al-Abbasi berkata:

 

Yang berkaitan dengan mereka dan segolongannya, kita harus hukumi mereka dengan penilaian yang baik serta memisahkan antara kesalahan dan kebenaran mereka. Kita ambil yang baik dari mereka dan kita tinggalkan kesalahan mereka.

 

Tidak diragukan lagi bahawa kita tidak boleh menghukum mereka dengan satu hukum, misalnya Imam al-Nawawi dan al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani dimana hukum keduanya tidak sama dengan Sayyid Qutbh, semoga Allah merahmati mereka semua. Tidak diragukan lagi bahawa al-Hafiz Ibn Hajar dan Imam al-Nawawi adalah dua orang alim besar yang berijtihad dan merupakan imam bagi kaum muslimin, mereka memiliki banyak ilmu dan prinsip-prinsip yang benar lagi diterima. Jika terdapat kesalahan dari mereka, maka mereka dimaafkan dan mereka tidak keluar dari golongan yang selamat (al-Firqah al-Najiyah), insya-Allah.

 

Boleh jadi ada yang berkata: “Imam al-Nawawi dan al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani memiliki pemikiran al-Asya’irah.” Kita jawab: Betul, pemikiran ini ditemui dalam tulisan-tulisan mereka. Kedua, bahawa manhaj al-Salaf lebih utama daripada al-Asya’irah. Akan tetapi prinsip yang mereka pegang semuanya benar secara umum. Keduanya terpengaruh dengan pemikiran pada masanya dan pemikiran-pemikiran al-Asya’irah dalam masalah-masalah aqidah. Akan tetapi kedua-duanya adalah imam, maka kesalahannya itu kita maafkan. Mereka adalah para ulama’ pembawa petunjuk insya-Allah.[8]

 

Apabila ditanya: “Apakah kesalahan seorang ulama’ dalam masalah-masalah aqidah mengharuskan untuk tidak mengambil faedah dari ilmu dan buku-bukunya?”, ‘Abd Allah al-Ghunaiman menjawab:

 

Tidak ada perbezaan antara kesalahan dalam aqidah mahu pun furu’. Jika seorang manusia salah sedangkan dia adalah seorang mujtahid dan niatnya baik, maka dia dimaafkan dan mendapat pahala ijtihad. Ada pun jika dia tidak berhak untuk berijtihad dan berbicara berdasarkan ketidaktahuan, maka ini tidak dimaafkan, baik dalam masalah aqidah mahu pun yang lainnya. Sedangkan jika dia mengetahui kebenaran dan menyalahinya serta dia berniat untuk mengajak melakukan bid‘ah-bid‘ah yang besar misalnya, maka mereka itu berbeza dengan yang lain. Ada pun jika maksudnya benar namun dia tidak diberi petunjuk padanya, maka dia seorang mujtahid yang tidak berniat melakukan apa yang dia lakukan. Kedudukannya seperti yang diungkapkan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam (maksudnya): “Jika seorang hakim memutuskan perkara lalu dia berijtihad dan dia benar, maka baginya dua pahala. Jika dia salah, maka baginya satu pahala dan kesalahannya itu dimaafkan.”[9]

 

Maka di sini ingin saya tegaskan, jika para pembaca sekalian menemui mana-mana orang yang menghina dan memulau para tokoh ilmuan Islam tanpa membezakan sama ada tokoh tersebut duduk dalam Kategori Pertama atau Kedua, maka janganlah dihiraukan pandangan mereka. Sebaliknya berusaha untuk membetulkan penyakit ghuluw yang telah bersarang dalam diri mereka.[10]

Pada waktu yang sama, teruskan mengambil manfaat daripada hasil karya al-Nawawi, Ibn Hajar al-‘Asqalani dan sesiapa lain yang duduk dalam Kategori Kedua. Seandainya ditemui sesuatu pandangan atau ijtihad mereka yang berbeza, maka betulkanlah ia tanpa mengurangi kedudukan mereka sebagai seorang Muslim dan ilmuan.

 

 


TOP


[1]  Majmu’ al-Fatawa, jld. 13, ms. 65.

[2] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 6480, juga daripada Abu Sa‘id al-Khudri radhiallahu ‘anh, hadis no: 6481 (Kitab al-Riqaq, Bab takut terhadap Allah).

[3] Dar’u Ta‘arudh al-‘Aqal wa al-Naqal (tahqiq: M. Rasyad Salim; Dar al-Kunuz al-Adabiyah, Riyadh), jld. 2, ms. 102-103.

[4] Majmu’ Fatawa Arkanil Islam, disusun oleh Fahad bin Nasir bin Ibrahim (edisi terjemahan oleh Furqan Syuhada dan rakan-rakan; Pustaka Arafah, Solo, 2002), Bab Aqidah,  ms. 86-87.

[5] Kitab al-‘Ilm, disusun oleh Fahad bin Nasir bin Ibrahim (edisi terjemahan oleh Sugeng Wisnu Pratomo dengan judul Panduan Menuntut Ilmu; Najla Press, Jakarta, 2003),  ms. 177-178.

[6] Muzil al-Ilbas fi al-Ahkam ‘ala al-Nas, disusun oleh S‘id bin Shabir ‘Abd Allah (edisi terjemahan oleh Nurkholis, Griya Ilmu, Jakarta, 2005), ms. 268-269.

[7] Muzil al-Ilbas, ms. 252.

[8]  Muzil al-Ilbas, ms. 252-253.

[9]  Muzil al-Ilbas, ms. 250.

[10] Para pembaca boleh merujuk dua risalah saya dalam subjek ini, iaitu Adab-Adab Menuntut Ilmu dan Unsur-Unsur Yang Merosakkan Ilmu Agama yang dimuatkan dalam buku Himpunan Risalah Dalam Beberapa Persoalan Ummah (Buku 5) terbitan Jahabersa, Johor Bahru.

 

kandungan