MARI BERKENALAN DENGAN

AHL AL-SUNNAH WA AL-JAMAAH

 

 

hafiz firdaus abdullah

 

   

Berkenalan Dengan Ciri - Ciri Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah Dalam:

 

Aqidah

 

A - C : D - E : F : G - I : J - L : M

 

 

 

D:        Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah menetapkan bahawa iman dibenarkan dengan hati, diucapkan dengan lisan dan diamalkan dengan perbuatan. Ia bertambah dengan amal shalih dan berkurang dengan kemungkaran.[1]

 

Penjelasan:

Demikian kedudukan pertengahan Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah antara (1) mereka yang berkata iman dan amal shalih terikat secara tetap sehingga sesiapa yang tidak melaksanakan amal shalih, atau melakukan kemungkaran, bererti telah sifar iman dari dirinya serta keluarlah dia dari Islam (kafir) dengan (2) mereka yang berkata iman tidak terikat dengan amal shalih sehingga sesiapa boleh melakukan apa jua kemungkaran yang dikehendakinya.

Dalam banyak ayat al-Qur’an, iman sering kali dikaitkan dengan amal shalih (perbuatan), umpama firman Allah:

 

Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal shalih,

sesungguhnya mereka beroleh syurga…

[al-Baqarah 2:25]

 

Ayat-ayat seperti ini menunjukkan iman berkait rapat dengan amal shalih sehingga orang yang tinggi imannya, akan bertambahlah kualiti dan kuantiti amal shalihnya. Manakala orang yang rendah imannya, akan berkuranglah kualiti dan kuantiti amal shalihnya. Amal shalih itu sendiri memiliki beberapa peringkat daripada yang tinggi kepada yang rendah. Turun ke medan perang (Jihad fi Sabilillah) adalah tanda iman yang tinggi manakala bersolat fardhu di rumah tanpa uzur adalah tanda iman yang rendah. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

 

Kemudian Kami jadikan al-Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang Kami pilih

dari kalangan hamba-hamba Kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri

(dengan melakukan kemungkaran), dan di antaranya ada yang bersikap sederhana,

dan di antaranya pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah.

Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (dari Allah semata-mata).

[Fatir 35:32]

 

Di sini timbul persoalan, bagaimana dengan orang yang melakukan kemungkaran? Dijawab, bahawa sebagaimana amal shalih itu memiliki peringkat-peringkatnya, demikianlah juga kemungkaran. Di antara kemungkaran ada yang ringan atau sederhana peringkatnya, seperti minum arak dan berzina. Pelakunya berdosa tetapi tidak terkeluar dari Islam. Kedua-dua kemungkaran ini pernah berlaku pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Baginda tidak menghukum mereka sebagai telah keluar dari Islam, sebaliknya sekadar mengenakan hukuman hudud ke atas mereka.

Di antara amal maksiat ada yang berat seperti mencela al-Qur’an dan menghina Rasulullah. Kemungkaran seperti ini mengeluarkan pelakunya dari Islam. Pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam terdapat orang yang memperolok dan mengejek Allah, al-Qur’an dan Rasulullah. Terhadap orang seperti ini Allah Subhanahu wa Ta'ala menyatakan bahawa mereka telah kafir sesudah beriman:

 

Katakanlah:

“Patutkah terhadap Allah dan ayat-ayat-Nya serta Rasul-Nya kamu memperolok-olok dan mengejek?”

Janganlah kamu berdalih (dengan alasan-alasan yang dusta),

kerana sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu beriman. 

[al-Taubah 9:65-66]

 

Bagi orang yang minimum amal shalihnya, atau melakukan kemungkaran yang tidak ke peringkat yang berat, Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah menyatakan bahawa imannya tetap wujud, hanya ia amat rendah atau cacat. Sebutan yang lebih tepat bagi orang sedemikian ialah “Muslim” dan bukannya “Mukmin”. Ini sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

 

Orang-orang Arab Badwi berkata: “Kami telah beriman (mukmin)”.

Katakanlah (wahai Muhammad): Kamu belum beriman, (oleh itu janganlah berkata demikian),

tetapi sementara iman belum lagi meresap masuk ke dalam hati kamu maka berkatalah sahaja:

“Kami telah Islam (muslim)”. Dan (ingatlah), jika kamu taat kepada Allah dan Rasul-Nya (zahir dan batin),

Allah tidak akan mengurangkan sedikitpun dari pahala amal-amal kamu,

kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

 

Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman (mukmin)

hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka (terus percaya dengan)

tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah;

mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya).

[al-Hujurat 49:14-15]

 

Ciri-ciri Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah berkenaan iman perlu difahami secara jelas kerana akhir-akhir ini timbul segolongan orang yang gemar mengkafirkan saudara seislamnya, iaitu mengeluarkannya dari Islam, semata-mata kerana sesuatu kemungkaran yang dilakukan oleh orang tersebut. Ini adalah sikap yang menyelisihi Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah dan merupakan sikap aliran bid‘ah.

Iman adalah sesuatu yang berubah-ubah tahapnya, ia bertambah dan berkurang sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

 

Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu ialah mereka yang apabila disebut nama Allah

gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya,

menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.

[al-Anfal 8:04]

 

Dan apabila diturunkan sesuatu surah (dari al-Quran) maka di antara mereka (yang munafik)

ada yang bertanya (secara mengejek):

“Siapakah di antara kamu yang imannya bertambah disebabkan oleh surah ini?”

Adapun orang-orang yang beriman, maka surah itu menambahkan iman mereka,

sedang mereka bergembira (dengan turunnya).

[al-Taubah 9:124]

 

 

 

 

 

E:        Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah, dalam menghadapi sesuatu kemungkaran membezakan antara perbuatan dan pembuat. Diterangkan bahawa perbuatan tersebut adalah salah supaya pembuatnya berhenti dan ia tidak diikuti oleh orang ramai.

Ada pun terhadap pembuatnya, Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah menangguhkan sebarang hukuman sehingga diperhatikan tiga syarat berikut:

1.  Ditegakkan hujah kepadanya, iaitu mengemukakan dalil dan hujah bahawa apa yang dilakukan adalah satu kemungkaran.

2. Dibersihkan salah fahamnya, iaitu dalil dan hujah tersebut diberi dalam bentuk penerangan yang jelas bagi membersihkan apa-apa kekeliruan yang mungkin dihadapi olehnya apabila melakukan kemungkaran tersebut.

3.  Mempertimbangkan sama ada dia melakukan kemungkaran tersebut dalam suasana sedar dan  rela, atau dalam suasana terpaksa, tersilap atau tidak mampu untuk mengelaknya.

 

Penjelasan:

Demikian sikap hati-hati Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah dalam membezakan antara perbuatan dan pembuat. Ramai orang yang tersalah faham, apabila mereka membaca riwayat-riwayat berkenaan tindakan generasi al-Salaf al-Shalih yang menghukum orang lain sebagai kafir, syirik dan bid‘ah. Dianggap dengan menjatuhkan hukum kafir, syirik dan bid‘ah, yang dimaksudkan ialah seseorang itu telah keluar dari Islam dan layak menjadi ahli neraka.

Sebenarnya apabila generasi al-Salaf al-Shalih menghukum orang lain sebagai kafir, syirik dan bid‘ah, mereka hanya merujuk kepada perbuatan orang tersebut kerana ia menyerupai amalan orang kafir, orang musyrik atau Ahl al-Bid‘ah. Mereka tidak mengeluarkan orang tersebut daripada Islam kerana terdapat faktor-faktor lain yang diperhatikan, seperti ditegakkan hujah kepadanya, dibersihkan kekeliruannya dan diperhatikan sama ada dia melakukan perbuatan tersebut secara rela atau tidak. Abu ‘Ubaid al-Qasim bin Salam berkata:

 

Ada pun tentang beberapa atsar dan riwayat yang menyebut label kafir atau syirik terhadap beberapa perbuatan maksiat, maka menurut kami, atsar atau riwayat tersebut tidak bermaksud untuk menetapkan bahawa pembuatnya telah melakukan perbuatan kafir atau syirik yang menghapuskan keimanan orang itu. Akan tetapi bermaksud untuk mengatakan bahawa perbuatan maksiat itu adalah akhlak dan kebiasaan yang dilakukan oleh orang kafir dan orang musyrik.[2]

 

Dalil membezakan antara perbuatan dan pembuat adalah dua hadis berikut:

 

Hadis Pertama (perbuatan):

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

 

Allah melaknat khamar, peminumnya, penuangnya, penjualnya, pembelinya, pemerahnya, alat pemerahnya, pembawanya dan orang yang dibawakan kepadanya.[3]

 

Hadis Kedua (pembuat):

‘Umar al-Khaththab radhiallahu 'anh menerangkan bahawa pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam terdapat seorang lelaki yang bernama ‘Abd Allah, manakala nama gelarannya pula adalah “Keldai”. Dia lazim (berjenaka) sehingga membuat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tertawa. Nabi shallallahu 'alaihi wasallam pernah merotannya (sebagai hukum hudud) kerana kesalahan minum arak.

Pada satu hari dia dibawa menghadap baginda atas kesalahan yang sama, lalu dikenakan hukuman rotan. Melihat yang sedemikian berkata seorang lelaki: “Ya Allah! Laknatlah dia! Betapa banyak kali dia telah dibawa menghadap Rasulullah atas kesalahan yang sama!” Namun Nabi shallallahu 'alaihi wasallam menjawab:

 

Jangan melaknatnya! Demi Allah! Aku tidak tahu bila ternyata dia mengasihi Allah dan Rasul-Nya.[4]

 

Dalam hadis yang pertama, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menerangkan bahawa apa jua perbuatan yang berkaitan dengan arak adalah dilaknat oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala. Akan tetapi dalam hadis yang kedua, Rasulullah melarang seseorang daripada mendoakan laknat Allah kepada orang yang lazim minum arak. Berdasarkan dua hadis yang mulia ini, Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah merumuskan dua kaedah yang agung:

1.    Dibezakan antara perbuatan dan pembuat.

2.   Hukuman, kritikan dan celaan ditujukan kepada perbuatan. Ada pun individu yang membuatnya, dia tidak dihukum, dikritik dan dicela secara khusus melainkan diperhatikan beberapa faktor terlebih dahulu.

 

Faktor pertama yang diperhatikan adalah sama ada pembuatnya mengetahui atau tidak bahawa apa yang dilakukannya itu adalah satu kemungkaran. Maka ditegakkan kepada pembuat tersebut apa yang benar berdasarkan dalil dan hujah. Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah tidak terus menghukum pembuat kemungkaran sebelum diterangkan dalil dan hujah berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

 

Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul

(untuk menerangkan yang benar dan yang salah).

[al-Isra’ 17:15]

 

Seterusnya Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah memerhatikan sama ada pembuat kemungkaran tersebut masih memiliki apa-apa kekeliruan dan kesamaran. Maka diusahakan agar dalil dan hujah disampaikan dalam bentuk penerangan yang jelas dalam bahasa yang difahaminya, berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

 

Dan Allah tidak sekali-kali menjadikan sesuatu kaum itu sesat

sesudah Dia memberi hidayah kepada mereka,

sehingga Dia menerangkan kepada mereka apa yang mereka wajib memelihara

dan melindungi diri daripadanya; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

[al-Taubah 9:115]

 

Dan Kami tidak mengutuskan seseorang Rasul melainkan dengan bahasa kaumnya

supaya dia menjelaskan (hukum-hukum Allah) kepada mereka.

[Ibrahim 14:04]

 

Terakhir, Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah memerhatikan sama ada pembuat kemungkaran tersebut melakukannya dalam suasana sedar dan rela, atau dalam suasana terpaksa, tersilap atau tidak mampu. Orang yang terpaksa dimaafkan, sebagaimana ayat berikut berkenaan orang yang dipaksa untuk melakukan sesuatu yang membawa kepada hukum kafir (keluar dari Islam):

 

Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah dia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab dari Allah),

kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya tenang tenteram dengan iman;

akan tetapi sesiapa yang terbuka hatinya menerima kufur maka atas mereka tertimpa kemurkaan dari Allah,

dan mereka pula beroleh azab yang besar.

[al-Nahl 16:106]

 

Orang yang tersilap dan tidak sengaja dimaafkan, sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

 

Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya,

tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya.

Dan (ingatlah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

[al-Ahzab 33:05]

 

Orang yang tersilap perlu diberi perhatian khusus kerana banyak bid‘ah yang terjadi, sama ada dalam bentuk pemikiran atau amalan, adalah hasil daripada kesilapan takwil. Ibn Taimiyyah menerangkan:

 

Orang yang salah takwil yang bermaksud untuk mengikuti Rasulullah, tidak boleh dianggap kafir atau fasiq apabila dia berijtihad lalu salah. Ini adalah sesuatu yang masyhur berlaku di kalangan orang ramai dalam masalah amalan. Ada pun dalam masalah pemikiran (iktikad), ramai yang mengkafirkan orang yang salah takwil. Padahal sikap sedemikian tidak dikenal dari seorang pun dari kalangan para sahabat, tabi‘in dan orang-orang yang mengikuti mereka dalam kebaikan serta para imam umat Islam. Bahkan sedemikian adalah sikap asal Ahl al-Bid‘ah yang mudah membid‘ah dan mengkafir sesiapa yang berselisih dengan mereka, seperti aliran Khawarij, Muktazilah dan Jahmiyyah.[5]

 

Oleh itu hendaklah tumpuan diberi kepada membetulkan perbuatan bid‘ah tanpa mencela atau mengkritik pembuatnya. Tindakan gopoh mencela dan mengkritik pembuatnya adalah sikap Ahl al-Bid‘ah yang menyelisihi sikap asli Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah.

Orang yang tidak mampu mengelak sesuatu kemungkaran juga dimaafkan, sebagaimana Allah memaafkan sebahagian umat Islam yang tidak mampu untuk berhijrah:

 

Kecuali orang-orang yang lemah dari kaum lelaki dan perempuan serta kanak-kanak,

yang tidak berupaya mencari helah (untuk melepaskan diri)

dan tidak pula mengetahui sesuatu jalan (untuk berhijrah).

Maka mereka (yang demikian sifatnya), mudah-mudahan Allah maafkan mereka.

Dan (ingatlah), Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.

[al-Nisa’ 4:98-99][6]

 

Oleh itu, sebagai contoh, apabila menemui seorang yang sedang tawaf di sekeliling kubur syaikh si-fulan, dia dihukum sebagai melakukan bid‘ah. Akan tetapi orang itu sendiri tidak dihukum sebagai Ahl al-Bid‘ah kerana mungkin dia melakukan amalan tersebut kerana tidak tahu bahawa tawaf hanya disyari‘atkan di Ka’bah, di Masjid al-Haram, Mekah.

 


TOP


[1]  Dalam kebanyakan kitab Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah, istilah yang digunakan adalah kemaksiatan. Akan tetapi bagi menseragamkan istilah dalam buku ini dan mengelakkan kekeliruan, saya memilih istilah kemungkaran kerana ia adalah lebih umum, meliputi kemaksiatan, kefasiqan, kezaliman, bid‘ah dan lain-lain.

[2] Diriwayatkan oleh Ibn al-Qayyim dalam Kitab al-Sholat, ms. 53-54, dikemukakan oleh Yusuf al-Qaradhawi dalam Kaifa Nata‘amal Ma‘a al-Turath wa al-Tamazhub wa al-Ikhtilaf (edisi terjemahan oleh Ahrul Tsani & rakan-rakan atas judul Bagaimana Berinteraksi Dengan Peninggalan Ulama Salaf; Pustaka al-Kautsar, Jakarta, 2003), ms. 346

[3]  Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no: 3674 (Kitab al-Asyrubah, Bab memerap anggur untuk dibuat arak .

[4]  Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 6780 (Kitab al-Hudud, Bab berkenaan membenci laknat kepada orang yang minum…).

[5] Minhaj al-Sunnah al-Nabawiyyah fi Naqd Kalam al-Syi‘ah wa al-Qadariyyah (tahqiq: M. Rasyad Salim; Muassasah Qurtubiyyah, 1986), jld. 5, ms. 239-240.

[6] Penjelasan lanjut tentang maksud ayat-ayat di atas dalam suasana terpaksa, tersilap dan tidak mampu telah saya jelaskan dalam risalah Tuhan Islam Kejam? yang dimuatkan dalam buku Himpunan Risalah Dalam Beberapa Persoalan Ummah (Buku 3) terbitan Jahabersa, Johor Bahru.

 

kandungan