MARI BERKENALAN DENGAN

AHL AL-SUNNAH WA AL-JAMAAH

 

 

hafiz firdaus abdullah

 

   

Berkenalan Dengan Ciri - Ciri Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah Dalam:

 

Aqidah

 

A - C : D - E : F : G - I : J - L : M

 

 

 

A:        Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah memiliki manhaj yang sahih lagi jelas dalam persoalan aqidah kerana aqidah yang tercemar akan membatalkan semua amalan seseorang, malah boleh mengakibatkan dosa syirik yang tidak diampunkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Oleh itu jika terdapat sesuatu persoalan aqidah yang diperselisihkan atau samar-samar, Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah akan meninggalkannya dan mencukupkan diri dengan sesuatu yang sahih lagi jelas.

 

Penjelasan:

Ini adalah satu manhaj yang amat penting kerana tersilap dalam aqidah sehingga mencemari kemurnian tauhid boleh membatalkan segala amalan seseorang, berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

 

Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad)

dan kepada Nabi-nabi yang terdahulu daripadamu:

“Demi sesungguhnya! Jika engkau mempersekutukan (sesuatu yang lain dengan Allah)

tentulah akan gugur amalan kamu, dan engkau akan tetap menjadi dari orang-orang yang rugi.”

[al-Zumar 39:65]

 

Bahkan boleh menyebabkan dosa syirik yang tidak diampuni oleh Allah:

 

Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukan-Nya

(dengan sesuatu apa jua) dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu

bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan syariat-Nya).

Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain),

maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar.

[al-Nisa’ 4:48]

 

Oleh kerana itu Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah menjauhi sesuatu perkara aqidah yang diperselisihkan atau samar-samar hukumnya, seperti bertawasul dengan orang shalih yang telah meninggal dunia, mengambil berkat daripada orang atau tempat tertentu, berjumpa dengan bomoh yang tidak diketahui maksud bacaan jampinya dan sebagainya. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

 

Perkara yang halal adalah jelas dan perkara yang haram adalah jelas.

Di antara kedua-duanya terdapat perkara yang samar-samar yang tidak diketahui

(hukumnya) oleh kebanyakan manusia.

 

Sesiapa yang mengelak perkara yang samar-samar maka dia memelihara agama dan kehormatannya.

Dan sesiapa yang jatuh dalam perkara samar-samar maka dia seperti seorang pengembala

yang membawa ternakannya sekitar padang yang dilarang, nescaya ia memasukinya.

 

Ketahuilah bahawa bagi setiap raja ada kawasan larangannya.

Ketahuilah  sesungguhnya kawasan larangan bagi Allah di bumi ini ialah

perkara-perkara yang diharamkan-Nya.[1]

 

Perkara “samar-samar” apakah yang lebih patut ditinggalkan melainkan sesuatu yang melibatkan aqidah seseorang?

 

 

 

 

 

B:        Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah menetapkan bahawa tidak ada sesiapa atau sesuatu yang mampu melakukan kerja ketuhanan kecuali Allah, sebagai merealisasikan syahadah La ila ha illaLlah.

 

Penjelasan:

Ramai yang memahami La ila ha illaLlah bermaksud tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah. Ini adalah benar, namun ruang lingkup tauhid tidaklah terhad dalam konteks sembahan sahaja. Ia adalah lebih luas meliputi apa yang dapat dikatakan sebagai “tiada yang dapat dianggap melakukan kerja-kerja tuhan melainkan Allah” atau “tiada yang mampu berperanan sebagai tuhan melainkan Allah”.

Dimaksudkan dengan “kerja-kerja atau peranan tuhan” ialah sesuatu yang dinilai oleh manusia sebagai kononnya mampu mencipta dari tiada kepada ada, mengurus alam, mengetahui hal ghaib, menetapkan sesuatu kebaikan atau keburukan, memakbulkan doa, memberi pertolongan, menggubal syari‘at dan sebagainya.

Oleh itu apabila kita bersaksi dengan kalimah tauhid “La ila ha illaLlah”, kita sebenarnya bersaksi bahawa tiada Tuhan atau apa-apa jua kecuali Allah yang mencipta dari tiada kepada ada, mengurus alam, mengetahui hal ghaib, menetapkan sesuatu kebaikan atau keburukan, memakbulkan doa, memberi pertolongan, menggubal syari‘at dan sebagainya.

Sebenarnya terdapat banyak keyakinan atau amalan yang boleh mencemari kemurnian kalimah tauhid “La ila ha illaLlah” yang lazim kita ucapkan. Oleh kerana itulah apabila Allah melarang kita daripada menyekutukan-Nya, Allah tidak membataskan persekutuan tersebut kepada beberapa keyakinan atau amalan sahaja. Sebaliknya Allah berfirman:

 

Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua.

[al-Nisa’ 4:36]

 

Namun ramai di kalangan kita orang-orang yang beriman, di samping mentauhidkan Allah, tetap mempersekutukan-Nya dengan sesuatu yang lain. Allah Subhanahu wa Ta‘ala menerangkan hakikat ini:

 

Dan (orang-orang yang beriman kepada Allah), kebanyakan mereka tidak beriman kepada Allah

melainkan mereka mempersekutukan-Nya juga dengan yang lain.

[Yusuf 12:106]

 

Tindakan seperti inilah yang dimaksudkan sebagai pencemaran kemurnian tauhid, iaitu mencampur adukkan keimanan kepada tauhid yang murni dengan syirik. Firman Allah:

 

Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur adukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik),

mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan

dan merekalah orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.

[al-An’aam 6:82]

 

“Kezaliman” yang dimaksudkan dalam ayat 82 surah al-An’aam di atas adalah syirik, sepertimana yang dijelaskan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala melalui lisan Luqman:

 

Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa dia memberi nasihat kepadanya:

“Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain),

sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar.”

[Luqman 31:13]

 

Antara keyakinan atau amalan yang mencemari kemurnian tauhid ialah keyakinan alam ini terjadi dengan sendirinya, makhluk-makhluk berevolusi dari satu sel, kesatuan wujud antara Allah dan makhluk, amalan berjumpa dengan bomoh, mempercayai tukang tilik nasib dan sebagainya.[2]

 

 

 

 

 

C:        Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah beriman kepada semua perkara-perkara ghaib yang dikhabarkan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah berdasarkan kefahaman al-Salaf al-Shalih tanpa menafikannya atau mentakwilkannya.

 

Penjelasan:

Beriman kepada perkara-perkara ghaib merupakan salah satu aqidah Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

 

Alif, Laam, Miim. Kitab Al-Quran itu, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah

dan tentang kesempurnaanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa,

iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib,

dan mendirikan (mengerjakan) solat serta membelanjakan (mendermakan)

sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.

[al-Baqarah 2:1-3]

 

Di antara sekian banyak perkara ghaib yang wajib diimani, empat daripadanya lazim diperselisihkan oleh umat Islam masa kini dengan cara menafikannya atau mentakwilkannya. Empat perkara tersebut adalah:

 

Pertama: Beriman kepada Qadha’ dan Qadar, bahawa ianya telah ditulis sejak awal:

 

Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah

yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan.

Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Lauh Mahfuz) yang nyata.

[Hud 11:06]

 

 

Kedua: Beriman kepada kewujudan makhluk ghaib seperti malaikat, jin dan syaitan.

Kewujudan makhluk-makhluk tersebut diterangkan dalam pelbagai ayat al-Qur’an dan hadis-hadis yang sahih. Antaranya:

 

Sesiapa memusuhi Allah dan memusuhi malaikat-malaikat-Nya dan rasul-rasul-Nya,

khasnya malaikat Jibril dan Mikail, (maka ia akan diseksa oleh Allah) kerana sesungguhnya

Allah adalah musuh bagi orang-orang kafir.

[al-Baqarah 2:98]

 

Dan mereka menjadikan jin sekutu bagi Allah, padahal Allah jualah yang mencipta jin-jin itu.

[al-An‘aam 6:100]

 

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan;

dan sesiapa yang menurut jejak langkah Syaitan, maka sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menyuruh

(pengikut-pengikutnya) melakukan perkara yang keji dan perbuatan yang mungkar.

[al-Nur 24:21]

 

 

Ketiga: Beriman kepada khabar-khabar akhir zaman.

Terdapat banyak hadis sahih yang menerangkan tentang khabar-khabar akhir zaman seperti Penurunan Nabi ‘Isa, kedatangan Dajjal, Imam Mahdi, Yakjuj dan Makjuj serta lain-lain.[3] Khabar-khabar ini diimani tanpa dinafi atau ditakwilkan. Ini adalah kedudukan pertengahan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah antara (1) mereka yang menafikan khabar-khabar akhir zaman dan (2) mereka yang mentakwilkan khabar-khabar tersebut.

Kelompok pertama menafikan khabar-khabar akhir zaman dengan alasan mustahil Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dapat meramalkan apa yang bakal berlaku. Kemudian, ia juga dinafikan kerana kebanyakan khabar tersebut, sebagaimana yang difahami oleh kelompok ini, bersifat meramalkan sesuatu yang negatif kepada umat. Ini menyebabkan umat Islam hanya duduk dan menunggu apa yang diramalkan dengan sikap berputus asa.

Alasan kelompok pertama dijawab, bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sememangnya tidak mengetahui apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Apa yang baginda khabarkan sebenarnya adalah perkara-perkara ghaib yang diwahyukan kepada baginda oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala, sebagaimana firman-Nya:

 

Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib,

maka Dia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahui-Nya itu kepada sesiapapun,

melainkan kepada mana-mana Rasul yang diredhai-Nya

(untuk mengetahui sebahagian dari perkara ghaib yang berkaitan dengan tugasnya.

Apabila Tuhan hendak melakukan yang demikian)

maka Dia mengadakan di hadapan dan di belakang Rasul itu malaikat-malaikat

yang menjaga dan mengawasnya (sehingga perkara ghaib itu selamat sampai kepada yang berkenaan).

[al-Jin 72:26-27]

 

Ada pun alasan kedua, negatif atau positif sesuatu khabar bergantung kepada orang yang mentafsirkannya, sama ada dia memiliki minda yang negatif atau positif. Sebagai contoh, apabila dikatakan pasaran saham akan mengalami kejatuhan, orang yang berminda negatif akan meninggalkan sebarang urusniaga pelaburan. Namun orang yang berminda positif akan meneruskan urusniaga pelaburan, hanya dia lebih berhati-hati dan berwaspada.

Justeru apabila Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menerangkan sebahagian perkara yang bakal terjadi, ia bukan untuk menyuruh umat Islam menjadi malas dan putus asa. Sebaliknya untuk menyuruh umat Islam lebih berhati-hati dan berwaspada dalam beragama kerana banyaknya ujian dan cabaran pada akhir zaman.

Kemudian wujud pula kelompok kedua yang mentakwilkan khabar-khabar akhir zaman. Mereka mendakwa khabar-khabar tersebut hanyalah satu kiasan, tidak untuk difahami secara zahir. Oleh itu, sebagai contoh, kita lazim mendengar kelompok kedua ini berkata yang dimaksudkan dengan Dajjal adalah presiden negara tertentu manakala Imam Mahdi adalah presiden sebuah negara lain yang berani melawan presiden “Dajjal” tersebut.

Penakwilan seperti ini ditolak kerana tujuan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengkhabarkan perkara-perkara akhir zaman adalah untuk kita berhati-hati terhadapnya dan menggiatkan usaha untuk menanganinya. Jika dikatakan khabar-khabar tersebut hanya satu kiasan, masing-masing pihak akan memiliki takwilan tersendiri sehingga akhirnya tiada siapa tahu apa dan siapa yang dimaksudkan oleh Rasulullah. Akhirnya khabar-khabar akhir zaman tersebut menjadi sesuatu yang sia-sia kerana gagal mencapai objektifnya. Mustahil Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam melakukan sesuatu yang sia-sia untuk umat baginda.

Sesungguhnya kemuliaan dan kebenaran berada pada Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah yang berada di pertengahan antara dua kelompok di atas.

 

 

Keempat: Beriman kepada khabar-khabar selepas kematian seperti soal jawab kubur, nikmat dan azab kubur, kebangkitan semula, suasana di Padang Mahsyar, telaga Haudh, melihat Allah, pemberian syafaat oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, titian Sirat, syurga, neraka dan sebagainya.[4]


 

TOP


[1] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 52 (Kitab al-Iman, Bab keutamaan orang yang memelihara agamanya).

[2] Keyakinan dan amalan ini dan selainnya telah saya senaraikan secara terperinci dalam buku 11 Perkara Yang Mencemari Kemurnian Tauhid, terbitan Jahabersa, Johor Bahru. Juga artikel Perkara Ke-12 Yang Mencemari Kemurnian Tauhid: Menjadikan Jamaah Sendiri Sebagai Agama yang dimuatkan dalam buku Himpunan Risalah Dalam Beberapa Persoalan Ummah (Buku 5) terbitan Jahabersa, Johor Bahru.

[3] Hadis-hadis tersebut beserta penjelasannya telah dikemukakan oleh ‘Umar Sulaiman al-Asyqar dalam bukunya yang berjudul al-Yaum al-Akhir: al-Qiyamah al-Shughra wa ‘Alamat al-Qiyamah al-Kubra yang sudah diterjemahkan oleh Irfan Salim atas judul Hari Akhir: Kiamat Kecil dan Tanda-Tanda Kiamat Besar terbitan Serambi Ilmu, Jakarta, 2000.

[4]  Ayat-ayat al-Qur’an dan hadis-hadis sahih dalam bab ini telah dihimpun oleh ‘Umar Sulaiman al-Asyqar dalam bukunya yang berjudul al-Yaum al-Akhir: al-Qiyamah al-Kubra yang sudah diterjemahkan oleh Hilman Subagyo atas judul Hari Akhir: Kiamat Besar terbitan Serambi Ilmu, Jakarta, 2000. ‘Umar Sulaiman al-Asyqar juga memiliki buku lain yang telah diterjemahkan atas berjudul Hari Akhir: Syurga dan Neraka (Serambi Ilmu, Jakarta, 2001). Akan tetapi ia diterjemahkan oleh Hilman Subagyo daripada edisi terjemahan bahasa Inggeris berjudul The Final Day: Paradise and Hell.

Sebelum itu al-Qurtubi rahimahullah (671H) telah menyusun sebuah kitab yang besar dalam bab ini berjudul al-Tazkirah bi Ahwali al-Mauta wa Umur al-Akhirat yang sudah diterjemahkan oleh Abdur Rosyad Shiddiq atas judul Rahasia Kematian, Alam Akhirat dan Kiamat terbitan Akbar Media, Jakarta, 2003.