MARI BERKENALAN DENGAN

AHL AL-SUNNAH WA AL-JAMAAH

 

 

hafiz firdaus abdullah

 

   

Berkenalan Dengan Ciri - Ciri Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah Dalam:

 

Aqidah

 

A - C : D - E : F : G - I : J - L : M

 

 

 

J:        Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah menerima kejadian di luar adat kebiasaan yang Allah kurniakan kepada hamba-hamba-Nya yang terpilih. Akan tetapi Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah membezakan sama ada kejadian tersebut adalah kurniaan Allah, pengumpanan Allah (al-Istidraj), permainan syaitan atau perbuatan sihir. Sesuatu kejadian di luar adat kebiasaan dapat dikatakan adalah kurniaan Allah jika ia meningkatkan lagi keimanan, ketaqwaan dan amal-amal shalih yang selari dengan al-Qur’an dan al-Sunnah bagi orang yang mengalaminya.

 

Penjelasan:

Demikian kedudukan pertengahan Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah antara (1) mereka yang menafikan apa-apa kemungkinan berlakunya kejadian di luar adat kebiasaan dengan (2) mereka yang menerima semua kejadian tersebut tanpa membezakan sama ada ia adalah kurniaan Allah atau selainnya.

Kejadian-kejadian di luar adat kebiasaan adalah sesuatu yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala kepada para hamba-Nya yang layak, sepertimana firman-Nya:

 

Katakanlah: “Sesungguhnya limpah kurnia itu adalah di tangan Allah,

diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya;

dan Allah Maha Luas limpah kurnia-Nya lagi Meliputi pengetahuan-Nya.

[‘Ali Imran 3:73]

 

Kejadian di luar adat kebiasaan yang dikurniakan kepada para Nabi dan Rasul disebut sebagai mukjizat. Akan tetapi kurniaan Allah tidak sahaja terhad kepada para Nabi dan Rasul, tetapi meliputi juga mana-mana hamba-Nya yang layak dan terpilih. Hanya ia tidak lagi disebut sebagai mukjizat, tetapi disebut sebagai Karamah. Antara contoh kejadian di luar adat kebiasaan yang dikurniakan Allah kepada selain Nabi dan Rasul adalah kurniaan-Nya kepada Maryam, ibu kepada Nabi ‘Isa ‘alahi salam:

 

Maka dia (Maryam) diterima oleh Tuhannya dengan penerimaan yang baik

dan dibesarkannya dengan didikan yang baik serta diserahkannya untuk dipelihara oleh Nabi Zakaria.

Tiap-tiap kali Nabi Zakaria masuk untuk menemui Maryam di Mihrab,

dia dapati rezeki (makanan dan minuman) di sisinya. Nabi Zakaria bertanya:

“Wahai Maryam! Dari mana engkau dapati (semua) ini?”

Maryam menjawab: “Ini ialah dari Allah, sesungguhnya Allah memberikan rezeki

kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dengan tidak terkira.”

[‘Ali Imran 3:37]

Demikian juga kisah sekumpulan belia yang Allah Subhanahu wa Ta'ala rakamkan kisah mereka dalam surah al-Kahf. Mereka menyembunyikan diri dalam sebuah gua kerana ingin menjaga keimanan mereka. Di dalam gua tersebut, Allah tidurkan mereka sehingga bertahun-tahun lamanya. Ini adalah satu kejadian di luar adat kebiasaan yang kurniakan kepada belia-belia tersebut. Allah menerangkan sikap mereka ketika terjaga dari tidur yang lama:

 

Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka,

dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk. Dan Kami kuatkan hati mereka

(dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun lalu berkata:

“Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi;

kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain dari padanya;

jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu

yang jauh dari kebenaran.”

[al-Kahf 18:13-14]

 

 

Oleh itu Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah menerima kejadiaan di luar adat kebiasaan sebagai sesuatu yang boleh berlaku kepada para hamba yang terpilih. Hanya diletakkan kaedah ukuran yang ketat bagi menentukan sama ada kejadiaan tersebut adalah kurniaan Allah atau selainnya. Sesuatu kejadian di luar adat kebiasaan dapat dikatakan adalah kurniaan Allah jika ia meningkatkan lagi keimanan, ketaqwaan dan amal-amal shalih yang selari dengan al-Qur’an dan al-Sunnah bagi orang yang mengalaminya.

 

 

 

 

 

K:       Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah mencintai dan memuliakan para sahabat, termasuk di dalamnya para isteri dan ahli keluarga (Ahl al-Bait) baginda. Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah memandang bahawa seutama-utama sahabat dan khalifah yang hak adalah Abu Bakar, diikuti ‘Umar al-Khaththab, diikuti ‘Utsman bin ‘Affan, diikuti ‘Ali bin Abi Thalib radhiallahu ‘anhum.

Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah menahan diri daripada membicara berkenaan pertelingkahan yang berlaku di antara para sahabat radhiallahu ‘anhum melainkan untuk membersihkan fitnah dan salah faham. Ini kerana kemuliaan para sahabat telah dipersaksikan oleh Allah dan Rasul-Nya manakala jasa baik para sahabat telah terbukti melalui kejayaan dakwah Islam pada zaman Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan selepas itu. Apa yang jelas lagi nyata berkenaan kemuliaan dan jasa baik mereka tidak boleh diruntuhkan semata-mata oleh hikayat-hikayat yang tertulis dalam buku-buku sejarah.[1]

 

 

 

 

 

L:        Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah beriman kepada sifat-sifat yang Allah mensifati diri-Nya, sebagaimana yang Allah khabarkan melalui al-Qur’an dan lisan Rasul-Nya Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam.

Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah menetapkan sifat-sifat tersebut serta memahami maknanya manakala bentuk dan cara sifat tersebut diserahkan kepada Allah dengan keyakinan bahawa ia tidak memiliki kesamaan dalam apa jua bentuk dengan makhluk.

Secara lebih terperinci, Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah beriman kepada sifat-sifat Allah:

·      Tanpa Ta’thil, iaitu tanpa menafikannya.

·      Tanpa Tahrif, iaitu tanpa mengubah atau mentakwilkannya.

·      Tanpa Tamsil, iaitu tanpa menyerupakannya dengan apa-apa makhluk.

·   Tanpa Takyif, iaitu tanpa bertanya atau memikirkan bentuk, cara dan ciri-ciri sifat tersebut melainkan ia diserahkan kepada Allah.

 

Penjelasan:

Demikian kedudukan pertengahan Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah antara (1) mereka yang menafikan Allah daripada memiliki apa-apa sifat secara mutlak, (2) mereka yang beriktikad Allah sememangnya memiliki sifat seperti makhluk dan (3) mereka yang menganggap Allah telah mensifati diri-Nya dengan sifat-sifat yang menghampiri ciri-ciri makhluk, lalu perlu dilakukan pentakwilan agar dapat dibersihkan Allah daripada sifat kemakhlukan tersebut. Berkata al-Tirmizi rahimahullah (279H):

 

Dan sungguh telah berkata tidak seorang daripada Ahl Ilmu tentang hadis ini dan apa yang seumpamanya daripada riwayat-riwayat tentang al-Sifat dan (tentang) Penurunan Rabb (Allah) Tabaraka wa Ta’ala pada setiap malam ke langit dunia. Mereka berkata riwayat-riwayat seperti ini adalah benar (thabit) dan berimanlah kepada ia dan jangan dibayangkan (seperti apa) dan jangan ditanya bentuk, ciri-ciri dan tatacaranya (kaifiat). Inilah yang telah diriwayatkan daripada Malik (bin Anas) dan Sufyan bin ‘Uyaynah dan ‘Abdullah bin Mubarak, sesungguhnya mereka telah berkata tentang hadis-hadis seperti ini (yang berkaitan nas-nas al-Sifat): Terimalah ia (berimanlah kepadanya) tanpa mempersoalkan bentuk, ciri-ciri dan tatacara (kaifiat). Dan demikianlah juga pendapat ahli ilmu Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah.

 

Manakala golongan al-Jahmiyyah mereka mengingkari riwayat-riwayat seperti ini (nas-nas al-Sifat) sambil berkata ini adalah tasybih (penyerupaan dengan makhluk). Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla telah menyebut hal ini tidak sekali dalam kitab-Nya (al-Qur’an) seperti Tangan dan Pendengaran dan Penglihatan akan tetapi golongan al-Jahmiyyah telah mentakwilkan ayat-ayat  ini dan menafsirkannya kepada sesuatu yang berlainan daripada tafsiran Ahl Ilmu.  Mereka (al-Jahmiyyah) berkata sesungguhnya Allah tidak mencipta (Nabi) Adam (‘alaihi salam) dengan Tangan-Nya. Mereka berkata maksud Tangan-Nya di sini adalah kekuatan-Nya.

 

Padahal berkata Ishaq bin Ibrahim: “Sesungguhnya yang dianggap tasybih (penyerupaan dengan makhluk) hanyalah apabila seseorang berkata Tangan sepertimana tangan (makhluk) atau seumpama tangan (makhluk), Pendengaran sepertimana pendengaran (makhluk) atau seumpama pendengaran (makhluk). Justeru apabila seseorang berkata Pendengaran sepertimana pendengaran (makhluk) atau seumpama pendengaran (makhluk) maka barulah ia dianggap sebagai penyerupaan.

 

Namun apabila seseorang berkata sebagaimana firman Allah Ta’ala di dalam kitab-Nya (al-Qur’an): Tangan dan Pendengaran dan Penglihatan tanpa dipersoalkan bentuk, ciri-ciri dan tatacaranya (kaifiat) dan tidak dikatakan seumpama pendengaran (makhluk) dan tidak juga dikatakan sepertimana pendengaran (makhluk) maka ini tidak dianggap sebagai penyerupaan. Malah ia adalah sepertimana firman Allah Ta’ala di dalam kitab-Nya (al-Qur’an): Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan Dia dan Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat. [al-Syura 42:11][2]

Banyak berlaku salah faham pada masa kini, sama ada secara sengaja atau tidak, bahawa kononnya Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah telah menyerupakan Allah dengan makhluk (al-Musyabbihah) dan menganggap Allah memiliki jasad (al-Mujassimah). Ini adalah satu fitnah yang dengan mudah dapat dibersihkan oleh sesiapa yang mahu meluangkan sedikit masa untuk memahami manhaj Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah dalam berinteraksi dengan sifat-sifat Allah.

Bahkan yang sebenarnya memiliki manhaj al-Musyabbihah dan al-Mujassimah adalah mereka yang membuat fitnah atas Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah. Ini kerana para pembuat fitnah tersebut memiliki kefahaman bahawa kononnya apabila Allah menerangkan sifat-sifat-Nya dalam al-Qur’an dan al-Sunnah, ia adalah sifat-sifat yang menyerupai makhluk (al-Musyabbihah) lagi berjasad (al-Mujassimah). Maka atas kefahaman inilah mereka berpendapat wajib mentakwilkan sifat-sifat tersebut dan menentang orang yang enggan mentakwilkannya. Seandainya mereka tidak memiliki kefahaman al-Musyabbihah dan al-Mujassimah jauh di dalam sanubari, nescaya mereka tidak akan mewajibkan takwil ke atas sifat-sifat Allah. Maka bezakanlah, siapakah al-Musyabbihah dan al-Mujassimah yang sebenar?

 

TOP


[1] Berkenaan keutamaan para sahabat, sila rujuk buku Jawapan Ahl al-Sunnah Kepada Syi‘ah al-Rafidhah Berkenaan Keutamaan Dan Sejarah Para Sahabat terbitan Jahabersa, Johor Bahru. Berkenaan pertelingkahan antara sahabat, sila rujuk risalah-risalah berikut yang terkandung dalam buku Himpunan Risalah Dalam Beberapa Persoalan Ummah (Buku 4) terbitan Jahabersa, Johor Bahru:

1.       Pendirian Aisyah Dan Para Sahabat Di Sebalik Perang Jamal.

2.       Pendirian Muawiyah Di Sebalik Perang Siffin.

3.       Pendirian Muawiyah Di Sebalik Perlantikan Yazid dan Pembunuhan Hasan.

4.       Pendirian Yazid Di Sebalik Pembunuhan Husain.

5.       Pendirian Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah Terhadap Yazid bin Muawiyah.

6.       Panduan Membicara Sejarah Para Sahabat.

[2] Sunan al-Tirmizi (tahqiq: Ahmad Syakir dan rakan-rakan; Dar al-Hadith, Kaherah 1999), jld. 3, ms. 33.

 

kandungan