|
MARI BERKENALAN DENGAN AHL AL-SUNNAH WA AL-JAMAAH
hafiz firdaus abdullah
|
||
|
Berkenalan Dengan Ciri - Ciri Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah Dalam:
Aqidah
A - C : D - E : F : G - I : J - L : M
G: Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah tidak menentukan bahawa seseorang pembuat kemungkaran bakal diazab dalam neraka. Ini kerana penentuan azab neraka adalah hak Allah semata-mata. Selain itu terdapat beberapa faktor yang boleh menyelamatkan seorang pembuat kemungkaran daripada diazab dalam neraka.
Penjelasan: Abu Hurairah radhiallahu 'anh berkata, dia mendengar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
Terdapat dua orang bersaudara dari kalangan Bani Israil, salah seorang daripadanya lazim berbuat dosa manakala yang lain bersungguh-sungguh dalam beribadah. Saudara yang bersungguh-sungguh dalam ibadah sering memandang saudaranya yang lain berbuat dosa, lalu dia berkata: “Berhentilah!”.
Pada satu hari dia mendapati saudaranya masih melakukan dosa lalu dia berkata: “Berhentilah!” Namun saudaranya menjawab: “Biarkan aku! Demi Tuhanku! Apakah engkau diutus untuk mengawasi aku?” Lalu saudara (yang bersungguh-sungguh dalam ibadah) berkata: “Demi Allah! Allah tidak akan mengampunkan engkau atau Allah tidak akan memasukkan engkau ke dalam syurga.”
Maka (beberapa ketika kemudian) ruh kedua-duanya dicabut dan mereka dihadapkan kepada (Allah)Tuhan sekalian alam. Lalu (Allah) bertanya kepada saudara yang bersungguh-sungguh dalam ibadah: “Apakah engkau mengetahui tentang Aku atau apakah engkau berkuasa atas apa yang berada di tangan-Ku?”
Dan (Allah) berkata kepada saudara yang lazim berbuat dosa: “Pergilah masuk ke syurga dengan Rahmat-Ku.” Dan (Allah) berkata kepada (saudara yang bersungguh-sungguh dalam ibadah): “Bawalah orang ini ke neraka.”
Berkata Abu Hurairah: “Demi jiwaku yang berada di Tangan-Nya, sungguh orang tersebut (saudara yang bersungguh-sungguh dalam ibadah) telah mengucapkan kata-kata yang membinasakan dunia dan akhiratnya.”[1]
Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah juga tidak menafikan keampunan atau rahmat Allah Subhanahu wa Ta'ala dari seseorang pembuat kemungkaran. Hadis berikut menjadi dalilnya:
Seorang lelaki berkata: “Demi Allah! Allah tentu tidak akan mengampunkan si-fulan!” Lalu Allah Ta‘ala berfirman: “Siapakah yang telah menentukan bahawa Aku tidak akan mengampunkan si-fulan? Sesungguhnya aku telah mengampunkan si-fulan dan menghapuskan amalan kebaikan engkau (orang yang berkata Allah tidak akan mengampunkan si-fulan).”[2]
Ada pun faktor-faktor yang boleh menyelamatkan seorang pembuat kemungkaran daripada diazab dalam neraka, ia adalah seperti berikut: 1. Orang tersebut bertaubat daripada melakukan kemungkaran. 2. Orang tersebut meminta keampunan Allah dan Allah mengampunkannya. 3. Orang tersebut melakukan banyak amal kebajikan yang menghapuskan dosa kemungkaran yang dilakukannya. 4. Doa sesama orang Islam yang antara lain meminta keampunan Allah kepada semua umat Islam, seperti ketika menunaikan Solat Jenazah. Ini mampu menghasilkan keampunan kepada orang tersebut. 5. Amal-amal kebajikan yang dilakukan oleh ahli warisnya, seperti ilmu yang dimanfaatkan, sedekah jariah dan doa anak, semua ini mampu menghapuskan dosa kemungkarannya. 6. Orang tersebut memperoleh syafaat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pada Hari Akhirat. 7. Orang tersebut menerima beberapa ujian berupa kesukaran dalam kehidupan dunia yang semua itu merupakan sesuatu yang menghapuskan dosa kemungkarannya. 8. Orang tersebut menerima azab kubur yang dengan itu dihapuskan dosa kemungkarannya. 9. Orang tersebut menerima kesukaran suasana Hari Kebangkitan, Padang Masyar dan sebagainya dan ini semua juga mampu menghapuskan dosa kemungkarannya. 10. Orang tersebut memperoleh Rahmat dan Keampunan daripada Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.[3]
Sekali lagi, ciri Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah dalam perkara ini perlu dicermati secara mendalam kerana terdapat sebahagian pihak yang menyangka sesiapa yang melakukan kemungkaran, maka dia secara pasti akan memasuki neraka. Selain itu ada pula pihak yang suka menuduh, bahawa jika dikatakan sesuatu amalan adalah bid‘ah, bererti menghukum pembuatnya sebagai ahli neraka. Tuduhan ini, sekali pun adakalanya disuarakan oleh orang yang berilmu, menunjukkan bahawa mereka masih jahil tentang ciri-ciri Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah dalam membezakan antara perbuatan dan pembuat, serta jahil tentang ciri-ciri Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah yang tidak menentukan seseorang itu sebagai bakal diazab dalam neraka kerana sesuatu bid‘ah (kemungkaran) yang dilakukannya.
H: Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah memandang bahawa bertawasul dalam doa adalah dilarang melainkan jika terdapat dalil yang sahih lagi jelas. Ini kerana bertawasul adalah upaya menghampirkan diri kepada Allah melalui sesuatu perantaraan padahal manusia tidak tahu apakah bentuk perantaraan yang mampu menghampirkan mereka kepada Allah melainkan berdasarkan dalil. Maka perantaraan yang dibolehkan berdasarkan dalil yang sahih lagi jelas ada tiga, iaitu: · Bertawasul dengan nama-nama dan sifat-sifat Allah. · Bertawasul dengan amal shalih. · Bertawasul dengan meminta orang shalih yang hidup mendoakannya.
Penjelasan: Demikian kedudukan pertengahan Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah antara (1) mereka yang melarang tawasul secara mutlak dengan (2) mereka yang membolehkan tawasul secara mutlak dengan perantaraan-perantaraan yang tidak disebut secara jelas oleh al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Dalil bagi bertawasul dengan nama-nama dan sifat-sifat Allah adalah:
Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (berdoalah) kepada-Nya dengan menyebut nama-nama itu. [al-A’raaf 7:180]
Dalil bertawasul dengan amal shalih adalah tindakan tiga orang rakan yang terperangkap di dalam gua, lalu mereka menyebut amal shalih masing-masing dan kemudiannya berdoa:
“(Ya Allah!) Jika Engkau mengetahui bahawa aku melakukan hal itu semata-mata kerana mencari Wajah-Mu, maka berilah kami satu bukaan untuk melihat langit (dari dalam gua tersebut).” Maka Allah memberikan bukaan pada batu tersebut sehingga mereka dapat melihat langit.[4]
Dalil bertawasul dengan meminta orang shalih yang hidup mendoakannya adalah hadis berikut, dimana Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
Akan datang kepada kalian Uwais bin ‘Amar bersama pasukan bantuan daripada Yaman. (Dia) daripada Murad, kemudian daripada Qarn. Dia dahulunya memiliki penyakit belang lalu telah sembuh daripadanya kecuali satu bahagian sebesar satu dirham. Dia memiliki seorang ibu yang dia selalu berbakti kepadanya. Seandainya dia bersumpah dengan nama Allah, nescaya Allah akan memakbulkan sumpahnya itu. Jika kamu mampu memintanya memohon ampun untuk kamu, maka lakukanlah.[5]
Wujud perbezaan pendapat di kalangan ahli ilmu berkenaan orang yang berdoa kepada Allah tetapi bertawasul melalui kemuliaan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam setelah baginda wafat atau kepada kemuliaan orang-orang shalih setelah mereka meninggal dunia. Seumpama doa: “Ya Allah! Aku meminta dari Engkau dengan kemuliaan Syaikh Ahmad agar Engkau membantu aku dalam masalah ini”. Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab rahimahullah (1206H) menerangkan perbezaan pendapat dalam bab ini:
Kenyataannya, ada sebahagian ulama’ yang membolehkan tawasul kepada orang-orang shalih manakala sebahagian lagi mengkhususkan kebolehan ini kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam. Sementara itu majoriti ulama’ telah melarangnya dan menganggap ia makruh. Ini adalah masalah yang termasuk dalam masalah fiqh. Justeru sekali pun yang benar menurut kami adalah pendapat jumhur, iaitu makruh, kami tetap tidak mengingkari orang yang membolehkannya. Ini kerana tidak boleh ada pengingkaran dalam masalah-masalah ijtihad. Akan tetapi pengingkaran kami adalah ke atas orang yang berdoa (dan mengharapkan pengaruh) makhluk lebih besar berbanding pengaruh Allah (dalam memakbulkan) doa tersebut.[6]
Yang lebih selamat adalah tidak berdoa melalui perantaraan kemuliaan seseorang. Ini berdasarkan salah satu ciri Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah yang telah dikemukakan pada awal bab ini, iaitu: “Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah memiliki manhaj yang sahih lagi jelas dalam persoalan aqidah kerana aqidah yang tercemar akan membatalkan semua amalan seseorang, malah boleh mengakibatkan dosa syirik yang tidak diampunkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Oleh itu jika terdapat sesuatu persoalan aqidah yang diperselisihkan atau samar-samar, Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah akan meninggalkannya dan mencukupkan diri dengan sesuatu yang sahih lagi jelas.”[7]
I: Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah memandang bahawa tidak boleh mengambil berkat daripada individu, masa atau tempat melainkan berdasarkan dalil yang sahih lagi jelas. Ini kerana keberkatan itu adalah milik Allah dan Allah mengkhususkannya kepada siapa dan apa yang dikehendaki-Nya. Tiada jalan untuk manusia mengetahui kepada siapa dan apa Allah mengkhususkan keberkatan tersebut melainkan melalui petunjuk dalil yang sahih lagi jelas.
Penjelasan: Demikian kedudukan pertengahan Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah antara (1) mereka yang menafikan sebarang keberkatan secara mutlak dengan (2) mereka memberi keberkatan kepada apa jua yang mereka kehendaki, seolah-olah ia adalah urusan milik mereka. Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah mengetahui bahawa generasi al-Salaf al-Shalih ada mengambil berkat daripada beberapa peninggalan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam sesudah kewafatan baginda. Akan tetapi pada masa kini tidak ada apa-apa peninggalan yang disandarkan kepada baginda yang dapat dibuktikan dengan keyakinan yang mengatasi keraguan bahawa ia adalah benar-benar milik baginda. Justeru Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah menahan diri daripada bertabaruk dengan apa yang didakwa sebagai peninggalan baginda pada masa kini. [1] Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no: 4901 (Kitab al-Adab, Bab larangan dari menganiaya). [2] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2621 (Kitab al-Birr wa al-Solah…, Bab larangan berputus asa dari rahmat Allah). [3] Ibn Taimiyyah telah menerangkan 10 faktor ini beserta dalil-dalilnya dalam Majmu’ al-Fatawa, jld. 7, ms. 487-501. [4] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 5974 (Kitab al-Adab, Bab dimakbulkan doa…). [5] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya – hadis no: 2542 (Kitab Fadhail al-Shahabah, Bab keutamaan Uwais al-Qarni). [6] Fatawa wa Masail al-Syaikh Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab rahimahullah daripada Tarikh Najd li Ibn Ghanam, dalam Muallifat al-Syaikh Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab (tanpa penerbit), jld. 4, bhg. 2, ms. 68 [7] Selain itu kelemahan hujah dan bahaya berdoa melalui perantaraan kemuliaan seseorang telah saya jelaskan dalam buku 11 Perkara Yang Mencemari Kemurnian Tauhid, sila rujuk ke sana.
|
||