|
MARI BERKENALAN DENGAN AHL AL-SUNNAH WA AL-JAMAAH
hafiz firdaus abdullah
|
||
|
Berkenalan Dengan Ciri - Ciri Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah Dalam:
Aqidah
A - C : D - E : F : G - I : J - L : M
F: Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah menjauhi bid‘ah, iaitu apa-apa urusan agama ciptaan manusia selepas zaman al-Salaf al-Shalih yang mencemari ketulenan agama dan menyelisihi tujuannya.
Penjelasan: Ada yang menganggap subjek bid‘ah adalah perkara remeh yang merupakan cabang (furu’) agama. Ini adalah anggapan yang salah. Subjek bid‘ah sebenarnya duduk dalam bab aqidah dan ia merupakan salah satu dasar agama yang amat penting. Sesiapa yang memiliki aqidah yang sejahtera lagi murni tidak akan berani mencipta sesuatu yang baru dalam agama. Dia mengetahui bahawa agama Islam adalah kepunyaan Allah Subhanahu wa Ta'ala sehingga Allah sahaja yang berhak untuk mensyari’atkan apa yang dikehendaki-Nya. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
Adakah mereka mempunyai sembahan-sembahan selain Allah yang mensyari‘atkan untuk mereka agama yang tidak diizinkan oleh Allah? [al-Syura 42:21]
Jika dikaji keseluruhan perbincangan dan penjelasan para ilmuan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah berkenaan bid‘ah, dapat dirumuskan bahawa bid‘ah adalah “Apa-apa urusan agama ciptaan manusia selepas zaman al-Salaf al-Shalih yang mencemari ketulenan agama dan menyelisihi tujuannya.” Definisi ini dapat diperluaskan sebagai berikut: · “Apa-apa” bermaksud semua jenis bid‘ah, dimana ia dapat dibahagikan kepada dua kategori: 1. Bid‘ah dalam pemikiran, iaitu apa yang melibatkan pendapat, doktrin dan iktiqad. Adakalanya bid‘ah dalam pemikiran mendorong kepada berlakunya bid‘ah dalam perbuatan. Orang yang lazimnya terlibat dalam bid‘ah pemikiran adalah mereka yang bijak dan banyak berfikir, hanya sayang sekali kebijaksanaan mereka tidak diletakkan pada tempatnya yang sesuai.
2. Bid‘ah dalam perbuatan, iaitu apa yang melibatkan masa, tempat dan tatacara dalam beribadah. Adakalanya bid‘ah dalam perbuatan mendorong kepada berlakunya bid‘ah dalam pemikiran. Orang yang lazimnya terlibat dalam bid‘ah perbuatan adalah mereka yang bersungguh-sungguh dalam beribadah, hanya sayang sekali kesungguhan mereka tidak diletakkan pada tempatnya yang sesuai.
Ibn Taimiyyah menjelaskan dua bentuk bid‘ah ini:
Bid‘ah itu ada dua jenis, yang pertama berkaitan dengan perkataan (pendapat) dan iktiqad, (yang kedua) berkaitan dengan perbuatan dan ibadah. Bid‘ah jenis yang kedua mencakupi jenis yang pertama sebagaimana bid‘ah jenis pertama akan mendorong kepada terjadinya jenis yang kedua.
Orang-orang yang berilmu, pemikir dan orang-orang seumpama yang mengikuti mereka, dikhuatiri jika mereka tidak berpegang teguh kepada al-Qur’an dan al-Sunnah akan terjerumus ke dalam bid‘ah jenis yang pertama. Sedangkan orang yang rajin beribadah, pemikir, berkemahuan keras dan orang-orang seumpama yang mengikuti mereka, dikhuatiri jika mereka tidak berpegang teguh kepada al-Qur’an dan al-Sunnah akan terjerumus ke dalam bid‘ah jenis kedua.
……Maka sedia diketahui bahawa bid‘ah (jenis pertama - perkataan dan iktikad) kerosakannya adalah lebih kuat dan para pembuatnya adalah lebih ‘berakal’ sedangkan bid‘ah (jenis kedua – perbuatan dan ibadah) para pembuatnya adalah lebih jahil dan mereka berada jauh daripada mengikuti (sunnah) Rasulullah shallallahu ‘alaihi wassalam.[1]
Contoh bid‘ah pemikiran yang wujud pada masa kini ialah aliran Islam Liberal, aliran yang menolak penggunaan hadis ahad dalam bab aqidah, ahli tareqat yang mendakwa syaikhnya mendapat syari‘at baru dari tuhan dan aliran yang mendakwa prioriti pertama umat Islam ialah menegakkan khalifah.
· Bid‘ah hanya menyangkut “urusan agama”, maka tidak masuk dalam perbincangan bid‘ah urusan manusia seperti pakaian, makanan, kenderaan, komputer dan sebagainya. Akan tetapi sesuatu urusan manusia boleh berubah menjadi urusan agama apabila diikat sesuatu nilai agama kepadanya. Sebagai contoh, makanan asalnya adalah urusan manusia. Islam hanya menetapkan beberapa syarat seperti sembelihan yang halal, gizi yang baik (al-Thoiyyibah), tidak melampaui batas dan bukan daging khinzir. Akan tetapi apabila seseorang itu enggan memakan daging lembu atas keyakinan ia akan mengeraskan hati sehingga tidak dapat berzikir kepada Allah, maka keyakinannya itu telah membawanya memasuki urusan agama. Seterusnya keyakinan ini apabila dibandingkan dengan ayat berikut, ternyata ia adalah satu bid‘ah:
Katakanlah: “Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakan-Nya?” Katakanlah: “Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat.” Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui. [al-A’raaf 7:32]
· Ada pun “ciptaan manusia”, maka ia boleh jadi sesuatu yang 100% dicipta baru atau sesuatu yang pada asalnya memiliki dalil daripada al-Qur’an dan al-Sunnah, lalu kemudiannya dikurang, ditambah atau diubahsuai.
· Sesuatu ciptaan hanya dikira sebagai bid‘ah apabila ia dicipta “selepas zaman al-Salaf al-Shalih”. Ada pun sebelum itu, maka ia dibahagikan kepada dua jenis: 1. Sesuatu yang dicipta pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, ketika wahyu masih diturunkan. Adakalanya para sahabat mencadangkan sesuatu yang baru atau melakukan sesuatu yang sebelumnya tidak disyari‘atkan. Sebahagian daripadanya ada yang ditolak oleh Allah dan Rasul-Nya manakala sebahagian lain ada yang diiktiraf oleh Allah dan Rasul-Nya untuk dimasukkan dalam syari‘at Islam. Pengiktirafan seperti ini tidak dipanggil bid‘ah dan ia tidak boleh dijadikan hujah untuk mencipta bid‘ah pada zaman terkemudian. Satu contoh, ‘Umar bin al-Khaththab pernah mencadangkan kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam andaikata maqam Ibrahim di sisi Ka’bah dijadikan tempat solat. Cadangan “baru” ini diiktiraf oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala sehingga turun ayat yang bermaksud: “Dan jadikanlah sebahagian Maqam Ibrahim sebagai tempat solat.” [al-Baqarah: 2:125][2]
2. Sesuatu yang pada zahirnya kelihatan dicipta pada zaman para sahabat dan tabi‘in sesudah wafatnya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Dalam sebahagian riwayat ada diterangkan bahawa tokoh-tokoh generasi al-Salaf al-Shalih melakukan sesuatu amalan tanpa mereka menyandarkannya kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Jika riwayat ini adalah sahih, tindakan mereka yang tidak menyandarkan amalan tersebut kepada Rasulullah tidaklah bererti ia adalah satu bid‘ah kerana generasi al-Salaf al-Shalih dikenali sangat berhati-hati daripada melakukan apa jua bid‘ah. Justeru ia adalah amalan yang memiliki asal usul daripada Rasulullah yang mereka sampaikan kepada kita dalam bentuk perbuatan, tidak lisan sepertimana kebiasaan.
Abu al-Hasanat Muhammad ‘Abd al-Hay al-Luknawi al-Hindi rahimahullah (1304H) berkata:
Apa yang diamalkan (atau dilakukan) oleh para sahabat, tabi’in dan pengikut mereka serta apa yang berlaku pada zaman mereka tanpa wujud pengingkaran daripada sesama mereka, maka ia bukanlah bid‘ah yang dilarang oleh syari’at.[3]
Maka sesuatu pemikiran atau amalan generasi al-Salaf al-Shalih yang tidak mereka sandarkan kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam terbahagi kepada dua jenis:
Pertama adalah apa yang diterima oleh para tokoh mereka, maka ia adalah sunnah dan bukannya bid‘ah. Contohnya adalah bacaan takbir Hari Raya yang diamalkan oleh ‘Abd Allah ibn Mas‘ud radhiallahu 'anh:
Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, dan Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, dan segala puji hanya bagi Allah.[4]
‘Abd Allah ibn Mas‘ud tidak menyandarkan bacaan takbir di atas kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Beliau mengamalkannya di Padang Arafah dan sesudah solat pada Hari Raya Haji. Memandangkan ia diterima oleh orang ramai dan tidak ada sesiapa yang mengingkarinya, bererti ia adalah sesuatu yang berasal daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan bukannya bid‘ah yang dicipta oleh Ibn Mas‘ud.
Kedua adalah apa yang diingkari oleh para tokoh mereka, maka ia adalah bid‘ah dan bukannya sunnah. Yang dimaksudkan dengan para tokoh ialah para sahabat dan para imam umat Islam dari kalangan al-Salaf al-Shalih. Contohnya adalah hadis berikut:
Daripada Nafi’ (beliau menerangkan): Ada seorang lelaki bersin (ketika berada) di tepi Ibn ‘Umar. Lalu dia berdoa: “Alhamdulillah, wassalamu ‘ala Rasulullah (Segala puji bagi Allah dan salam ke atas Rasulullah).”
Berkata Ibn ‘Umar: “Alhamdulillah, wassalamu ‘ala Rasulullah (Segala puji bagi Allah dan salam ke atas Rasulullah)? Bukan begitu yang diajarkan kepada kami oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Baginda mengajar kami berdoa: “Alhamdulillah ‘ala kulli hal (Segala puji bagi Allah dalam segala sesuatu).”[5]
Lazim diketahui bahawa doa selepas bersin hanya puji-pujian kepada Allah. Dalam hadis di atas, orang yang bersin menambah sesuatu yang dipandang baik olehnya, iaitu beliau berselawat kepada Rasulullah. Tambahan tersebut, sekali pun baik dan sedikit, serta merta diingkari dan diperbetulkan oleh ‘Abd Allah ibn ‘Umar radhiallahu 'anhuma. Ini kerana tambahan tersebut adalah satu bid‘ah, ia berbeza dengan apa yang asalnya diajar oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.
· Sesuatu ciptaan manusia dalam urusan agama hanya masuk dalam kategori bid‘ah yang dilarang jika ia “mencemari ketulenan agama”. Jika ciptaan tersebut adalah demi memelihara ketulenan agama, maka ia bukan bid‘ah yang dilarang. Contohnya adalah tindakan ‘Umar bin al-Khaththab untuk menghimpunkan al-Qur’an dalam satu mushaf pada zaman kepimpinan Abu Bakar al-Shiddiq radhiallahu 'anhuma. Ini adalah satu urusan agama yang tidak dilakukan pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Akan tetapi memandangkan ia penting untuk memelihara al-Qur’an daripada hilang bersama gugurnya para penghafalnya, tindakan menghimpun dan menulisnya dalam satu mushaf tidak termasuk dalam kategori bid‘ah yang dilarang. Contoh pada masa kini adalah pengklasifikasian ilmu-ilmu agama kepada jurusan-jurusan tertentu seperti hadis, tafsir, fiqh, perbankan Islam, bahasa Arab dan sebagainya. Pengklasifikian seperti ini tidak berlaku pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan al-Salaf al-Shalih radhiallahu 'anhum. Akan tetapi ia adalah penting demi menjaga ketulenan agama. Jika tidak dilakukan, ilmu-ilmu agama akan hilang dan ketulenan agama akan dicemari oleh pelbagai unsur lain.
· Sesuatu ciptaan manusia dalam urusan agama hanya masuk dalam kategori bid‘ah yang dilarang jika ia “menyelisihi tujuannya.” Jika ciptaan tersebut adalah demi mencapai tujuan agama, maka ia bukan bid‘ah yang dilarang. Contohnya adalah tindakan ‘Utsman ibn ‘Affan radhiallahu 'anh pada zaman kepimpinannya untuk membuat dua azan sempena solat Jumaat. Azan pertama dilaungkan lebih awal agar orang ramai yang sibuk berurus niaga dapat berhenti dan bersiap sedia ke masjid. Azan kedua adalah pada saat masuknya waktu solat Jumaat. Ini adalah satu urusan agama yang tidak dilakukan pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Akan tetapi demi mencapai perintah Allah:
Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan solat Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya). [al-Jumu‘ah 62:09]
, maka ia bukanlah satu bid‘ah yang dilarang.
Contoh pada masa kini adalah syarat yang dikenakan oleh pihak jabatan agama kepada pasangan yang ingin bernikah agar mereka menghadiri kursus kekeluargaan terlebih dahulu. Syarat ini memang tidak wujud pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan al-Salaf al-Shalih radhiallahu 'anhum. Akan tetapi syarat ini bukanlah satu bid‘ah yang dilarang kerana ia dilakukan demi kebaikan pasangan itu sendiri agar mereka dapat hidup sepertimana firman Allah:
Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. [al-Rum 30:21]
Demikian penjelasan terperinci, satu per satu, akan definisi bid‘ah: “Apa-apa urusan agama ciptaan manusia selepas zaman al-Salaf al-Shalih yang mencemari ketulenan agama dan menyelisihi tujuannya.” Definisi bukan sahaja menjelaskan maksud bid‘ah, tetapi menjadi kayu pengukur bagi menentukan sama ada sesuatu ciptaan manusia termasuk dalam kategori bid‘ah atau tidak. Terdapat beberapa perkara yang perlu diketahui berkenaan bid‘ah:
Pertama: Bid‘ah boleh menerima perbezaan pendapat. Para ilmuan Islam sepakat tentang bahaya bid‘ah dan kepentingan untuk menjauhinya serta mengingatkan umat tentangnya. Akan tetapi adakalanya mereka berbeza pendapat dalam menentukan sesuatu pemikiran atau amalan yang baru, apakah ia bid‘ah yang dilarang atau tidak. Oleh kerana itu dalam sebahagian persoalan, kita lazim mendengar satu pihak berpendapat ia adalah bid‘ah yang dilarang manakala pihak yang lain berpendapat ia bukan bid‘ah. Perbezaan ini berlaku kerana beberapa sebab, sepertimana jelas Ibn Taimiyyah:
Banyak mujtahid dari kalangan Salaf (yang terdahulu) dan Khalaf (yang terkemudian) mengatakan atau melakukan perkara yang sebenarnya bid‘ah, namun mereka tidak mengetahui bahawa perkara tersebut adalah bid‘ah. (Hal ini berlaku) sama ada kerana hadis-hadis dha‘if yang mereka sangka sahih atau kerana ayat-ayat (al-Qur’an) yang mereka fahami dengan pemahaman yang tidak dimaksudkan oleh ayat tersebut atau kerana mereka berpendapat dengan suatu pendapat padahal dalam masalah tersebut sudah ada nas-nas yang tidak sampai kepada mereka.[6]
Selain itu berlaku juga perbezaan dalam tahap ketegasan seseorang ilmuan dalam mengkategorikan sesuatu ciptaan yang baru. Ia dapat diperincikan sebagai berikut: 1. Sebahagian ilmuan Islam ada yang bersikap ketat sehingga mengkategorikan hampir semua ciptaan yang baru sebagai bid‘ah yang dilarang. 2. Sebahagian ilmuan Islam ada yang bersikap bermudah-mudahan sehingga enggan mengkategorikan sesuatu ciptaan yang baru sebagai bid‘ah yang dilarang melainkan jelas kebid‘ahannya. 3. Sebahagian ilmuan duduk dipertengahan antara yang pertama dan kedua, iaitu dipertengahan antara yang ketat dan bermudah-mudahan.
Maka sikap kita dalam menghadapi perbezaan pendapat seperti ini adalah: 1. Berpegang kepada apa yang jelas dan tinggalkan apa yang samar-samar. Jika berlaku perselisihan sama ada sesuatu pemikiran atau amalan adalah sunnah atau bid‘ah, maka tinggalkan ia. Sunnah yang jelas lagi disepakati adalah lebih dari mencukupi, maka tidak perlu menceburi sesuatu yang samar-samar dan diperselisihkan. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah berpesan kepada kita, sebagaimana hadis yang dikemukakan di awal bab ini (Shahih al-Bukhari, hadis no: 52) untuk meninggalkan sesuatu yang samar-samar hukumnya. 2. Tidak gopoh menuduh pemikiran atau amalan yang diperselisihkan tersebut sebagai bid‘ah. Sebaliknya berkata: “Memadailah saya berpegang dengan sunnah yang jelas” atau “Saya tidak mengetahui sama ada itu menepati sunnah atau tidak, maka saya meninggalkannya”. Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah sangat berhati-hati dalam menuduh sesuatu pemikiran atau amalan sebagai bid‘ah. Sikap gopoh menuduh bid‘ah adalah ciri aliran-aliran yang menyelisihi Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah. 3. Tidak dianjurkan untuk mendengar, membaca dan berbincang berkenaan apa-apa subjek yang diperselisihkan statusnya, sama ada ia adalah sunnah atau bid‘ah. Ini kerana dibimbangi orang yang mendengar, membaca dan berbincang tidak memiliki ilmu yang cukup untuk membezakan sama ada subjek tersebut adalah sunnah atau bid‘ah, lalu akhirnya terjerumus dalam suatu bid‘ah yang disangkanya sunnah. Sebaliknya hendaklah dia membawa subjek tersebut kepada tokoh yang amanah, adil lagi luas ilmunya, yang mampu memperincikan subjek tersebut sama ada ia adalah sunnah atau bid‘ah.[7] 4. Pengecualian adalah kepada orang yang luas ilmunya lagi mampu mendalami sesuatu persoalan secara terperinci. Maka dibolehkan baginya untuk mendengar, membaca dan berbincang berkenaan sesuatu subjek yang diperselisihkan sama ada ia adalah sunnah atau bid’ah.
Kedua: Bid‘ah berbeza-beza tahapnya. Tidak semua bid‘ah berada pada tahap yang sama. Di antaranya ada yang merupakan kesalahan ringan, ada yang merupakan kesalahan berat dan ada yang boleh membatalkan keislaman seseorang. Maka tahap bid‘ah diukur pada kadarnya dalam mencemari ketulenan agama dan menyelisihi tujuan agama. Oleh itu tidaklah sama antara bid‘ah amalan mengkhususkan malam Jumaat untuk membaca surah Yasin dengan bid‘ah pemikiran menafikan Qadha’ dan Qadar dari Islam. Bid‘ah pertama adalah sesuatu yang ringan kerana membaca Yasin adalah sunnah, hanya mengkhususkannya kepada malam Jumaat adalah bid‘ah. Bid‘ah kedua adalah sesuatu yang dapat membatalkan keislamannya jika orang yang berfikiran demikian sudah diberi tunjuk ajar dan kefahaman, kerana Qadha’ dan Qadar adalah sebahagian dari rukun Iman. Tidaklah seseorang itu membatalkannya melainkan terbatallah juga imannya. Oleh itu dalam rangka melaksanakan amar ma’ruf dan nahi mungkar, hendaklah dibezakan tahap-tahap bid‘ah yang sedang dihadapi. Tidak boleh menganggap semua bid‘ah berada pada satu tahap. Sebaliknya hendaklah diletakkan setiap bid‘ah pada tempatnya yang benar sehingga usaha membenterasnya dapat dilakukan berdasarkan kadar dan prioriti. Jika dikaji sejarah al-Salaf al-Shalih, mereka bersikap tegas kepada Ahl al-Bid‘ah. Akan tetapi Ahl al-Bid‘ah yang mereka maksudkan adalah orang-orang yang melakukan bid‘ah pada tahap yang amat berat dan boleh membatalkan keislaman. Sikap keras tidak ditujukan kepada orang yang melakukan bid‘ah yang ringan. Merupakan satu fitnah dan kesongsangan ke atas manhaj al-Salaf al-Shalih apabila ada segelintir orang pada masa kini yang bersikap keras kepada semua perbuatan bid‘ah dan pembuatnya tanpa membezakan tahap bid‘ah tersebut.
Ketiga: Berlaku perbezaan dalam penggunaan istilah. Para ilmuan Islam dari dahulu hingga kini, semoga Allah merahmati mereka semua, berbeza pendapat dalam meletakkan istilah yang tepat kepada sesuatu urusan agama yang dicipta demi memelihara ketulenan agama dan mencapai tujuannya. Para ilmuan Islam terbahagi kepada tiga kelompok dalam hal ini: · Kelompok Pertama: Mereka berpendapat sesuatu urusan agama yang dicipta demi memelihara ketulenan agama dan mencapai tujuannya disebut sebagai Bid‘ah Hasanah (bid‘ah yang baik) atau Bid‘ah Mahmudah (bid‘ah yang terpuji). Ada pun sesuatu urusan agama yang dicipta hingga mencemari ketulenan agama dan menyelisihi tujuannya, ia disebut sebagai Bid‘ah Dholalah (bid‘ah yang sesat), Bid‘ah Saiyyiah (bid‘ah yang buruk) atau Bid‘ah Mazmumah (bid‘ah yang dicela). · Kelompok Kedua: Mereka berpendapat sesuatu urusan agama yang dicipta demi memelihara ketulenan agama dan mencapai tujuannya disebut sebagai Bid‘ah Sunat dan Bid‘ah Wajib. Ada pun sesuatu urusan agama yang dicipta hingga mencemari ketulenan agama dan menyelisihi tujuannya, ia disebut sebagai Bid‘ah Makruh dan Bid‘ah Haram. · Kelompok Ketiga: Mereka berpendapat sesuatu urusan agama yang dicipta demi memelihara ketulenan agama dan mencapai tujuannya disebut sebagai Maslahah al-Mursalah (kemaslahatan awam). Ada pun sesuatu urusan agama yang dicipta hingga mencemari ketulenan agama dan menyelisihi tujuannya, ia disebut sebagai Bid‘ah Dholalah (bid‘ah yang sesat).
Jika diperhatikan secara saksama antara tiga kelompok di atas, mereka hanya berbeza dari sudut penggunaan istilah, bukan maksud yang dibawa oleh istilah tersebut. Ringkasnya mereka berbeza dari sudut nama tetapi sepakat dari sudut intinya. Masing-masing kelompok memiliki hujah mengapa mereka cenderung kepada istilah tertentu dan tidak cenderung kepada istilah lain. Ia tidak lebih seumpama tiga orang rakan yang mendengar azan lalu masing-masing mengajak rakannya ke masjid. Rakan yang pertama berkata: “Ayuh kita sembahyang Zohor”. Rakan yang kedua berkata: “Jom kita solat Zuhur”. Rakan yang ketiga berkata: “Let’s go for the afternoon prayer”.
Keempat: Bid‘ah dan Ahl al-Bid‘ah. Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah membezakan antara perbuatan dan pembuat. Seseorang yang melakukan bid‘ah tidak semestinya adalah Ahl al-Bid‘ah. Para ilmuan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah telah meletakkan empat syarat dan kesemua empat perlu dipenuhi sebelum seseorang itu digelar sebagai Ahl al-Bid‘ah. Ini selari dengan sikap Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah yang sangat berhati-hati sebelum menghukum seseorang pembuat kemungkaran. Syarat tersebut adalah:
· Syarat Pertama: Pakar dalam mencipta bid‘ah. Sebagaimana nama Ahl al-Sunnah merujuk kepada orang yang pakar dalam mengikuti sunnah, maka nama Ahl al-Bid‘ah juga merujuk kepada orang yang pakar dalam mencipta bid‘ah. Jika dikaji pemikiran dan amalan yang dicipta oleh Ahl al-Bid‘ah, akan ditemui satu atau lebih dari ciri-ciri berikut melatarbelakangi kepakaran mereka: 1. Menggunakan nas-nas (ayat al-Qur’an atau hadis) yang bersifat umum untuk mencipta sesuatu yang bersifat khusus. 2. Menggunakan sebahagian nas dan meninggalkan sebahagian yang lain. 3. Menggunakan hadis-hadis yang dha‘if, maudhu’ dan yang tidak diketahui asal-usulnya. 4. Memahami nas-nas dengan takwilan yang jauh berbeza dari pemahaman al-Salaf al-Shalih. 5. Menggunakan kaedah al-Qiyas, al-Istihsan, al-Maslahah al-Mursalah, al-‘Uruf, Sadd al-Zar’ie dengan cara yang salah, jauh berbeza dari cara yang digariskan oleh para ilmuan Ushul al-Fiqh. 6. Menggunakan alasan: “Apa salahnya? Memang Nabi tak buat tetapi Nabi tak kata jangan buat.” 7. Meniru pemikiran atau amalan agama lain, lalu diislamkan. Seorang ilmuan yang dikenali jujur, amanah, benar dan adil dalam berinteraksi dengan nas, lagi dikenali bersungguh-sungguh membela kebenaran dan diiktiraf sesama ilmuan, dia tidak digelar sebagai Ahl al-Bid‘ah sekali pun pandangannya ada yang masuk dalam kategori bid‘ah.
· Syarat Kedua: Lazim mengamalkan bid‘ah. Seseorang itu diukur berdasarkan cirinya yang lazim. Seseorang yang lazim melakukan amal shalih dikenali sebagai seorang yang shalih sekali pun beberapa kali dia terjebak dalam sesuatu yang dilarang. Seorang yang lazim membela, menegak dan mengikuti sunnah dikenali sebagai Ahl al-Sunnah sekali pun sekali sekala dia mengamalkan bid‘ah. Maka Ahl al-Bid‘ah adalah seseorang yang lazim mengamalkan bid‘ah sehingga dia dikenali dengan ciri tersebut, sekali pun adakalanya dia mengikuti sunnah. al-Albani rahimahullah (1420H) menjelaskan:
Yang dimaksudkan dengan Ahl al-Bid‘ah adalah orang yang kebiasaannya melakukan bid‘ah dalam agama. Bukanlah termasuk Ahl al-Bid‘ah orang yang melakukan satu bid‘ah meski pun pada kenyataannya dia melakukan bid‘ah tersebut bukan kerana lupa tetapi kerana nafsu. Sekali pun demikian yang seperti ini tidaklah dinamakan Ahl al-Bid‘ah. Contoh yang paling dekat dengan hal ini adalah seorang hakim yang (lazim dikenali bersifat) zalim adakalanya memutuskan secara adil pada beberapa kes, namun dia tidak dapat dikatakan sebagai seorang hakim yang adil. Sebagaimana halnya seorang yang hakim yang (lazim dikenali bersifat) adil, adakalanya memutuskan secara zalim pada beberapa kes, namun dia tidak dapat dikatakan sebagai seorang hakim yang zalim. Hal ini menguatkan kaedah fiqh Islam bahawa “Seseorang itu dihukum berdasarkan perkara yang menonjol padanya, baik berupa kebaikan mahu pun keburukan”.[8]
· Syarat Ketiga: Menzahirkan bid‘ahnya. Untuk menepati syarat kedua di atas, Ahl al-Bid‘ah adalah orang yang menzahirkan bid‘ahnya kepada masyarakat sehingga dikenali sebagai orang yang lazim mencipta dan mengamalkan bid‘ah. Penzahiran tersebut boleh jadi dalam bentuk tulisan, ucapan atau perbuatan. Orang yang menyembunyikan bid‘ahnya tidak disebut sebagai Ahl al-Bid‘ah. Sikap membezakan antara orang yang menzahirkan bid‘ahnya dan yang menyembunyikan bid‘ahnya merupakan sikap para imam al-Salaf al-Shalih, berdasarkan sikap Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang membezakan antara orang munafiq yang mezahirkan kemunafiqannya dan yang menyembunyikannya. Baginda hanya menghukum orang yang menzahirkan kemunafiqan dan menyerahkan kepada Allah orang yang menyembunyikan kemunafiqan. Maka demikian juga, para imam al-Salaf al-Shalih menghukum orang yang menzahirkan bid‘ahnya sebagai Ahl al-Bid‘ah agar masyarakat dapat berwaspada terhadap pemikiran dan amalan mereka. Ibn Taimiyyah menjelaskan perbezaan ini:
Oleh kerana itu mereka (para imam Salaf) membezakan antara orang yang menyeru (kepada bid‘ahnya) dan orang yang tidak menyeru (kepada bid‘ahnya). Sebab, orang yang menyeru (kepada bid‘ahnya) menampakkan kemungkarannya, maka dia berhak mendapatkan hukuman. Berbeza dengan orang yang menyembunyikan kemungkaran yang dilakukannya kerana dia tidak lebih buruk dibandingkan orang-orang munafik yang Nabi shallallahu 'alaihi wasallam terima kezahiran yang mereka nampakkan dan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam menyerahkan hal-hal yang tidak nampak dari mereka kepada Allah, padahal baginda mengetahui keadaan (hal ehwal) kebanyakan mereka.[9]
· Syarat Keempat: Bid‘ah yang diciptanya dikenali sesama ilmuan sebagai bid‘ah. Ilmu-ilmu agama dapat dibahagikan kepada tiga tahap: 1. Tahap Pertama: Ilmu yang amat asas sehingga diketahui oleh kebanyakan orang, tanpa dibezakan orang awam atau para ilmuan. Contohnya adalah kewajipan solat lima kali sehari dan larangan berzina. 2. Tahap Kedua: Ilmu yang agak sukar sehingga diketahui oleh para ilmuan dan tidak diketahui oleh kebanyakan orang awam. Contohnya adalah dalil-dalil yang melatarbelakangi sesuatu perintah dan larangan agama. 3. Tahap Ketiga: Ilmu yang amat sukar lagi rumit sehingga tidak diketahui oleh para ilmuan kecuali amat sedikit di kalangan mereka. Contohnya adalah dalam permasalahan terperinci berkenaan Qadha’ dan Qadar, Tauhid al-Asma’ wa al-Sifat, rukun-rukun Jihad fi Sabilillah dan politik Islam. Seseorang itu hanya digelar sebagai Ahl al-Bid‘ah jika bid‘ah pemikiran dan amalan yang diciptanya duduk dalam kategori ilmu tahap pertama dan kedua. Ia adalah suatu ciptaan yang mudah dikenali di kalangan para ilmuan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah sebagai satu bid‘ah. Ada pun jika ia duduk dalam ilmu tahap ketiga, maka dia tidak secara terus dihukum Ahl al-Bid‘ah kerana mungkin tersilap disebabkan kesukaran dan kerumitan yang dihadapinya. Ibn Taimiyyah berkata:
Bid‘ah yang membuatkan seseorang itu dikatakan Ahl al-Ahwa’ adalah apabila bid‘ah tersebut masyhur dikenali oleh para ilmuan yang pakar dalam sunnah (Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah) sebagai menyelisihi al-Qur’an dan al-Sunnah.[10]
Kelima: Pembuat bid‘ah tidak semestinya diazab oleh Allah. Antara keistimewaan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah adalah kita tidak menentukan seseorang pembuat kemungkaran bakal diazab oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala. Termasuk dalam kategori kemungkaran adalah orang yang membuat atau mengamalkan bid‘ah. Dia tidak semestinya diazab oleh Allah jika dia ikhlas lagi bersungguh-sungguh mencari kebenaran tetapi tidak mampu menemuinya. Seperti orang-orang yang berpuasa sunat pada bulan Rejab, mereka melakukan satu bid‘ah kerana hadis-hadis yang menerangkan tentang puasa bulan Rejab tiada yang sahih.[11] Orang yang melaksanakannya terbahagi kepada dua kategori: 1. Mereka yang tidak mengetahui bahawa hadis-hadis tersebut tiada yang sahih. Seperti orang-orang kampung dan mereka yang telah mendahului kita, mereka ikhlas pergi belajar agama dan mereka diajar tentang keutamaan berpuasa pada bulan Rejab tanpa diterangkan darjat hadis-hadis tersebut. Atau mereka yang sudah diterangkan tetapi tidak dapat menangkap kenapa hadis itu berbeza-beza darjatnya. Atau mereka yang keliru tentang hukum mengamalkan hadis yang tidak sahih. Orang-orang seperti ini sekali pun mengamalkan bid‘ah, mereka insya-Allah tidak akan diazab oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala. Bahkan mungkin amalan puasa mereka itu diberi pahala Allah kerana ia secara umumnya termasuk dalam salah satu ibadah Islam. 2. Mereka yang mengetahui bahawa hadis-hadis tersebut tiada yang sahih. Mereka mengetahui mengapa ia tidak sahih dan hukum beramal dengannya. Namun mereka tetap berpuasa pada bulan Rejab atas sebab-sebab penyakit hati. Amalan puasa Rejab tersebut adalah bid‘ah dan hukum ke atas pengamalnya diserah kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala. Contoh lain adalah orang yang membuat binaan di atas kubur. Ini adalah tindakan yang dilarang berdasarkan hadis berikut dimana berkata Jabir bin ‘Abd Allah radhiallahu 'anh:
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam melarang daripada mengkapurkan kubur, duduk di atas dan membuat binaan di atasnya.[12]
Bahkan baginda pernah memerintahkan ‘Ali bin Abi Thalib radhiallahu 'anh untuk meratakan mana-mana kubur yang ditemuinya ada binaan. Baginda berpesan kepada beliau:
Jangan tinggalkan apa-apa patung berhala melainkan anda mengubahnya dan jangan tinggalkan mana-mana kubur yang ditinggikan melainkan anda meratakannya.[13]
Berdasarkan hadis-hadis di atas, para ilmuan Islam melarang membuat binaan di atas kubur. Jika bagi menandakan itu adalah kawasan perkuburan, sebahagian ulama membolehkan meninggikan timbunan tanah sekadar satu jengkal. Ada yang membolehkan binaan sekadar untuk menahan tanah dari dihakis oleh air. Namun jika yang dibuat adalah satu binaan yang berlebih-lebihan, maka ia dilarang. al-Nawawi berkata:
Al-Syafi’e dalam kitabnya al-Umm telah berkata: Aku telah melihat para imam di Mekah memerintahkan untuk menghancurkan bangunan yang ada di atas kubur. Riwayat yang memperkuatkan tindakan tersebut adalah sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam “Hendaklah kamu tidak membiarkan kuburan yang ada timbunan kecuali kamu ratakan”.[14]
Walaubagaimana pun pada masa sekarang, disebabkan jauhnya umat dari hadis-hadis dan kurangnya ulama’ yang berani membuat teguran, ramai yang membuat binaan secara berlebih di atas kubur dengan batu marmar, ukiran emas dan sebagainya. Ini adalah satu bid‘ah. Akan tetapi memandangkan mereka tidak mengetahui ia adalah satu bid‘ah, maka mereka insya-Allah tidak berdosa dan tidak akan diazab oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala. Pada waktu yang sama amalan membuat binaan tersebut tidak diberi ganjaran oleh Allah kerana ia secara umumnya termasuk amalan yang dilarang oleh Islam. Ringkasnya, orang yang mengerjakan satu bid‘ah padahal dia secara ikhlas lagi jujur tidak mengetahui itu adalah bid‘ah, maka dia tidak akan diazab oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala. Jika bid‘ah yang dilakukannya termasuk dalam sesuatu yang secara umumnya diperintah oleh agama, maka dia mendapat pahala. Sebaliknya jika bid‘ah yang dilakukannya termasuk sesuatu yang dilarang oleh agama, maka dia tidak mendapat dosa dan tidak mendapat pahala. Ibn Taimiyyah menerangkan hakikat ini:
Setiap orang yang melakukan suatu ibadah yang dilarang tetapi dia tidak mengetahui larangan tersebut dan perbuatan itu jenis perbuatan yang diperintahkan, seperti orang yang melaksanakan solat (sunat) pada waktu-waktu yang dilarang dan dia mengetahui perintah solat secara umum tetapi tidak mengetahui larangan solat pada waktu tertentu, atau orang yang berpegang kepada sesuatu dalil padahal ia cacat seperti riwayat generasi Salaf yang bersolat Jumaat dua rakaat sesudah Asar kerana beranggap Nabi shallallahu 'alaihi wasallam pernah melakukannya, atau solat yang didasarkan kepada hadis yang dha‘if dan maudhu’ (palsu) seperti solat pada malam Nisfu Sya’ban dan awal bulan Rejab, …… maka kesalahan seperti itu dimaafkan dan mendapat pahala kerana (ibadah-ibadah tersebut) termasuk dalam jenis yang disyari‘atkan. Demikian juga bagi orang yang berpuasa pada Hari Raya disebabkan dia tidak tahu akan larangannya.
Berbeza dengan perbuatan dari jenis yang tidak disyari‘atkan seperti syirik kepada Allah, maka pembuatnya tidak memberi pahala kepadanya. Namun Allah juga tidak akan mengazab pembuatnya sehinggalah dia mengetahui larangan tersebut. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman: Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah). [al-Isra’ 17:15]. Pembuatnya tidak akan diazab sebagaimana dia juga tidak mendapat pahala.[15]
Oleh itu Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah hanya memberi tumpuan kepada menjauhkan bid‘ah dan memperingatkan umat Islam tentang bahaya bid‘ah. Jika bid‘ah tersebut disebar luaskan, maka Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah mengambil tindakan ke atas orang yang menyebarkannya demi menjaga kemaslahatan agama dan umat. Namun yang penting, Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah tidak menghukum seseorang pencipta dan pengamal bid‘ah sebagai bakal diazab oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala.
[1] Majmu’ al-Fatawa, jld. 22, ms. 306-307 & jld. 19, ms. 275. [2] Ringkasan daripada hadis yang dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Shahihnya, hadis no: 4483 (Kitab Tafsir al-Qur’an, Bab mengambil maqam Ibrahim…). [3] Iqamat al-Hujjah ‘ala anna Aktsaru fi al-Ta‘abbud Laisa Bid‘ah (tahqiq: ‘Abd al-Fattah Abu Ghudah; Maktabah al-Mathbu‘ah al-Islamiyyah & Dar al-Basya’ir al-Islamiyyah, Beirut, 1998), ms. 16. [4] Sanad Sahih: Dikeluarkan oleh Ibn Abi Syaibah dalam Musannafnya, hadis no: 5649 (Kitab al-Shalawat, Bab bagaimana takbir pada Hari Arafah) dan sanadnya dinilai sahih oleh ‘Ali Hasan bin ‘Ali al-Halabi dalam Ahkam al-‘Idain fi al-Sunnah al-Muthahharah (edisi terjemahan oleh Abdul Ghoffar atas judul Meneladani Rasulullah s.a.w. Dalam Berhari Raya; Pustaka Imam asy-Syafi’i, Jakarta, 2005), ms. 35. [5] Hasan: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no: 2738 (Kitab al-Adab ‘an Rasulullah, Bab apa yang diucapkan oleh orang yang bersin…). [6] Majmu’ al-Fatawa, jld. 19, ms. 191. [7] Perselisihan pendapat berkenaan sunnah atau bid‘ah berbeza keadaannya dengan perselisihan berkenaan hukum-hukum fiqh. Perselisihan pertama tidak digalakkan untuk saling berbincang manakala perselisihan kedua digalakkan untuk saling berbincang. [8] Kaset Silsilah al-Huda wa al-Nur, no: 785, dinukil dengan beberapa suntingan bahasa dari buku Firanda Ibnu ‘Abidin berjudul Lerai Pertikaian, Sudahi Pemusuhan: Menyikapi Fenomena Hajr di Indonesia (Pustaka Cahaya Islam, Bogor, 2006), ms. 111-112. [9] Majmu’ al-Fatwa, jld. 28, ms. 205. [10] Majmu’ al-Fatawa, jld. 35, ms. 414. Ahl al-Ahwa’ adalah orang-orang yang mengikuti nafsunya dan ia adalah satu gelaran lain bagi Ahl al-Bid‘ah. [11] Lebih lanjut tentang Puasa Sunat Bulan Rejab dan Sya’ban serta amalan-amalan lain yang berkaitan dengan dua bulan tersebut, rujuk buku saya Menelan Air Liur Tidak Membatalkan Puasa terbitan Jahabersa, Johor Bahru. [12] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 970 (Kitab al-Janaiz, Bab larangan mengkapurkan kubur …). [13] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 969 (Kitab al-Janaiz, Bab perintah meratakan kubur). [14] Syarh Sahih Muslim (edisi terjemahan oleh Wawan Djunaedi atas judul yang sama; Mustaqim, Jakarta, 2006), jld. 4, ms. 99 (syarah kepada hadis no: 970). [15] Majmu al-Fatawa, jld. 20, ms. 31-32.
|
||