|
MARI BERKENALAN DENGAN AHL AL-SUNNAH WA AL-JAMAAH
hafiz firdaus abdullah
|
||
|
Berkenalan Dengan Ciri - Ciri Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah Dalam:
Aqidah
Pengenalan:
Subjek aqidah memiliki kedudukan yang amat penting dalam Islam. Terlebih penting di Malaysia kerana kita selama ini lebih didedahkan kepada subjek fiqh berbanding aqidah. Buku-buku dalam subjek Fardhu Ain yang membincang hukum-hukum fiqh sangat banyak di pasaran dan ia amat laris berbanding buku dalam subjek aqidah. Kebanyakan kuliah dan ceramah juga tidak ketinggalan untuk memberi fokus kepada subjek fiqh. Sebenarnya antara fiqh dan aqidah, aqidah menduduki tangga di atas dari segi prioriti. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam memulai tugas dakwahnya dengan aqidah. Hanya 13 tahun kemudian, setelah berhijrah ke Madinah, baginda memberi tumpuan kepada fiqh. Jika di satu sudut umat Islam di Malaysia banyak memberi tumpuan kepada fiqh, di sudut yang lain timbul pula sekumpulan lain yang hanya memberi tumpuan kepada aqidah. Malah mereka memandang serong kepada orang yang membicara fiqh. Ini merupakan satu kelaziman sifat manusia. Jika wujud sifat ekstrim di satu sudut, akan muncul pula sifat ekstrim ke sudut lain yang menyelisihi sudut pertama. Yang benar setiap subjek dalam Islam seperti aqidah, fiqh, akhlak, jual-beli, ekonomi, politik, peperangan dan sebagainya perlu dibincang dengan adil. Hanya jika hendak diukur dari sudut prioriti, maka subjek aqidah menduduki tangga yang pertama. Dalam menyenaraikan ciri-ciri aqidah Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah, saya tidak akan menyertakan ciri yang sudah diketahui ramai seperti Rukun Iman enam perkara atau perkara yang sudah tidak lagi dibincang oleh orang ramai pada masa kini seperti al-Qur’an adalah kalam Allah dan bukan makhluk.[1] Sebaliknya tumpuan akan diberi kepada ciri yang diperselisihkan oleh aliran lain dan ciri yang tidak diketahui oleh orang ramai.
[1] Perbincangan tentang al-Qur’an adalah Kalam Allah dan bukan makhluk boleh dirujuk dalam buku saya Pembongkaran Jenayah Ilmiah Buku Salafiyah Wahabiyah (Jahabersa, Johor Bahru, 2003), ms. 331 dan seterusnya.
|
||