al-Firdaus :: kandungan :: rujukan & kajian

Percanggahan : 1 2 3 4 5 6 7

 
 

Percanggahan Ketujuh:

Dalam hadis-hadis diajar cara berselawat kepada Rasulullah adalah “sallallahu-alaihi-wasallam” yang bererti “Selawat dan salam ke atasnya” manakala bagi para Nabi dan Rasul selainnya, selawat kepada mereka hanyalah: “Alaihi salam” yang bererti: “Salam ke atasnya”. Perbuatan seperti ini jelas membeza-bezakan antara sesama Rasul dan ia dilarang oleh Allah Subhanahu waTa’ala dalam ayat berikut:

Dan orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasul-Nya dan mereka pula tidak membeza-bezakan seseorang pun di antara Rasul-rasul itu, (maka) mereka yang demikian, Allah akan memberi mereka pahala. Dan (ingatlah) adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [an-Nisaa’ 4:152]

Penjelasan:

Maksudkan membeza-bezakan antara para Rasul di dalam ayat di atas bukanlah dalam sudut ucapan atau doa tetapi adalah dalam sudut keimanan kepada mereka. Perhatikan semula ayat di atas, ia pada asalnya membicarakan sifat orang-orang yang beriman kepada [1] Allah dan [2] Rasul-rasul-Nya. Seterusnya diterangkan bahawa keimanan tersebut ditujukan kepada semua Rasul-rasul Allah tanpa membezakan antara satu sama lain, yakni tidak beriman kepada sesetengah Rasul dan mengingkari sesetengah yang lain. Kita menerima dan mengimani semua Rasul-rasul Allah, termasuk semua para Nabi-Nya juga. Ucapan selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad sallallahu-alaihi-wasallam yang berbeza dari Rasul-rasul yang lain bukan atas dasar suka-suka sendiri tetapi atas perintah Allah Subhanahu waTa’ala di dalam ayat surah al-Ahzab:

Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. [al-Ahzab 33:56]

Melebihkan atau mengurangkan pujian atau kedudukan seseorang Nabi atau Rasul adalah hak Allah Subhanahu waTa’ala, sepertimana firman-Nya:

Rasul-rasul Kami lebihkan sebahagian daripada mereka atas sebahagian yang lain (dengan kelebihan-kelebihan yang tertentu). Di antara mereka ada yang Allah berkata-kata dengannya, dan ditinggikan-Nya (pangkat) sebahagian daripada mereka beberapa darjat kelebihan. [al-Baqarah 2:253]

Dan sesungguhnya Kami telah melebihkan setengah Nabi-nabi atas setengahnya yang lain. [al-Israa’ 17:55]

Oleh itu tindakan melebihkan ucapan selawat dan salam kepada Nabi Muhammad adalah tindakan yang diperintahkan oleh Allah Subhanahu waTa’ala dan ia selari dengan pilihan dan kehendak-Nya.

Demikian tujuh contoh hadis Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam yang didakwa bercanggah dengan ajaran al-Qur’anul Karim. Sama-sama kita perhatikan bahawa dakwaan ini sebenarnya hanyalah berpunca dari tiga sebab: [1] Tidak sedar akan kuasa dan authority yang diberi oleh Allah Subhanahu waTa’ala kepada Rasulullah untuk menggubal hukum tersendiri di luar al-Qur’an, [2] Tidak mahir dalam bahasa Arab dan segala kaedah-kaedahnya dan [3] Kefahaman yang cetek terhadap keseluruhan ajaran al-Qur’an.

Sebenarnya jumlah bilangan hadis-hadis yang bercanggah dengan al-Qur’an adalah relatif – ia bergantung kepada ilmu dan penguasaan seseorang dalam bidang ini. Jika yang mengira hadis-hadis yang bercanggah dengan al-Qur’an adalah orang yang jahil, maka sudah tentu jumlah percanggahan adalah sangat banyak. Akan tetapi jika yang mengira adalah orang yang mendalam ilmu pengetahuan lagi luas penguasaannya terhadap keseluruhan ajaran al-Qur’an, maka tidak akan wujud satu hadispun yang bercanggah dengan al-Qur’an.

 

Mendedahkan 10 ragam dan bentuk kesilapan para sarjana Orientalis dalam kajian mereka terhadap hadis-hadis Rasulullah.

 

 

   

 

 
 

al-Firdaus :: kandungan :: rujukan & kajian