al-Firdaus :: kandungan :: rujukan & kajian

Percanggahan : 1 2 3 4 5 6 7

 
 

Percanggahan Ketiga:

Dalam hadis-hadis diterangkan bahawa Rukun Iman ada enam perkara: (1) Beriman kepada Allah, (2) Beriman kepada para Malaikat, (3) Beriman kepada para Nabi dan Rasul, (4) Beriman kepada Kitab-kitab, (5) Beriman kepada HariAkhirat dan (6) Beriman kepada Qadar dan Qada’. Rukun Iman ini bercanggah dengan Rukun Iman yang diterangkan oleh al-Qur’an dalam ayat berikut:

Wahai orang-orang yang beriman! Tetapkanlah iman kamu kepada  (1) Allah dan  (2) Rasul-Nya, dan kepada (3) Kitab Al-Quran yang telah diturunkan kepada Rasul-Nya (Muhammad, s.a.w), dan juga kepada Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan dahulu daripada itu. Dan sesiapa yang kufur ingkar kepada Allah, dan (4) Malaikat-malaikat-Nya, dan Kitab-kitab-Nya, dan Rasul-rasul-Nya dan juga (5) Hari Akhirat, maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh. [an-Nisaa’ 4: 136]

Dari ayat ini Rukun Iman hanyalah lima perkara iaitu (1) Beriman kepada Allah, (2) Beriman kepada Rasul-Nya, (3) Beriman kepada Kitab-kitab, (4) Beriman kepada para Malaikat dan (5) Beriman kepada Hari Akhirat. Tidak disebut rukun iman ke-6 iaitu beriman kepada Qadar dan Qada’.

Penjelasan:

Dakwaan ini sekali lagi tidak benar kerana jika seseorang itu benar-benar memahami dan mengetahui keseluruhan al-Qur’an, dia akan mengetahui bahawa konsep Qadar dan Qada’ itu sedia diterangkan berulang-kali dan ia adalah salah satu perkara yang wajib diimani.[1] Antara ayat yang menerangkan hakikat Qadar dan Qada’ adalah:

Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu, dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri. [al-Hadid 57: 22-23]

Kewajipan beriman kepada Qadar dan Qada’ sememangnya tidak diterangkan di dalam ayat 136 surah an-Nisaa’ tetapi semata-mata berdasarkan satu ayat, kita tidak boleh membuat rumusan bahawa umat tidak perlu beriman kepada takdir ILlahi. Rukun Iman ke-6 yang digariskan oleh Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam tetap mempunyai asas di dalam al-Qur’an berdasarkan kepada banyak ayat-ayatnya yang lain, selain surah an-Nisaa’ ayat 136.  

 

Percanggahan 4: Azab Kubur.



[1]               Lebih lanjut lihat buku Ibnu Qayyim – Qadha’ dan Qadar: Ulasan Tuntas Masalah Takdir.

         

 

 

 

   

 

 
 

al-Firdaus :: kandungan :: rujukan & kajian