al-Firdaus :: kandungan :: rujukan & kajian

Percanggahan : 1 2 3 4 5 6 7

 
 

Tujuh contoh hadis yang dikatakan bercanggah dengan al-Qur’an.

Berikut dikemukakan tujuh contoh hadis Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam yang sering didakwa oleh Golongan Anti Hadis sebagai bercanggah dengan ajaran al-Qur’an, padahal yang benar ia tidaklah bercanggah sedikitpun. Sesiapa yang melompat terus ke bahagian ini dinasihatkan agar membaca terlebih dahulu dari permulaan perbincangan Bahagian B ini.

 

Percanggahan Pertama:

Hadis-hadis dua kalimah syahadah yang diajar oleh Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam: “Aku bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah pesuruh Allah” adalah bercanggah dengan syahadah yang diajar oleh al-Qur’an melalui lisan Nabi Ibrahim alaihi-salam:

Aku serahkan diri (tunduk taat) kepada Tuhan Yang Memelihara dan mentadbirkan sekalian alam [al-Baqarah 2:131]

Penjelasan:

Dakwaan wujudnya percanggah ini adalah sangat lemah kerana jika dikaji ucapan Nabi Ibrahim alaihi-salam tersebut, ia adalah sebagai menyahut firman Allah Subhanahu waTa’ala kepadanya:

(Ingatlah) ketika Tuhannya berfirman kepadanya: “Serahkanlah diri (kepadaKu wahai Ibrahim) !” [al-Baqarah 2:131] Mendengar firman Allah ini maka menjawablah Nabi Ibrahim alaihi-wasallam:

Nabi Ibrahim menjawab: “Aku serahkan diri (tunduk taat) kepada Tuhan Yang Memelihara dan mentadbirkan sekalian alam”. [al-Baqarah 2:131]

Sesiapa yang menelusuri firman Allah Subhanahu waTa’ala kepada Nabi Ibrahim alaihi-salam dan jawapannya sepertimana dalam ayat di atas akan mendapati ia tidak sedikitpun memiliki erti mengatasi, membatalkan atau menyanggahi syahadah: “Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah Rasul Allah.” Syahadah yang diajar oleh Rasulullah ini terbahagi kepada dua bahagian: Syahadah pertama bererti bahawa seseorang itu sedia mentauhidkan Allah Subhanahu waTa’ala sebagai Tuhan yang satu-satunya layak disembah dan sedia mengakui bahawa semua urusan langit dan dunia tertakluk kepada kekuasaan dan kehendak-Nya. Syahadah kedua bererti seseorang itu sedia menerima dan mengiktiraf Nabi Muhammad sallallahu-alaihi-wasallam sebagai Perutusan Allah, yakni dengan menerima dan mentaati segala perintah-larangan syari’at agama yang dibawanya.[1] Perkataan saksi dalam kedua-dua kes di atas bukanlah bererti saksi sepertimana dalam kes mahkamah, tetapi bererti ikrar, pengakuan pengesahan, pembenaran dan pembuktian.[2] Persaksian ini tidak lengkap dengan sebutan mulut sahaja tetapi hanya setelah ia tersemat kukuh di jiwa dan dibuktikan dengan perbuatan harian. Oleh itu seseorang yang bersyahadah tetapi dia masih menyembah berhala atau enggan solat sepertimana Rasulullah solat, maka syahadahnya tidaklah dikira sah. Dua kalimah syahadah yang diajar oleh Rasulullah ini memang tidak terdapat lafaznya di dalam al-Qur’an, tetapi maksudnya adalah merupakan terbitan dan rumusan dari seluruh keterangan, ajaran dan perintah al-Qur’an itu sendiri. Tiada siapa yang akan mempersoalkan hakikat ini kecuali orang yang benar-benar tidak mengenal al-Qur’an.

 

Percanggahan 2: Azan

 



[1]               Lihat Abdullah Yasin – Hakikat Dua Kalimah Syahadah dan A. Zakaria – Menguak Hakikat Syahadat, Bai’at dan Jama’ah Muslimin.

[2]               Sakhr al-Qamus v4.0 - أشهد

           

 

 

   

 

 
 

al-Firdaus :: kandungan :: rujukan & kajian