al-Firdaus :: kandungan :: rujukan & kajian

Percanggahan : 1 2 3 4 5 6 7

 
 

Percanggahan Keenam:

Dalam hadis-hadis banyak disebut bahawa Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam dapat memberi syafaat kepada umatnya di Hari Akhirat nanti. Ini jelas bercanggah dengan ayat-ayat al-Qur’an yang menerangkan bahawa tiada siapa yang dapat memberi syafaat kecuali Allah Subhanahu waTa’ala sahaja. Antaranya ialah ayat berikut:

Dan berilah amaran dengan Al-Quran itu kepada orang-orang yang merasa takut bahawa mereka akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (pada hari kiamat), (padahal) tiadalah bagi mereka pelindung dan tidak juga pemberi syafaat yang lain dari Allah, supaya mereka bertaqwa. [al-An’aam 6:51]

Penjelasan:

Jika dikaji keseluruhan ayat-ayat al-Qur’an, akan didapati bahawa syafaat yang sebenarnya dinafikan oleh Allah Subhanahu waTa’ala adalah syafaat syirik yang diyakini oleh orang-orang musyrik. Mereka sering berkata bahawa patung-patung dan berhala-berhala yang mereka sembah akan datang di Hari Akhirat nanti sebagai syafaat membela mereka dari azab Allah Subhanahu waTa’ala. Penjelasan ini adalah berdasarkan ayat-ayat berikut:

Dan mereka menyembah yang lain dari Allah, sesuatu yang tidak dapat mendatangkan mudarat kepada mereka dan tidak dapat mendatangkan manfaat kepada mereka dan mereka pula berkata: “Mereka (yang kami sembah itu) ialah pemberi-pemberi syafaat kepada kami di sisi Allah”. [Yunus 10:18]

Dan berilah amaran (wahai Muhammad) kepada mereka tentang (hari kiamat) yang dekat (masa datangnya), iaitu ketika hati seseorang merasa resah gelisah, kerana cemas takut, sambil masing-masing menahan perasaannya itu. (Pada saat itu) orang-orang yang zalim tidak akan mendapat seorang sahabatpun yang boleh membelanya, dan tidak akan mendapat pemberi syafaat yang diterima pertolongannya. [al-Ghafir 40:18]

Adapun hadis-hadis yang menerangkan kebolehan Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam memberi syafaat kepada umatnya di Hari Akhirat kelak, ia sebenarnya adalah dengan izin Allah Subhanahu waTa’ala. Ketahuilah bahawa Allah Azza waJalla dengan segala sifat Maha Pemurah lagi Maha Penyayang adakalanya memberi izin kepada beberapa hamba-Nya yang terpilih untuk memberi syafaat di Hari Akhirat kelak sepertimana firman-Nya dalam Ayat Kursi yang selalu kita baca:

Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat di sisi-Nya melainkan dengan izin-Nya. [al-Baqarah 2:255]

Siapakah yang diizinkan oleh Allah untuk memberi syafaat ? Mereka yang diberikan keizinan antara lain ialah Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam. Oleh itu tiada percanggahan antara hadis-hadis yang menerangkan pemberian syafaat oleh Rasulullah dengan ayat-ayat al-Qur’anul Karim.[1]  

 

Percanggahan 7: Membeza-bezakan antara Rasul dalam berselawat.



[1]               Yusuf Qardhawi – Bagaimana Berinteraksi dengan al-Sunnah, ms 116-121.

 

 

   

 

 
 

al-Firdaus :: kandungan :: rujukan & kajian