al-Firdaus :: kandungan :: rujukan & kajian

Kajian : 1 2 3

 
 

Ketiga: Kajian terhadap ayat-ayat yang memberi kuasa dan authority kepada Rasulullah untuk menggubal dan melaksanakan hukum secara tersendiri.

Berikut akan kita kaji dan teliti pula ayat-ayat al-Qur’anul Karim yang menerangkan kuasa dan authority yang sedia diberikan oleh Allah Azza waJalla kepada Rasul-Nya Muhammad sallallahu-alaihi-wasallam. Kajian akan ditumpukan kepada 3 buah ayat, ayat ke 157 dari surah al-A’raaf, ayat 65 dari surah an-Nisaa’ dan ayat ke 7 dari surah al-Haysr.

Pertama: Firman Allah Subhanahu waTa’ala:

Iaitu orang-orang yang mengikut Rasulullah (Muhammad s.a.w) Nabi yang Ummi, yang mereka dapati tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka. Ia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji; dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk; dan ia juga menghapuskan dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada pada mereka. [al-A’raaf 7:157]

Ayat ini secara jelas dan mutlak memberi kuasa dan authority kepada Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam untuk menggubal dan melaksanakan hukum-hukum syari’at Islam. Jika diperhatikan ayat ini, akan di dapati:

[1] Allah Azza waJalla memulai ayat ini dengan menyatakan bahawa Muhamad sallallahu-alaihi-wasallam adalah seorang Rasul yang telah sedia tercatit nama dan kedudukannya di dalam kitab-kitab yang terdahulu, khususnya Taurat dan Injil. Pernyataan ini adalah bagi membina dasar yang kukuh terhadap kedudukan dan kemulian Rasul pilihannya itu.

[2] Kemudian diterangkan tugas Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam menyuruh umat melakukan apa yang baik lagi bermanfaat dan melarang serta menghindar mereka daripada melakukan apa yang keji lagi memudaratkan. Perhatikan bahawa Allah Azza waJalla menerangkan tugas Rasul-Nya ini secara tersendiri tanpa menyuruh beliau merujuk atau menyandar kepada ayat-ayat al-Qur’an. Iaitu Allah Ta’ala tidak berfirman Ia dengan al-Qur’an ini menyuruh mereka melakukan apa yang baik atau Ia menyuruh mereka melakukan apa yang baik sepertimana yang diterangkan oleh al-Qur’an ini atau Ia melarang mereka apa yang buruk sebagaimana yang dilarang dalam al-Qur’an atau apa-apa lain yang seumpama.

[3] Seterusnya Allah Azza waJalla menerangkan kuasa dan authority Rasul-Nya menghalalkan apa yang baik lagi berfaedah untuk umat dan mengharamkan apa yang buruk lagi membinasakan umat. Sekali lagi perhatikan bahawa Allah Azza waJalla memberi kuasa penuh kepada Rasulullah untuk menghalalkan sesuatu dan mengharamkan sesuatu tanpa menyuruh beliau merujuk atau menyandar kepada ayat-ayat al-Qur’an. Iaitu Allah Ta’ala tidak berfirman Halalkanlah apa yang dihalalkan dalam al-Qur’an dan haramkanlah apa yang diharamkan dalam al-Qur’an atau apa-apa lain yang seumpama.

[4] Dan akhirnya Allah Azza waJalla menerangkan tugas Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam menghapuskan segala bebanan dan belenggu yang mengikat manusia di ketika itu. Antaranya ialah beberapa fahaman agama yang sengaja diada-adakan oleh para tokoh agama Yahudi dan Nasrani seperti kehidupan ala Rahib dan Paderi, tidak boleh berkahwin, anak menanggung dosa orang tua dan sebagainya. Begitu juga dengan pelbagai istiadat dan perlakuan masyarakat Arab Jahiliyah ketika itu seperti perhambaan, pembunuhan anak perempuan, melakukan sembelihan dan korban untuk tuhan-tuhan dan macam-macam lagi. Sekali lagi perhatikan bahawa Allah Azza waJalla memberi kuasa penuh kepada Rasulullah untuk menghapuskan bebanan dan belenggu ciptaan menusia tersebut tanpa menyuruh beliau merujuk atau menyandar kepada ayat-ayat al-Qur’an. Iaitu Allah Ta’ala tidak berfirman: hapuskanlah bebanan dan belenggu tersebut berdasarkan apa yang disyari’atkan di dalam al-Qur’an atau apa-apa lain yang seumpama.

Kedua: Firman Allah Subhanahu waTa’ala:

Maka tidaklah – Demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya. [an-Nisaa’ 4:65]

Sepertimana ayat 157 surah al-A’raaf, ayat ini juga dengan tegas dan mutlak menerangkan kuasa dan Authority Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam untuk menggubal dan menjatuhkan hukum secara tersendiri tanpa perlu dirujuk atau disandarkan kepada al-Qur’anul Karim. Malah ayat ini mempersyaratkan keimanan seseorang kepada ketaatan dan keredhaan penuh terhadap apajua hukum yang diputuskan oleh Rasulullah. Sesiapa yang taat dan redha maka dialah orang yang benar beriman manakala sesiapa yang ingkar dan tidak setuju maka dia bukan orang yang beriman. Jika dicermati ayat di atas, akan didapati:

[1] Allah Azza waJalla memulakan ayat ini dengan suatu bentuk sumpah: Maka tidaklah – Demi Tuhanmu… Para ahli tafsir telah menerangkan bahawa apabila Allah Subhanahu waTa’ala bersumpah di dalam al-Qur’an, ia adalah bagi menunjukkan kebesaran objek yang disumpah-Nya atau bagi mengisyaratkan besarnya subjek ayat yang bakal menyusuli setelah sumpah tersebut. Maka di sini sumpah Allah Subhanahu waTa’ala adalah bagi mengisyaratkan besarnya subjek yang bakal menyusuli iaitu ukuran sama ada beriman atau tidak seseorang manusia itu.

[2] Allah Azza waJalla telah menjadikan ukuran beriman atau tidak seseorang manusia itu berdasarkan terima atau tidak seseorang itu terhadap hukum yang diputus oleh Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam. Firman Allah Ta’ala: …dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka… tidaklah bererti bahawa ayat ini hanya sah dilaksanakan di zaman Rasulullah masih hidup untuk menghakimi sesuatu perselisihan yang dihadapkan kepada beliau tetapi ia adalah sah dilaksanakan kepada semua generasi manusia di semua zaman sesuai dengan peranan yang dimiliki oleh kitab al-Qur’anul Karim yang sah dijadikan sumber rujukan dan penghujahan sehingga ke Hari Kiamat. Sebagai contoh, ayat in tetap sah untuk dijadikan hujah bagi menangani sikap segelintir umat masa kini yang mempertikaikan hukuman rejam dengan batu sehingga mati terhadap penzina yang sudah berkahwin yang diputuskan oleh Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam. Hukum yang diputuskan oleh Rasulullah tersebut adalah sah selari dengan kuasa dan authority yang diberikan oleh Allah Azza waJalla kepada beliau. Maka barangsiapa yang menerima hukum tersebut maka dia adalah orang yang beriman manakala sesiapa yang mengingkari hukum tersebut maka dia tidak beriman.

[3] Seterusnya Allah Subhanahu waTa’ala mensyaratkan bahawa penerimaan hukum yang diputuskan oleh Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam hendaklah secara total dan menyeluruh tanpa adanya rasa keberatan atau tidak puas hati. Pensyaratan tambahan oleh Allah Ta’ala ini tidak lain menunjukkan sifat mutlak, absolute dan ketidak-terbatasan yang dimiliki oleh hukum-hukum yang digubal, diputus dan dijatuhkan oleh Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam.

[4] Perhatikan juga bahawa dalam menetapkan ukuran beriman atau tidak seseorang berdasarkan penerimaan apa yang dihukumkan oleh Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam dan dalam mensyaratkan penerimaan hukum tersebut secara total tanpa keraguan atau keberatan, Allah Tabaraka waTa’ala tidak membuat apa-apa rujukan atau sandaran kepada kitab al-Qur’anul Karim. Allah Ta’ala tidak menghubungkan hukum yang diputuskan oleh Rasulullah dengan hukum yang terkandung di dalam al-Qur’an dan Allah Ta’ala tidak menghubungkan penerimaan hukum tersebut secara total dengan kitab al-Qur’anul Karim. Dalam erti kata lain, seseorang itu hendaklah menerima hukum yang diputuskan oleh Rasulullah tanpa mengambil kira sama ada hukum tersebut diputuskan dalam al-Qur’an dan seseorang itu hendaklah menerima hukum tersebut secara total tanpa perlu ia diperkuat atau diperkukuhkan oleh al-Qur’anul Karim.

[5] Akhir sekali, perhatikan juga bahawa Allah Subhanahu waTa’ala secara mutlak menjadikan ukuran iman seseorang itu hanya berdasarkan hukum yang diputuskan oleh Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam. Ini tidak lain menunjukkan sifat kewahyuan, kesempurnaan dan keterpeliharaan hukum yang diputuskan oleh Rasulullah. Kerana jika diandaikan bahawa hukum yang diputuskan oleh Rasulullah adalah berasal dari ijtihad dan penalaran dirinya sendiri tanpa bimbingan ILlahi, sudah tentu ia terbuka kepada pelbagai kekurangan dan kecacatan manusiawi sehingga pasti ia tidak dapat dijadikan ukuran keimanan seseorang.[1]

Ketiga: Firman Allah Subhanahu waTa’ala:

Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka patuhilah larangan-Nya. [al-Haysr 59:07]

Ayat ini dengan jelas dan tepat menerangkan perintah Allah Subhanahu waTa’ala kepada umat Islam untuk menerima apa sahaja yang dibawa, dianjur dan diperintahkan oleh Rasululullah sallallahu-alaihi-wasallam dan meninggalkan apa sahaja yang dinafi, dicegah dan dilarang olehnya. Ayat ini merupakan satu lagi dalil yang kuat lagi padu bahawa Allah Azza waJalla memberikan kuasa dan authority penuh kepada Rasul-Nya Muhammad sallallahu-alaihi-wasallam untuk menggubal dan memerintahkan sesuatu perkara secara tersendiri manakala umat pula wajib menerima dan mentaatinya. Sekali lagi perhatikan juga bahawa perintah Allah Ta’ala dalam ayat ini adalah mutlak secara tersendirinya tanpa suruhan kepada umat untuk merujuk dan menyandarkan suruhan-larangan Rasulullah tersebut kepada dalil-dalil al-Qur’anul Karim.

Segelintir pihak, terutamanya Golongan Anti-Hadis menolak kemutlakan maksud firman Allah Subhanahu waTa’ala dalam ayat di atas. Mereka berkata ayat ini hanyalah merujuk kepada perintah Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam dalam urusan sebaran dan pembahagian harta-harta rampasan perang. Mereka berpendapat sedemikian berdasarkan keseluruhan ayat ke 7 tersebut, iaitu:

Apa yang Allah kurniakan kepada Rasul-Nya (Muhammad) dari harta penduduk negeri, bandar atau desa dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah, dan bagi kaum kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta orang-orang musafir (yang keputusan).

(Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu.

Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka patuhilah larangan-Nya.

Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksa-Nya (bagi orang-orang yang melanggar perintah-Nya). [al-Hasyr 59:7]

Dengan merujuk kepada keseluruhan pengajaran ayat, mereka berkata bahawa firman Allah: ……Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka patuhilah larangan-Nya… hanyalah merujuk kepada perintah Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam dalam urusan sebaran dan pembahagian harta-harta rampasan perang. Yakni, apa yang disebar dan dibahagi-bahagikan oleh Rasulullah maka terimalah ia dan apa yang tidak disebar atau dibahagi-bahagikan oleh Rasulullah maka janganlah dipersoalkan pula. Pengertian dan pengajaran ayat tidak ditujukan kepada apa-apa selain sebaran dan pembahagian harta-harta rampasan perang sahaja.

Baiklah, mari kita bincang dan bahas secara mendalam ayat ke 7 surah al-Haysr ini. Ia sememangnya diturunkan berkaitan dengan pembahagian harta-harta rampasan perang. Lebih tepatnya sebagaimana terang Umar al-Khattab radiallahu-anhu[2], ia diturunkan berkenaan urusan sebaran, pembahagian dan penggunaan harta-harta yang ditinggalkan oleh Bani an-Nadhir, satu komuniti Yahudi yang diusir keluar dari lembah Madinah kira-kira 6 bulan selepas peristiwa Perang Badar[3] kerana mereka mencabuli perjanjian damai yang sedia dipersetujui dengan orang-orang Islam ketika itu.[4]

Namun adalah tidak tepat untuk dikatakan bahawa keseluruhan pengertian dan pengajaran ayat ke 7 surah al-Haysr tersebut hanya ditujukan kepada urusan harta rampasan perang sahaja. Jika didalami keseluruhan ayat tersebut, akan didapati bahawa ia dibahagikan kepada 3 bahagian sebagaimana yang ditanda dengan tanda waqf al-Jaa’iz
(  ج). Berikut disusun secara berasingan setiap dari bahagian tersebut dengan terjemahan harfiah perkataan demi perkataan (word by word translation) yang disalin dari buku Bacaan oleh Othman Ali[5]:

[01]Segala apa rampasan perang yang Allah memberi rasul--Nya daripada penduduk bandar-bandar raya adalah kepunyaan Allah, dan rasul--Nya, dan sanak saudara yang dekat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan musafir, supaya ia jangan bergilir antara orang-orang kaya antara kamu.

[02]Apa sahaja yang rasul memberi kamu, ambillah; apa sahaja yang dia melarang kamu daripadanya, hentikanlah.[6]

[03]Dan takutilah Allah; sesungguhnya Allah keras dalam pembalasan sewajarnya.

Perhatikan bahawa bahagian pertama ayat secara khusus membicarakan perihal harta rampasan perang manakala bahagian kedua ayat membicarakan perintah-larangan Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam secara umum lagi terbuka tanpa ditujukan kepada apa-apa pengertian yang tertentu atau khusus. Demikian juga bahagian ketiga ayat, ia secara umum lagi terbuka membicarakan perintah untuk bertaqwa kepada Allah dan ancaman kepada sesiapa yang menyalahinya dan ia tidak ditujukan kepada apa-apa pengertian yang tertentu atau khusus.

Perbezaan lafaz antara bahagian pertama dengan bahagian kedua ayat perlu kita fahami secara mendalam. Telahpun dinyatakan sebelum ini dan akan diulangi sekali lagi bahawa Allah Tabaraka waTa’ala dengan segala Kebijaksanaan dan Keluasan Hikmah-Nya, tidak akan membicarakan satu perkara yang sama dengan susunan ayat yang berbeza melainkan apa yang dikehendaki-Nya antara kedua ayat tersebut adalah juga berbeza. Dengan itu juga, kitab al-Qur’anul Karim dengan segala sifat-sifat kemukjizatan bahasa dan gaya penyampaian yang sehingga kini tidak tercabar keistimewaannya, tidak akan membicarakan satu perkara yang sama dengan dua susunan ayat yang berbeza melainkan pengajaran yang hendak disampaikan juga adalah berbeza antara keduanya.

Justeru itu apabila bahagian pertama ayat membicarakan perihal urusan harta rampasan perang, maka sememanglah ia membicarakan urusan harta rampasan perang dan ini tidak kita sanggahi. Akan tetapi perlu dikenali bahawa bahagian kedua ayat membicarakan perihal perintah dan larangan Rasulullah sallallahui-alaihi-wasallam secara umum lagi terbuka tanpa dihad atau dikhususkan kepada sesuatu subjek yang tertentu. Allah Azza waJalla menggunakan perkataan (ma) berupa ism mausul yang bererti apa-apa sahaja atau apa jua atau apa-apa sekalipun bagi menandakan sifat keterbukaan ayat tanpa pembatasan. Ini berbeza dengan bahagian pertama ayat di mana Allah Azza waJalla telah menggunakan perkataan (afa') yang sememangnya bererti harta rampasan.

Perbezaan antara bahagian pertama dan kedua ayat bukanlah satu ketidaksengajaan tetapi demikianlah kehendak sebenar Allah Azza waJalla kerana seandainya Allah menghendaki perintah-larangan Rasulullah tersebut dibatasi oleh urusan harta rampasan perang sahaja, adalah memadai dengan bahagian pertama ayat tanpa pengulangan semula. Atau jika pengulangan diperlukan untuk menekankan authority Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam dalam urusan harta rampasan perang, maka Allah Azza waJalla pasti akan menggunakan lafaz yang khusus lagi membatasi, umpama: Dan barang-barang rampasan perang yang rasul memberi kamu, ambillah; dan barang-barang rampasan perang yang dia melarang kamu daripadanya, hentikanlah. Akan tetapi Allah Ta’ala tidak melakukan sedemikian maka siapakah pula kita untuk melakukannya ?

Kemudian perhatikanlah pula bahagian ketiga ayat di mana Allah Subhanahu waTa’ala sekali lagi berbicara dengan lafaz yang umum, memerintahkan umat untuk bertaqwa kepada-Nya dan mengancam keras sesiapa yang menyalahi perintah bertaqwa tersebut. Diulangi, bahawa Allah Azza waJalla menggunakan lafaz umum bagi menandakan bahawa ketaqwaan kepada-Nya adalah umum meliputi seluruh perintah-larangan. Keumuman firman Allah dan gaya bahasa ayat menunjukkan bahawa perintah ini tidak terhad kepada urusan pembahagian harta rampasan perang sahaja.

Daripada penerangan di atas yang merujuk khusus kepada kaedah susunan ayat oleh yang Maha Bijaksana dan kemukjizatan gaya penyampaian al-Qur’anul Karim, jelas bahawa bahagian kedua ayat yang bermaksud: Apa sahaja yang rasul memberi kamu, ambillah; apa sahaja yang dia melarang kamu daripadanya, hentikanlah – adalah ditujukan umum kepada apa sahaja perintah-larangan agama yang disampaikan oleh Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam. Termasuk dalam keumuman perintah-larangan ini adalah urusan pembahagian harta rampasan perang.

Maka adalah tidak asing apabila kita dapati orang yang telah dipertanggung jawabkan untuk membaca, menyampai mengajar dan menghurai kitab al-Qur’anul Karim yakni Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam, dengan sendirinya telah bersabda:

Apabila aku memerintahkan kamu dengan sesuatu maka lakukanlah ia dengan semampu kamu dan apabila aku melarang kamu dengan sesuatu maka tinggalkanlah ia.[7]

Sabda beliau ini adalah selari dengan firman Allah Subhanahu waTa’ala yang sedang kita bahas: Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka patuhilah larangan-Nya.

Selain itu kita juga dapati para sahabat radiallahu-anhum, iaitu generasi yang hidup di zaman Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam, yang hadir ketika turunnya ayat-ayat al-Qur’an dan yang paling memahami konteks pengajaran serta tujuan ayat, sering merujuk kepada ayat ke 7 surah al-Haysr yang sedang kita bahaskan ini bagi membenarkan sesuatu perintah, larangan dan hukuman Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam.

Abdullah ibnu Umar dan Anas bin Malik radiallahu-anhum berkata, Abdullah ibnu Abbas pernah bertanya kepada orang ramai: Tahukah kalian firman Allah Azza waJalla Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka patuhilah larangan-Nya” ? (al-Haysr 59:7). Orang ramai menjawab: Ya !

Berkata lagi Ibnu Abbas: Tahukah kalian firman Allah Azza waJalla “Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka” ? (al-Ahzab 33:36). Orang ramai menjawab: Ya !

Kemudian berkata lagi Ibnu Abbas: Maka sesungguhnya bersaksilah bahawa Nabi sallallahu-alaihi-wasallam telah melarang menyimpan buah (air jusnya) dalam bekas kayu yang dilubangi, dan (dalam) bekas kayu (pokok) kurma, dan (dalam) bekas yang diperbuat dari buah labu air, dan dalam bekas yang diminyaki (atau diwarnai).[8]

Dalam satu riwayat yang lain pula, Abdurrahman bin Yazid radiallahu-anhu pernah melihat seseorang yang sedang berihram (bagi ibadat umrah atau haji) dengan memakai baju, lalu beliau melarangnya. Maka orang itu berkata: “Cuba bacakan kepada aku ayat al-Qur’an yang mengharuskan aku membuka baju.” Lalu Abdurrahman membaca ayat: Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka patuhilah larangan-Nya .[9]

Seorang lagi sahabat yang masyhur, Abdullah ibnu Mas’ud radiallahu-anhu pernah menyampaikan sabda Nabi sallallahu-alaihi-wasallam yang bermaksud: Allah melaknat para wanita yang bertato, yang berusaha bertato, yang mencabut bulu-bulu muka (bulu mata dan kening), yang mengubah-suai gigi supaya nampak lebih cantik dan dengan itu mereka merubah ciptaan Allah. Kemudian perkara ini sampai ke pengetahuan seorang wanita dari Bani Asad yang bernama Ummu Ya’qub. Dia datang menemui Ibnu Mas’ud lalu berkata: Saya mendengar tuan melaknat wanita yang sekian-sekian. Ibnu Mas’ud berkata: Mengapa saya tidak melaknat orang yang dilaknat oleh Rasul Allah dan Kitab Allah ? Ummu Ya’qub berkata: Saya telah membaca al-Qur’an tetapi saya tidak mendapati apa yang tuan katakan itu. Ibnu Mas’ud menjawab: Kalau anda membacanya nescaya anda akan menemuinya. Tidakkah anda membaca ayat: Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka patuhilah larangan-Nya ?  Ummu Ya’qub menjawab: Ya ! [10]

Penerangan-penerangan di atas, dari sudut perbahasan gaya penyampaian al-Qur’an, sabda Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam dan penghujahan para sahabat radiallahu-anhum, jelas menolak pendapat segelintir pihak yang ingin membataskan kemutlakan ayat ke 7 surah al-Hasyr tersebut kepada maksud pembahagian harta rampasan perang sahaja. Yang benar ayat tersebut adalah mutlak membuktikan kuasa dan authority yang diberikan oleh Allah Subhanahu waTa’ala kepada Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam. Dan kemutlakan ini adalah menyeluruh tanpa perlu dikira sama ada apa jua yang disuruh atau dilarang tersebut disokong sama oleh dalil-dalil al-Qur’anul Karim.

Kesimpulan:

Penerangan dalam beberapa mukasurat yang lepas telah menunjukkan bahawa:

[1] Allah Azza waJalla sejak dari awal telah mewajibkan ketaatan kepada para Nabi dan Rasul-Nya termasuk kepada mereka yang tidak diturunkan sebuah kitab suci. Ini jelas menunjukkan bahawa ketaatan kepada para Nabi dan Rasul ini adalah mutlak kepada apa sahaja ajaran, perintah dan larangan yang mereka sampaikan tanpa perlu ia dikandung atau disokong sama oleh sesebuah kitab suci.

[2] Allah Azza waJalla telah memerintahkan ketaatan kepada Rasul-Nya Muhammad sallallahu-alaihi-wasallam dengan dua gaya atau susunan ayat, yang pertama adalah “Taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya” manakala yang kedua adalah “Taatlah kepada Allah dan taatlah kepada Rasul”. Perbezaan susunan ayat ini bukanlah suatu ketidak-sengajaan tetapi setiapnya memiliki erti yang tersendiri. Susunan ayat yang pertama adalah bagi ajaran, perintah dan larangan Rasulullah yang dikandung sama oleh al-Qur’an manakala susunan ayat yang kedua adalah bagi ajaran, perintah dan larangan Rasulullah yang tidak dikandung sama oleh al-Qur’an. Hal ini lebih diperkuatkan lagi dengan hadirnya ayat-ayat yang memerintahkan ketaatan kepada Rasulullah dan ancaman bagi sesiapa yang mengikarinya secara tersendiri tanpa perintah atau ancaman ini diganding sama kepada kitab al-Qur’anul Karim.

[3] Allah Azza waJalla juga dalam al-Qur’anul Karim telah beberapa kali menerangkan dengan jelas kuasa, hak, kewenangan dan authority yang Dia berikan kepada Rasul-Nya Muhammad sallallahu-alaihi-wasallam untuk menggubal dan melaksanakan sesuatu hukum syari’at agama. Dan Allah Azza waJalla memerintahkan kita umat Islam untuk mentaati segala ajaran, perintah, larangan dan hukum yang digubal oleh Rasulullah secara mutlak dan menyeluruh tanpa perlu disemak atau dirujuk ia dikandung sama oleh al-Qur’an atau tidak.

3 hujah atau kesimpulan di atas jelas menunjukkan bahawa ajaran, perintah dan larangan yang disampaikan oleh seseorang Nabi atau Rasul Allah, adalah ia berdiri dengan sendirinya secara mutlak sebagai salah satu sumber syari’at tanpa perlu ia dikandung sama oleh dalil-dalil sesebuah kitab suci. Demikian juga, apa sahaja yang didakwah, diajar, diperintah, dilarang dan dihukum oleh Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam, adalah ia berdiri dengan sendirinya sebagai satu sumber syari’at Islam tanpa perlu ia dikandung sama oleh kitab al-Qur’anul Karim.

Dengan jelasnya asas dan dasar yang amat penting ini, tidak perlu lagi timbul persoalan, kemusykilan dan bantahan terhadap hadis-hadis Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam yang bercanggah, berlainan atau tidak dikandung sama oleh al-Qur’an. Seperti hukum rejam dengan batu kepada penzina yang telah berkahwin, hukum larangan memakai emas dan sutera bagi lelaki, hukum batalnya wudhu’ dan sebagainya.  Semua ini adalah hukum-hukum syari’at Islam yang digubal oleh Rasulullah berdasarkan kuasa dan authority yang telah diberikan oleh Allah Subhanahu waTa’ala kepadanya dan hukum-hukum ini wajib kita terima dan taati secara sendirinya tanpa mengambil kira sama ada ia selari atau tidak dengan hukum al-Qur’an. Bukankah al-Qur’an sendiri yang telah menerangkan kuasa dan authority Rasulullah sebagai penggubal hukum dan mewajibkan umat untuk mentaatinya secara mutlak ? Justeru itu sesiapa yang ingin mentaati al-Qur’an hendaklah dia mentaati Rasulullah. Dan sesiapa yang ingin mentaati Allah Azza waJalla hendaklah dia mentaati Rasulullah. Tidak ada perbezaan antara mentaati hukum-hukum dari Rasulullah atau mentaati hukum-hukum al-Qur’an kerana kedua-duanya itu tetap berasal dari Allah Subhanahu waTa’ala juga pada dasarnya, sebagaimana firman Allah Ta’ala:

Sesiapa yang taat kepada Rasul, maka sesungguhnya ia telah taat kepada Allah. [an-Nisaa’ 4:80]

Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam juga telah bersabda:

Dikhuatirkan seseorang duduk di atas kerusinya, dia menyampaikan hadis aku kemudian dia berkata: “Antara kami dan kamu ada Kitab Allah (al-Qur’an), apa yang kami dapati dihalalkan di dalamnya maka kamipun menghalalkannya dan apa yang kami dapati diharamkan di dalamnya maka kamipun mengharamkannya.” Ingatlah ! Demi sesungguhnya apa yang diharamkan oleh Rasulullah maka ia adalah sama dengan apa yang diharamkan oleh Allah.[11]

Kekhuatiran Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam di atas ditujukan kepada kemungkinan akan wujudnya orang-orang yang mempersoalkan hadis-hadisnya yang tidak dikandung sama oleh al-Qur’an, lalu akhirnya mereka hanya mengambil apa yang dihalal dan diharamkan oleh al-Qur’an sahaja. Sikap seperti ini diperbetulkan oleh Rasulullah, di mana beliau menyatakan bahawa apa yang beliau haramkan, maka ia adalah sama dengan apa yang diharamkan oleh Allah Subhanahu waTa’ala. Demikianlah juga sebaliknya, apa yang diperintah atau dihalalkan oleh Rasulullah, maka ia juga adalah apa yang diperintah dan dihalalkan oleh Allah Ta’ala. Dalam ertikata lain, segala perintah dan larangan yang disampaikan beliau, ia berasal dari Allah Subhanahu waTa’ala. Perhatikan bahawa Rasulullah tidak mengaitkan apa yang diharamkannya dengan al-Qur’an tetapi dikaitkan dengan Allah Subhanahu waTa’ala.

 

7 Contoh hadis yang dikatakan bercanggah dengan al-Qur’an dan penjelasannya.

 



[1]               T.M. Hasbi as-Shiddiqy dalam Tafsir al-Qur’anul Majid an-Nur, jld 1, ms 860.

[2]               Sahih: Atsar sahabat dikeluarkan oleh Ahmad, Bukhari, al-Baihaqi dan lain-lain, lihat Sahih Bukhari – no: 4885. (Kitab at-Tafsir, Surah al-Haysr, Apa yang diberi oleh Allah kepada Rasul-Nya dari rampasan perang)

[3]               Sahih: Sebagaimana terang A’isyah radiallahu-anha, dikeluarkan oleh Ibnu Mardhawih dan Abdurrazzaq ibnu Humman as-Sa’nani. Isnadnya sahih sebagaimana nilai Habib-ur-Rahman al-Azami dalam Musannaf Abdurrazzaq - no: 9732 dan seterusnya. (Bab Kejatuhan Bani an-Nadhir, jld 5, ms 357 dan seterusnya).

[4]               Untuk bacaan lebih lanjut, sila lihat mana-mana kitab sirah Nabi, antaranya The Life of Muhammad, pg 277-281 oleh Muhammad Husein Haykal dan Madinan Society at the Time of The Prophet, vol 1, pg 128-134 oleh Akram Diya’ al-‘Umari.

[5]               Yang dirujuk adalah edisi internet di alamat ( http://www.ropelist.com/articles/malay/malay_bacaan.html ). Othman Ali pada waktu penulis mengusahakan buku ini adalah salah seorang dari tokoh Golongan Anti-Hadis di Malaysia. Antara karyanya masyhur adalah buku Bacaan ini yang merupakan terjemahan harfiah kitab al-Qur’anul Karim.

[6]               Menarik juga untuk diperhatikan bahawa dua tokoh Golongan Anti-Hadis yang lain, yakni Kassim Ahmad dan Rashad Khalifa telah mengubah terjemahan bahagian kedua ayat di atas. Kassim Ahmad dalam bukunya Hadis: Satu Penilaian Semula, ms 58, nk 11 telah menterjemahkan ayat tersebut sebagai: Apa-apa harta rampasan perang yang diberi oleh rasul kepadamu hendaklah kamu terima dan apa yang ditegahnya hendaklah kamu tinggalkan; manakala Rashad Khalifa dalam Qur’an: The Final Scripture (Authorized English Version), pg 391 telah menterjemah ayat tersebut sebagai: Any gained spoils that the messenger gives you, you shall accept, and whatever he forbids you, you shall leave. Padahal dalam teks Arab yang sebenar, tidak terdapat perkataan harta rampasan perang dan gained spoils.

[7]         Sahih: Hadis dikeluarkan oleh Abdurrazzaq, Ahmad, Muslim dan lain-lain dari Abu Hurairah radiallahu-anhu. Lihat Sahih Muslim – no: 1337. (Kitab al-Hajj, Bab Kewajipan Haji hanya sekali seumur hidup.)

[8]               Sahih: Dikeluarkan oleh an-Nasai dalam Sunan al-Kabir – no: 5154; juga dikeluarkan oleh al-Hakim dalam al-Mustarak – no: 3798 (Kitab at-Tafsir, Tafsir surah al-Hasyr) tanpa sandaran kepada Anas bin Malik dengan susunan teks yang sedikit berbeza dan ia dinilai sahih oleh adz-Dzahabi.

                Larangan ini adalah kerana minuman yang tersimpan sekian lama dalam bekas-bekas tersebut boleh menukar sifatnya kepada yang memabukkan (proses penapaian), sebagaimana dalam sebuah hadis lain yang senada dari Abu Salamah dan Abu Hurairah radiallahu-anhuma, di mana di akhir hadis tersebut Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam menerangkan sebab larangan beliau: Setiap yang memabukkan adalah haram. Hadis ini dinilai sahih oleh al-Haithami, disebut oleh Fu’ad Abdul Baqi dalam Sunan Ibnu Majah – hadis no: 3401 dan seterusnya. (Kitab Urusan Minuman, Bab Larangan membuat minuman dalam beberapa jenis bekas atau benjana).

[9]               Hasan: Dikeluarkan oleh Ibnu Abdil Barr dalam Jami’ ul-Bayan il-‘Ilmi wa Fadhlihi – no: 2338 dan dinilai hasan oleh pentahqiq – Abu al-Ashbal al-Zahiri.

[10]             Sahih: Dikeluarkan oleh Ahmad, Bukhari dan lain-lain, lihat Sahih Bukhari – no: 4886. (Kitab at-Tafsir, Surah al-Haysr, Apa yang diberi oleh Rasul maka terimalah ia).

[11]             Sahih: Hadis dari Miqdam bin Ma’di al-Kariba radiallahu-anhu, dikeluarkan oleh Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah, ad-Darimi dan lain-lain; dinilai sahih oleh Hasain Salim Asad dalam Musnad ad-Darimi – no: 606 (Muqaddimah: Bab as-Sunnah penentu atas Kitab Allah Ta’ala).

 

          

 

 

   

 

 
 

al-Firdaus :: kandungan :: rujukan & kajian