al-Firdaus :: kandungan :: rujukan & kajian

Kajian : 1 2 3

 
 

BAHAGIAN B

Mengkaji Kuasa dan Authority Rasulullah saw di sisi al-Qur’an.

Antara yang sering menjadi pertanyaan orang ramai dan yang selalu dijadikan hujah oleh Golongan Anti Hadis adalah tentang wujudnya hadis-hadis Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam yang memerintah atau melarang sesuatu hukum, sedangkan hukum tersebut tidak terdapat di dalam al-Qur’an, malah adakalanya bertentangan dengan hukum al-Qur’an. Satu contoh yang masyhur adalah hukuman bagi jenayah zina, di mana al-Qur’an hanya menghukumkan sebatan 100 kali kepada penzina tanpa membezakan antara yang sudah berkahwin atau belum manakala al-Hadis pula memberatkan lagi hukuman tersebut kepada rejaman batu sehingga mati kepada penzina yang sudah berkahwin.

Di atas hanyalah satu contoh. Sama ada ia satu hukuman, perintah atau larangan, yang menjadi asas perbincangan adalah, apakah seorang Rasul itu wajib ditaati dalam perkara-perkara dan urusan yang tidak disebut dalam kitab al-Qur’anul Karim. Lebih luas, apakah kita patut mentaati segala ajaran, perintah, larangan dan hukum yang berasal daripada Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam padahal ajaran, perintah, larangan dan hukum tersebut tidak terdapat di dalam kitab al-Qur’anul Karim. Untuk menjawab persoalan ini, akan kita kaji ayat-ayat al-Qur’an dan mencari dalil-dalilnya agar dapat diketahui secara pasti kedudukannya.  Kajian ini amat penting kerana apabila telah diketahui kuasa dan authority Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam yang diberi oleh Allah Subhanau waTa’ala, tidak akan timbul lagi sebarang kemusykilan tentang hukum-hukum atau ajaran-ajaran al-Hadis yang berbeza atau bercanggah dengan al-Qur’an.

Kajian ini dibahagi kepada tiga bahagian, iaitu:

[1] Kajian terhadap ayat-ayat yang menerangkan perintah mentaati para Nabi dan Rasul sebelum Muhammad sallallahu-alaihi-wasallam.

[2] Kajian terhadap susunan dan gaya bahasa ayat-ayat yang memerintahkan ketaatan kepada Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam.

[3] Kajian terhadap ayat-ayat yang memberi kuasa dan authority kepada Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam untuk menggubal dan melaksanakan hukum secara tersendiri.

 

 

                     Pertama:  Kajian Terhadap Dalil-dalil Mewajibkan Ketaatan kepada Para Nabi dan Rasul Terdahulu.

Sebagaimana yang kita sama-sama ketahui, Muhammad sallallahu-alaihi-wasallam bukanlah seorang Rasul yang pertama diutus oleh Allah Subhanahu waTa’ala kepada manusia. Hal ini jelas diterangkan oleh Allah Subhanahu waTa’ala di dalam al-Qur’an:

Katakanlah (Wahai Muhamad): Aku bukanlah Rasul yang pertama di antara rasul-rasul. [al-Ahqaaf 46:09]

Kesemua Rasul-rasul ini diwajibkan ketaatannya oleh umat yang mereka diutuskan kepada, sebagaimana yang diterangkan oleh Allah Subhanahu waTa’ala:

Dan Kami tidak mengutus seseorang Rasul pun melainkan supaya ia ditaati dengan izin Allah. [an-Nisaa’ 4:64]

Apabila telah jelas bahawa semua para Rasul ini wajib ditaati atas perintah dan izin Allah Subhanahu waTa’ala sendiri maka kini perlu kita kaji pula apakah para Rasul ini wajib ditaati hanya dalam perkara-perkara yang disebut di dalam kitab suci mereka masing-masing sahaja atau adakah perintah mentaati ini turut meliputi perkara-perkara yang di luar dari kitab suci mereka. Kita sama-sama ketahui bahawa para Rasul yang diberi kitab suci adalah:

[1] Nabi Ibrahim alaihi-salam dengan kitab yang digelar suhuf-suhuf. [al-A’laa 87:19]

[2] Nabi Daud alaihi-salam dengan kitab Zabur [an-Nisaa’ 4:163]

[3] Nabi Musa alaihi-salam dengan kitab Taurat [al-Israa’ 17:02]

[4] Nabi Isa alaihi-salam dengan kitab Injil [al-Maidah 5:46]

[5] Nabi Muhammad sallallahu-alaihi-wasallam dengan kitab al-Qur’an.

Memandangkan lima para Rasul di atas telah diberi kitab suci, kita akan tumpukan kajian  kepada para Rasul dan Nabi yang tidak diberi kitab suci. Dengan itu dapat kita ketahui bahawa apabila Allah Azza waJalla memerintahkan ketaatan kepada para Rasul dan Nabi ini nyata bahawa ketaatan tersebut adalah kepada ajaran, perintah, larangan dan hukum yang berasal dari para Rasul dan Nabi itu sendiri bukan kepada sesebuah kitab suci.

Kajian kita ditumpukan kepada lima orang Nabi dan Rasul berikut, di mana kisah-kisah mereka telah diungkap Allah Subhanahu waTa’ala di dalam kitab al-Qur’anul Karim:

(Demikian juga) kaum Nabi Nuh telah mendustakan Rasul-rasul (yang diutus kepada mereka); Ketika saudara mereka – Nabi Nuh berkata kepada mereka: Mengapa kamu tidak bertaqwa ? Sesungguhnya aku ini ialah Rasul yang amanah, (yang diutus oleh Allah) kepada kamu; Oleh itu, bertaqwalah kepada Allah dan taatlah kepadaku. [asy-Syu’ara 26:105-108]

Kaum Aad telah mendustakan rasul-rasulnya, Ketika saudara mereka – Nabi Hud berkata kepada mereka: Mengapa kamu tidak bertaqwa ? Sesungguhnya aku ini ialah Rasul yang amanah, (yang diutus oleh Allah) kepada kamu; Oleh itu, bertaqwalah kepada Allah dan taatlah kepadaku. [asy-Syu’ara 26:123-126]

Kaum Thamud telah mendustakan rasul-rasulnya, Ketika saudara mereka – Nabi Shalih berkata kepada mereka: Mengapa kamu tidak bertaqwa ? Sesungguhnya aku ini ialah Rasul yang amanah, (yang diutus oleh Allah) kepada kamu; Oleh itu, bertaqwalah kepada Allah dan taatlah kepadaku. [asy-Syu’ara 26:141-144]

Kaum Lut telah mendustakan rasul-rasulnya, Ketika saudara mereka – Nabi Lut berkata kepada mereka: Mengapa kamu tidak bertaqwa ? Sesungguhnya aku ini ialah Rasul yang amanah, (yang diutus oleh Allah) kepada kamu; Oleh itu, bertaqwalah kepada Allah dan taatlah kepadaku. [asy-Syu’ara 26:160-163]

Penduduk Aikah telah mendustakan rasul-rasulnya, Ketika saudara mereka – Nabi Syu’aib berkata kepada mereka: Mengapa kamu tidak bertaqwa ? Sesungguhnya aku ini ialah Rasul yang amanah, (yang diutus oleh Allah) kepada kamu; Oleh itu, bertaqwalah kepada Allah dan taatlah kepadaku. [asy-Syu’ara 26:176-179]

Dalam kumpulan ayat di atas, diterangkan kisah-kisah Nabi Nuh, Hud, Shalih, Lut dan Syu’aib alaihim-sallam yang telah memerintah kaum masing-masing untuk bertaqwa kepada Allah, iaitu dengan mematuhi segala suruhan dan menjauhi segala larangan Allah; dan untuk mentaati diri mereka sendiri. Kita sama-sama ketahui bahawa mereka adalah para Nabi dan Rasul yang tidak diturunkan sebuah kitab suci, maka merujuk kepada apakah mereka menuntut ketaqwaan dan ketaatan tersebut ? Ia tidak lain merujuk kepada segala ajaran, perintah, larangan dan hukum yang disampaikan oleh para Nabi dan Rasul itu sendiri.

Di sini jelas terbukti perintah mentaati seorang Nabi atau Rasul tanpa perlu ketaatan tersebut dirujuk atau didasarkan kepada sebuah kitab suci kerana jika setiap ajaran, perintah, larangan dan hukum seseorang Nabi atau Rasul wajib dirujuk dan dikandung sama oleh sebuah kitab suci, maka bagaimanakah kaum-kaum di dalam kisah-kisah di atas hendak mentaati segala ajaran, perintah, larangan dan hukum Nabi dan Rasul mereka padahal mereka tidak memiliki sebuah kitab suci untuk dirujukkan kepada ?

Dengan jelasnya perkara ini kepada kita, maka jelaslah juga satu prinsip asas yang penting, iaitu apabila Allah Subhanahu waTa’ala memerintahkan ketaatan kepada seseorang Rasul, perintah ketaatan tersebut adalah merujuk kepada segala ajaran, perintah, larangan dan hukum yang bersumber dari Rasul tersebut tanpa mengira sama ada Rasul tersebut diberi sebuah kitab suci atau tidak. Ia juga menunjukkan bahawa ketaatan adalah wajib kepada seseorang Rasul tanpa mengira sama ada subjek yang hendak ditaati dari Rasul itu terkandung sama di dalam kitab suci atau tidak. Ini adalah Sunnatullah terhadap para Nabi dan Rasul terdahulu dan Sunnatullah ini berlaku terus kepada Rasul yang terakhir, Muhammad sallallahu-alaihi-wasallam.[1]  

 

Kajian 2:  Kajian dari sudut susunan dan gaya bahasa terhadap ayat-ayat yang memerintahkan ketaatan kepada Rasulullah.



[1]               Abbas Mutawali Hammadah – Sunnah Nabi: Kedudukannya Menurut al-Qur’an,  ms 69-74.

 

 

   

 

 
 

al-Firdaus :: kandungan :: rujukan & kajian