al-Firdaus :: kandungan :: rujukan & kajian

Kajian : 1 2 3

 
 

Kedua: Kajian dari Sudut Susunan dan Gaya Bahasa terhadap ayat-ayat yang Memerintahkan Ketaatan kepada Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam.

Terdapat dua ragam atau pola susunan ayat yang memerintahkan ketaatan kepada Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam dan larangan menderhakainya. Ragam pertama adalah ayat-ayat yang memerintahkan ketaatan kepada Allah Subhanahu waTa’ala dan Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam dengan perkataan “taat” hanya disebut sekali diawal perintah. Perhatikan ayat-ayat berikut:

Katakanlah (wahai Muhammad): Taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya. Oleh itu, jika kamu berpaling (menderhaka), maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang kafir. [‘Ali Imran 3:32]

Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu. [al-Anfal 8:46]

Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia telah berjaya mencapai sebesar-besar kejayaan. [al-Ahzaab 33:71]

Ragam yang kedua pula adalah ayat-ayat yang memerintahkan ketaatan kepada Allah Subhanahu waTa’ala dan Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam dengan perkataan “taat” hanya disebut dua kali bagi setiap perintah. Perhatikan ayat-ayat berikut:

Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. [al-Nisaa’ 4:59]

Dan taatlah kamu kepada Allah serta taatlah kepada Rasulullah; maka kalau kamu berpaling, sesungguhnya kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan (perintah-perintah) dengan jelas nyata. [AT-Taghabun 64:12]

Dan taatlah kamu kepada Allah serta taatlah kepada Rasul Allah, dan awaslah (janganlah sampai menyalahi perintah Allah dan Rasul-Nya). [al-Maidah 5:92]

Dua ragam atau pola susunan ayat yang berbeza ini bukanlah sesuatu yang tidak disengajai di dalam al-Qur’an, tetapi ia adalah salah satu tanda kemukjizatan dan kekayaaan gaya bahasanya. Ragam dan pola susunan pertama hanya menyebut perintah “taat” sekali, iaitu Taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya, bererti ia mewakili ketaatan kepada ajaran, perintah, larangan dan hukum di dalam al-Qur’an dan al-Hadis yang ada persamaan di antara kedua-duanya. Justeru kerana adanya persamaan tersebut, adalah memadai perintah taat disebut sekali sahaja diawalnya. Contohnya adalah perintah wajib berwudhu di dalam solat, ia diwajibkan oleh al-Qur’an dan juga oleh al-Hadis.

Ragam dan pola susunan kedua pula mengulangi kata “taat” bagi setiap perintah, iaitu Taatlah kepada Allah dan taatlah kepada Rasul-Nya, bererti ia merangkumi ketaatan kepada ajaran, perintah, larangan dan hukum di dalam al-Qur’an dan al-Hadis yang memiliki perbezaan dengan setiap darinya tetap ditaati walaupun tidak memiliki persamaan antara satu sama lain. Justeru perintah al-Qur’an wajib ditaati dan perintah al-Hadis wajib ditaati sekalipun tidak ada perhubungan atau kesamaan antara kedua-duanya. Contohnya adalah perintah mengulangi wudhu’ kerana beberapa sebab yang membatalkannya, ia wajib ditaati sekalipun ia hanya disebut oleh al-Hadis dan tidak disebut oleh al-Qur’an.[1]

Keterangan dalam perenggan terakhir di atas diperkuatkan lagi dengan kehadiran ayat-ayat yang hanya memerintahkan ketaatan kepada Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam dan larangan menderhakainya secara bersendirian sahaja. Perhatikan ayat-ayat berikut:

Dan dirikanlah kamu akan sembahyang serta berilah zakat; dan taatlah kamu kepada Rasulullah supaya kamu beroleh rahmat. [an-Nur 24:56]

Dan jika kamu taat kepadanya (Muhammad) nescaya kamu beroleh hidayah petunjuk. [an-Nur 24:54]

Pada hari itu orang-orang yang ingkar dan derhaka kepada Rasulullah, suka jika mereka disama ratakan dengan tanah (ditelan bumi), dan (ketika itu) mereka tidak dapat menyembunyikan sepatah kata pun dari pengetahuan Allah. [an-Nisaa’ 4:42]

Dan sesiapa yang menentang (ajaran) Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya kebenaran pertunjuk (yang dibawanya), dan ia pula mengikut jalan yang lain dari jalan orang-orang yang beriman, Kami akan memberikannya kuasa untuk melakukan (kesesatan) yang dipilihnya, dan (pada hari akhirat kelak) Kami akan memasukkannya ke dalam neraka jahanam; dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali. [an-Nisaa’ 4:115]

4 ayat di atas menerangkan perintah untuk mentaati Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam dan larangan menderhakainya dan sebagaimana yang telah disebut, perintah larangan ini ditujukan khusus terhadap diri Rasulullah sallallahu-alaihi-wasalam sahaja. Ini tidak lain menunjukkan perintah mutlak mentaati segala ajaran, perintah, larangan dan hukum Rasulullah tanpa mengambil kira sama ada ia terkandung dalam al-Qur’an atau tidak.

 

Kajian 3:  Kajian terhadap ayat-ayat yang memberi kuasa dan authority kepada Rasulullah untuk menggubal dan melaksanakan hukum secara tersendiri.

 



[1]               Quraish Shihab – Membumikan al-Qur’an: Fungsi dan Peran Wahyu dalam Kehidupan Masyarakat , ms 121.

 

          

 

 

   

 

 
 

al-Firdaus :: kandungan :: rujukan & kajian