|
Hafiz Firdaus Abdullah |
|
Bahagian II Tajuk 1:2:3:4:5:6:7:8:9:10:11:12:13 8 Meletak Penghadang Di Hadapan Tempat Solat. Seseorang yang bersolat berhampiran dengan suasana khalayak ramai atau di kawasan lalu-lalang orang-orang adalah disunatkan mengadakan penghadang di hadapan tempat solatnya supaya dapat memberi isyarat kepada orang lain agar tidak lewat di tempat solatnya dan supaya penglihatan orang yang bersolat itu tidak merata kepada pandangan-pandangan selain yang dibatasi oleh penghadangnya. Dalam kitab-kitab fiqh penghadang ini lebih dikenali sebagai sutrah. Sabda Nabi sallallahu-alaihi-wasallam tentang hal ini: Apabila seseorang mengerjakan solat maka berhadanglah dan mendekatlah kepadanya.[1] Jarak penghadang itu dengan orang yang bersolat itu adalah sepertimana terang Nabi Sallallahu-alaihi-wasallam: Apabila kamu membuat penghadang di hadapan kamu sepanjang hujung pelana unta maka orang yang lalu di hadapan kamu tidak akan merugikan kamu.[2] Menurut kiraan masa kini, ianya adalah sepanjang satu hasta tangan atau kurang sedikit[3] manakala menurut pendapat lain yang lebih terpilih, ianya adalah sekadar mencukupi untuk seseorang itu bersujud sebelumnya.[4] Kedudukan penghadang itu bukanlah benar-benar tepat di hadapan muka atau tempat sujud tetapi ianya adalah di tepi sedikit samada ke kanan atau ke kiri. Aswad radiallahu-anhu menerangkan: Aku tidak pernah melihat Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam mengerjakan solat dengan berhadangkan kayu, tiang atau pohon pokok kecuali beliau jadikan sebagai penghadang di kanan atau kiri dan beliau tidak menghadapnya tepat.[5] Alat yang boleh dibuat sebagai penghadang adalah sebagaimana sabda Nabi sallallahu-alaihi-wasallam: Apabila seseorang mengerjakan solat hendaklah dia membuat suatu penghadang di hadapannya. Jika tidak berkebolehan maka pacaklah sebuah tongkat. Jika tidak membawa tongkat buatlah satu garis setelah itu tidaklah akan merugikannya apapun yang berlalu di hadapannya.[6] Akan tetapi alat penghadang itu tidaklah terhad kepada tongkat sahaja tetapi ianya terbuka kepada apa sahaja benda yang dapat mencapai tujuan sebagai penghadang. Contohnya ialah sebuah bantal atau beg bagasi. Walaubagaimanapun ditegah daripada menggunakan sesuatu yang mirip kepada alat atau cara peribadatan kaum lain sebagai penghadang seperti patung, api atau gambar orang. Sepertimana yang telah diterangkan di atas, tujuan di adakan penghadang bagi orang yang bersolat ialah supaya solatnya itu tidak diganggu oleh orang atau sesuatu lewat di hadapannya dan supaya orang yang bersolat itu sendiri dapat mengawal arah penglihatannya agar tidak merayau ke sana-sini. Jikalau seseorang yang bersolat tanpa penghadang lalu kemudian lewat seseorang atau sesuatu di hadapannya maka itu tidaklah membatalkan solatnya. Kita hanya disuruh menghalang sedapat mungkin orang yang berlalu itu. Nabi sallallahu-alaihi-wasallam telah bersabda: Apapun yang berlalu di hadapan orang yang solat tidaklah membatalkan solat itu. Dan tolaklah / halanglah sedapat mungkin (orang yang berlalu itu-P) kerana dia itu syaitan.[7] Adapun kehadiran beberapa hadith lain yang menerangkan bahawa solat seseorang tanpa penghadang akan terbatal apabila melintas di hadapannya anjing hitam, keldai dan wanita dewasa (telah datang haid), maka hadith-hadith ini sebenarnya bermaksud bahawa solat seseorang itu akan terganggu kekhusyu'kan, kesempurnaan dan ganjarannya apabila berlalunya semua tersebut. Akan tetapi ia tidaklah membatalkan keseluruhan ibadah solat itu. Demikian kefahaman yang diberi oleh para ulama' peneliti apabila menganalisa keseluruhan dalil-dalil yang bersangkutan dengan bab ini.[8] Orang yang bersolat berhampiran tempat orang ramai dan dia sengaja enggan meletak penghadang di hadapannya lalu kemudian solatnya itu dilewati orang atau sesuatu lain maka orang yang bersolat itu akan dipertanggungkan ke atas gangguan yang di hadapinya itu. Malah menurut pendapat para fuqaha dari Mazhab Hanafi dan Maliki orang tersebut adalah berdosa kerana sengaja membiarkan amalan solatnya terbuka kepada gangguan-gangguan.[9] Umar al-Khattab radiallahu-anhu pernah berkata: Seandainya orang yang solat itu mengetahui apa yang kurang dari solatnya kerana dilewati sesuatu di hadapannya maka sudah tentu dia tidak akan solat melainkan dengan menghadap kepada sesuatu yang menghadangnya dari manusia.[10] Sebaliknya orang yang bersolat dengan penghadang di hadapannya lalu kemudian dilewati orang di sebelum penghadang itu maka orang yang lewat itulah yang dikira berdosa. Sabda Nabi sallallahu-alaihi-wasallam: Andaikata orang yang berlalu di hadapan orang yang solat itu mengetahui dosanya pasti lebih baik baginya berdiri tegak (tidak melintas-P) selama 40 tahun lamanya daripada dia berlalu di hadapan orang yang solat itu.[11] Daripada penerangan-penerangan beserta dalil-dalil yang dihuraikan maka hendaklah kita meletakkan penghadang apabila solat berhampiran dengan kawasan lalu-lalang orang ramai, mungkin termasuk juga di dalam rumah sendiri. Solat dalam pesawat terbang atau di terminal yang tidak dilengkapi surau amat menekankan bagi kita untuk menyediakan penghadang apabila mendirikan solat. Alat yang digunakan sebagai penghadang hendak dapat memenuhi syarat tujuan diadakan penghadang. Contohnya ialah tidak mungkin memadai dengan hanya meletak sebatang pen di hadapan kita sebagai maksud penghadang kerana mungkin sahaja ia difahami orang lain terutamanya golongan non-muslim sebagai sesuatu yang tercicir di jalanan. Pilihan yang dicadangkan sebagai penghadang ialah bantal atau lipatan selimut bagi solat dalam pesawat dan beg bagasi bagi solat di bangunan terminal. Sebenarnya pilihan alat penghadang itu bergantung kepada situasi dan lokasi di mana kita berada. Contohnya apabila berada di masjid-masjid atau surau maka adalah memadai apabila garisan-garisan saf di lantai masjid itu dijadikan sebagai penghadang, mengingatkan kepada hadith Nabi sallallahu-alaihi-wasallam yang membolehkan penggunaan garisan sebagai satu penghadang. Kesimpulan 1. Dianjurkan meletak sesuatu sebagai penghadang apabila solat di ruang yang berhampiran dengan lintasan orang ramai. 2. Solat tanpa penghadang di khalayak ramai tidaklah membatalkan solat itu tetapi hanya mengurangkan pahala dan kesempurnaannya. 3. Sengaja melintas di hadapan orang yang sedang solat di antara penghadangnya adalah berdosa hukumnya. Tetapi jikalau tiada penghalang yang disediakan maka orang yang bersolat itulah yang dipertanggung-jawabkan. [1] Maksud hadith dari Sunan Abu Daud - no: 0666. [2] Maksud hadith dari Thalhah bin Ubaidillah radiallahu-anhu, Sunan Abu Daud - no: 0656. [3] Imam Ibnu Hajar al-Asqalani - Fath-ul-Bari, 1/387 dan al-Alamah Syamsul Haq-Abadi - Aunul Ma'bud Syarh Sunan Abu Daud, 2/280. [4] Shaikh Sayid Sabiq - Fiqh-us-Sunnah, 2/161. [5] Maksud hadith dari Sunan Abu Daud - no: 0661. Menurut Prof. Dr. Hasbi as-Shiddieqie hadith ini terdapat perbincangan terhadap status kekuatannya - Koleksi Hadith-hadith Hukum, 3/352. [6] Maksud hadith dari Abu Hurairah radiallahu-anhu, Sunan Abu Daud, no: 0659. [7] Maksud hadith dari Abu Said al-Khudri radiallahu-anhu, Sunan Abu Daud - no: 0687. Hadith ini dibicarakan tentang kekuatannya tetapi mempunyai banyak penyokong dari pelbagai riwayat-riwayat lain yang sahih. Lihat penerangan Imam an-Nawawi dalam Majmoo Syarh al-Muhadzzab, 3/227. [8] Perbincangan dalam bab ini adalah terlalu luas untuk disertakan dalam tulisan ini. Lihat kitab hadith Sunan Abu Daud, 1/459-479 bagi himpunan hadith-hadith dalam bab penghadang ini. Selain itu lihat mana-mana kitab fiqh muktabar, antaranya - Prof. Dr. Hasbi as-Shiddieqie - Koleksi Hadith-hadith Hukum, 3/347-369, Imam asy-Shaukani - Nail-ul-Authar, 3/17-32, Imam as-Sha'nani - Subul-us-Salam, 1/424-442, Prof. Dr. Wahbah Zuhaili - Fiqh dan Perundangan Islam, 1/ 784-797, Imam an-Nawawi - Majmoo Syarh al-Muhadzzab, 3/230-235, Imam Ibnu Qudamah - al-Mughni, 2/247-250. Lihat juga kitab-kitab syarh hadith seperti yang diusahakan oleh al-Alamah Syamsul Haq-Abadi - Aunul Ma'bud Syarh Sunan Abu Daud, 2/280. [9] Shaikh Abdul Rahman al-Jaziri - Fiqh 'Alal Madzahibil Arba'ah, 1/473-475. al-Firdaus.Com :: Senarai Kandungan
|