Musafir  Penerbangan dan Beberapa  Permasalahannya

Hafiz Firdaus Abdullah

Bahagian II   Tajuk 1:2:3:4:5:6:7:8:9:10:11:12:13

2 Menentukan Waktu Solat dalam Penerbangan.

            Solat adalah amal ibadah fardhu yang wajib didirikan dalam waktunya yang telah sedia disyari’atkan berdasarkan firman Allah Subhanahu waTa'ala: Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya. [Maksud surah an-Nisaa' 04 - 103]

            Baginda Nabi sallallahu-alaihi-wasallam telahpun menentukan secara terperinci bagaimanakah caranya menetapkan waktu solat dengan sabda beliau: Waktu Zuhur itu ialah ketika matahari telah condong ke Barat sehingga bayang-bayang orang seperti tingginya selama belum masuk waktu Asar dan akhir waktu Asar itu ialah selama mana belum menguningnya matahari, dan waktu solat Maghrib hingga sebelum hilangnya awan mega merah dan waktu Isya' ialah hingga tengah malam dan waktu subuh mulai dari terbit fajar hingga selama matahari belum terbit.[1]  Dari hadith ini dapat kita fahami bahawa cahaya serta kedudukan matahari itu dijadikan alat ukuran bagi menentukan mula dan akhirnya sesuatu waktu itu. Secara ringkasnya, Solat Subuh ialah ketika terbitnya fajar sadiq, iaitu dari munculnya warna putih yang merata (horizontal) di ufuk (horizon), dan waktu yang dibolehkan untuk melakukan solat ini terus berlangsung hingga nampak timbulnya bulatan terawal matahari.

Solat Zuhur ialah dari tergelincirnya matahari timur ke barat dari posisinya yang tegak hinggalah apabila bayang-bayangnya menjadi sama panjang dengan sesuatu yang dibayanginya, kemudian diikuti dengan  Solat Asar iaitu dari tergelincirnya matahari timur ke barat lalu bayangannya melebihi panjang yang asal dari sesuatu yang dibayanginya hinggalah apabila matahari condong menghampiri ufuk Barat lalu berkuningan rupa-bulatannya. Kuningnya matahari ialah seketika pendek sebelum terbenamnya keseluruhan bulatan matahari tersebut dan seseorang di waktu itu tetap dikira telah mendapat solat Asarnya berdasarkan sabda Nabi sallallahu-alaihi-wasallam: Barangsiapa yang telah mendapat serakaat dari solat Asar sebelum terbenam matahari maka dia telah mendapat solat Asar secara tunai.[2]   Seseorang yang sempat melengkapkan satu rakaat disaat ini adalah dikira sebagai telah mendapat solat Asarnya itu, dia hanya perlu terus melengkapkan bilangan rakaat yang selebihnya.

Solat Maghrib pula bermula apabila tenggelamnya keseluruhan bulatan matahari ke bawah ufuk (horizon) hinggalah apabila mega-mega merah di arah Barat langit mula menghilang. Apabila hilang cahaya mega merah di ufuk Barat maka masuklah Solat Isya’ dan waktunya itu berlangsung sehingga ke pertengahan malam berdasarkan hadith Nabi sallallahu-alaihi-wasallam: dan waktu Isya' ialah hingga tengah malam. Sementara itu terdapat pendapat yang mengatakan bahawa waktu solat isya' itu adalah sehingga terbitnya fajar sadiq di esok paginya berdasarkan hadith: Tidak ada kecuaian kerana tertidur tetapi kecuaian ialah pada orang yang tidak solat sehinggalah datang waktu solat yang lain.[3] Hadith ini difahami sebagai menerangkan bahawa waktu solat itu berlangsung sehingga masuk waktu solat yang lain. Walaubagaimanapun pendapat ini dikira lemah kerana hadith kedua tersebut adalah bersifat umum manakala hadith pertama bersifat khusus, jelas menerangkan bahawa waktu isya' itu berakhir di separuh malam. Dalam kaedah usul al-Fiqh, jikalau terdapat dua dalil yang nampaknya bertentangan dalam satu keadaan maka hendaklah diutamakan dan diambil hukum dari dalil yang khusus berbanding dengan yang umum. Maka secara umum semua solat itu berakhir dengan masuknya waktu solat yang lain kecuali bagi solat subuh dan isya' di mana telah ditentukan secara khusus dalam hadith yang berasingan tentang waktu akhirnya.[4]  Mendirikan solat isya' selepas pertengahan malam hanya dibolehkan bagi mereka yang terlupa atau terlalai atau tertidur atau menghadapi suasana uzur atau darurat, demikian menurut Imam an-Nawawi dan Ibnu Qudamah.[5]

Menentukan Waktu Solat dalam Penerbangan.       

Musafir dengan pesawat terbang masa kini mempunyai suasana khususnya yang tersendiri dan sering menimbulkan pertanyaan bagi mencari dan menentukan bilakah mula dan berakhirnya sesuatu waktu solat itu. Arah penerbangan yang adakalanya sehaluan dengan pusingan bumi dan arah gerak matahari, dan adakalanya sehaluan dengan pusingan bumi tetapi berlawanan pula dengan arah gerak matahari, ditambahi dengan arah penerbangan yang menuju ke utara dan ada yang ke selatan dan ada yang tidak mempunyai arah yang tetap dalam sepanjang perjalanan - semuanya menyumbang kepada kesukaran mengira dan menentukan waktu solat.

            Walaubagaimanapun suasana musafir sebegini tidak pantas boleh dijadikan faktor keuzuran untuk tidak berusaha mencari dan menentukan waktu solat. Ini adalah kerana setiap penerbangan itu tetap tertakluk kepada suasana siang dan malam dan tetap berada di bawah pancaran sinar matahari, samada bayangan atau cebisan cahayanya. Maka oleh itu adalah tetap wajib bagi setiap muslim yang sedang musafir dalam penerbangan, mencari dan menentukan waktu solatnya.

            Beberapa kaedah asas yang yang dapat membantu seseorang itu menentukan waktu solat ialah dengan menggunakan sebatang pen atau pencil lalu dipegang di tingkap kapalterbang untuk diukur-banding bayangannya bagi menentukan waktu Zuhur atau Asar, melihat di ufuk timur bagi tanda permulaan waktu Subuh atau ufuk barat bagi tanda permulaan waktu Maghrib dan Isya'. Seharusnya juga bagi seseorang itu melakukan persiapan ringkas sebelum mengambil sesebuah penerbangan, seperti mencari arah purata penerbangan tersebut supaya mudah baginya mengetahui beza condong bayangan dan arah matahari yang hendak dicari.

            Contohnya bagi penerbangan dari Kuala Lumpur ke Tokyo yang mempunyai tujuan purata ke arah utara, berlepas di malam hari dan tiba di pagi hari, maka adalah seharusnya seseorang itu meminta terlebih awal agar diberikan kerusi duduk di sebelah kanan pesawat supaya dia dapat melihat ke arah timur bagi menentukan masuknya waktu Subuh. Selain arah penerbangan dan hubungannya dengan arah gerakan matahari, penentuan kasar waktu solat boleh diusahakan terlebih awal samada dengan bentuk kiraan sendiri atau dengan menggunakan alat kiraan elektronik. Bilangan koordinat boleh didapati dari peta atlas atau boleh sahaja ditanya kepada juruterbang pesawat. Keputusan muktamad hendaklah tetap dengan merujuk kepada bayangan atau cahaya di ufuk kerana mungkin sahaja waktu kiraan itu berubah sedikit sebanyak selari dengan posisi pesawat dan arah penerbangannya.

            Walauapapun ikhtiar yang diusahakan bagi menentukan masuknya waktu solat, kewajipan mendirikan solat dalam waktunya adalah sesuatu yang tidak boleh dipandang longgar atau remeh. Adalah merupakan kesepakatan jumhur bahawa solat itu wajib dilakukan dalam waktunya yang sah dan tiada kelonggaran mudah yang disediakan dalam suasana perjalanan mahupun musafir.

Menentukan Waktu Solat di Destinasi Ketibaan.                    

Apabila tiba ke destinasi maka menentukan waktu solat adalah lebih mudah dengan wujudnya komuniti Muslim di berbagai lokasi di seluruh dunia sebagai sumber rujukan dan pertanyaan. Selain itu waktu solat di seluruh bandar-bandar utama dunia juga senang di dapati melalui layar internet, dan jikalau seseorang itu tidak mempunyai kesediaan internet di rumahnya pasti sahaja jiran di sebelah ada berpunya. Selain itu berbagai alat elektronik mudah alih sedia wujud bagi mengira waktu solat samada yang berbentuk jam tangan atau alat simpanan muatan kocek. Hanya sahaja yang perlu ditekankan bahawa jikalau terdapat perbezaan waktu beberapa minit antara alat kiraan moden dengan kiraan komuniti setempat, maka hendaklah diutamakan kiraan setempat. Perbezaan mungkin timbul kerana alat elektronik atau kiraan internet tidak mengambil kira akan beza ketinggian sesebuah bandar di atas paras laut atau beza kaedah kiraan kerana sebab mazhab ikutan atau kedudukan geografi.

            Sekali lagi ditekankan bahawa dengan wujudnya pelbagai kemudahan di zaman kini, seseorang itu tidak mempunyai sebarang alasan kukuh untuk tidak mengetahui waktu solat di destinasi tujuannya. Kegagalan seseorang itu memastikan waktu-waktu solatnya adalah lebih kerana kemalasan berbanding kesukaran dan ini bukanlah satu sikap yang ditoleran oleh agama. Diulangi perintah Allah Azza waJalla tentang kewajipan solat di waktunya: Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya. [Maksud surah an-Nisaa' 4 - 103].

Halangan Berat Bagi Menentukan Waktu Solat.         

Jikalau seseorang itu terhalang dari dapat menentukan waktu solat, seperti awan gelap yang meliputi ufuk barat pesawat terbang sehingga menghalang kedudukan pasti matahari, terkurung di dalam bilik yang tidak bertingkap, terdampar di kepulauan terpencil yang diselubungi pula dengan cuaca musim dingin dan sebagainya, maka dia tetap diwajibkan berijtihad sedaya mungkin, setepat mungkin bagi mencari waktu-waktu solatnya. Seseorang itu wajib mencari apa jua tanda dan bukti yang sedia ada dan dengan tanda atau alat-alat tersebut menjangka sekuat mungkin akan waktu-waktu solat tersebut. Apabila dia telah yakin, ataupun keyakinan itu lebih dari prasangka maka hendaklah dia bersolat dalam waktu yang diyakininya itu. Sebagai langkah tambahan, diharuskan melambatkan sedikit perlaksanaan solatnya itu sehingga bertambah keyakinan diri asal sahaja tidak sehingga terkeluar waktu pula.

            Solat berdasarkan ijtihad waktu sebegini adalah dikira sah. [6] Akan tetapi jikalau di kemudian masa dengan menggunakan alat kiraan atau dengan terlihatnya matahari, dia mendapati bahawa jangkaan waktu sebelumnya itu adalah tidak tepat, maka mengikut pendapat yang terkuat dia harus mendirikan semula solatnya itu. Ini adalah kerana keseluruhan perbuatan solat itu dilakukannya di luar waktu ketetapan dan ini wajib diulangi jikalau dia mengetahui akan kesilapannya. Sebaliknya jikalau dia secara terus tidak dapat memastikan ketepatan jangkaan waktu sebelumnya itu samada betul atau salah maka solatnya yang awal itu adalah tetap sah dan tidak perlu diulangi.

Nota Tambahan

            Adakalanya dalam satu-satu kes terpencil, seseorang itu berkemungkinan menjumpai satu waktu solat itu berulang beberapa kali. Contohnya bagi penerbangan jarak jauh yang menghampiri kawasan kutub, seseorang itu akan mendapati terbitan fajar berlaku beberapa kali. Ataupun dalam kes yang lain, disebabkan oleh pesawat yang mengubah arah penerbangannya beberapa kali, maka adakalanya fajar terlihat dan adakalanya berselindung semula dan kembali terbit seketika kemudian. Oleh itu berapa kalikah dia harus menunaikan solat subuhnya ? Maka dalam hal ini penulis berpendapat bahawa adalah memadai bagi seseorang itu menunaikan solat subuhnya itu hanya sekali dan yang sebaiknya adalah di kali pertama dia nampak terbitan fajar itu. Walaubagaimanapun tidak ada halangan bagi seseorang untuk menunaikan solat subuhnya itu lebih dari sekali.

            Dalam kes yang lain, penerbangan jarak jauh antara benua ke benua akan melihatkan seseorang itu melompat satu hari ke depan atau satu ke belakang dari tarikh asal mula penerbangan. Timbul soalan - adakah perlu dia membayar balik solat-solat yang tertinggal kerana hari yang tertinggal atau menduakan solat-solatnya kerana hari yang terkehadapan ? Jawapannya ialah tidak perlu kerana solat fardhu lima kali sehari adalah di dasarkan kepada pergerakkan atau posisi matahari dan bukannya kiraan hari atau tarikh haribulan. Walaubagaimanapun seperti mana  kes di atas, tiada halangan untuk dia membayar balik solat yang ketinggalan harinya dan begitulah juga sebaliknya atas dasar keyakinan diri dan pilihan yang dijangkakan lebih selamat.

Kesimpulan

1.     Menunaikan solat dalam waktunya adalah satu ketetapan yang jelas lagi pasti dan hukumnya adalah wajib.

2.     Wajib berusaha memastikan bahawa seseorang itu berada di dalam waktu solatnya sebelum dia melaksanakannya.

3.     Berbagai kaedah dan cara wujud untuk memastikan waktu solat dan yang terpenting hanyalah usaha diri masing-masing.

4.     Jikalau tidak dapat diketahui waktu solatnya maka seseorang itu tetap wajib mendirikan solat fardhunya itu dalam masa yang dijangka kuat sebagai betul. Seandainya di kemudian ketika dia mengetahui akan silapnya masa solat asalnya itu maka hendaklah dia mengulanginya dan jikalau tidak diketahui langsung maka pengulang adalah tidak perlu.


 

[1]              Maksud hadith dari Abdullah bin Amr radiallahu-anhu, Sahih Muslim - hadith no: 0612.

[2]              Imam as-Sha'nani - Subul-us-Salam, 1/307 . Maksud hadith dari Abu Hurairah ra, diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim, Misykat al-Masabih - 3/181/44.

[3]              Maksud hadith riwayat Imam Muslim dari Abu Qatadah, Subul-us-Salam, 1/308.

[4]              Imam as-Sha'nani - Subul-us-Salam, 1/308

[5]              Imam an-Nawawi - Majmu Syarh al-Muhadzzab, 1/66, Imam Ibnu Qudamah - al-Mughni, 1/397; Prof. Dr. Hasbi as-Shiddieqie - Koleksi Hadith-hadith Hukum, 2/81-88.

[6]              Imam Ibnu Qudamah - al-Mughni, 1/385-395 ; Prof. Dr. Abdul Karim Zaidan - Ensaiklopedia Fiqh, 1/277 ; Shaikh Sayid Sabiq -  Fiqh us-Sunnah, 1/263 ; Prof. Dr. Wahbah Zuhaili - Fiqh dan Perundangan Islam, 1/531 dan selain itu dikutipnya beliau hujah dari -  Mughni al-Muntaj, 1/127 ; Bujairimi al-Khatib, 1/355 ; Nihayah al-Muhtaj, 1/282 .

al-Firdaus.Com :: Senarai Kandungan