Musafir  Penerbangan dan Beberapa  Permasalahannya

Hafiz Firdaus Abdullah

Bahagian II   Tajuk 1:2:3:4:5:6:7:8:9:10:11:12:13

5 Solat-Solat Sunat Dalam Pesawat.

Terkecuali dari solat-solat fardhu yang lima, para ahli fiqh semuanya sepakat bahawa solat-solat yang sunat boleh didirikan tanpa perlu menghadap ke arah qiblat sambil duduk apabila seseorang itu sedang dalam perjalanan/musafir samada dalam suasana susah atau senang.[1] Berkata Imam Ibnu Qudamah: Kami tidak mengetahui adanya perselisihan ulama' mengenainya bolehnya melakukan solat sunat di atas kenderaan ketika seorang itu melakukan perjalanan yang jauh. Contohnya bagi seseorang yang sedang musafir dalam pesawat terbang maka dibolehkan bagi dia bersolat sambil duduk mengikut arah penerbangan bagi mendirikan solat-solat sunatnya seperti solat sunat Dhuha, Witir, Qiamulail dan lain-lain. Syaratnya ialah asal sahaja dia dalam perjalanan samada ke destinasi atau pulang ke rumah maka ia dibolehkan. Ketibaan di destinasi tidak kira berapa hari di sana tidak termasuk dalam kebolehan ini kerana tidak diperolehi dalil bahawa Nabi sallallahu-alaihi-wasallam ada berbuat demikian. Kelonggaran hukum ini juga tidak dibolehkan bagi perjalanan dalam persekitaran bandar atau kampung halaman. Banyak dalil-dalil yang membolehkan solat sunat di atas kenderaan ketika dalam perjalanan dan 4 darinya adalah seperti berikut:

 [01] Abdullah ibnu Umar radiallahu-anhu berkata: Nabi sallallahu-alaihi-wasallam pernah solat sunat di atas kenderaannya dengan menghadap ke arah mana sahaja kenderaannya menuju dan beliau juga mengerjakan solat witirnya (begitu). Tetapi hal sedemikian tidak beliau lakukan dalam solat yang fardhu.[2]

[02] Amir bin Rabi'ah radiallahu-anhu berkata: Aku melihat Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam melakukan solat sunat malam (qiamulail) di atas kenderaannya ketika berpergian dengan menghadap ke arah mana sahaja yang ditujui perjalanan.[3]

 [03] Jabir bin Abdillah radiallahu-anhu berkata: Aku pernah melihat Nabi sallallahu-alaihi-wasallam solat sunat sedang beliau berada di atas kenderaannya mengikut setiap arah. Namun beliau merendahkan sujudnya itu daripada rukuknya dan beliau berisyarat dengan suatu isyarat.[4]

 [04] Anas bin Malik radiallahu-anhu berkata: Apabila Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam solat sunat di atas kenderaannya beliau menghadap ke qiblat lalu bertakbir untuk solat kemudian beliau solat mengikuti arah ke mana sahaja kenderaan itu menuju.[5]

Dari hadith-hadith di atas dapat kita pelajari beberapa kaedah bagi mendirikan solat sunat dikala musafir, iaitu:

1.     Seseorang itu dibolehkan solat di atas kenderaannya apabila dia sedang dalam perjalanan atau musafir samada suasana musafirnya itu melibatkan kesukaran atau tidak. Ini adalah dari perbuatan Nabi sallallahu-alaihi-wasallam sendiri yang kemudiannya diteladani oleh para sahabat, bahawa mereka melaksanakan solat-solat sunat mereka di atas kenderaan setiap masa apabila dalam perjalanan tidak kira samada perjalanan itu melibatkan suasana sulit atau tidak. Ini berbeza dengan solat dengan duduk atau berbaring jikalau berada di rumah atau kampung halaman di mana hadith yang membolehkan sedemikian mensyaratkan suasana sakit atau ketidak-upayaan.

Disebalik itu ada yang berpendapat solat sunat sebegini hanya dibolehkan dalam suasana musafir yang menghadapi kesukaran[6] akan tetapi tiada dalil kuat yang ditemui bagi menyokong pendapat ini. Disalin penerangan Imam an-Nawawi berkenaan hal ini: Mengerjakan solat witir di atas kenderaan dalam safar adalah dibolehkan. Demikian Mazhab ulama'-ulama' Shafie. Samalah juga keadaannya dengan solat-solat sunat yang lain, samada disertai keuzuran atau tidak. Demikianlah pendapat jumhur dari kalangan sahabat dan tabiin. Di antara yang memegang pendapat ini ialah Abdullah ibnu Umar, Abdullah ibnu Abbas ra; Imam Malik, Ahmad, at-Tsauri, Atha Ishaq dan Daud.[7]

2.     Solat di atas kenderaan tanpa menghadap qiblat dan dengan kaedah duduk hanya dibolehkan bagi solat-solat sunat dan tidak solat fardhu. Bagi solat fardhu, sebagaimana yang telah dihuraikan dalam bab sebelum ini hanya boleh didirikan secara ini jikalau menghadapi kesulitan atau kesukaran yang berat.

3.     Apabila solat secara duduk di atas kenderaan, rukuk dan sujud adalah mencukupi syarat dengan tunduk dengan kepala dan sebahagian badan. Seseorang itu tidak perlu sujud sehingga dahinya mencecah permukaan kenderaannya tetapi adalah mencukupi apabila sujudnya itu berposisi lebih rendah dari rukuknya.

4.     Kenderaan yang dibolehkan solat sunat di atasnya tidak terhad kepada unta dan keldai sahaja tetapi meliputi apa jua medium pengangkutan yang lazim didapati sepanjang zaman. Yang dihendaki (illat) dalam pelajaran hadith-hadith ini bukanlah jenis kenderaan tetapi ialah bagi menerangkan kemudahan agama dalam perlaksanaan solat-solat sunat di kala musafir.

5.     Jikalau berkemampuan adalah lebih afdal menghadap qiblat di kala takbir yang pertama.

Dari perbincangan ini timbul pula satu perbincangan di kalangan ahli-ahli ilmu: Jikalau seseorang itu mempunyai pilihan, manakah yang lebih baik - Solat sunat secara sempurna atau solat sunat duduk di atas kenderaan ? Pendapat pertama mengatakan bahawa solat sunat secara sempurna adalah lebih baik berdasarkan hadith berikut:

 Dari Imran bin Hussain radiallahu-anhu katanya: Aku pernah bertanya kepada Nabi sallallahu-alaihi-wasallam tentang seorang yang solat sambil duduk. Maka beliau bersabda: Seseorang yang solat sambil berdiri maka hal itu lebih afdal, seseorang yang solat sambil duduk maka dia mendapat pahala separuh dari pahala seorang yang solat berdiri. Dan seorang yang solat sambil baring maka dia mendapat pahala separuh dari seorang yang solat sambil duduk.[8]

Sementara pendapat kedua pula menyatakan solat sunat di kala musafir di atas kenderaan adalah lebih baik dilaksanakan secara duduk tanpa menghadap qiblat berdasarkan beberapa hujah:

1.     Solat sunat cara ini adalah merupakan sunnah Nabi sallallahu-alaihi-wasallam yang paling nyata dipraktikkan beliau, sebagaimana yang tercatit dalam banyak hadith-hadith yang sahih. Mengikuti sunnah Nabi sallallahu-alaihi-wasallam adalah sesuatu yang amat dituntut oleh Islam terhadap umatnya.

2.     Menerima dan mempraktikkan kemudahan agama adalah sesuatu yang disukai berdasarkan sabda Nabi sallallahu-alaihi-wasallam: Sesungguhnya Allah menyukai keringanan-keringanan hukumNYA itu diamalkan,sebagaimana IA benci laranganNYA dikerjakan. [9] 

3.     Hadith yang menerangkan kurangnya keafdalan menunaikan solat-solat sunat secara duduk adalah lebih tepat ditujukan kepada suasana perlaksanaannya di rumah atau di destinasi dan bukan bagi suasana perjalanan atau musafir. Fahaman ini didasarkan kepada perbandingan sunnah Nabi sallallahu-alaihi-wasallam yang bersolat sunat secara berdiri ketika berada di Madinah dan berkenderaan pula dikala dalam perjalanan.

Kesimpulan

1.     Apabila seseorang itu berada dalam perjalanan maka dibolehkan dia melaksanakan solat-solat sunatnya di atas kenderaannya, dengan cara duduk dan tidak menghadap qiblat.

2.     Solat sunat di atas kenderaan adalah satu kemudahan (rukhsah) agama dan boleh diamalkan sekalipun tiada kesukaran yang dihadapi.

3.     Kemudahan ini hanya bagi solat-solat yang sunat, tidak bagi solat-solat yang fardhu.

Perjalanan yang dimaksudkan ialah perjalanan jauh di luar batas harian ke arah satu-satu dentinasi. Perjalanan di sekitar bandar atau kampung halaman atau di sekitar destinasi tidak termasuk dalam kelonggaran hukum ini.


 

[1]              Imam Ibnu Qudamah - al-Mughni, 1/434 ; Imam Ibnu Hazm - al-Muhalla, 3/56 ; Imam asy-Shaukani - Nail-ul-Authar, 1/332 ; Shaikh Sayid Sabiq - Fiqh-us-Sunnah, 1/279 ; Imam Ibnu Qayyim - Zaad-ul-Ma'ad, 1/285,406-408 dan mana-mana lain kitab fiqh muktabar.

[2]              Maksud hadith riwayat Imam Bukhari dan Muslim, al-Lu' Lu' wal Marjan - no: 0406.

[3]              Maksud hadith riwayat Imam Bukhari dan Muslim, al-Lu' Lu' wal Marjan - no: 0407.

[4]              Maksud hadith riwayat Imam Ahmad, Nail-ul-Authar, 2/333.

[5]              Maksud hadith riwayat dari Sunan Abu Daud - no: 1179.

[6]              Lihat perbandingan hujahnya oleh Prof. Dr. Wahbah Zuhaili dalam Fiqh dan Perundangan Islam, 1/625-631

[7]              Imam an-Nawawi - Majmoo Syarh al-Muhadzzab, 3/20-29.

[8]              Maksud hadith riwayat Imam an-Nasai dan lain-lain; Sunan an-Nasai, no: 1634. Perhatian: Para ahli fiqh sepakat menyatakan kelonggaran hukum dalam kaedah solat dari hadith di atas ditujukan kepada solat-solat sunat sahaja dan bukan solat fardhu. Ini berdasarkan perbandingan dengan pelbagai hadith lain yang bersangkut dengan kaedah perlaksanaan solat fardhu di mana kesemua hadith-hadith tersebut menetapkan bahawa berdiri bagi solat fardhu adalah wajib dan ia termasuk salah satu rukun solat yang pasti. Hanya bagi orang uzur/sakit dibolehkan solat fardhu tanpa berdiri jikalau dia tidak upaya.

[9]              Maksud hadith dari Abdullah ibnu Umar, Abdullah ibnu Abbas dan Abdullah ibnu Mas'ud radiallahu-anhum, diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Baihaqi dan at-Thabrani; Nail-ul-Authar - no: 1517.

al-Firdaus.Com :: Senarai Kandungan