|
Alhamdulillah,
selesailah perbahasan ke atas tujuh buah hadis yang
paling masyhur di sisi Syi‘ah yang mereka
jadikan dalil dan hujah ke atas kekhalifahan ‘Ali
bin Abi Thalib dan Ahl al-Baitnya
radhiallahu 'anhum. Perbahasan kita dapat
dirumuskan sebagai berikut:
1.
Hadis
Ghadir Khum, al-Tsaqalain dan al-Manzilah
hanya berperanan menerangkan keutamaan Ahl
al-Bait radhiallahu 'anhum, tidak lebih dari itu.
Ia tidak berperanan menetapkan hak kekhalifahan ke
atas mereka.
2.
Di antara semua sahabat, orang yang paling
memahami Hadis Ghadir Khum, al-Tsaqalain
dan al-Manzilah adalah ‘Ali bin Abi
Thalib. Akan tetapi kita tidak pernah mendapati
beliau menggunakannya sebagai dalil mahupun hujah
untuk menetapkan hak khalifah pada dirinya. Yang
mempergunakan hadis-hadis tersebut hanyalah para
tokoh Syi‘ah beberapa dekad selepas kewafatan
‘Ali radhiallahu 'anh.
3.
Hadis
12 Khalifah tidak ada kaitan langsung dengan
doktrin 12 Imamah yang menjadi salah satu
asas Syi‘ah.
4.
Hadis
al-Safinah, al-Dar dan Madinah al-‘Ilm
bukan sahaja lemah dari sudut sanad tetapi menghina
‘Ali dan Ahl al-Baitnya dari sudut maksud.
Hadis al-Safinah memperkayukan Ahl
al-Bait menjadi bahtera, Hadis al-Dar
menjadikan ‘Ali pengkhianat kepada amanah Rasulullah
manakala Hadis Madinah al-‘Ilm
memperbodohkan ‘Ali umpama sebuah pintu.
Dengan ini berakhirlah siri buku Jawapan Ahl al-Sunnah
Kepada Syi‘ah al-Rafidhah Dalam Persoalan Khalifah
yang disusun oleh penulis. Sebelum ini penulis
merancang untuk menyambung ke Siri Keempat
yang memberi tumpuan kepada menjawab
peristiwa-peristiwa sejarah yang dijadikan hujah
oleh Syi‘ah. Namun – alhamdulillah –
penulis telah menemui sebuah buku yang bukan sahaja
menepati rancangan tersebut tetapi melebihinya. Buku
tersebut ditulis oleh Syaikh ‘Abd Allah bin ‘Abd
al-Qadir al-Taliri, diterjemah oleh Mohd. Amin
Yaacob, disunting oleh Hafiz Firdaus dan diterbitkan
oleh Jahabersa, Johor Bahru di atas judul Jawapan
Ahl al-Sunnah Kepada Syi‘ah al-Rafidhah Berkenaan
Keutamaan dan Sejarah Para Sahabat.
Buku ini memiliki dua perbahasan utama. Pertama ia
menerangkan keutamaan sahabat secara umum, diikuti
dengan keutamaan empat sahabat secara khusus yakni
Abu Bakar, ‘Umar, Utsman dan ‘Ali radhiallahu 'anhum.
Ini adalah penting memandangkan Syi‘ah
lazimnya hanya memaparkan keutamaan ‘Ali dan
menyembunyikan keutamaan, malah menghina, para
sahabat yang lain.
Kedua, ia menjawab tuduhan-tudahan Syi‘ah ke
atas beberapa peristiwa sejarah yang berlaku di
kalangan para sahabat. Di antaranya:
1.
Tindakan ekspedisi Usamah bin Zaid yang
kembali ke Madinah apabila mendengar Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam menjadi gering
kerana ingin menahan jawatan khalifah daripada jatuh
ke tangan ‘Ali.
2.
Tindakan para sahabat yang tergesa-gesa
berjumpa di dewan
Bani Sa‘idah
dengan meninggalkan ‘Ali untuk melantik Abu Bakar.
3.
Suasana hiruk pikuk yang berlaku di dewan
Bani Sa‘idah.
4.
Abu Bakar merampas Tanah Fadak daripada
Fathimah. Ini menimbulkan kemarahan kepada Fathimah
sehingga apabila beliau meninggal dunia, beliau
dikebumikan senyap-senyap pada malam hari.
5.
Tindakan ‘Ali yang tidak membai‘ah
Abu Bakar kecuali setelah beberapa bulan.
6.
Tindakan ‘Umar al-Khaththab yang melarang
hajat Rasulullah untuk menulis wasiat perlantikan
‘Ali di akhir hayat baginda.
7.
Hadis yang menerangkan para sahabat akan
dihalang daripada Telaga Haudh pada Hari Akhirat
nanti.
Silalah mengkajinya.
Diakhiri Kata Penutup ini dengan doa agar
Allah Subhanahu wa Ta‘ala sentiasa memelihara
agama Islam dan umatnya daripada arus-arus yang
melanggarnya daripada pelbagai arah. Didoakan agar
akan lahir lebih ramai ilmuan Islam yang
bersungguh-sungguh melakukan amar ma’ruf dan
nahi mungkar demi membela agama dan umat.
Pada waktu yang sama diharapkan agar umat Islam
sendiri sentiasa rajin menuntut ilmu agar dengan itu
mereka sendiri tidak mudah terikut dengan arus-arus
tersebut.
Khusus kepada siri buku Jawapan Ahl al-Sunnah
Kepada Syi‘ah al-Rafidhah Dalam Persoalan Khalifah
yang disusun oleh penulis, didoakan agar
ia menepati tujuan penulisannya. Malah diharapkan
buku-buku penulis dalam
siri ini hanyalah titik permulaan kepada terhasilnya
lebih banyak buku
dalam subjek yang sama dengan nilai ilmiah yang
lebih baik.
|