Dilaporkan
bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah
bersabda kepada ‘Ali bin Abi Thalib radhiallahu 'anh:
Sesungguhnya inilah (‘Ali) saudaraku, wasiku (orang yang
melaksanakan wasiatku) dan khalifahku pada kalian.
Marilah kita
mengkaji kisah di sebalik hadis ini dan bagaimana Syi‘ah
menjadikannya sebagai hujah.
HUJAH
SYI‘AH
Kisah di
sebalik Hadis al-Dar dikemukakan secara lengkap oleh
al-Tabari sebagaimana yang dinukil oleh Muhammad Mar‘i
al-Amin di dalam bukunya:
'Ali bin Abu Talib AS berkata: Manakala ayat al-Indhar
(al-Syuara' (26):214): “Dan berilah peringatan kepada
kerabat-kerabatmu yang terdekat” diturunkan ke atas Rasulullah
SAWAW, beliau memanggilku dan berkata: “Wahai 'Ali! Sesungguhnya
Allah telah memerintahkanku supaya memberi peringatan kepada
keluarga anda yang terdekat. Maka akupun merasa cemas, kerana
aku mengetahui bahawa apabila aku kemukakan kepada mereka
perkara ini, aku akan lihat apa yang aku tidak meyukainya.” Maka
beliau terus berdiam diri mengenainya sehingga datang Jibra'il
dan berkata: “Wahai Muhammad! Sekiranya anda masih tidak
melaksanakan apa yang diperintahkan kepada anda, nescaya anda
akan disiksa oleh Tuhan anda.”
(Rasulullah menyambung):
“Justeru itu sedialah (wahai 'Ali) untuk kami segantang makanan
dan letakkan di atasnya satu kaki kambing serta isikan untuk
kami satu bekas yang berisi susu. Kemudian kumpulkan untukku
Bani Abdu -Muttalib sehingga aku sendiri bercakap kepada mereka
dan menyampaikan apa yang diperintahkan kepadaku.”
Maka aku (‘Ali) melakukan apa yang diperintahkannya. Kemudian
aku menjemputkan mereka untuknya. Bilangan mereka pada hari itu
lebih kurang empat puluh orang lelaki. Di antaranya bapa-bapa
saudaranya Abu Talib, Hamzah, al-'Abbas dan Abu Lahab. Apabila
sahaja mereka berkumpul di tempatnya, beliau memanggilku supaya
membawa makanan yang aku sediakan untuk mereka. Manakala aku
meletakkanya, Rasulullah SAWAW mengambil sepotong daging dan
memecahkannya dengan giginya. Kemudian mencampakkannya di tepi
hidangan itu, kemudian beliau bersabda: “Ambillah kalian dengan
nama Allah.” Orang ramai memakannya sehingga kenyang. Aku tidak
melihat melainkan tempat tangan mereka. Demi Allah di mana jiwa
'Ali di tanganNya. Sekiranya seorang daripada mereka memakannya,
nescaya aku tidak dapat mengemukakannya kepada yang lain.
Kemudian beliau bersabda: “Berikan minuman kepada mereka semua.”
Maka aku membawa kepada mereka bekas itu. Mereka meminumnya
sehingga puas. Demi Tuhan sekiranya seorang daripada mereka
meminumnya nescaya ianya tidak akan mencukupi untuk orang lain.
Apabila Rasulullah SAWAW ingin bercakap kepada mereka, Abu Lahab
mendahuluinya dan berkata: “Sahabat kalian telah menyihirkan
kalian.” Maka orang ramaipun bersurai tanpa memberikan
kesempatan kepada Rasulullah SAWAW untuk memperkatakan sesuatu
kepada mereka. Maka beliau bersabda: “Besok wahai 'Ali
sesungguhnya lelaki ini telah mendahuluiku sebagaimana anda
telah mendengarnya. Maka orang ramaipun bersurai sebelum sempat
aku memperkatakan kepada mereka. Justeru itu sedialah makanan
untuk kami sebagaimana anda telah menyediakannya kelmarin.
Kemudian kumpulkan mereka untukku.”
Maka akupun (‘Ali) melakukannya. Kemudian aku mengumpulkan
mereka. Kemudian beliau memanggilku supaya aku membawa makanan
itu. Maka akupun membawanya kepada mereka. Beliau melakukannya
sebagaimana beliau telah melakukannya kelmarin. Mereka makan
sehingga kenyang. Kemudian beliau bersabda: “Berikan mereka
minuman.” Maka akupun membawa minuman campuran susu itu. Lalu
mereka meminumnya dengan sepuas-puasnya. Kemudian Rasulullah
SAWAW bercakap dan bersabda:
“Wahai Bani ABdu l-Muttalib! Sesungguhnya demi Tuhan, aku tidak
mengetahui seorang pemuda Arab yang datang kepada kaumnya dapat
mengemukakan apa yang lebih baik daripada apa yang aku kemukakan
untuk kalian. Sesungguhnya aku akan membawa kepada kalian
kebaikan dunia dan akhirat. Sesungguhnya Allah telah
memerintahkanku supaya menyeru kalian kepadaNya. Maka siapakah
di kalangan kalian yang akan membantuku di dalam urusan ini dan
dialah yang akan menjadi saudaraku, wasiku, dan khalifahku pada
kalian?”
Dia ('Ali) berkata, orang ramai mulai merasa cemas mengenainya.
Maka akupun berkata: “Sesungguhnya aku adalah orang yang paling
muda di kalangan mereka, orang yang paling mengidap sakit mata
di kalangan mereka, orang yang paling besar perut di kalangan
mereka dan orang yang paling kecil betisnya di kalangan mereka.
Aku, wahai Nabi Allah, akan menjadi wazir anda di dalam perkara
itu.”
Maka beliaupun memegang tengkukku. Kemudian beliau bersabda:
“Sesungguhnya ini adalah saudaraku, wasiku dan khalifahku pada
kalian. Maka dengarlah kalian kepadanya, dan patuhilah.”
Beliau
berkata: “Orang ramai bangun dan ketawa sambil berkata kepada
Abu Talib, sesungguhnya beliau telah memerintahkan anda supaya
mendengar anak anda dan mematuhinya.”
Demikianlah
nukilan kisah di sebalik Hadis al-Dar. Muhammad Mar’i
al-Amin merumuskan hujah yang terkandung di dalam Hadis
al-Dar sebagai berikut:
Hadith yang mulia ini adalah satu dalil yang terang dan hujah
yang pemutus bahawa khalifah selepas Rasulullah SAWAW ialah 'Ali
bin Abu Talib AS. Kerana Nabi SAWAW telah mengeluarkan perintah
ini pada permulaan dakwahnya dan telah menjadikan 'Ali wazirnya
kerana tidak ada seorangpun dikalangan orang-orang yang
menghadiri masjlis itu setelah tiga kali dilakukannya menyahut
seruannya. Malah pada setiap kali 'Ali berdiri sambil berkata:
“Aku wahai Rasulullah” dan pada akhirnya Rasulullah SAWAW
bersabda kepadanya: “Andalah saudaraku, wazirku, wasiku,
khalifahku selepasku. Oleh itu kalian dengar dan patuhilah
beliau.”
Demi Tuhan anda wahai pembaca yang budiman. Adakah di sana nas
yang lebih terang daripada ini tentang khalifah Ali AS selepas
Rasulullah SAWAW secara langsung? Wahai Muslimun! Kenapa fanatik
terus berlaku sedangkan wujudnya nas yang terang di dalam
buku-buku Ahlu s-Sunnah sendiri bahawa kekhalifahan 'Ali adalah
secara langsung. Dan penangguhannya memerlukan dalil dan tidak
ada di sana sebarang dalil.
Seterusnya
marilah kita membahas, sejauh manakah kebenaran hujah Syi‘ah
bahawa Hadis al-Dar adalah dalil yang melantik ‘Ali
bin Abi Thalib radhiallahu 'anh menjadi khalifah umat
Islam sesudah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.
Dengan perbahasan ini, dapat kita bezakan siapa yang sebenarnya
fanatik.
JAWAPAN
AHL AL-SUNNAH
Perbahasan
dimulakan dengan mengkaji darjat kekuatan Hadis al-Dar.
DARJAT
HADIS AL-DAR.
Riwayat
Hadis al-Dar terbahagi kepada dua kategori:
1.
Kategori pertama adalah riwayat-riwayat yang menerangkan
tindakan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam
menjemput Bani ‘Abd al-Muthalib dan mendakwah mereka ke arah
Islam. Riwayat-riwayat sebegini memang banyak dan masyhur
dicatit dalam kitab-kitab hadis dan sejarah.
2.
Kategori kedua adalah riwayat-riwayat yang sama dengan
Kategori Pertama, hanya ia diikuti dengan pertanyaan
Rasulullah kepada Bani ‘Abd al-Muthalib, siapakah di antara
mereka yang sanggup menjadi menteri, pelaksana wasiat dan
khalifah baginda. Riwayat-riwayat dalam Kategori Kedua ini hanya
tercatit dalam segelintir kecil kitab hadis dan sejarah.
Perbahasan
tentang darjat Hadis al-Dar akan ditumpukan kepada
riwayat-riwayat dalam Kategori Kedua. Ia memiliki tiga jalan
periwayatan sepertimana berikut:
Jalan
Periwayatan Pertama:
Ia adalah
riwayat yang dikemukakan oleh Muhammad Mar’i al-Amin sebagaimana
yang dinukil sebelum ini. Ia dikeluarkan oleh al-Tabari di dalam
kitab Tarikhnya, jld. 1, ms. 542 (Bab sejarah sebelum
hijrah) dengan sanad seperti berikut:
Dihadiskan
kepada kami oleh Ibn Humaidi, dia berkata, dihadiskan kepada
kami oleh Salamah, dia berkata, dihadiskan kepada aku oleh
Muhammad bin Ishaq, daripada ‘Abd al-Ghaffar bin al-Qasim,
daripada al-Minhal (bin ‘Amr al-Asdi), daripada ‘Amr, daripada
‘Abd Allah bin al-Harits bin Naufal bin al-Harits bin ‘Abd
al-Muthalib, daripada ‘Abd Allah bin ‘Abbas, daripada ‘Ali bin
Abi Thalib, (dia) berkata……
Dalam sanad
ini paling kurang terdapat dua kecacatan:
1.
Muhammad
bin Ishaq: Beliau terkenal dengan sifat tadlis, iaitu
menyembunyikan daripada siapa dia menerima sesebuah hadis.
Riwayat beliau daripada ‘Abd
al-Ghaffar bin al-Qasim
dengan lafaz ‘an (daripada) tidak diterima dalam ilmu
hadis. Berkata Ibn Hajar al-’Asqalani:
“Jujur (tetapi) masyhur dengan (sifat) tadlis daripada
orang-orang yang dha‘if (lemah) dan majhul (tidak
dikenali).”
2.
‘Abd al-Ghaffar bin al-Qasim: Beliau ialah ‘Abd
al-Ghaffar bin al-Qasim Abu Maryam al-Anshari. Seorang Syi‘ah
yang ditolak hadis-hadisnya kerana dikenali sebagai seorang
pendusta yang mencipta hadis. Berkata ‘Ali bin al-Madani dan Abu
Daud:
“Dia seorang pencipta hadis.”
Berkata Abu Daud:
“Abu Maryam seorang pendusta.”
Berkata Abu Hatim, al-Nasa’i, al-Daruquthni dan selain mereka:
“Matruk al-Hadis
(ditinggalkan hadisnya).”
Jalan
Periwatan Kedua:
Dikeluarkan
oleh Ahmad di dalam Musnadnya – hadis no: 883 (Musnad
10 sahabat yang diberi khabar gembira dengan syurga, Musnad ‘Ali
bin Abi Thalib)
dengan sanad:
Dihadiskan
kepada kami oleh Aswad bin ‘Amir, (dia berkata), dihadiskan
kepada kami oleh Syarik (bin ‘Abd Allah al-Nakha‘i), daripada
al-Amasy (Sulaiman bin Mahran), daripada al-Minhal (bin ‘Amr
al-Asdi), daripada ‘Abbad bin ‘Abd Allah al-Asdi, daripada ‘Ali
radhiallahu 'anh, (dia) berkata……
Di dalam
sanad ini juga terdapat dua kecacatan:
1.
Syarik bin ‘Abd Allah al-Nakha‘i, beliau seorang yang
jujur (shaduq) dan terpercaya (thiqah)
tetapi banyak berbuat silap dan berubah-ubah hafalannya sejak
menjadi pemimpin para qadhi di Kufah. Berkata Abu Daud:
“Seorang yang thiqah tetapi banyak silap apabila
meriwayatkan daripada al-‘Amasy.”
Lebih dari
itu beliau juga dikenali dengan sifat tadlis sekalipun
tidak banyak.
2.
‘Abbad bin ‘Abd Allah al-Asdi, beliau adalah seorang
perawi yang lemah (dha‘if), bahkan dituduh sebagai
pencipta hadis. Berkata al-Azdi:
“Dia meriwayatkan hadis-hadis yang tidak boleh dijadikan
ikutan.”
Ibn Hibban menyatakan beliau terpercaya (thiqah) akan
tetapi Ibn Hibban sendiri dikenali sebagai bersikap
bermudah-mudahan (tasahul).
Oleh itu
berkata Syu‘aib al-Arna’uth dan rakan-rakan dalam semakan mereka
ke atas hadis di atas di dalam Musnad Ahmad:
“Isnadnya dha‘if kerana lemahnya Syarik bin ‘Abd Allah
al-Nakha‘i dan ‘Abbad bin ‘Abd Allah al-Asdi.”
Jalan
Periwayatan Ketiga:
Dikeluarkan
oleh al-Tsa’labi di dalam kitabnya al-Kasyf wa al-Bayan,
jld. 7, ms. 182 (tafsir ayat 214 surah al-Syu‘ara) dengan
sanad:
Dikhabarkan
kepada aku oleh al-Husain bin Muhammad bin al-Husain, dia
berkata, dihadiskan kepada kami Musa bin Muhammad bin ‘Ali bin
‘Abd Allah, dia berkata, dihadiskan kepada kami al-Hasan bin
‘Ali bin Syabib al-Mu‘amar, dia berkata, dihadiskan kepada aku
‘Abbad bin Ya’kub (al-Rawajani), dia berkata, dihadiskan kepada
kami ‘Ali bin Hasyim (bin al-Baridi), daripada Shabah bin Yahya
al-Muzani, daripada Zakariyya bin Maisarah daripada Abi Ishaq
(‘Amr bin ‘Abd Allah bin ‘Ubaid), daripada al-Bara’ (bin ‘Azib),
(dia) berkata ……
Dalam sanad
di atas terdapat dua kecacatan:
1.
‘Abbad
bin Ya’kub al-Rawajani dan ‘Ali bin Hasyim bin al-Baridi adalah
dua orang perawi yang diperselisihkan. Mereka beraliran
Syi‘ah dan pada waktu yang sama adalah perawi yang thiqah
(terpercaya). Para ahli hadis Ahl al-Sunnah menerima
hadis-hadis yang mereka riwayatkan selagi mana ia tidak
melibatkan aliran Syi‘ah.
2.
Shabah bin Yahya al-Muzani. Beliau adalah seorang perawi
yang ditinggalkan (matruk), bahkan dituduh sebagai
pencipta hadis.
Daripada tiga
jalan periwayatan di atas, jelas bahawa Hadis al-Dar yang
diakhiri dengan lafaz “Sesungguhnya inilah (‘Ali)
saudaraku, wasiku (orang yang melaksanakan wasiatku) dan
khalifahku pada kalian” adalah dha‘if. Jalan-jalan
periwayat di atas tidak dapat untuk saling menguat antara satu
sama lain kerana masing-masing memiliki kecacatan yang berat di
dalamnya.
Lebih dari
itu, sekalipun Hadis al-Dar dapat diangkat ke darjat
hasan (Hasan lighairihi), ia tetap tidak dapat membantu
penghujahan Syi‘ah. Ikutilah penjelasannya.
MAKSUD
HADIS AL-DAR.
Apabila
Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam menerima wahyu
perutusan yang pertama sebagai seorang Rasul Allah, baginda
hanya berdakwah kepada ahli keluarganya yang terdekat seperti
isterinya Khadijah radhiallahu 'anha dan ‘Ali bin Abi
Thalib radhiallahu 'anh. Kemudian Allah Subhanahu wa
Ta‘ala memerintahkan agar dakwah diperluaskan kepada
saudara-mara baginda dengan firman-Nya:
öDan
berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang
dekat.
[al-Syu‘ara’
26:214]
Berdasarkan
perintah Allah dalam ayat di atas, Rasulullah shallallahu
'alaihi wasallam memanggil dan menghimpun saudara-mara
baginda dari kalangan Bani ‘Abd al-Muthalib yang berjumlah
sekitar 40 orang. Ini sebagaimana riwayat al-Tabari yang
dikemukakan sebelum ini. Perkara penting yang perlu disedari
adalah saudara-mara tersebut adalah mereka yang masih belum
memeluk Islam, seperti Abu Lahab. Jika mereka sudah memeluk
Islam, pasti tidak perlu Rasulullah menghimpun mereka untuk
didakwah kepada Islam.
Setelah
berdakwah kepada mereka, Rasulullah diriwayatkan bertanya:
“Maka siapakah di kalangan kalian yang akan membantuku di dalam
urusan ini dan dialah yang akan menjadi saudaraku, wasiku, dan
khalifahku pada kalian?”
Saudara,
pelaksana wasiat dan khalifah yang dimaksudkan oleh Rasulullah
bukanlah ke atas umat Islam tetapi ke atas kaum keluarganya
sendiri. Ini kerana baginda bimbang seandai dirinya ditimpa
musibah oleh orang-orang yang mengingkari dakwahnya. Atas
kebimbangan inilah baginda awal-awal lagi ingin melantik seorang
saudara pembantu, pelaksana wasiat dan pemimpin yang mengurusi
hal ehwal keluarganya.
Kebimbangan
Rasulullah ini terus disambut oleh ‘Ali dimana beliau bersedia
menjadi pembantu, pelaksana wasiat dan khalifah ke atas kaum
keluarga Rasulullah. Ini diterima oleh Rasulullah sehingga
baginda diriwayatkan bersabda:
“Sesungguhnya ini adalah saudaraku, wasiku dan khalifahku pada
kalian. Maka dengarlah kalian kepadanya, dan patuhilah.”
Oleh itu
Hadis al-Dar tidak berperanan melantik ‘Ali bin Abi Thalib
sebagai khalifah umat Islam. Penafian ini boleh diringkaskan
kepada tiga poin:
1.
Rasulullah bertanyakan tentang hal kekhalifahan di
hadapan saudara-maranya yang saat itu masih belum memeluk Islam.
Bahkan di antara mereka ialah Abu Lahab yang amat memusuhi
dakwah Islam. Justeru adalah mustahil Rasulullah ingin melantik
seseorang daripada kalangan orang bukan Islam – seperti Abu
Lahab – untuk menjadi khalifah umat Islam.
2.
Diriwayatkan bahawa Rasulullah bertanya:
“Maka siapakah di kalangan kalian yang akan membantuku di dalam
urusan ini dan dialah yang akan menjadi saudaraku, wasiku, dan
khalifahku pada kalian?”
Perhatikan
bahawa Rasulullah tidak bertanyakan seseorang yang akan menjadi
khalifah umat Islam tetapi khalifah pada kalian,
yakni merujuk kepada saudara-maranya sendiri dari kalangan Bani
‘Abd al-Muthalib.
3.
Orang yang paling memahami Hadis al-Dar adalah
‘Ali bin Abi Thalib sendiri. Akan tetapi kita tidak pernah temui
dalam mana-mana riwayat yang sahih bahawa beliau pernah meminta
jawatan khalifah selepas kewafatan Rasulullah. Adakah ini
bermakna ‘Ali menarik balik kesanggupannya menawar diri menjadi
khalifah dan menderhakai kepercayaan Rasulullah terhadap
dirinya? Atau adakah ‘Ali sendiri mengetahui sejak awal bahawa
Hadis al-Dar tidak bermaksud melantik dirinya menjadi
khalifah umat Islam? Setiap individu yang beriman, bertaqwa lagi
berpemikiran sihat akan menafikan kemungkinan pertama dan
membenarkan kemungkinan kedua.
Daripada
perbahasan kita di atas, dapat diperhatikan bahawa Hadis
al-Dar, sama ada ia bertaraf sahih atau hasan atau dha‘if,
bukanlah dalil yang dapat dijadikan hujah untuk melantik ‘Ali
radhiallahu 'anh sebagai khalifah umat Islam. Tidak ada
orang yang akan menjadikannya sebagai hujah melain mereka yang
benar-benar fanatik dan mudah menuduh orang lain sebagai
fanatik.


|