Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam pernah bersabda:
Ketahuilah wahai manusia, sesungguhnya aku hanyalah manusia. Aku
merasakan bahawa utusan Tuhan-Ku (Malaikat Maut) akan datang dan
aku akan memenuhinya.
Aku
tinggalkan kepada kalian al-Tsaqalain (dua perkara yang
penting): Yang pertama adalah Kitab Allah (al-Qur’an), di
dalamnya terdapat petunjuk dan cahaya. Maka berpegang teguhlah
dengan Kitab Allah.
(Perawi
– Zaid bin Arqam – menjelaskan bahawa Rasulullah menekankan
kepada berpegang dengan Kitab Allah. Kemudian Rasulullah
menyambung):
(Yang
kedua ialah) Dan Ahl al-Baitku, aku peringatkan kalian kepada
Allah tentang Ahl al-Baitku. Aku peringatkan kalian kepada Allah
tentang Ahl al-Baitku. Aku peringatkan kalian kepada Allah
tentang Ahl al-Baitku.
Hadis ini
digelar Hadis al-Tsaqalain berdasarkan sabda Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam: “Aku tinggalkan kalian
al-Tsaqalain……” Hampir senada dengan hadis ini ialah
sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:
Wahai
manusia! Sesungguhnya aku meninggalkan untuk kalian apa yang
jika kalian berpegang kepadanya, nescaya kalian tidak akan
sesat: Kitab Allah (al-Qur’an) dan keluarga Ahl al-Baitku.
Syi‘ah
menjadikan hadis ini sebagai hujah seperti berikut:
HUJAH
SYI‘AH
Penjelasan
Muhammad Mar‘i al-Amin adalah antara yang terbaik dalam mewakili
hujah Syi‘ah terhadap Hadis al-Tsaqalain:
Seorang yang insaf akan membuat kesimpulan bahawa hadith
Thaqalain jelas menunjukkan kekhalifahan Amiru l-Mukminin dan
anak-anak lelakinya semua sebelas orang imam maksum AS
kerana Nabi SAWAW
telah menyamakan mereka dengan Kitab al-Qur'an. Al-Qur'an adalah
rujukan yang pertama bagi ummat Islam, tanpa dipertikaikan lagi
sejak permulaan dakwah sehingga akhir dunia. Demikian juga 'Ali
dan kesebelas orang anak-anaknya AS akan mengakhiri dunia ini
sepertilah al-Qur'an kerana beliau telah menjadikan dua
khalifahnya di dunia ini. Dan kedua-duanya tidak akan berpisah
sehingga kedua-duanya dikembalikan kepadanya di (Telaga) Haudh
di hari kiamat. Dan beliau telah menjadikan berpegang kepada
kedua-duanya sebagai syarat untuk tidak menjadi sesat. Dan
sesiapa yang berpaling daripada kedua-duanya akan binasa kerana
beliau menyamakan Ahlu -Baitnya dengan kitab Allah dan
memerintahkan umatnya supaya berpegang kepada kedua-duanya
sekali. Lantaran itu seorang itu tidak harus berpegang kepada
salah satu daripada keduanya.
Justeru itu setiap mukallaf mesti berpegang kepada Thaqalain.
Bukan hanya kepada Kitab Allah sahaja tanpa 'itrah dan bukan
al-'itrah sahaja tanpa Kitab Allah. Oleh itu berpegang kepada
kedua-dua sekali kerana ianya merupakan satu ikatan yang tidak
dapat dipisahkan kerana 'itrah adalah lisan yang bercakap untuk
kitab yang membisu. Justeru itu kita tidak dinilai sekiranya
kita berpegang kepada Kitab Allah tanpa menurut cara mereka.
Kerana mengetahui ayat-ayat muhkam, mutasyabih, nasikh dan
mansukh dan lain-lain, tidak tepat selain daripada penerangan
dan penjelasan mereka. Lantaran itu berpegang kepada
kedua-duanya akan menjamin kejayaan seseorang. Dan penentang
terhadap kedua-duanya atau salah satu daripadanya akan membawa
kepada kebinasaan dan kerugian. Kerana Allah SWT telah
memerintahkan orang ramai supaya berpegang kepada kedua-duanya.
Rasulullah SAWAW tidak menyuruh orang ramai untuk melakukan
sesuatu dengan sia-sia dan tidak menegah sesuatu dengan sia-sia.
Kerana beliau tidak bercakap dengan hawa nafsunya malah dengan
wahyu yang diwahyukan kepadanya. Oleh itu berpegang kepada Kitab
Allah dan 'itrah yang suci adalah satu kewajipan bagi menjamin
kejayaan manusia seluruhnya dengan nikmat yang abadi.
……Dari
hadith Thaqalain ini menunjukkan kemaksuman Ahlu l-Bait
AS sepertilah kemaksuman al-Qur'an yang tidak syak pada
kemaksumannya kerana perintah Nabi SAWAW kepada ummatnya supaya
merujuk kepada mereka selepasnya. Oleh itu segala urusan tidak
akan diselesaikan melainkan oleh orang yang telah dipelihara
dari kesalahan dan dosa. Dan dalil kemaksuman mereka ialah
sabitnya kekhalifahan dan imamah untuk mereka. Justeru itu
kemaksuman adalah menjadi syarat di dalam Khilafah dan Imamah.
Dan orang yang selain daripada mereka tidaklah maksum secara
ijmak.
Demikianlah
betapa pentingnya kedudukan Hadis al-Tsaqalain di sisi
Syi‘ah. Sebenarnya Hadis al-Tsaqalain juga memiliki
kedudukan yang penting di sisi Ahl al-Sunnah. Ikutilah
perbahasannya berikut ini.
**********
JAWAPAN
AHL AL-SUNNAH
Perbahasan
kita dimulakan dengan darjat Hadis al-Tsaqalain diikuti
dengan maksudnya.
DARJAT
HADIS AL-TSAQALAIN:
Hadis
pertama:
Hadis:
“Aku tinggalkan kepada kalian al-Tsaqalain…”
dikeluarkan oleh Muslim di dalam kitab Shahihnya – hadis
no: 2408 (Kitab keutamaan para sahabat, Bab keutamaan ‘Ali
bin Abi Thalib). Selain itu ia juga diriwayatkan oleh
beberapa sahabat yang lain dan dikeluarkan melalui beberapa
jalan periwayatan yang lain sebagaimana yang tercatit di dalam
kitab-kitab hadis.
Hadis
kedua:
Hadis:
“Sesungguhnya aku meninggalkan untuk kalian apa yang jika kalian
berpegang kepadanya, nescaya kalian tidak akan sesat……”
dikeluarkan oleh al-Tirmizi di dalam kitab Sunannya –
hadis no: 3874 (Kitab Manaqib, Bab Manaqib Ahl al-Bait).
Ia juga dikeluarkan oleh Ahmad, al-Thabarani dan al-Thahawi
dan dinilai sahih oleh al-Albani di dalam Silsilah
al-Ahadits al-Shahihah – hadis no: 1761.
Sepertimana
Hadis al-Ghadir, para pengkaji Syi‘ah merumuskan
bahawa Hadis al-Tsaqalain juga diriwayatkan oleh puluhan
orang sahabat dan tercatit dalam ratusan kitab rujukan Ahl
al-Sunnah. Rumusan ini diterima dengan baik kerana para
sahabat dan para tokoh Ahl al-Sunnah tersebut tidak
sekadar meriwayat dan mencatit Hadis al-Tsaqalain akan
tetapi mereka juga memahaminya dengan pemahaman yang benar.
Bagaimanakah pemahaman tersebut? Ikutilah perbahasan seterusnya.
MAKSUD
HADIS AL-TSAQALAIN
Hadis
al-Tsaqalain
adalah antara sebaik-baik dalil daripada sunnah Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam yang menafikan jawatan khalifah
daripada Ahl al-Bait radhiallahu 'anhum, sekali gus
membatalkan doktrin Syi‘ah terhadap mereka. Lebih
dari itu Hadis al-Tsaqalain juga membezakan siapakah yang
berada di jalan yang benar dan siapakah yang berada di jalan
yang sesat. Penjelasannya adalah seperti berikut:
Pertama:
Hadis al-Tsaqalain menafikan Rasulullah pernah
mewasiatkan jawatan khalifah kepada Ahl al-Bait baginda.
Izinkan
penulis memulai penjelasan ini dengan memberi satu contoh
perumpamaan bagi memudahkan kefahaman para pembaca terhadap
maksud sebenar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam
dalam Hadis al-Tsaqalain.
Umpamakan
sebuah keluarga yang terdiri daripada seorang ayah, ibu, dan
lima orang anak. Anak yang sulung sudah mencapai umur belasan
tahun manakala yang bongsu berumur sekitar 8 bulan. Pada satu
malam ayah dan ibu ingin keluar kerana ada jemputan majlis
perkahwinan. Sebelum keluar rumah ibu berpesan kepada
anak-anaknya:
Mak dan ayah hendak ke jemputan kahwin anak Pak Su. Along,
Nurul, Amin dan Aminah, siapkan homework sekolah. Jangan
tak siap sebab bulan depan dah nak exam. Sambil itu
tengok-tengokkan adik. Ingat ya tentang adik! Tengokkan
lampinnya dan jika menangis bancuhkan susu atau Nestum. Nanti
bila mak balik, mak nak tengok sama ada homework dah siap
dan lampin adik sudah ditukar atau belum.
Ibu
telah meninggalkan dua pesanan penting (al-Tsaqalain)
kepada anak-anaknya:
1.
Hendaklah disiapkan kerja sekolah.
2.
Diperingatkan tentang adik bongsu yang berumur lapan
bulan.
Apabila ibu
memperingatkan abang-abang dan kakak-kakak tentang adik mereka,
ia bererti ibu meletakkan tanggungjawab di atas bahu abang-abang
dan kakak-kakak. Tanggungjawab tersebut ialah menjaga hal ehwal
adik bongsu mereka. Tidak sebaliknya, peringatan ibu tidak
sekali-kali bermaksud menjadikan adik bongsu bertanggungjawab ke
atas hal ehwal abang-abang dan kakak-kakaknya.
Demikianlah
juga maksud Hadis al-Tsaqalain. Rasulullah shallallahu
'alaihi wasallam telah meninggalkan kepada umat Islam dua
pesanan yang penting:
1.
Hendaklah berpegang teguh kepada al-Qur’an.
2.
Diperingatkan tentang Ahl al-Bait radhiallahu 'anhum.
Apabila
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam memperingatkan
umat Islam tentang Ahl al-Bait baginda, ia bererti
Rasulullah meletakkan tanggungjawab menjaga hal ehwal Ahl
al-Bait baginda di atas bahu umat Islam. Tidak sebaliknya,
kerana seandainya Rasulullah mengkehendaki Ahl al-Bait
baginda bertanggungjawab ke atas hal ehwal umat Islam, nescaya
baginda akan memperingatkan mereka (Ahl al-Bait) tentang
tanggungjawab tersebut. Rasulullah akan berpesan, umpama:
“Aku peringatkan kalian wahai Ahl al-Baitku kepada Allah tentang
umat Islam ini……” .
Dengan
meletakkan tanggungjawab hal ehwal Ahl al-Bait di atas
bahu umat Islam, ia membuktikan bahawa Rasulullah shallallahu
'alaihi wasallam sejak awal mengetahui bahawa jawatan
khalifah akan dipegang oleh umat Islam secara umum, tidak khusus
kepada Ahl al-Bait baginda. Bukti ini membatalkan dakwaan
kononnya Rasulullah mengkehendaki atau pernah mewasiatkan
jawatan khalifah kepada Ahl al-Baitnya. Bahkan ia menjadi
bukti bahawa baginda sejak asal sememangnya tidak pernah
mengkehendaki atau mewasiatkan sedemikian.
Tanggungjawab
apakah yang perlu dipimpin dan dijaga oleh umat Islam ke atas
Ahl al-Bait Rasulullah? Tanggungjawab tersebut ialah sikap
kita kepada mereka. Hendaklah kita mencintai mereka, berselawat
kepada mereka dalam solat, menghormati mereka dan berinteraksi
dengan mereka secara sopan. Tidak boleh membenci, menghina dan
bersikap biadap terhadap mereka. Selain itu hendaklah
diperhatikan hal ehwal harian mereka dan menghulurkan bantuan di
mana boleh. Dalam bab ini terdapat banyak hadis yang sahih
daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.
Tanggungjawab
ini bukanlah sesuatu yang dipandang ringan oleh Ahl al-Sunnah.
Ia sebenarnya merupakan salah satu daripada iktikad Ahl
al-Sunnah sebagaimana terang al-Ajjuri rahimahullah:
Setiap mukmin dan mukminah wajib mencintai Ahl al-Bait
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, yakni Bani
Hasyim. Mereka adalah ‘Ali bin Abi Thalib serta anak
keturunannya, Fathimah radhiallahu 'anha serta anak
keturunannya, al-Hasan dan al-Husain serta anak keturunan
mereka, Hamzah serta anak keturunannya dan ‘Abbas serta anak
keturunannya.
Merekalah Ahl al-Bait Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam. Setiap muslim wajib mencintai mereka, memuliakan
mereka, menghormati mereka, bermuamalah dengan baik kepada
mereka, sabar terhadap mereka serta mendoakan kebaikan untuk
mereka.
Tanggungjawab
menjaga urusan Ahl al-Bait Rasulullah shallallahu
'alaihi wasallam adalah kekal sehingga Hari Kiamat, atau
yang lebih tepat sehingga ke pengumpulan di Telaga Haudh. Ini
berdasarkan sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:
Sesungguhnya aku meninggalkan kepada kalian apa yang jika kalian
berpegang teguh kepadanya, pasti kalian tidak akan sesat
sesudahku. Salah satu daripadanya lebih agung daripada yang
lain:
(Yang
pertama) ialah Kitab Allah (al-Qur’an) yang merupakan tali
penghubung daripada langit ke bumi dan (yang kedua) ialah
‘Itrahku, iaitu Ahl al-Baitku. (Mereka Ahl al-Baitku) tidak akan
berpisah (daripada aku) sehingga berjumpa kembali dengan aku di
Telaga Haudh. Maka perhatikanlah bagaimana sikap kalian terhadap
kedua-duanya sepeninggalan aku.
Hadis di atas
dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan dinilai sahih oleh al-Albani.
Rujuk Shahih Sunan al-Tirmizi – hadis no: 3788 (Kitab
Manaqib, Bab Manaqib Ahl al-Bait).
Terdapat dua
pengajaran penting daripada hadis di atas, Pertama adalah
sikap kita dalam mencintai, berselawat, menghormati dan bersopan
terhadap Ahl al-Bait, juga dalam menjaga hal ehwal
mereka. Ia berkekalan sehingga ke Hari Akhirat. Oleh kerana
itulah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berpesan:
“(Mereka Ahl al-Baitku) tidak akan berpisah (daripada
aku) sehingga berjumpa kembali dengan aku di Telaga Haudh. Maka
perhatikanlah bagaimana sikap kalian terhadap kedua-duanya
sepeninggalan aku.” Ini sebagaimana pesan ibu kepada
anak-anaknya dalam contoh di atas: “Nanti
bila mak balik, mak nak tengok sama ada homework dah siap
dan lampin adik sudah ditukar.”
Kedua,
apabila Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam
mengingatkan umat Islam agar memerhatikan sikap mereka terhadap
Ahl al-Bait baginda sehingga ke Hari Akhirat, bererti
baginda sememangnya tidak pernah mengkehendaki atau mewasiatkan
Ahl al-Baitnya menjadi khalifah umat Islam sehingga ke
Hari Akhirat. Dalam hal ini terdapat pengecualian dalam dua
suasana:
1.
Jika umat Islam sendiri yang melantik dan membai‘ah salah
seorang Ahl al-Bait menjadi pemimpin mereka, maka ia
dibolehkan. Ini kerana perlantikan tersebut bukan di atas
kehendak Rasulullah tetapi di atas kehendak umat Islam sendiri.
Sebagai contoh ialah perlantikan ‘Ali sebagai khalifah setelah
terbunuhnya Utsman radhiallahu 'anh.
2.
Imam Mahdi yang akan muncul pada akhir zaman di mana
terdapat hadis-hadis sahih yang menerangkan bahawa beliau
berasal daripada Ahl al-Bait Rasulullah shallallahu
'alaihi wasallam.
Kedua:
Hadis al-Tsaqalain membatalkan doktrin
Syi‘ah terhadap Ahl al-Bait.
Peringatan
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dalam Hadis
al-Tsaqalain adalah supaya kita umat Islam menjaga sikap
terhadap Ahl al-Bait baginda. Hendaklah kita mencintai,
berselawat, menghormati dan bersopan terhadap Ahl al-Bait
radhiallahu 'anhum dalam batasan yang ditetapkan oleh
al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Sikap ini jangan
dikurang dan jangan dilebih-lebihkan. Jangan dikurangi bermaksud
jangan membenci, menghina dan bersikap biadap terhadap mereka.
Jangan dilebih-lebihkan bermaksud jangan menetapkan bagi mereka
sesuatu yang bukan merupakan hak mereka, jangan mengidolakan
mereka dan apa-apa lain yang bersifat ghuluw
(berlebih-lebihan, melampaui batas).
Hal
ini dapat kita fahami lebih baik dengan kembali kepada contoh
abang-abang dan kakak-kakak yang diperingatkan oleh ibu mereka
untuk menjaga adik bongsu mereka. Hendaklah mereka menjaga adik
bongsu mereka bersesuai dengan umurnya lapan bulan. Apabila
lampinnya telah penuh, hendaklah diganti dengan lampin yang
bersesuaian saiznya. Jangan diganti dengan lampin yang kecil
atau seluar orang dewasa. Apabila dia menangis kelaparan,
hendaklah diberi makanan yang yang sesuai seperti bancuhan susu
bayi atau Nestum. Jangan dikurangi seperti diberi air kosong
sahaja atau dilebih-lebihkan seperti diberi makanan orang
dewasa.
Jika lampin dan makanan yang diberikan adalah tidak bersesuai
dengan umurnya lapan bulan, bererti abang-abang dan kakak-kakak
tidak menjaga adik bongsu mereka sepertimana yang sepatutnya.
Ini pasti menimbulkan kemarahan ibu dan ayah sekembalinya mereka
ke rumah.
Kembali
kepada peringatan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam
dalam Hadis al-Tsaqalain tentang Ahl al-Bait
baginda, ia tidak sekadar ditujukan kepada mereka yang
mengurangi hak Ahl al-Bait tetapi juga kepada mereka yang
melebih-lebihkan hak Ahl al-Bait.
Di sini tidak
ada aliran yang berlebih-lebihan dalam menetapkan hak-hak ke
atas Ahl al-Bait Rasulullah melainkan aliran Syi‘ah.
Mereka menetapkan hak khalifah, hak menggubal hukum syari’at,
sifat maksum dan pelbagai lagi kepada Ahl al-Bait radhiallahu
'anhum. Semua ini adalah hak-hak yang tidak ditetapkan oleh
al-Qur’an dan al-Sunnah. Sikap sebeginilah yang diperingatkan
oleh Rasulullah dalam Hadis al-Tsaqalain.
Oleh itu yang
benar-benar diperingatkan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam dalam Hadis al-Tsaqalain dan yang
benar-benar akan dipersoalkan di Telaga Haudh ialah aliran
Syi‘ah itu sendiri. Inilah yang penulis maksudkan bahawa
Hadis al-Tsaqalain membatalkan doktrin Syi‘ah
terhadap Ahl al-Bait.
Ketiga: Hadis al-Tsaqalain membezakan siapakah
yang berada di jalan yang benar dan siapakah yang berada di
jalan yang sesat.
Hadis
al-Tsaqalain
juga
berperanan membezakan siapakah yang berada di jalan yang benar
dan siapakah yang berada di jalan yang sesat. Benar atau sesat
bergantung kepada pegangan seseorang kepada Ahl al-Bait
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Ini berdasarkan
sabda baginda yang bermaksud:
Wahai
manusia! Sesungguhnya aku meninggalkan untuk kalian apa yang
jika kalian berpegang kepadanya, nescaya kalian tidak akan
sesat: Kitab Allah (al-Qur’an) dan keluarga Ahl al-Baitku.
Berpegang
kepada Ahl al-Bait Rasulullah bermaksud berpegang kepada
hak-hak mereka, yakni mencintai mereka, berselawat, menghormati
dan bersopan santun terhadap mereka. Barangsiapa yang berpegang
kepada hak-hak Ahl al-Bait radhiallahu 'anhum, nescaya
dia berada di jalan yang benar.
Tidak
berpegang kepada Ahl al-Bait Rasulullah bermaksud
menyalahi hak-hak mereka, sama ada dengan menguranginya atau
melebih-lebihkannya sepertimana yang disebut beberapa perenggan
di atas. Barangsiapa yang mengurangi atau melebih-lebihkan hak
Ahl al-Bait, bererti dia tidak berpegang kepada Ahl
al-Bait dan ini boleh membawanya ke jalan yang sesat.
Di sini perlu
dibetulkan tiga takwilan Syi‘ah yang bersifat
berlebih-lebihan terhadap hadis di atas:
1.
Berpegang kepada Ahl al-Bait Rasulullah tidak
bermaksud menjadikan mereka sumber syari‘at Islam kerana mereka
sendiri tertakluk kepada al-Qur’an dan al-Sunnah. Allah
Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
Dan
tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan
perempuan, apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan
mengenai sesuatu perkara (tidaklah harus mereka) mempunyai hak
memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa
yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya maka
sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.
[al-Ahzab
33:36]
Ahl
al-Bait
termasuk
dalam keumuman perintah “orang-orang yang beriman, lelaki
dan perempuan” dalam ayat di atas. Mereka tidak memiliki
wewenang untuk memilih atau membuat hukum tersendiri melainkan
taat kepada ketetapan Allah (al-Qur’an) dan Rasul-Nya
(al-Sunnah).
2.
Berpegang kepada Ahl al-Bait Rasulullah tidak
bermaksud menjadikan mereka khalifah yang memimpin urusan umat
Islam. Ini kerana syarat menjadi khalifah dalam Islam bukanlah
keturunan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam tetapi orang
yang beriman dan beramal salih. Firman Allah Subhanahu wa
Ta‘ala:
Allah
menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal salih dari
kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan
mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di
bumi.
[al-Nur
24:55]
3.
Berpegang kepada Ahl al-Bait Rasulullah tidak
bermaksud menjadikan mereka maksum. Ini jelas terbukti dalam
riwayat-riwayat sejarah yang sahih di mana para Ahl al-Bait
juga membuat kesilapan dalam tindak tanduk mereka.
Demikianlah
penjelasan sebenar terhadap Hadis al-Tsaqalain.
Ringkasnya terdapat tiga pengajaran penting dalam Hadis al-Tsaqalain:
1.
Hadis al-Tsaqalain
menafikan Rasulullah mengkehendaki atau pernah mewasiatkan
jawatan khalifah kepada Ahl al-Bait baginda.
2.
Hadis
al-Tsaqalain membatalkan doktrin Syi‘ah terhadap
Ahl al-Bait.
3.
Hadis
al-Tsaqalain membezakan siapakah yang berada di jalan
yang benar dan siapakah yang berada di jalan yang sesat.
Sebelum
mengakhiri perbahasan tentang Hadis al-Tsaqalain, penulis
menjangkakan ada dua kemusykilan yang bakal timbul, khasnya dari
kalangan para pembaca yang sebelum ini lazim membaca tulisan
tokoh-tokoh Syi‘ah:
Kemusykilan pertama:
Kenapakah
dalam Hadis al-Tsaqalain, peringatan tentang Ahl
al-Bait Rasulullah disebut secara bergandingan dengan al-Qur’an?
Tidakkah pergandingan ini memiliki sesuatu nilai yang penting?
Penjelasan:
Pergandingan
ini memang penting, iaitu supaya sikap kita terhadap Ahl
al-Bait diukur berdasarkan petunjuk al-Qur’an. Tidak sekadar
itu, ia juga diukur berdasarkan petunjuk al-Sunnah kerana di
dalam al-Qur’an Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah berfirman:
Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (shallallahu
'alaihi wasallam) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan
apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka patuhilah
larangan-Nya.
[al-Hasyr 59:07]
Oleh itu
apabila kita diperingatkan untuk menjaga hak-hak Ahl al-Bait,
hak-hak tersebut perlu diukur mengikut petunjuk al-Qur’an
dan al-Sunnah. Ukuran tersebut hendaklah berdasarkan pemahaman
yang benar tanpa ditakwil atau dipaksa tafsirannya. Kemudian
kefahaman tersebut hendaklah dipegang secara adil tanpa
dikurangi atau dilebih-lebihkan.
Kemusykilan kedua:
Kenapakah
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengulangi
Hadis al-Tsaqalain beberapa kali di tempat-tempat yang
berlainan? Bukankah ini menunjukkan ada sesuatu yang penting
yang ingin baginda sampaikan, tidak sekadar untuk menjaga
hak-hak Ahl al-Bait sahaja?
Penjelasan:
Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam mengulangi Hadis al-Tsaqlain
beberapa kali kerana baginda menyedari bahawa setelah
kewafatannya nanti, akan ada aliran yang memperalatkan Ahl
al-Bait baginda semata-mata untuk membenarkan doktrin
mereka. Aliran ini benar-benar menyesatkan umat baginda daripada
jalan yang benar, oleh itulah baginda mengulangi Hadis
al-Tsaqalain beberapa kali mengingatkan besarnya musibah
yang bakal menimpa umatnya secara umum dan Ahl al-Baitnya
secara khusus. Ini tidak lain disebabkan oleh sikap baginda yang
amat mengambil berat tentang umatnya, sama ada pada zaman hidup
baginda atau selepas itu:
Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari
golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w), yang menjadi
sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh
kamu, yang sangat inginkan kebaikan bagi kamu, (dan) dia pula
menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada
orang-orang yang beriman.
[al-Taubah
9:128]
Kebimbangan
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam ternyata benar.
Sama-sama kita dapat perhatikan bagaimana aliran Syi‘ah
memperalatkan Ahl al-Bait Rasulullah shallallahu
'alaihi wasallam demi membenarkan doktrin mereka. Tidak
sekadar itu, dalam rangka membenarkan doktrin tersebut Syi‘ah
juga memperalatkan al-Qur’an dan al-Sunnah dengan takwilan
dan tafsiran yang batil. Sebelum ini dalam buku Siri Kedua
kita telah perhatikan bagaimana mereka memperalatkan al-Qur’an
dengan takwilan dan tafsiran yang batil demi menegakkan doktrin
mereka.
Setakat ini
juga dalam buku Siri Ketiga ini kita dapat perhatikan
bagaimana mereka memaksa-maksa tafsiran daripada Hadis
al-Ghadir dan Hadis al-Tsaqalain padahal kedua-dua
hadis tersebut dengan jitu membatalkan doktrin mereka.
Seterusnya marilah kita membahas beberapa hadis lain yang
dipaksa tafsirannya oleh Syi‘ah padahal hadis-hadis
tersebut juga sebenarnya membatalkan doktrin mereka.

|