Gerakan Modernis: Antara Kemajuan dan Hawa Nafsu 

Muhammad Rafiq @ Saw Eng Sian

 

 

 

Pengenalan

Gerakan Modernis

Gerakan Anti Hadis

Kesimpulan

 

Kandungan

 

 

 

Sejarah Kelahiran Gerakan Modenis

 

Lahirnya gerakan ini sedikit sebanyak mempunyai pengaruh daripada pertembungan antara golongan agamawan ortodoks dan golongan modenis di barat yang menyaksikan kelahiran ideologi sekularisme yang memisahkan agama dari segala aspek kehidupan. Ideologi sekularisme ini dilihat sebagai punca yang membebaskan masyarakat barat dari cengkaman kemunduran dan melahirkan masyarakat barat hari ini yang dilihat sebagai suatu masyarakat yang moden dan maju. Lantaran daripada itu, sesetengah golongan umat Islam terpesona dengan bentuk kemajuan yang ditonjolkan oleh masyarakat barat dan cuba mencari jalan supaya umat Islam turut dapat mengecapi kemajuan yang dikecapi oleh masyarakat barat. Tidak dinafikan bahawa kemajuan yang dicapai, khasnya dalam bidang sains dan teknologi, adalah sesuatu yang harus diberi penghormatan dan dicontohi. Akan tetapi terdapat segolongan umat Islam yang cuba meniru dari masyarakat barat secara keseluruhannya tanpa mengambil kira sama ada apa yang ditiru itu bersesuaian dengan nilai-nilai Islam atau tidak.

 

Akibat daripada ini berlaku kekeliruan yang besar dalam komuniti umat Islam. Kemajuan yang diimport dari barat didatangkan bersama-sama dengan nilai-nilai yang janggal dan juga bercanggah dengan nilai-nilai Islam. Golongan tradisionalis[1] menolak apa yang diimport kerana nilai-nilai tersebut tidak bersesuaian dengan budaya tempatan dan juga sesetengah daripada nilai Islam. Berbeza pula dengan golongan yang mengimport kemajuan tersebut, mereka mengangap golongan tradisionis sebagai anti-pembangunan lantaran penolakan mereka terhadap pembangunan material yang berlandaskan sains dan teknologi. Hasilnya, timbul dua aliran pemikiran yang saling bertembung, satu mendakwa membawa Islam yang berkonsepkan kemajuan dan menuduh golongan traditionalis mengamalkan Islam yang tidak lengkap kerana hanya mementingkan aspek spiritual semata-mata, manakala golongan tradisionalis pula mengangap golongan modenis ini hanya menitik-beratkan aspek pembangunan material dan meninggalkan aspek kerohanian.

 

Hakikat yang sebenar ialah terdapat jurang yang besar yang memisahkan pemikiran kedua-dua aliran ini. Tidak dinafikan bahawa terdapat golongan tradisionalis yang mempunyai fikiran yang jumud yang menolak keseluruhan pembangunan material yang berkonsepkan sains dan teknologi dari barat. Dalam pada itu, terdapat juga golongan modenis yang mengambil keseluruhan budaya barat tanpa dipertimbangkan sama ada apa yang diimport itu bersesuaian dengan nilai Islam ataupun tidak. Pada masa yang sama, terdapat juga segolongan umat Islam yang dapat membezakan apakah yang baik yang perlu dicontohi dan apakah yang buruk yang perlu dijauhi. Golongan pertengahan ini tersepit di antara pertembungan kedua aliran yang ekstrim ini. Perkara yang paling malang ialah Islam sebagai suatu agama yang suci dan sempurna terfitnah lantaran perbuatan kedua golongan yang ekstrim ini.

 

Akhir-akhir ini, golongan modenis lebih mendapat tempat dalam media masa berbanding dengan golongan tradisionalis. Kesempatan ini digunakan sebaik mungkin oleh golongan ini untuk menyebarkan ideologi mereka. Selain daripada menyeru kepada pembangunan material yang berasaskan sains dan teknologi, golongan modenis ini turut mempropagandakan nilai-nilai serta budaya barat yang bercanggah dengan nilai-nilai Islam. Mereka meletakkan fahaman bahawa untuk kita maju sebagaimana orang barat, kita perlu meniru cara-cara mereka. Lalu perkataan moden ini disalah ertikan sebagai mengikuti cara hidup dan budaya barat. Dengan kata lain, untuk menjadi seorang yang maju dan moden, kita perlu mengamalkan nilai dan budaya barat walau pun ianya bercanggah dengan syariat Islam.

 

Ini jelas adalah satu kekeliruan yang nyata tetapi tersembunyi lantaran propaganda yang tersebar merata-rata. Istilah kemajuan dan kemodenan ini digambarkan seolah-olah ia milik eksklusif masyarakat barat. Apa sahaja yang berasal dari barat dikatakan maju dan moden dan apa sahaja yang bersifat tempatan dikatakan tradisional dan mundur. Misalnya, pakaian baju kurung, kebaya, baju melayu dikatakan pakaian tradisi, manakala pakaian ala barat yang mendedahkan aurat dikatakan pakaian yang moden. Makanan tempatan dikatakan makanan tradisi manakala makanan ala barat sebagai makanan yang moden. Hiasan rumah yang berasaskan rekabentuk tempatan dikatakan tradisi manakala rekaan rumah ala barat dikatakan rekabentuk moden. Lagu berirama tempatan dikatakan lagu tradisi manakala lagu yang berirama ala barat dikatakan lagu moden.

 

Kekeliruan ini membawa kesan yang buruk dalam pemikiran agama orang Malaysia kerana rata-rata orang Malaysia, tak kira agama, beranggapan bahawa agama itu adalah suatu tradisi. Dengan itu untuk menjadi seorang manusia moden, mereka perlu meninggalkan apa yang dianggap tradisi termasuk agama! Fenomena ini dapat dilihat dengan jelas dalam masyarakat bukan Islam di Malaysia yang mana ramai anak-anak muda mereka yang dibesarkan dengan pendidikan barat telah meninggalkan budaya tradisi bersama agama mereka atas istilah kemodenan yang mereka sebenarnya keliru. Kita juga sering lihat masyarakat mengangap mereka yang meninggalkan ajaran agama sebagai seorang yang moden. Sebagai contoh, mereka yang berpakaian mendedahkan aurat dikatakan “Melayu Moden”. Malah penulis pada satu ketika pernah didatangi oleh seorang non-muslim yang mendakwa beliau melihat seorang “modern muslim” yang minum arak.

 

Sekalipun demikian, situasi masyarakat Islam masih berbeza dengan situasi masyarakat bukan Islam. Pengaruh agama dalam diri umat Islam masih amat kuat dan penolakan agama secara total akan mengakibatkan kejutan yang tidak dapat diterima oleh majoriti umat Islam. Golongan modenis yang keliru dengan istilah kemodenan ini mencari-cari jalan supaya umat Islam dapat dimodenkan tanpa perlu mereka meninggalkan agama mereka. Namun begitu mereka tidak menemui titik pertemuan antara nilai-nilai Islam dengan nilai-nilai budaya barat yang lahir daripada hawa nafsu manusia. Pembangunan material berasaskan sains dan teknologi hanyalah bertindak sebagai suatu penyamaran terhadap agenda golongan modenis ini yang pada hakikatnya hanya mahu menjalankan kehidupan harian mereka menurut hawa nafsu yang dipengaruhi oleh budaya barat, tetapi tidak mahu dianggap oleh masyarakat sebagai menyalahi syariat Islam. Sebagai contohnya, golongan ini mahu berpakaian seperti orang barat yang tidak menutup aurat kerana ia kelihatan lebih anggun, dan berhibur sebagaimana orang barat kerana ia lebih menyeronokkan. Namun begitu, perkara-perkara ini tidak dapat dilakukan melainkan seseorang itu perlu melanggari syariat Allah S.W.T.

 

Sebagaimana yang telah dijelaskan, adalah agak mustahil buat masa ini untuk mengajak umat Islam meninggalkan agama mereka untuk mencapai erti kemodenan sebagaimana yang dikehendaki oleh golongan modenis. Satu-satunya cara yang dapat merealisasikan agenda ini ialah dengan mengubah tafsiran agama supaya ia secocok dengan kehendak nafsu pengamalnya.

 

Beberapa Strategi Gerakan Modernis

Serangan ideologi modenis ini dimulakan dengan individu-individu tertentu yang membuat tafsiran sendiri terhadap nas-nas Al-Quran dan Al-Hadis supaya secocok dengan perbuatan dan amalan hidup mereka. Misalnya mereka mendakwa berpakaian menutup aurat bagi wanita Muslim sebagaimana yang sering kita lihat adalah tidak perlu kerana Al-Quran kononnya tidak menjelaskan bahawa cara penutupan aurat adalah sedemikian. Contoh yang lain pula ialah mereka menggunakan hawa nafsu untuk menafsirkan ayat 129 surah Al-Nisa bagi menidakkan amalan poligami kerana tafsiran mereka yang songsang terhadap maksud kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh dalam ayat tersebut.

Idea-idea sebegini mudah mempengaruhi golongan jahil yang pemikirannya sudah dirosakkan oleh pemikiran barat. Hujah-hujah ini hanya memberi kepuasaan kepada individu tersebut bagi merasakan seolah-olah dirinya masih berjalan di atas pentas syariat. Namun bagi kebanyakan masyarakat awam, ideologi sedemikian masih diragukan kerana mereka hanya percaya kepada golongan berpendidikan agama ataupun bergelar ustaz untuk mengeluarkan sebarang hukum agama, suatu perkara yang tidak dimiliki oleh golongan modenis.


 


[1] Istilah tradisionalis digunakan sebagai perkataaan lawan kepada istilah modenis. Istilah ini digunakan kerana golongan tradisionalis ini tidak melambangkan pendirian Islam yang sebenar. Ini berbeza jika perkataan ulama digunakan. Ulama selalunya dianggap mewakili pendirian Islam, maka jika ia digunakan sebagai lawan kepada modenis, akan timbul salah anggap seolah-olah ulama adalah golongan anti-pembangunan dan dengan itu Islam adalah agama yang anti-pembangunan. Sering kali agama Islam terfitnah lantaran individu tertentu yang tidak layak, dinobatkan sebagai ulama lalu mereka ini mengeluarkan kata-kata yang dianggap mewakili pendirian Islam, sedangkan pada hakikatnya ia bercanggah dengan ruh Islam.

 

 

HIMPUNAN RISALAH DALAM BEBERAPA PERSOALAN UMMAH : BUKU 1

Penyusun : Hafiz Firdaus Abdullah