Gerakan Modernis: Antara Kemajuan dan Hawa Nafsu 

Muhammad Rafiq @ Saw Eng Sian

 

 

 

Pengenalan

Gerakan Modernis

Gerakan Anti Hadis

Kesimpulan

 

Kandungan

 

 

 

Para tokoh ilmuan perlu bangun membantu umat

Oleh itu, diharap lebih ramai cendiakawan agama yang benar-benar ikhlas akan tampil untuk membetulkan fitnah-fitnah dan penyelewengan fakta agama yang ditimbulkan oleh golongan yang tidak bertanggujawab ini. Disarankan juga supaya orang awam lebih berhati-hati dalam menerima sumber ilmu. Ikutlah saranan Al-Quran iaitu bertanyalah kamu kepada orang-orang yang berpengetahuan agama (Al Zikr) sekiranya kamu tidak mengetahui[1]. Pastikan golongan rujukan adalah mereka yang benar-benar berilmu dan ikhlas dalam beragama. Dalam masa yang sama, berusahalah untuk menuntut ilmu-ilmu Islam yang sahih agar dapat dijadikan neraca yang dapat membezakan mana yang benar dan mana yang palsu.

 

Kesimpulannya……

Kesimpulannya, serangan ideologi yang berpunca daripada dalaman telah menjadi satu fitnah yang tidak harus dipandang ringan oleh umat Islam. Usaha telah dijalankan oleh musuh-musuh Islam untuk merekrut agen-agen penyebar kesesatan di kalangan umat Islam sendiri. Paling malang ialah ada umat Islam yang merelakan diri mereka diperalatkan sama ada secara sedar ataupun tidak oleh anasir-anasir yang mempunyai niat jahat terhadap agama Islam. Golongan ini melancarkan kempen yang hebat melalui sokongan internet dan media masa bagi mewujudkan Islam versi baru yang kononnya bersifat maju, progresif dan moden, sedangkan ia hanyalah Islam yang menurut hawa nafsu golongan yang telah dirasuk syaitan.

 

Islam tulen yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W. dan yang dipraktikkan oleh generasi awal (Salafus salih) adalah Islam yang sentiasa maju dan progresif. Hanya kelemahan umat mutakhir dalam berpegang teguh dengan ajaran Islam yang sebenar membuatkan mereka mundur kebelakang. Kemunduran umat Islam hari ini tidak ada kaitan dengan agama Islam. Umat Islam yang terdahulu telah maju, dan mereka maju kerana mengikuti apa yang telah menjadikan umat sebelum mereka maju (yakni Al-Quran dan As-Sunnah melalui pentafsiran yang sahih). Amat malang umat hari ini yang mengaku dirinya moden dan maju, sedangkan ia membelakangkan apa yang telah menjadikan majunya umat terdahulu (yakni Al-Quran dan As-Sunnah melalui pentafsiran yang sahih). Imam Malik pernah berkata, “Tidak akan menjadi baiknya suatu kaum melainkan dengan apa yang menjadi baiknya umat terdahulu”.

 

  Sungguh benar kata-kata ini kerana kemajuan yang diwar-warkan oleh golongan modenis ini hanyalah khayalan mereka semata-mata. Golongan ini telah meletakkan kayu ukur yang salah terhadap erti kemajuan. Dalam keghairahan mereka mengejar erti kemajuan, mereka ini masih tidak ke mana. Negara di Asia Barat seperti Turki yang melalui pensekularan nilai-nilai hidup selama hampir satu abad masih tidak ke mana-mana. Mereka masih ketinggalan dari segi ekonomi, sains dan teknologi. Lebih malang ialah keruntuhan akhlak bertambah serius, tekanan hidup bertambah kronik, manusia semakin hilang punca, jauh sekali untuk mereka mampu membela nasib umat Islam yang ditindas di seluruh dunia. Sekurang-kurangnya datuk nenek mereka masih mampu membina empayar Osmania yang mencapai puncak kegemilangan tamadun dunia selama hampir tujuh abad tanpa perlu mengejar nilai-nilai sekular barat sebagaimana yang menjadi kegilaan golongan modenis ini.


 

 


[1] Al-Nahl: 43, Al-Anbiyaa: 7

 

 

 

HIMPUNAN RISALAH DALAM BEBERAPA PERSOALAN UMMAH : BUKU 1

Penyusun : Hafiz Firdaus Abdullah