Gerakan Modernis: Antara Kemajuan dan Hawa Nafsu 

Muhammad Rafiq @ Saw Eng Sian

 

 

Pengenalan

Gerakan Modernis

Gerakan Anti Hadis

Kesimpulan

 

Kandungan

 

 

 

Gerakan Anti-Hadis

Serangan ideologi ini juga disokong oleh gerakan anti-hadis yang muncul hampir selari dengan kemunculan gerakan modenis ini. Kita dapati agenda kedua golongan ini adalah hampir sama, yakni mencipta Islam yang dapat ditafsirkan menurut akal dan hawa nafsu mereka. Tujuan mereka adalah sama, iaitu membolehkan mereka mengamalkan perbuatan serta budaya barat tanpa dianggap menyalahi syariat Islam (yang ditafsir menurut hawa nafsu mereka). Namun begitu, gerakan anti-hadis ini amat sukar mendapat tempat dalam masyarakat Islam kerana method mereka yang terlalu radikal yang menolak hadis-hadis nabi secara terang-terang. Ia merupakan kejutan yang amat besar sehinggakan masyarakat Islam awam yang mempunyai pengetahuan agama yang sangat minima pun sukar menerimanya.

Gerakan ini kemudian mengambil fasa kedua dengan berselindung di sebalik takrifan-takrifan ilmiah yang dipermudahkan untuk pemahaman masyarakat awam. Ini disokong oleh sesetengah pendokong gerakan ini yang mempunyai pengetahuan agama dan juga penguasaan bahasa Arab. Takrifan-takrifan ini kelihatan cukup ilmiah disokong dengan rujukan-rujukan teks Arab dan sandaran ulama-ulama agung yang kononnya menyokong pendapat tersebut. Mereka ini membuatkan orang awam yang rata-rata tidak memahami bahasa Arab, mengenali ulama-ulama yang digunakan dan memahami asas-asas ilmu Islam terpesona dengan kupasan ilmiah dalam suatu isu agama, sedangkan hakikat fakta yang sebenar telah diselewengkan demi menyokong pendapat golongan ini yang batil.

 

Menolak Hadis Ahad dan beberapa penyelewengan yang lain.

Di antara kaedah-kaedah penyelewengan yang sering digunakan dalam “fasa kedua” ini dakwaan Hadis Ahad tidak boleh dijadikan hujah dalam Akidah. Selain itu sering juga didakwa bahawa apabila para ulama saling berbeza pendapat dalam suatu hukum, maka suatu hukum itu tertolak. Ada juga yang mengatakan bahawa umat Islam boleh secara semberono mengikuti mana-mana hukum asalkan terdapat ijtihad ulama dan juga secara semberono menolak suatu hukum kerana ia merupakan hukum ijtihad ulama dan bukan suatu hukum yang qatie (muktamat). Mereka gemar memaparkan kepelbagaian pendapat dalam suatu isu, kemudian meninggalkannya dalam kegelapan tanpa menerangkan pendapat mana yang paling benar yang menepati Al-Quran dan Al-Sunnah menurut takrifan yang sahih. Masyarakat awam yang tidak mempunyai asas ilmu Islam seperti usul hadis dan usul fiqh akan terpedaya dengan kaedah-kaedah yang tidak mempunyai sebarang rasional dalam ilmu Islam, ataupun yang terdapat dalam ilmu Islam namun telah disalahgunakan.

Selain daripada itu golongan ini juga menyelewengkan fakta sebenar seperti membuat khabar palsu dan disandarkan kepada ulama tertentu seolah-olah itulah pendirian ulama tersebut. Ada juga yang menyelewengkan kata-kata ulama sehingga seolah-olah ulama tersebut mengeluarkan fatwa sedemikian. Tidak kurang juga mereka yang menggunakan ulama yang tidak ahli dalam suatu isu sebagai sandaran dalam suatu isu yang dibincangkan, misalnya menggunakan seorang ulama sufi untuk menentukan urusan fiqh. Termasuk dalam hal ini ialah menggunakan pendapat minoriti dan juga pendapat dari ulama yang difatwakan sesat oleh kebanyakan ulama lain dalam menyokong suatu hujah hanya semata-mata kerana pendapat tersebut sesuai dengan hukum yang ingin dihalalkan oleh golongan ini.[1]

Penyelewengan-penyelewengan sedemikian yang diistilahkan sebagai jenayah ilmiah adalah jauh lebih merbahaya daripada penyelewengan dalam fasa pertama. Golongan ahlul hawa ini mengeksploitasikan kejahilan umat Islam tentang agama dengan memesongkan tafsiran-tafsiran agama yang kelihatan seolah-olah ilmiah, tetapi sebenarnya penuh dengan kepalsuan. Rujukan Arab dan sandaran ulama diperalatkan untuk mengaburi orang awam terhadap penyelewengan ilmu Islam yang sebenar. Orang awam yang tidak dapat mengesan penyelewengan mereka ini telah ditipu oleh golongan penurut hawa nafsu ini. Jenayah ilmiah ini amat sukar dikesan kecuali oleh mereka yang benar-benar pakar dan mampu membuat rujukan kepada sumber asal yang dicedok oleh golongan ini.


 

[1] Untuk melihat contoh penyelewengan ilmiah yang dilakukan oleh penulis yang tidak bertanggungjawab, disarankan pembaca membaca buku “Pembongkaran Jenayah Ilmiah buku Salafiah Wahabiah” oleh saudara Hafiz Firdaus Abdullah, Jahabersa, 2003. Penulis juga menyarankan pembaca untuk membaca buku “Menangkis Pencemaran Terhadap Agama & Tokoh-Tokohnya” oleh Dr. Mohd Asri Bin Zainul Abidin, Karya Bestari, 2004, untuk mengetahui bentuk penyelewengan terhadap agama dan tokoh-tokohnya.

 

 

HIMPUNAN RISALAH DALAM BEBERAPA PERSOALAN UMMAH : BUKU 1

Penyusun : Hafiz Firdaus Abdullah